Cinta Fatamorgana - Cinta yang Menjijikkan

Mati dan tua, hakikat yang tidak boleh dielak oleh manusia. Kedua-duanya pasti datang dalam hidup kita. Semua manusia pasti mati. Tetapi tidak semua manusia berkesempatan mencecah usia tua.

Jika dilihat kepada jumlah keseluruhan manusia di dunia, ramai yang muda daripada yang tua. Itu petanda apa?

Ya, ramai manusia yang tidak sempat tua, mati pada usia muda. Justeru andai kita sempat menjejak usia tua, bersyukurlah. Itu bermakna Allah telah mengurniakan kita nikmat yang jarang diberikan kepada manusia lain.

Pada usia tua, kita tetap punya hati. Dan selagi kita punyai hati, selagi itulah ada cinta. Dalam satu hati tidak boleh ada dua cinta. Setua mana pun kita, pasti ada satu cinta yang bersemi dan mendominasi dalam hati.

Apakah cinta yang sebenarnya ada dalam hati wanita atau lelaki tua? Tentulah cinta Allah. Sebab semakin tua ertinya semakin dekat perjalanan menuju Allah. Kematian itu ertinya pulang menemui Allah. Dan itu juga bererti pulang menemui cintanya yang sejati dan abadi.

Apabila usia telah tua, semua nikmat yang bersifat lahiriah dan fizikal mula dicabut sedikit demi sedikit dan secara beransur-ansur. Nikmat makan, nikmat sihat, nikmat tidur, nikmat melakukan hubungan seks dan lain-lain lagi menjadi semakin menurun. Walaupun cuba dipertahankan dengan ubat, makanan tambahan, rawatan, senaman dan lain-lain, tua tidak dapat dielak. Ia hanya dapat diperlahankan. Ini sunnatullah yang tidak dapat diubah-ubah.

Mengapa Allah takdirkan begitu? Tentu ada hikmahnya. Segala kemanisan dan kelazatan dunia mula dicabut perlahan-lahan menjelang usia tua agar manusia beransur-ansur beralih kepada kelazatan rohaniah pada episod-episod terakhirnya dalam hidup. Seolah-olah manusia “dipaksa” menumpukan fokus hatinya untuk mencintai Allah. Rebut dan nikmati cinta-Nya sebagai bekalan di akhirat nanti.

Apabila kelazatan dunia dunia semakin hambar dan tawar, itu petanda detik berpindah ke alam akhirat sudah dekat. Sediakan bekalan dengan cepat!

Inilah sudut pandangan yang patut ada dalam setiap hati orang tua. Ketika segala-galanya menjauh, datanglah mendekat kepada Allah. Kau tidak ada apa-apa lagi, kuatkan pecutan hatimu menuju Ilahi. Jangan dilalaikan lagi oleh cinta yang lain.

Namun malang sekali kalau pada usia senja masih memburu cinta fatamorgana. Ada yang kembali memburu cinta yang tidak kesampaian pada usia mudanya dahulu. Sudah beranak bercucu, tetapi hati si atuk dan nenek ini kembali mengimbau nostalgia cinta lama zaman remaja. Dulu kononnya terpisah kerana berbeza darjat, disekat oleh orang tua, berpindah tempat dan sebagainya, lalu masing-masing membawa jodoh masing-masing. Bercinta, berkahwin, beranak dan bercucu.

Tiba-tiba kekasih lama muncul semula. Mungkin menerusi pertemuan yang tidak disangka atau dijangka. Atau lewat laman sosial Facebook, Twitter, My Space dan sebagainya. Dan cinta berbunga kembali.

Uban di kepala si datuk dilihat bagaikan mahkota oleh si nenek. Kedutan wajah si nenek dilihat manis dan memikat oleh si datuk. Lalu berlakulah antara mereka hubungan cinta terlarang. Kedua-duanya jadi mabuk cinta dan ada yang terjerumus ke lembah cinta yang curang dan haram.

Sungguh Bijak Syaitan
Ini semua gara-gara memburu cinta fatamorgana pada usia senja. Nostalgia lama berputar kembali untuk membuahkan realiti masa kini. Nenek dan datuk jadi asyik masyuk. Ah, malu sekali bila mereka mengambil kesempatan “berdating” sewaktu sama-sama menghantar cucu di sekolah atau berbalas-balas pesanan ringkas (SMS) pada tengah malam menjelang dinihari.

Sungguh bijak syaitan menipu. Angkara dan strategi yang tidak pernah berhenti. Sentiasa kaya dengan inovasi dan kreativiti. Bermodalkan cinta yang “dikitar semula”, syaitan masuk untuk menyesatkan manusia. Mata si datuk yang seharusnya sudah merasakan kesejukan wudhu dan ketenangan solat, sudah dilekakan untuk mengerling si kekasih lamanya. Masa untuk menatap al-Quran semakin luput apabila asyik berpaut di skrin telefon bimbit untuk membaca “ayat-ayat cinta” yang berputik kembali.

Ini bukan cerita yang diada-adakan. Tetapi cerita yang benar-benar berlaku, bahana cinta sumbang pada usia senja. Cucu-cucu jadi resah. Anak-anak menggeleng kepala. Namun, nenek atau datuk ini, tidak menyedarinya atau telah sedar, tetapi kerana cinta semuanya tidak dipedulikan lagi. Memang cinta itu buta… bukan sahaja kepada remaja yang matanya masih terang, tetapi juga untuk si tua yang matanya hampir buta!

Indah Hanyalah Fatamorgana
Dunia menipu. Cinta memperdaya. Apa yang dilihat indah hanyalah umpama fatamorgana. Panas yang membahang disangka air. Lalu kita berebut-rebut mengejarnya. Namun indah dari jauh, tetapi apabila didekati kosong makna, kontang rasa. Begitulah cinta terlarang pada usia senja.

Kepada yang mendapatnya (tentu sahaja terpaksa membeli dengan harga yang mahal – yakni dengan meninggalkan isteri, anak-anak dan cucu-cucu), terasa sia-sia. Ah, pesona cinta tetap sama! Jika diburu berdasarkan nafsu, percayalah… selagi belum dapat memang indah, tetapi apabila sudah dapat, segala-galanya akan pudar. Apa yang diburu akan menjemukan apabila sudah berada dalam genggaman.

Bila terjadi demikian hendak berpatah balik? Ah, air di dalam tempayan sudah dicurahkan tetapi guruh yang kedengaran berdentam-dentum sebelumnya, tidak langsung menurunkan hujan seperti yang dijangkakan. Pada waktu itulah jiwa yang lara akan menyebabkan diri menjadi lebih tua daripada sebelumnya. Kaki yang menggeletar yang tidak dirasakan dulu (semasa dilamun cinta) jadi bertambah kronik. Langkah jadi capik. Semuanya menjadi kendur dan luntur semula. Paras cinta menurun, paras gula dan kolesterol yang sedia ada pula naik memuncak.

Kepada yang muda jangan tersenyum. Ini bukan cerita mereka yang telah tua sahaja tetapi juga untuk anda yang muda. Ingat, kebaikan yang mampu kita lakukan pada usia tua hanyalah momentum yang dibina sejak usia muda. Dan begitulah dengan kejahatan. Sesiapa yang rajin beramal ibadah sewaktu muda, kerap kali akan mewarisi tabiat yang baik itu apabila telah tua. Jadi rajinlah dan istiqamahlah dengan membuat kebaikan, mengerjakan solat, membaca al-Quran sekarang, agar hati itu terisi… bukan sahaja kini tetapi nanti. Jangan “disantau” oleh cinta fatamorgana pada usia tua.

Bagi remaja yang asyik memburu cinta terlarang sekarang ini, beringat-ingatlah. Jangan kita terpaksa memburu cinta palsu hingga ke akhir hayat. Kita akan diletihkan, ditipu dan dihancurkan oleh cinta itu berkali-kali.

Usia muda terbuang, usia tua tersia-sia. Jangan begitu, orang Mukmin tidak akan jatuh dalam lubang sama dua kali. Jika anda terus dibuai cinta palsu dan konon “bahagia” dengan itu, insya-Allah anda akan disengat bisa cinta fatamorgana dua kali. Syaitan akan menggunakan senjata yang sama untuk memperdayakan kita kerana di situlah kelemahan yang kita suburkan sejak usia remaja lagi.

Cinta Nan Hodoh
Manusia tidak akan letih memburu cinta. Itu hakikatnya. Alangkah malangnya jika yang diburu tanpa jemu itu hanya kebatilan?

Jika ditanya, mengapa ada cinta yang sehodoh dan sebodoh ini? Jawabnya mudah, cinta itu mengikut keadaan hati seseorang. Lebah akan menyeri sari pati bunga. Lalat akan menghurung bangkai. Jika hati itu terisi dengan cinta Allah, ia akan mencari dan memburu kebaikan. Tetapi jika hati itu terbiar kosong atau terisi dengan kebatilan, maka ia akan memburu kejahatan.

“Retua” yang memburu cinta terlarang ialah mereka yang kosong jiwanya. Dalam hatinya belum ada kemanisan iman. Lalu ia mencari dan terus mencari. Allah tidak mengumpulkan dua cinta dalam satu hati. Akhirnya kekosongan itu diisi oleh cinta palsu. Apabila makanan yang lazat tidak lagi memberangsangkan, apabila tidur sudah tidak diganggu insomnia, apabila rangsangan naluri seksual tidak bergetar lagi, hati yang kosong akan bertambah kosong. Sunyi, sepi, sayup-sayup ada suara yang berdetak di hati, “Ah, rumah kata pergi, kubur kata mari…”

Ah, tidak sudi dia ke sana! Takut dan benci mati. Lalu dalam keadaan itu syaitan membisikkan cinta lama. Burulah kebahagiaan itu selagi usia masih ada! Lalu dengan mata yang kabur, uban yang bertabur dan tenaga yang sudah mengendur si tua terus memburu cinta dengan keinginan baru yang membara. Tanpa disedari yang diburunya itu hanyalah tiupan syaitan pada minit-minit terakhir dalam hidupnya!

Apabila usia telah tua, ertinya Allah telah memanggil. Bersedialah untuk pergi. Pergi bukan untuk berpisah tetapi untuk bertemu-Nya. Di sana ada cinta yang lebih bahagia dan lebih sempurna. Jangan terkesima lagi dengan cinta fatamorgana!