Remaja Berakhlak di Bawah Panji-Panji Nabi Yusuf



Setelah Allah s.w.t. menganugerahkan ganjaran kepada golongan yang dibalakan dengan buta dan juga penyakit kusta, kemudian Allah s.w.t. menyeru kepada para pemuda (remaja) yang berakhlak mulia (muta’akkif). Mereka diseru supaya menghadap Allah s.w.t. bagi menerima anugerah, sebagai ganjaran daripada usaha ikhlas dan bersungguh-sungguh mengawal diri daripada sebarang pancaroba remaja.

Zaman remaja adalah zaman yang penuh cabaran. Golongan remaja dengan fizikal yang segar-bugar, dan pada usia inilah gelombang syahwat yang sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawalnya, apatah lagi jika kehidupan mereka tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat. Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi hidup dalam negara dan masyarakat yang tidak melaksanakan hukum dan undang-undang Allah s.w.t. Budaya maksiat yang sengaja disuburkan melalui konsert-konsert hiburan, di mana artis menjadi sanjungan dan ikutan. Kesannya, ia bukan sahaja meruntuhkan akhlak remaja, malah ia menjadikan kehormatan seolah-olah tidak bernilai. Tidak cukup dengan itu ada yang dengan mudah menyerahkan maruah diri demi tuntutan nafsu.

Budaya barat yang bersalut kekufuran dan kemaksiatan sentiasa mengalir melalui media elektronik termasuk juga video lucah, menjadikan golongan remaja sebagai sasarannya. Dalam suasana yang begitu mungkin terdapat segelintir remaja yang hidup terasuh dalam keluarga yang berteraskan tarbiah Islam, mendampingkan diri dengan kelompok pejuang Islam. Dengan suasana yang murni itu mereka memiliki daya tahan daripada sebarang ancaman pengaruh mungkar.

Tidak mudah menjadi seorang remaja mukmin dan berakhlak mulia, lebih-lebih lagi dalam suasana negera dan pemerintah yang mengabaikan peraturan Allah s.w.t. Pengaruh persekitaran yang lebih menjurus kepada dunia hiburan yang melampau, hanya remaja yang mendapat taufiq dan hidayah Allah s.w.t. serta mendapat asuhan dan bimbingan daripada ibu bapa yang kukuh berpegang dengan amanah Allah s.w.t sahaja yang selamat daripada segala bencana itu. Hanya golongan remaja yang memiliki benteng pertahanan iman, serta akhlak mulia, adalah golongan yang telah berjuang sepenuh upaya untuk menjadi remaja yang bermoral tinggi. Allah s.w.t amat menghargai kesungguhan remaja seperti itu. Sebab itulah apabila mereka tiba di Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada para malaikat. Malah kehadiran mereka akan disambut oleh Allah s.w.t. dengan ucapan, “Selamat datang wahai para remaja yang baik.”

Demikianlah penghargaan dan balasan Allah s.w.t terhadap para remaja yang bekerja keras serta bersungguh-sungguh mengawal dari daripada segala pengaruh buruk yang sedang bermaharajalela di sekitar mereka. Berkat kesabaran menahan diri daripada hidup berseronok dan berfoya-foya yang bersifat sementara di dunia ini, sebagai balasannya mereka mendapat keseronokan yang abadi di akhirat.

Setelah Allah s.w.t. mengalu-alukan kedatangan para remaja yang berakhlak mulia itu, para malaikat diperintahkan supaya menempatkan mereka di sebelah kanan. Kepada mereka disediakan sebuah bendera berwarna hijau. Allah s.w.t. menyeru Nabi Yusuf a.s. untuk menerima bendera tersebut bagi mengetuai para belia yang mukminun, berakhlak, sabar, lemah-lembut dan mempunyai ilmu pengetahuan. Nabi Yusuf a.s. terpilih menjadi ketua para belia yang baik budi pekerti , kerana baginda adalah seorang nabi yang sangat kacak dan tampan. Ketampanannya menggoda ramai para wanita, hingga ada wanita yang tertawan dan cuba menggodanya. Namun baginda berjaya mengatasi semua halangan dan godaan.

Ulama’ mufassirin menyifatkan; kecantikan yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada manusia di dunia ini, separuh daripadanya ada pada Nabi Yusuf a.s. Dalam al-Quran terdapat satu surah khas yang bernama ‘Surah Yusuf’, ia menceritakan bukan sahaja mengenai rupa paras Nabi Yusuf a.s. yang tampan dan menawan, tetapi juga menceritakan segala kebaikan dan kelebihan baginda. Alangkah bertuahnya para belia itu kerana mendapat ketua seorang nabi yang termasyhur, iaitu Nabi Yusuf a.s. Bersesuaian dengan ketabahan dan kekuatan baginda yang berjaya menghadapi fitnah wanita. Maka demikian jugalah para remaja yang berjaya menghadapi segala godaan dan cubaan alam remaja, mereka bersama-sama baginda di bawah panji-panji hijau di akhirat kelak.

Setelah itu Allah s.w.t. menyeru pula orang-orang yang menjalinkan hubungan baik sesama manusia semata-mata kerana Allah s.w.t. Mereka berkawan bukan kerana wang ringgit yang selalu diterimanya, ataupun kerana pertolongannya semasa dia mendapat kesusahan. Namun hubungan baiknya hanya atas dorongan hati yang ikhlas. Justeru itu mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t. kerana sifatnya yang terpuji itu. Sifat kasih mesra di antara insan itu  adalah benteng penghalang daripada segala persengketaan dan permusuhan.

والله أعلم

Dipetik dari buku 'Bertemu Janji Allah Jilid 2' tulisan YAB Tuan Guru Dato' Hj Nik Abd Aziz bin Hj Nik Mat