Umpama Bekas Kesturi


Daripada al-Harith al-Asy’ari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya perumpamaan bagi orang yang berpuasa itu adalah seperti seorang lelaki yang membawa satu bekas yang terdapat di dalamnya kesturi, dan ia berada di dalam satu kelompok manusia, maka mereka itu berasa amat hairan dengan wangian tersebut, (begitu juga) sesungguhnya bau orang yang berpuasa di sisi Allah lebih harum daripada wangian kesturi.”
(Riwayat at-Tirmidzi)
Perumpamaan dan kiasan hadis ini menceritakan tentang kelebihan orang beriman yang mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t. dalam melaksanakan ibadah puasa.

Mereka yang berpuasa diumpamakan sebagai seseorang yang membawa bekas wangian kasturi. Hal ini menunjukkan kelebihan dan keistimewaan ibadah ini iaitu orang yang melakukan ibadah puasa diibaratkan sebagai orang yang membawa bekas yang di dalamnya terdapat kesturi yang mengeluarkan bau yang sangat wangi.

Setiap manusia pasti suka kepada wangian yang harum. Oleh sebab itu, Rasulullah telah mengumpamakan sesuatu yang harum itu kepada suatu amalan yang amat berat untuk dilakukan oleh sesetengah orang, iaitu ibadah puasa.

Lalu, kiasan yang digunakan oleh Baginda s.a.w. dalam hadis ini adalah bertujuan sebagai daya tarikan kepada mereka supaya melaksanakan ibadah puasa. Bukankah keharuman itu sememangnya menjadi kesukaan bagi manusia?

Dalam hadis yang lain, digambarkan bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kesturi. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Dan demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada wangian kesturi..."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bersiwak bagi Orang Puasa
Para ulama’ fiqh berselisih pendapat mengenai hukum bersugi atau memberus gigi selepas tergelincirnya matahari bagi orang yang berpuasa. Sesetengah ulama’ menghukumkan makruh bersugi selepas tergelincirnya matahari kerana “bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah daripada wangian kesturi.”

Ibn Taimiyah r.hm. dalam Majmu' al-Fatawa telah berkata:

"Adapun penggunaan siwak (bagi orang berpuasa), maka dibolehkan tanpa ada perselisihan. Namun para ulama’'berbeza pendapat tentang kemakruhan penggunaannya setelah gelincir matahari. Ada dua pendapat yang terkenal, kedua-duanya merupakan riwayat daripada Ahmad. Namun pendapat yang menyatakan makruh tidak berdasarkan dalil syar’i yang kuat untuk mengkhususkan keumuman dalil-dalil tentang bolehnya penggunaan siwak."

Dalam sebuah hadis riwayat at-Tabarani, diriwayatkan daripada Abdur Rahman bin Ghunm, yang bertanya kepada Muaz in Jabal perihal bersugi dalam keadaan berpuasa. Beliau bertanya: "Apakah boleh aku bersugi dalam keadaan aku berpuasa?" Lalu Muaz menjawab: "Ya." Beliau bertanya lagi: "Pada bahagian yang manakah aku boleh bersugi?" Muaz menjawab: "Bahagian siang mana yang kamu mahu, sama ada pada awal siang atau akhir siang."

Lalu Abdur Rahman berkata: "Sesungguhnya ada orang memakruhkan (bersugi) pada akhir siang." Muaz bertanya: "Mengapa?" Beliau menjawab: "Kata mereka, kerana Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada haruman kesturi.'"

Maka Muaz pun berkata, "Subhanallah! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan mereka untuk bersugi. Ketika Baginda memerintahkan itu, Baginda tahu betul bahawa pasti mulut orang berpuasa akan berbau (busuk) meskipun dia bersugi."

Ketibaan Ramadhan
Umat Islam di seluruh dunia bakal menunggu kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak, untuk melaksanakan ibadah puasa pada siang hari dan bertarawih serta bertadarus al-Quran pada malamnya. Suasana bulan Ramadhan pastinya amat meriah sekali sambutannya, terutama masyarakat umat Islam di negara ini. Namun, persoalannya apakah sambutan meriah ini mempunyai nilai ibadah di sisi Allah ataupun ia semata-mata adat yang disambut secara rutin tahunan?

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang dimuliakan dan bulan yang diberkati Allah. Allah membuka pintu rahmat-Nya seluas-luasnya pada bulan Ramadhan. Betapa besarnya fadhilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud:

"Apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu semua iblis dan syaitan."

Allah telah menyediakan ganjaran yang besar dan tinggi nilainya kepada orang yang melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadhan. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada hari kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama-sama mereka seorang pun selain mereka. Kelak aka nada pengumuman: 'Di manakah orang yang berpuasa?' Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir daripada mereka masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya."
(Riwayat al-Bukhari)

Ramadhan Bulan Adat?
Bagi individu Muslim yang prihatin dengan rahmat dan ganjaran Allah yang melimpah-ruah pada bulan Ramadhan ini sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk berusaha gigih dan bersungguh-sungguh untuk merebut sebanyak mungkin ganjaran Allah itu.

Namun, apa yang amat menyedihkan yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita ialah sambutan Ramadhan itu lebih menjurus kepada "adat" bukannya ibadat.

Bulan Ramadhan yang sepatutnya menjadi bulan menahan nafsu syahwat dengan berpuasa bertukar menjadi "bulan makan" yang penuh dengan pembaziran apabila tiba waktu berbuka.

Masyarakat Islam tanpa sedar menjadikan Ramadhan bulan untuk berpesta makan secara berlebihan hingga kepada tahap membazir. Pembaziran adalah satu sifat yang dilarang keras dalam Islam. Orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya."
(al-Isra’ 17:27)

Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zilal al-Quran menjelaskan bahawa Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas mentafsirkan pembaziran itu sebagai berbelanja pada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh sebab itu, berbelanja secara berlebihan juga adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir.

Sepatutnya pada bulan Ramadhan umat Islam bersungguh-sungguh melaksanakan “pesta ibadah” serta beristiqamah dengannya. Namun, apabila sambutan Ramadhan dianggap sebagai adat semata-mata, maka mereka yang berduyun-duyun ke masjid pada minggu pertama Ramadhan akan menyusut dari semasa ke semasa. Akhirnya, pada minggu terakhir Ramadhan yang merupakan waktu yang paling penting untuk mendapatkan anugerah lailatul qadr, masjid-masjid dan surau-surau semakin lengang.

Pada minggu terakhir paling bermakna itu, masyarakat Islam di negara kita khususnya, lebih ramai mengunjungi pasar raya, bazaar dan seumpamanya daripada mengunjungi surau dan masjid. Kelebihan dan keutamaan bulan Ramadhan diabaikan semata-mata kerana ghairah membuat persiapan menyambut Hari Raya ‘Idul Fitri.

Syawal Satu Kemenangan
Tanggal 1 Syawal sebenarnya merupakan hari untuk menyambut kemenangan bagi umat Islam yang beribadah dan yang berjaya menundukkan nafsu pada bulan Ramadhan. Namun, apakah mereka yang menyambut Ramadhan secara "adat" layak untuk menyambut kemenangan pada tanggal 1 Syawal sedangkan nafsu mereka masih lagi membelenggu diri?

Sambutan ‘Idul Fitri pula dicemari dengan aspek negatif yang menghakis kemuliaan dan “kemenangan” hari tersebut. Mana tidaknya, selesai sahaja bertakbir dan menunaikan solat Hari Raya, maka nafsu kembali dilayan semahu-mahunya. Hinggakan ada yang melakukan perkara yang boleh mencemarkan nilai ibadah pada hari yang penuh dengan keberkatan itu. Pembaziran terus berlaku semasa menyambut ‘Idul Fitri. Budaya hiburan pula seolah-olah menjadi "menu utama" yang wajib ada semasa perayaan ‘Idul Fitri. Akibatnya, Ramadhan dan Syawal tidak dapat mengubah keperibadian Muslim itu apabila nilai ibadah dalam bulan-bulan ini dipinggirkan.

Apabila Ramadhan atau "bulan puasa" disambut secara adat bukannya ibadat, maka bagaimana dapat menghasilkan individu yang bertaqwa kepada Allah. Akhirnya sambutan Ramadhan tidak mendatangkan makna dan pengertian sebenarnya. Puasa tidak lagi memberi sebarang erti untuk kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

Justeru, anjakan perlu dibuat untuk mengembalikan nilai ibadah dalam bulan Ramadhan agar dapat memperoleh wangian kesturi di sisi Allah serta kesejahteraan dunia akhirat dapat diperoleh kembali.

والله أعلم


لا عزة إلا بالإسلام

No comments:

Post a Comment