Mahasiswi Islam Yang Seksi


Gambar Hiasan

Dalam kelompok pelajar Islam yang masing-masing mempelajari Islam samada secara formal mahupun tidak, amat menyedihkan apabila masih wujud begitu ramai mahasiswi Islam yang tidak tahu batas muamalat yang sepatutnya dipraktikkan oleh mereka.

Ramai menyangka, batas muamalat hanya melibatkan pergaulan atas percakapan antara seorang lelaki dan wanita semata-mata, atau antara syabab dan akhawat semata-mata. Sebenarnya , isu muamalat adalah LEBIH BESAR daripada itu.

Muamalat secara umumnya bermaksud hubungan seharian anda bersama manusia, tidak kira siapa. Ia dijaga dan dikawal oleh syariat dengan peraturan-peraturan tersendiri, di mana segala peraturan-peraturan tersebut terkandung sejuta hikmah yang datang dari Allah Ta’ala demi maslahatnya manusia.

Allah cipta manusia, Allah bagi manual. Manusia cipta kereta, manusia buat manual. Pentingnya manual adalah supaya kereta tidak rosak dan tahan lama. Pentingnya manual kepada manusia adalah supaya manusia tidak rosak dan selamat di dunia dan akhirat sana. Dan manual manusia adalah Al-Quran serta As Sunnah.

Sabda Nabi s.a.w : “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang mana jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya ; iaitu Kitab Allah ( Al-Quran ) dan Sunnah ( Hadis ) Nabi s.a.w”

Memang benar, ramai mahasiswi Islam yang sedar tentang bahayanya pergaulan antara lelaki dan wanita sekaligus mereka menjaga batas-batas tersebut. Tetapi apa yang ingin saya tekankan di sini adalah tentang interaksi satu hala, dan bukannya interaksi dua hala.

Apa itu interaksi satu hala?

Saya maksudkan tentang cara anda menampilkan diri anda. Sedia maklum, fitrah lelaki lebih cenderung memandang wanita dan lebih sukar menjaga pandangan matanya berbanding wanita. Lelaki juga lebih cepat naik syahwat dengan hanya memandang, berbanding wanita. Anda boleh lihat hikmahnya dalam Al-Quran, apabila Allah mendahulukan perintah menundukkan pandangan kepada lelaki, kemudian barulah disebut wanita.

Firman Allah : “Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya mereka menahan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka.”

Apabila seorang wanita – khususnya mahasiswi Islam – menampilkan diri mereka dalam keadaan yang boleh menarik atau menggoda seorang mahasiswa Islam , maka berlakulah pelbagai fitnah dan kerosakan di atas muka bumi Tuhan.

Malangnya mahasiswi Islam seringkali beralasan bahawa jika mereka dipandang lelaki, maka itu adalah salah sang lelaki yang tidak tahu menjaga pandangan mata mereka.

Ini silap. Kita bukan nak bergaduh tentang siapa lihat tetapi kita hendak koreksi balik kenapa mereka lihat. Anda sebagai wanita, fitrah anda adalah dilihat. Anda ibarat bunga mekar yang dicari oleh sang kumbang. Kerana bunga itu cantik, maka ia dipandang dan kerana anda cantik, maka anda dipandang.

Ya, anda memang cantik!

Allah jadikan anda begitu bukan sia-sia. Allah jadikannya sebagai ujian kepada anda. Kecantikan yang diberi adalah ujian, bukan semata-mata kemuliaan dan kebanggaan. Di sana Allah mahu melihat, adakah anda ingat kepada si pemberi kecantikan itu atau anda akan melupakanNya?

Buktinya, Allah sertakan dalam manualnya iaitu Al-Quran dengan pelbagai suruhan kepada wanita. Dari percakapan, pergaulan, pemakaian, semuanya dititikberatkan oleh Allah dan RasulNya.

Adakah ini bermakna Allah sedang mengongkong anda?

Analoginya ; kenapa si pembuat kereta Ferrari menyediakan manual khusus untuk Ferrari dan kenapa tidak boleh menggunakan manual kereta Kancil? Dan adakah itu bermakna si pembuat kereta Ferrari sedang mengongkong penggunaan keretanya dengan tidak memberi izin supaya boleh menggunakan manual Kancil?

Lagi ; adakah lampu isyarat yang anda lihat di segenap jalan merupakan kongkongan kepada semua pemandu kereta dan lori? Adakah itu dinamakan kongkongan..?

Tidak. Itu peraturan, bukan kongkongan. Peraturan jalanraya dibuat oleh orang yang mahir dengan jalanraya, dimana jika tidak diikut akan mengakibatkan kemalangan jalanraya dan membahayakan nyawa orang lain. Manual kereta juga begitu, peraturan tersebut jika tidak diikut akan menjadikan kereta rosak, terbakar dan sebagainya.

Peraturan Allah pada manusia, termasuk pada wanita juga begitu. Kalau tidak diikut, akan berlakukan kerosakan, kemusnahan dan kehancuran di muka bumi.

Jadi wajib atau tidak ikut peraturan-peraturan tersebut? Tentu sekali jawapannya adalah : Wajib.

Salah satu larangan Allah pada wanita adalah tidak bertabarruj dalam penampilan mereka. Di dalam Al-Quran Allah melarang tabarruj seperti wanita-wanita jahiliah zaman dahulu. Ini termasuk dengan menonjolkan perhiasan diri, make-up yang berlebihan, berwangi-wangian yang berlebihan, pakaian yang terlalu menonjol, menampakkan bentuk tubuh dan sebagainya.

Kenapa mahasiswi Islam seksi?

Saya tidak tahu kalau gelaran begitu adalah lucah atau biadab. Apa yang saya tahu, ramai dari mereka yang bergelar mahasiswi Islam merasa bangga jika digelar begitu.

Contoh : seorang wanita berpakaian baju kurung, atau jubah dan bertudung labuh. Kemudian memakai coat atau jaket yang sedikit ketat, kemudian dibutang. Lalu bahagian dadanya akan kelihatan membonjol yang mana bentuk tersebut begitu ketara dan boleh dilihat oleh sesiapa sahaja.

Lalu ditegur supaya jangan berpakaian demikian, kerana ianya ‘seksi’ dan boleh menarik penglihatan lelaki. Tetapi teguran tersebut tidak dianggap teguran , tetapi dianggap ‘pujian’ dan ‘kebanggaan’ pula. Esoknya, jaket yang lebih ketat pula dipakai sambil dalam hati merasa bangga setiap kali perasan yang lelaki melirik ke arahnya.

Apa ini?!!!

Sesetengah orang menamakannya sebagai gangguan seksual. Tidak hairanlah ada kempen ‘hentikan gangguan seksual pada lelaki ‘ yang dilancarkan di sesetengah kampus di Malaysia.

Saya sering tertanya-tanya, adakah mereka-mereka yang berpakaian demikian tidak tahu tentang hakikat yang saya nyatakan di atas? Adakah mereka tidak tahu apa itu gangguan seksual? Adakah mereka tidak tahu apa itu ‘dari mata jatuh ke NAFSU’ ? Adakah mereka tidak tahu bahawa berpakaian begitu adalah HARAM?

Tetapi sudah ditegur. Secara langsung mahupun tidak langsung, saya optimis teguran itu sampai ke telinga mereka. Cuma saya tidak yakin teguran itu sampai atau tidak ke HATI mereka.

Sebahagian dari mereka pula setiap hari berulang alik ke Kuliah Syariah dan belajar agama. Tetapi mendedahkan aurat. Tidak menutup aurat. Melazimi gangguan seksual yang jelas HARAM setiap hari. Jadi bagaimana?

Terus terang saya katakan, ramai mahasiswi Islam hari ini yang masih belum sempurna menutup aurat. Bahkan terlalu ramai yang berpakaian seksi. Seksi pada mereka, tapi SEKSA pada lelaki.

Tidakkah anda sedar bahawa anda sedang MENYEKSA saudara-saudara anda sendiri..?

Sabda Nabi s.a.w : “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Maknanya? Apa yang anda tak suka orang buat pada anda, jangan anda buat pada orang lain.

Mungkin ramai dari mereka menyangka ini isu yang remeh. Mereka merasa cukup dengan menutup ‘kulit-kulit′ dan ‘rambut-rambut′ mereka. Tetapi mereka jahil bahawa itu bukan bermakna mereka sudah ‘menutup aurat’ dengan sebenarnya.

Justeru saya ingin mengajak sekalian mahasiswi Islam supaya kembali sedar akan hakikat yang saya nyatakan di atas. Kalau betul anda rasa anda cantik, simpanlah ia untuk hadiah teristimewa kepada SUAMI anda satu masa nanti. Jika betul anda rasa anda seksi dan tubuh badan anda cantik, simpanlah ia juga kepada SUAMI anda nanti. Jika betul anda rasa anda gedik dan menarik, simpanlah ia khas untuk SUAMI anda apabila berkahwin nanti.

Sebelum keluar dari rumah, berdiri depan cermin. Dan sebelum tangan anda mencapai apa-apa alat solek, bacalah dahulu doa ini : Ya Allah , sebagaimana Engkau cantikkan kejadian aku, maka Engkau tolonglah cantikkan juga AKHLAK aku.

Ingat Allah banyak-banyak. Kemudian baru bersolek.

Sekali lagi lepas bersolek, tataplah cermin dan bacalah sekali lagi doa di atas. Dan ingatlah Allah banyak-banyak.

Kemudian sebelum melangkah keluar dari rumah, nak pergi kelas dan sebagainya, tataplah cermin sekali lagi. Tengok pakaian anda atas bawah. Baca sekali lagi doa di atas, ingat Allah BANYAK-BANYAK. Dan keluarlah.

Sebagai mahasiswi Islam, saya optimis, jika anda BENAR-BENAR mengamalkan apa yang saya sebut di atas, anda TIDAK akan keluar rumah dengan make up tebal, atau baju yang bersinar-sinar, atau yang menampakkan bentuk tubuh dan dada anda. Saya optimis!

Semoga tulisan dan nasihat ini dapat dibaca dengan mata hati anda..

Sekian.

P/s : Mahasiswi Islam merujuk kepada semua pelajar wanita beragama Islam, bukan ‘jurusan Islam’ sahaja.


والله المستعان

لا عزة إلا بالإسلام

Hati-Hati Berpurdah, Jangan Menyorok Tapi Terdedah



Lewat beberapa minggu sebelum ini, kecoh dengan isu drama Tahajjud Cinta di TV3. Cukuplah, saya malas mahu mengulas isu yang sama. Saya yakin, masing-masing sudah boleh membuat kesimpulan sendiri daripada isu tersebut. Hakikat yang perlu diakui adalah, dilema kejahilan dalam masyarakat masih di tahap yang serius dan membimbangkan.

Kerana itu, mengomel dan menunding jari sahaja tidak memadai.

Sebagai contoh, salah satu perkara yang dibantah dalam drama tersebut adalah babak selak purdah. Umumnya, pemakai purdah akan terus dianggap sebagai golongan yang baiknya bukan di tahap biasa-biasa. Baiknya itu di tahap yang luar biasa. Apabila sesuatu yang baiknya luar biasa kita gandingkan dengan adegan jahiliah seumpama berdua-duaan ataupun berpegangan, maka ia akan mencetus suatu kejutan sensitiviti kepada semua orang.

Namun di sebalik semua itu, ternyata bilangan yang sekadar terkejut dan mengomen lebih banyak berkali ganda daripada golongan yang mahu mengajak atau mendidik.

Sunnahnya begitu. Golongan yang sedar akan tanggungjawab untuk mengajak, mendidik dan memberi faham adalah golongan yang sedikit. Jiwa mereka mahukan pencerahan, bukan pergolakan yang berpanjangan. Krisis jahil itu telah sekian lama menjadi barah yang sunyi dari rawatan.

Purdah = Ustazah

Berpurdah atau berniqab, secara mudah akan dilabel sebagai ustazah.

Fikiran sebegini, dianggap betul pada sebahagian orang dan itulah yang mereka pegang zaman berzaman. Orang yang menganggap pernyataan ini betul, adalah orang-orang awam yang menilai segala perkara melalui zahiriah semata-mata. Seorang ustaz mesti pakai kopiah. Siapa yang selalu pakai serban, dia adalah ustaz. Siapa yang selalu pakai tudung labuh, dia adalah ustazah.

Sedang hakikatnya tidak begitu. Ustaz atau ustazah, boleh saja dilabel kepada sesiapa sahaja, apatah lagi jika yang dinilai hanyalah pakaian. Walhal, label itu tidak ada kena mengena dengan soal pakaian secara khusus. Ia berkait rapat dengan soal warak, zuhud, alim dan bijaksana pada seseorang. Semestinya, kemahiran dalam bidang agama adalah teras kepada kelayakan seseorang berada di tempat ustaz atau ustazah. Itu secara hakikat bukan semata-mata persepsi atau gelaran.

Namun perlu diingat. Mahu atau tidak, kita harus terima bahawa dalam masyarakat kita tidak semuanya mempunyai kefahaman agama yang baik. Masih ramai yang jahil dan tak kurang juga yang berlagak tahu – enggan mengaku jahil.

Maka kalau anda ingin memakai purdah atau niqab, sila ambil kira juga kefahaman masyarakat dalam menilai diri anda.

Fenomena Niqobis

Di alam maya ini, lewat aktiviti berfacebook ataupun berblogwalking, secara jujurnya saya melihat semakin ramai wanita yang memakai purdah atau niqab. Tak kurang juga yang menjadikan purdah dan niqab itu sebagai identiti mereka.

Apabila diperhati kepada apa yang dicatat di blog-blog mereka, semuanya cenderung mengajak pembaca kepada nilai ‘ubudiyyah kita kepada Allah. Banyak ayat-ayat tazkirah, firman dan sabda serta tidak kurang juga artikel-artikel agama yang disalin dari pelbagai sumber.

Sekali imbas, saya yakin jiwa mereka sangat lunak dengan agama.

Tetapi suatu keanehan yang paling ketara adalah sebahagian mereka mempunyai tabiat tidak sihat yang sangat bertentangan dengan sunnah berpurdah itu sendiri. Ini mencetus suatu kepelikan yang tidak kunjung sudah di hati saya. Dalam hal ini, saya mempunyai beberapa pendapat :

Pertama : berpurdah itu khilaf antara wajib ataupun sunat. Ada yang menganggap sebagai wajib maka dia mengharamkan wajahnya dari ditatap, dengan meyakini bahawa wajahnya itu juga adalah aurat seumpama rambut dan tangan. Manakala yang menganggapnya sebagai sunat, memakainya sebagai suatu alternatif menzahirkan komitmen ‘ubudiyyahnya kepada Allah. Golongan ini memakai purdah di tempat tertentu dan membukanya di tempat yang lain. Pada saya, selagi mana dianggap sunat maka tidaklah menjadi masalah. Cuma dari sudut istiqamah, ia kelihatan sedikit cacat.

Kedua : berpurdah itu suatu tahap yang hanya boleh dicapai selepas selesai tahap asas terlebih dahulu. Berpurdah itu umpama mengupgrade diri ke peringkat yang lebih baik. Tahap asas yang dimaksudkan itu adalah menutup aurat dengan sempurna, menjauhkan diri dari budaya tabarruj (berhias diri dan menarik perhatian lelaki ajnabi) serta mempraktikkan nilai-nilai akhlak seorang muslimah di dalam diri sendiri. Kesemua itu adalah perkara wajib yang telah disepakati dan bukan merupakan perkara khilafiah. Adapun berpurdah, tidak sampai ke tahap itu. Mudahnya, anda tidak boleh memakai baju lengan sekerat kemudian memakai purdah. Sebaliknya anda haruslah berpakaian menutup aurat dengan sempurna terlebih dahulu, barulah anda menambah dengan memakai purdah.

Ketiga : Tujuan memakai purdah bukanlah supaya diri anda tidak dikenali. Ia bukan soal ‘hadang muka’. Tujuannya adalah untuk mengelakkan anda dari menjadi perhatian lelaki ajnabi ataupun menimbulkan fitnah kepada mereka. Atas kesedaran ini anda memakai purdah demi menjaga maruah dan agama anda. Selaras dengan tindakan ini, anda tentunya akan sedaya upaya mengelakkan diri anda dari menjadi tatapan orang ramai, lebih-lebih lagi di alam maya. Adalah sesuatu yang aneh jika anda memakai purdah tetapi mengambil gambar sendiri dalam jarak yang cukup dekat kemudian diletakkan di facebook ataupun blog dengan saiz yang begitu besar!

JAHIL

Itulah namanya simptom dari kejahilan. Jahil dari awal-awal mengorak langkah lagi, iaitu untuk apa anda memakai purdah? Ini kerana yang membezakan antara dua wanita yang memakai purdah adalah iman dan kefahaman mereka. Sedangkan kain sehelai itu bukankah neraca penentu taqwa ataupun tidak.

Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan ‘mahal’. Ada yang memakai purdah kerana mahu menyorok kelemahan tertentu. Ada yang memakai purdah kerana mahu kelihatan lebih cantik atau mahu bergaya. Ada yang obses dengan trend dan fesyen. Ada yang obses dengan watak dalam filem atau drama ‘cinta Islamik’. Dan ada juga yang benar-benar memakai purdah kerana mengharapkan keredhaan Allah.

Nah. Sekarang anda di posisi yang mana?

‘Niqobis’ Alam Maya

Secara zahirnya, ada tiga kepelikan ketara yang sering saya lihat pada niqobis yang aktif di alam maya :

1- Bergambar.

Bergambar dalam jarak jauh dan jika tersiar pun, dalam saiz yang kecil pada saya tidaklah menjadi masalah. Jika jarak jauh dan saiz kepala pula hanya sebesar kepala mancis, tiada siapa yang akan tertarik. Yang kenal pun, tentulah kenalan rapat sendiri sahaja. Tetapi jika diletak dengan sebesar-besarnya, sehingga begitu jelas bulu mata yang lentik dengan sekeliling mata berhias celak, itu jelas sekali bertentangan dengan objektif memakai purdah itu sendiri. Meskipun hanya mata yang kelihatan, tetapi jika sejelas itu terpampang, sudah tentu bisa jua mencairkan hati anak adam. Anda sedang meletakkan magnet yang menarik fitnah. Apakah anda fikir jelingan mata anda itu bebas daripada virus fitnah wanita yang disabdakan oleh Nabi s.a.w ..?

2- Tabarruj

Ada beberapa ciri asas dalam tabarruj, antaranya adalah jenis pakaian yang boleh menarik perhatian lelaki ajnabi dan memakai bau-bauan yang kuat. Ramai niqobis yang seolah keliru dengan diri sendiri. Asalnya memakai purdah dan berbaju labuh untuk mengelak dari menarik perhatian atau menimbulkan fitnah, tetapi lama kelamaan seolah mengambil kesempatan pula ke atas pakaian labuh dan purdah. Daripada satu warna, menjadi banyak warna. Daripada kosong semata, jadi berhias pelbagai manik berkelipan pula. Sudahnya, makin lama makin pelik. Lebih pelik, tangkap gambar banyak-banyak dan masukkan dalam blog secara bersiri. Untuk apa?

3- Mendedahkan aurat

Sudah banyak dijelaskan di sana sini, bahawa menutup aurat itu bukan bermakna menutup rambut. Ada beza yang besar antara keduanya. Jika anda mahu ikut kefahaman sendiri, anda boleh tutup rambut dengan scarf sahaja. Tetapi jika anda mahu ikut Islam, anda wajib menutup seluruh rambut dengan melabuhkan tudung ke bahagian dada, serta memakai baju yang labuh dan tidak menampakkan bentuk badan. Barulah anda diiktiraf sebagai menutup aurat. Yang akan mengiktiraf itu adalah Allah, bukannya manusia. Tetapi saya lihat, ramai niqobis yang tidak mengupgrade disiplin pemakaian mereka sesuai dengan tuntutan syarak, sebaliknya menambah sehelai kain untuk menutup sebahagian muka pula. Ini pelik.

Dengan tabiat yang suka memakai t-shirt dan seluar jeans, dia menambah sehelai kain di muka lalu memanggil dirinya sebagai wanita berpurdah. Ini gharib. Ada juga yang bertudung silang ( tidak dilabuhkan ke dada ) tetapi memakai purdah. Ini juga gharib.

Dalam kesemua yang saya lihat dan perhatikan, saya fikir, sesiapa yang mahu memakai purdah, perlulah berhati-hati. Kenapa?

Pertama : Anda malu dengan manusia. Di dunia ini pun anda sudah merasa malu, kerana anda dilihat sebagai jahil dan aneh. Memakai serban tetapi berseluar pendek, ibaratnya begitu.

Kedua : Di akhirat kelak, anda akan ditanya oleh Allah atas apa yang anda pakai di dunia. Tidak cukup bab tidak menutup aurat dengan sempurna, ditambah pula dengan bab mengapa memakai sehelai kain di muka sedangkan perintah menutup aurat diabaikan. Dari satu hal bertambah jadi dua hal semata-mata kerana anda gatal tangan mahu memakai purdah tanpa terlebih dahulu menjelaskan niat kerana Allah. Itu cari penyakit namanya.

Justeru, sila berhati-hati jika ingin memakai purdah. Apabila anda meletakkan diri anda di tahap itu, maka mahu atau tidak, anda perlu menjadi sepertimana orang yang berada di tahap itu. Baik dari segi perkataan, perbuatan mahupun pemakaian. Sebenarnya, semua itu tidak akan membebankan anda pun jika anda benar-benar ikhlas memakai purdah. Tetapi jika sebaliknya, kekallah anda dalam ‘azab’ kegelisahan yang berpanjangan.

Fikir-fikirkanlah.


والله المستعان

لا عزة إلا بالإسلام