Amalan dan Syiar Kristian




Sebagaimana yang telah disentuh dalam perbincangan yang lepas bahawa ajaran Nabi Isa a.s. adalah lanjutan daripada syariat Nabi Musa yang dianuti oleh umat Bani Israel. Lantaran itu kitab Taurat dan kitab-kitab suci Nabi terdahulu dianggap sebagai sebahagian daripada kitab suci bagi umat Kristian. Doktrin ‘Sepuluh Rukun’ yang termaktub dalam kitab Taurat terus diamalkan oleh Nabi Isa a.s. dan pengikut-pengikutnya.

Di peringkat awal kemunculan Nabi Isa a.s., iaitu dalam zaman Isa hingga sekitar 22 tahun peninggalan beliau, pengikut Isa berpegang pada syariat agama yang dibawa oleh nabi-nabi sebelumnya kerana kedatangan Isa a.s. tidak membawa syariat baru bagi menggantikan syariat lama, selain menyeru umat Bani Israel pada toleransi, penyucian jiwa dan zuhud. Tidak ada kenyataan bahawa beliau mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya mendirikan rumah-rumah ibadat yang berasingan, bahkan menyeru supaya rumah-rumah ibadat Yahudi yang sedia ada itu dibersihkan daripada kemungkaran, bid’ah dan penyelewengan yang dilakukan oleh rahib-rahib Yahudi pada waktu itu.

Di sini dapat difahami bahawa jika Nabi Isa a.s. membawa syariat baru yang asing daripada syariat terdahulu, sudah tentu beliau mendirikan rumah ibadat yang berasingan, kerana rumah-rumah ibadat yang sedia ada itu merupakan rumah ibadat agama Yahudi. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. sebaik sahaja tiba di Madinah, baginda memulakan rancangan pertamanya dengan membina masjid untuk dijadikan markas pergerakan bagi perkembangan Islam.

Selepas tempoh masa yang tersebut di atas, maka bermulalah era baru dalam agama Kristian yang berbeza daripada syariat sebelumnya. Hukum-hukum baru yang diwujudkan antaranya termasuklah menghadkan perbuatan haram kepada empat jenis sahaja iaitu zina, memakan haiwan yang dicekik, memakan darah dan memakan haiwan yang disembelih atas nama berhala. Hukum wajib berkhatan yang dipusakai daripada syariat Nabi Ibrahim dihapuskan dengan alasan bahawa amalan tersebut boleh menyebabkan orang (bukan Yahudi) enggan memeluk agama Kristian.

Selain itu, minuman keras, riba, daging babi dan lain-lain yang haram hukumnya dalam kitab Perjanjian Lama telah dihalalkan oleh orang Kristian selepas Isa a.s. dengan mendakwa bahawa mereka mendapat ilham daripada Ruhulkudus yang turun dan menampakkan diri sebagaimana ia turun kepada nabi-nabi. Patriarch Konstantinopel pernah menyarankan kepada Kaisar Constantine supaya menghidangkan daging babi kepada orang-orang Yahudi yang memeluk agama Kristian untuk menguji adakah mereka memeluk agama itu dengan kerelaan hati atau cuma berpura-pura kerana takut akan penindasan Constantine. Jika mereka enggan memakannya bererti mereka berpura-pura sahaja memeluk agama Kristian, sedangkan hati mereka patuh pada ajaran Yahudi yang mengharamkan babi.

Pada mulanya Constantine enggan menerima saranan Patriarch kerana perbuatan itu mencabul hukum Taurat yang menjadi kitab suci agama Kristian juga, tetapi akhirnya dia menerima dan melaksanakannya setelah berpuas hati dengan dalil yang dikemukakan Patriarch yang dipetik daripada nas Injil Matius yang berbunyi:

“Bukanlah sesuatu yang masuk ke dalam mulut itu menajiskan orang, tetapi sesuatu yang keluar dari mulut itulah yang menajiskan orang”
(Matius 15:11)

Hukum Kekeluargaan

Dalam soal hukum kekeluargaan, agama Kristian menetapkan seorang lelaki tidak boleh berkahwin lebih daripada seorang perempuan dan perceraian adalah haram, kecuali berlakunya zina. Perceraian yang berpunca daripada zina menyebabkan seseorang itu tidak boleh berkahwin lagi dengan orang lain kerana perkahwinan itu dianggap zina juga. Tetapi jika perceraian disebabkan kematian suami atau isteri, maka yang hidup itu boleh berkahwin lagi.

Selain itu, perceraian dibolehkan jika salah seorang daripada suami atau isteri murtad dengan syarat suasana rumah tangga mereka tidak bersefahaman lagi. Sebaliknya, jika mereka dapat hidup aman damai, maka perkahwinan itu hendaklah diteruskan dan sah hukumnya, kerana salah seorang yang kekal dalam agama Kristian itu dianggap boleh menyucikan pasangannya yang murtad. Begitu juga dengan anak yang dilahirkan semasa dalam keadaan tersebut adalah suci hukumnya.

Sistem monogami dan mengharamkan perceraian dalam agama Kristian berlawanan dengan syariat Nabi Musa yang menghalalkan poligami serta mengharuskan perceraian yang telah diamal sejak turun temurun oleh umat Bani Israel. Bahkan doktrin Kristian menganggap bahawa hidup tanpa berkahwin adalah lebih baik, kerana menurut Paulus, dia sendiri lebih suka hidup dalam keadaan demikian. Oleh sebab itulah ramai pendeta rohaniah Kristian yang tinggal di gereja hidup membujang sepanjang hayat sebagaimana sami-sami Buddha.

Dalam masyarakat Kristian yang mengamalkan monogami seperti di dunia Barat, didapati timbul kepincangan sosial yang hebat dan sukar dibendung oleh kuasa undang-undang, iaitu perempuan simpanan dan zina. Akibatnya, lahirlah anak-anak luar nikah yang kian meningkat sehingga menimbulkan masalah kepada pemerintah dan masyarakat Kristian sendiri.

Tentunya semua orang dapat membayangkan betapa malangnya nasib wanita yang menjadi perempuan simpanan dan anak-anak yang dilahirkan tanpa bapa yang sah kerana mereka tidak mendapat perlindungan undang-undang dan hukum seperti yang dinikmati oleh anak-anak serta isteri-isteri yang sah. Oleh sebab itulah ramai wanita Kristian Barat yang berpendapat bahawa mereka lebih rela dimadukan daripada menjadi perempuan simpanan tanpa nikah yang dihina oleh masyarakat, dikutuk oleh agama dan diketepikan oleh undang-undang, demi untuk menjamin masa depan diri mereka serta anak-anak mereka.

Ibadat Sembahyang dan Puasa

Umat Kristian mengenal dua jenis ibadat sahaja, iaitu sembahyang (doa) dan puasa. Kedua-dua ibadat ini bukan merupakan tuntutan yang wajib (fardhu), bahkan sunat sahaja. Walaupun begitu, sembahyang merupakan tiang agama yang boleh mendekatkan diri kepada Tuhan melalui perantaraan Isa. Terdapat dua syarat penting yang menentukan sembahyang benar-benar bererti, iaitu:

  1. Sembahyang hendaklah ditunaikan atas nama Isa.
  2. Hendaklah sembahyang itu didahului dengan iman yang sempurna.

Sembahyang tidak ditentukan bilangannya dan tidak ditetapkan waktunya tetapi terpulanglah kepada kemahuan masing-masing. Ini bermakna sembahyang boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa mengira waktu. Begitu juga sembahyang tidak mempunyai tertib yang tertentu, cuma berupa doa sahaja dan boleh dipilih menurut kemahuan masing-masing. Antara contoh bacaan sembahyang adalah seperti berikut:

“Wahai Bapa, dipermuliakanlah kiranya nama-Mu, datanglah kerajaan-Mu. Berikanlah kami tiap-tiap hari makanan kami yang mencukupi untuk sehari, dan ampunkanlah kiranya segala dosa kami, kerana kami jua memaaf setiap mereka yang melakukan kesalahan terhadap kami, dan janganlah membawa kami kepada percubaan.”
Selain sembahyang bersendirian di rumah-rumah, orang-orang Kristian juga mengadakan sembahyang mingguan di gereja-gereja secara berjemaah pada hari Ahad. Bagi penganut-penganut aliran ‘Seven Day Adventist’, mereka mengadakan upacara tersebut pada hari Sabtu, iaitu mengikut hari minggu orang-orang Yahudi. Upacara di gereja berupa nyanyian pujaan beramai-ramai, bacaan khutbah, doa dan sembahyang dengan dipimpin oleh paderi. Lambang Salib dipasang di bahagian hadapan gereja bagi tujuan untuk memusatkan perhatian para ahli jemaah semasa mengerjakan sembahyang.

Ibadat puasa pula dilakukan mulai waktu pagi hingga selepas tengahari. Makanan yang boleh dimakan ialah sayur-sayuran yang tidak dimasak lemak. Makanan daripada jenis haiwan atau yang berasaskan haiwan tidak boleh dimakan dalam masa ini. Dalam agama Kristian terdapat banyak amalan puasa, seperti puasa pada hari Rabu kerana mengambil sempena hari pakatan jahat untuk membunuh Nabi Isa a.s. sehingga beliau tertangkap, puasa pada hari Jumaat bersempena dengan hari Isa disalib, puasa 45 hari yang terakhir dengan perayaan Kristmas, puasa suci selama 55 hari, iaitu mengambil sempena puasa Isa selama 40 hari dan ditambah dua minggu lagi, iaitu satu minggu sebelum dan satu minggu selepasnya.

Santapan Suci

Santapan Suci atau Santapan Malam Ketuhanan adalah satu upacara tahunan yang diadakan oleh penganut-penganut Kristian untuk memperingati kematian Isa kerana menebus dosa manusia. Menurut kepercayaan Kristian, Santapan Suci ini menggambarkan santapan malam Nabi Isa untuk kali terakhir dengan sahabat-sahabatnya sejurus sebelum beliau ditangkap; beliau membahagi-bahagikan roti dan minuman air anggur kepada mereka sambil berkata:

“Ambillah, makanlah, inilah tubuhku.” Ketika membahagi-bahagikan minuman beliau berkata: “Inilah darahku, iaitu darah perjanjian baru yang ditumpahkan untuk orang ramai.”
(Markus 14:22-23)

Surat Paulus I kepada orang Korintus ada menerangkan hal ini katanya:
“…sesungguhnya Tuhan Isa pada malam dia diserahkan telah mengambil roti dan mengucap syukur lalu memecah-mecahkannya sambil berkata: “Ambil olehmu dan makanlah. Inilah tubuhku yang hancur kerana kamu. Buatlah ini sebagai peringatan.” Begitu juga cawan minuman, selepas makan seraya berkata: “ Cawan minuman ini adalah perjanjian baru dengan darahku. Lakukanlah ini setiap kali kamu minum sebagai kenangan untukku. Maka sesungguhnya setiap kali kamu memakan roti ini dan meminum dari cawan ini, kamu memberitakan tentang kematian Tuhan, sehingga dia datang kembali.”
(Korintus 11:23-26)

Dengan berpegang kepada nas-nas yang tersebut di atas, umat Kristian mengadakan upacara santapan suci setiap tahun dengan menghidang roti dan arak yang melambangkan daging dan darah Nabi Isa. Mereka makan beramai-ramai dengan kepercayaan bahawa roti yang dimakan itu bertukar menjadi daging Isa a.s. dan arak yang diminum bertukar menjadi darahnya. Dengan berbuat demikian bererti mereka telah memasukkan Isa al-Maseh ke dalam tubuh mereka dan bercampur baur dengannya serta ajarannya. Selain itu, santapan suci ini juga sebagai meraikan harapan kedatangan semula Nabi Isa ke dunia ini yang menjadi impian seluruh umat Kristian. Jadi upacara tersebut merupakan kenangan terhadap dua peristiwa, iaitu peristiwa pada zaman lampau dan peristiwa yang akan datang.

Dari manakah asal istiadat ini? Sebenarnya istiadat ini asalnya daripada tradisi orang-orang Yahudi dan dirayakan untuk memperingati peristiwa penghijrahan beramai-ramai bangsa Yahudi dari bumi Mesir pada zaman pemerintahan Fir’aun dengan diketuai oleh Nabi Musa a.s. Untuk mengenangkan peristiwa bersejarah itu, mereka mengadakan upacara jamuan keagamaan yang dinamakan Perjamuan Paskah. Manakala makanan yang disajikan ialah roti dan air anggur dan sajian-sajian lain yang pahit. Walau bagaimanapun, upacara ini bukanlah dianggap wajib, tidak sebagaimana orang Kristian yang menganggapnya sabagai satu amalan yang wajib.

Amalan tersebut dimasukkan dalam ajaran Kristian dengan bersandarkan pendapat Paulus sebagaimana suratnya kepada orang-orang Korintus yang disentuh sebelum ini.

Mandi Suci (Baptis)

Baptis adalah satu upacara penyucian dosa yang menjadi salah satu ibadat asasi dalam agama Kristian. Amalan ini dilakukan terhadap semua penganut Kristian termasuk orang yang mula memeluk agama itu sebagai tanda pengakuan iman dan kesetiaan mereka kepada ajaran Kristian. Amalan ini sama seperti mengucap dua kalimah syahadah dalam Islam atau berkhatan dalam agama Yahudi yang wajib dilaksanakan oleh orang yang hendak memeluk agama tersebut.

Walaupun paderi-paderi Kristian sepakat tentang wajibnya baptis, tetapi mereka berselisih pendapat tentang masa seseorang itu wajib dibaptis. Ada yang berpendapat bahawa baptis hendaklah dilakukan sewaktu masih kecil lagi, ada yang berpendapat bahawa hai itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang hayatnya dan ada pula yang mengatakan bahawa upacara itu dilakukan sewaktu seseorang itu dalam keadaan sakit tenat yang membawa maut. Upacara ini hendaklah dilakukan oleh seorang paderi dan tidak boleh dilakukan oleh orang lain, kecuali dalam keadaan darurat.

Terdapat berbagai-baggai cara baptis, seperti menyiram air ke kening, merendam salah satu bahagian badan ke dalam air atau yang lazimnya merendam seluruh badan ke dalam air. Upacara wajib ini dilakukan atas nama Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Ruhulkudus untuk menyucikan jiwa daripada kekotoran dosa. Amalan baptis ini bukanlah suatu perkara baru, bahkan telah diwajibkan dalam agama Yahudi dan agama-agama kuno yang lain.

Menurut riwayat, Isa a.s. sendiri telah dibaptis di Sungai Jordan oleh Nabi Yahya yang dikenal juga sebagai “Yahya Pembaptis”. Tujuan baptis dalam agama Yahudi sama juga dengan kepercayaan Kristian, iaitu untuk menyucikan diri daripada dosa serta kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh seseorang. Walaupun begitu, baptis dalam agama Kristian mempunyai hikmat yang tersendiri, iaitu pembasuhan dengan air atas nama Tuhan Triniti untuk menyucikan jiwa (roh) daripada kekotoran dosa dengan darah Isa al-Maseh.

Penyucian Salib

Salib adalah sejenis kayu palang yang digunakan oleh pemerintah pada zaman lampau sebagai alat untuk menghukum pesalah yang dikenakan hukuman mati. Pada zaman pemerintahan Rom, seseorang yang dijatuhkan hukuman salib dikehendaki memikul kayu palang itu setiap hari sebelum hukuman tersebut dijalankan untuk menggerunkan orang lain agar mereka tidak mencuba melakukan jenayah yang dilarang oleh pemerintah. Lazimnya hukuman itu dilakukan di bukit dan orang yang disalib akan menderita sekian lama sehingga dia menemui ajal akibat penderitaan yang dialami oleh tubuhnya itu. Jika pesalah itu lambat mati, maka kedua-dua belah kakinya akan dipatah-patahkan supaya dia cepat mati.

Mengapakah lambang salib dijadikan simbol suci di kalangan orang-orang Kristian sehingga mendapat tempat di gereja-gereja dan dipakai sebagai perhiasan oleh lelaki dan wanita Kristian? Sebenarnya simbol tersebut mempunyai kaitan langsung dengan kepercayaan orang-orang Kristian berhubung dengan pembunuhan Nabi Isa di tangan Pilatus, gabenor Palestin atas desakan dan fitnah orang-orang Yahudi. Peristiwa penyaliban Isa telah menjadi sejarah penting bagi penganut-penganut agama Kristian kerana dengan berlakunya peristiwa itu maka sempurnalah maksud kedatangan Anak Allah itu, iaitu untuk menebus dosa manusia dengan merelakan dirinya menjadi korban di kayu salib. Dengan itu maka wajarlah salib dijadikan lambang suci bagi agama Kristian.

Menurut kitab suci Kristian, Isa sendiri yang menyuruh mereka menghormati salib sebagaimana yang disebut dalam Injil:

Dan katanya kepada orang ramai: “jika seseorang itu ingin mengikutku, dia hendaklah menyangkali dirinya dan menanggung salibnya tiap-tiap hari dan mengikut aku.”
(Lukas 9:23)

Jadi dengan berlandaskan dalil tersebut, maka membawa salib menjadi lambang mengingkari diri dan sedia mengikuti jejak langkah Isa al-Maseh. Maksud mengingkari diri di sini ialah mengetepikan kemahuan nafsu, membunuh sikap keakuan (egoisme) dan sikap mementingkan diri sendiri yang berintikan nafsu jahat, rela menempuh penderitaan agar seseorang itu dapat menumpukan kesetiaannya kepada al-Maseh. Inilah antara falsafah mengenai penyucian salib menurut Paderi Ibrahim Said.

Persoalan yang timbul ialah mengapa gereja mengarahkan supaya menyucikan salib yang diperbuat daripada kayu atau logam, sedangkan gereja menentang pengagungan terhadap berhala-berhala yang dicipta oleh tangan manusia? Jika jawapannya bahawa penyucian terhadap salib cuma sebagai lambang sahaja, maka jawapan itu samalah dengan yang diberi oleh penganut agama berhala bahawa pemujaan mereka terhadap berhala cuma sebagai lambang sahaja. Jika amalan memuja berhala sudah termasuk dalam perbuatan syirik, maka adakah amalan menyucikan (memuliakan) salib tidak boleh dianggap syirik atau sekurang-kurangnya hampir syirik?

Kesimpulannya, ajaran Kristian amatlah terbatas dan tidak dapat memenuhi keperluan yang sepatutnya ada pada sesebuah agama yang mempunyai pengaruh besar. Dalam Kristian tidak ada peraturan-peraturan mengenai muamalat, pemerintahan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan urusan keduniaan seperti yang terdapat dalam syariat Islam. Lebih tepat jika dikatakan bahawa agama Kristian cuma menekankan soal-soal rahaniah sahaja dan mengabaikan aspek-aspek lahiriah. Oleh itu, kemajuan lahiriah yang dicapai oleh umat Kristian bukanlah kerana anjuran agama mereka kerana ajaran Kristian tidak menyumbang ke arah itu, tetapi mereka digerakkan oleh kesedaran yang berpunca daripada sumbangan luar seperi yang banyak diperkatakan oleh sejarah.

1 comment:

  1. The best bets for NFL Week 14: My picks for Sunday
    Get your free NFL picks for Sunday in full and detailed fashion here micro touch titanium trim at titanium rings Sporting100. titanium dioxide We give you free NFL 토토 사이트 홍보 predictions is titanium expensive and picks for every game this week.

    ReplyDelete