Kekeliruan dalam Agama Kristian


Pengkajian terhadap agama Kristian, baik dalam apa jua sudut, akan menempuh liku-liku yang runcing, bersimpang siur dan amat menyulitkan. Semakin jauh kajian dibuat, semakin terasa kekaburannya dan semakin pudar jalan penyelesaiannya. Walau bagaimanapun, bagi orang Kristian yang memang telah diasuh supaya menerima agama Kristian secara taklid seperti yang ada sekarang, amat sukar untuk mengakui kenyataan yang wujud dalam doktrin Kristian sekalipun hati kecil mereka menyedari hakikat yang sebenarnya.

Di kalangan penganut Kristian yang mendokong prinsip rasionalisme dalam disiplin keilmuan (yang mana mereka amat cermat dalam menerima satu-satu teori ilmu supaya ilmu yang berpijak di bumi rasional sahaja diperakui), mereka langsung mengetepikan prinsip tersebut apabila menghalakan pandangan dan pemikiran terhadap agama mereka, seolah-olah tidak boleh dipakai terhadap persoalan agama. Sikap demikian sebenarnya menjejaskan imej mereka sendiri pada penilaian masyarakat dunia kerana cara mereka berfikir dalam bidang-bidang yang lain jauh lebih maju ke depan, tetapi dalam bidang agama yang merupakan paksi kehidupan, akal mereka terpaksa tunduk mengalah pada tradisi semata-mata dan menolak rasional.

Namun demikian, terdapat juga cerdik pandai Kristian Barat yang berani memperkatakan kekeliruan dalam agama mereka, terutama sarjana-sarjana yang jujur terhadap kajian mereka dan ingin mencari kebenaran tanpa tunduk pada fahaman kefanatikan sebagaimana yang dipegang oleh sebilangan besar umat Kristian. Berikut ini dipaparkan sebilangan kecil daripada kekeliruan dalam agama Kristian untuk renungan.

Kekeliruan Mengenai Akidah Ketuhanan

Akidah ketuhanan menjadi teras dalam semua agama, baik agama wahyu mahupun agama budaya (ciptaan manusia). Lazimnya kepercayaan kepada Tuhan tidak menjadi bahan polemik di kalangan penganut satu-satu agama tertentu kerana soal tersebut diselesaikan awal-awal lagi oleh pembawa atau mengasas agama berkenaan supaya penganut-penganutnya tidak keliru mengenainya.

Dalam agama Kristian, keadaan berlaku sebaliknya dan perbahasan mengenai soal ketuhanan berlarutan sampai berabad lamanya sehingga mencetuskan sengketa di kalangan penganut Kristian selepas campur tangan Paulus dalam menentukan dan mencorakkan Kristian sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini. Sebagai kesannya, maka lahirlah akidah Trinity, iaitu pengakuan terhadap ketuhanan Isa dan Ruhul Kudus di samping Allah yang digelar Tuhan Bapa.

Walaupun kepercayaan seumpama itu dikira syirik kerana menyekutukan Allah mengikut takrif agama tauhid, namun orang-orang Kristian menolak dakwaan tersebut dengan mengatakan bahawa mereka juga mengakui Tuhan yang satu, tetapi mempunyai tiga oknum. Menurut mereka, zat Tuhan tidak dapat dibahagikan kepada tiga melainkan satu jua. Demikian juga tiga oknum Tuhan itu tidak dapat dipisahkan daripada zat-Nya.

Untuk memahami maksud tersebut, mereka membuat bandingan dengan berbagai-bagai jenis makhluk, seperti matahari yang tersusun daripada tiga unsur, iaitu panas, cahaya dan warna. 'Ruang' juga mempunyai tiga ukuran, iaitu tinggi, panjang dan lebar. Manusia juga terdiri daripada tiga unsur, iaitu badan, roh dan perasaan. Tiga unsur tersebut terkandung dalam satu benda, iaitu matahari, ruang dan manusia. Demikianlah contoh-contoh yang dikemukakan oleh orang Kristian untuk menggambarkan konsep tiga oknum dalam taklid mereka mengenai Tuhan.

Persoalan yang berbangkit di sini ialah sejauh mana kukuhnya dalil atau bukti yang menunjukkan bahawa Isa dan Ruhul Kudus itu sebahagian daripada Tuhan? Jawapan bagi soalan tersebut dapat dilihat dalam Injil Yahya 1 fasal 5 ayat 7 yang berbunyi:

"Maka sesungguhnya yang menjadi saksi di syurga adalah tiga, iaitu Bapa, Kalam dan Ruhul Kudus, dan ketiga-tiganya adalah satu."

Inilah dalil yang menunjukkan bahawa Tuhan mempunyai tiga oknum. Yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah Isa. Anehnya para pengkaji Barat sendiri mengatakan bahawa ayat tersebut sengaja ditambah kerana naskhah-naskhah Bible yang terdahulu tidak mengandungi ayat tersebut.
Justeru itulah, maka naskhah-naskhah terbaru seperti "The New Revised Edision" dan lain-lain tidak memasukkan ayat tersebut. Jadi, oleh kerana kebenaran yang menunjukkan tiga Tuhan itu diragui, bahkan ditolak, maka sepatutnya naskhah itu tidak layak lagi dijadikan hujah bagi menegakkan satu-satu hukum, lebih-lebih lagi jika menyentuh perkara-perkara pokok seperti soal ketuhanan dan sebagainya. Selain itu, terdapat banyak ayat dalam Bible yang menunjukkan bahawa Isa bukan Tuhan, tetapi makhluk. Perhatikan ayat-ayat yang berikut:

(i)
Dalam Matius 6:12 menyebut bahawa Isa berdoa kepada Tuhan agar mengampuni dosanya. Ini menunjukkan bahawa Isa adalah makhluk, bukan Tuhan, kerana Tuhan tidak berdosa. Wajarkah beliau yang dianggap sebagai Tuhan atau Anak Tuhan memohon keampunan kerana melakukan dosa?

(ii)
Menurut Injil Matius, dua hari sebelum hari Paskah, Isa telah meramalkan bahawa beliau akan diserahkan kepada musuh untuk disalib. Kata beliau:

"Kamu memang telah mengetahui bahawa dua hari lagi akan muncul hari Paskah dan anak manusia akan diserahkan untuk disalib."
(Fasal 26:2)

Jika Isa Anak Tuhan, mengapa beliau sendiri mengakui dirinya anak manusia?

(iii)
Dalam Injil Yahya 17:8 Isa sendiri menegaskan bahawa beliau bertugas menyampaikan firman Tuhan kepada manusia, supaya mereka beriman kepada-Nya, dan pada akhir ayat tersebut beliau mengakui sebagai 'Rasul Tuhan'.

(iv)
Isa sendiri pernah berkata bahawa apa yang disampaikan kepada orang ramai adalah atas kehendak Tuhan, bukan pandai-pandai dirinya sendiri. Kenyataan tersebut berbunyi:

"Aku sedikit pun tidak mampu melakukan dengan kehendakku sendiri. Bagaimana yang aku dengar, itulah yang aku hukumkan dan hukumanku adalah adil, kerana sesungguhnya aku tidak mencari kepentingan untuk diriku, malahan atas kehendak Bapa yang mengutusku."
(Yahya 5:30)

Ayat tersebut dengan jelas menerangkan Isa tidak lebih daripada seorang utusan Tuhan yang ditugaskan melaksanakan hukum yang diwahyukan kepadanya. Keadaan ini sama seperti Rasul-Rasul Tuhan yang sebelumnya yang dilantik dari kalangan manusia untuk menyampaikan ajaran agama kepada kaum bangsa mereka.

(v)
Dalam Injil Yahya 3:15 berbunyi:

"Dan tiada seorang pun naik ke syurga kecuali dia yang telah turun dari syurga, iaitu anak manusia yang berada di syurga."

Maksud anak manusia dalam ayat ini ialah Isa. Persoalannya, jika Isa anak Tuhan, mengapa Bible sendiri menyebut beliau anak manusia?

Pengakuan Isa sebagai manusia yang diutus Tuhan untuk menyampaikan ajaran yang benar kepada kaumnya tidak syak lagi bahawa beliau sebenarnya makhluk manusia, bukan anak Tuhan sebagaimana yang disangka oleh umat Kristian.

(vi)
Injil Yahya meriwayatkan kata-kata Isa:

"Janganlah kamu bekerja kerana makanan yang fana, melainkan makanan yang baqa, iaitu yang akan diberi kepadamu oleh anak manusia, kerana dialah yang dimeterai oleh Bapa, iaitu Allah."
(Yahya 6:27)
Pengakuan Isa

Mungkin kerana kejadian Isa yang luar biasa, iaitu tanpa bapa, menyebabkan beliau disifatkan sebagai Anak Tuhan. Jika itulah alasannya, maka tidak ada sebab mengapa orang seperti Malkisedik, iaitu raja di Salem tidak boleh dianggap anak Tuhan juga, sebab dia dilahirkan tanpa ibu bapa, tanpa salasilah dan tiada permulaan. Nampaknya kelahiran Malkisedik lebih ajaib daripada kejadian Isa sendiri. Kisash mengenai raja di Salem ini dipaparkan dalam Bible sendiri. Lihat Ibrani 7:13.

Kebolehan Isa menghidupkan orang mati juga menjadi salah satu faktor yang menyebabkan umat Kristian menganggap bahawa beliau Tuhan. Akan tetapi kebolehan seperti itu bukan khusus kepada Isa sahaja, malahan Nabi Ilyas juga mempunyai keistimewaan tersebut, sehingga jenazahnya yang sudah kaku di perut bumi masih mampu menghidupkan orang mati. Di sini siapakah yang lebih hebat, Isa atau Ilyas? Jika Ilyas yang lebih hebat, mengapa beliau tidak dianggap Tuhan? Atau adakah hal ini dongeng? Jika dongeng, bagaimana kisah dongeng ini boleh dimuatkan dalam kitab suci orang Kristian yang seluruh isi kandungannya dianggap wahyu Tuhan? Lihat "Kitab Raja-Raja Kedua" fasal 13 ayat 21.

Persoalan mengenai ketuhanan Ruhul Kudus juga menimbulkan kekeliruan yang hebat. Ini adalah kerana peranan Ruhul Kudus di kalangan manusia suci begitu ketara sekali, baik ia seorang Rasu atau bukan Rasul. Perihal Ruhul Kudus ini banyak disentuh dalam Bible sendiri. Sebagai contoh, isteri Zakaria, iaitu Elizabeth pernah diresapi Ruhul Kudus seperti yang diriwayatkan oleh Injil Lukas;

"Maka manakala Elizabeth mendengar ucapan dalam daripada Mariam, melonjaklah janin dalam kandungannya dan Elizabeth diselubungi Ruhul Kudus."
(Fasal 1:41)
Dalam "Kisah Perbuatan Rasul-Rasul" 5:32 ada menyebut:

"Dan kamilah saksi atas segala urusan ini dan juga Ruhul Kudus yang dikurniakan Allah kepada orang yang taat."

Kemudian perhatikan fasal 6 ayat 5 dalam Injil yang sama yang berbunyi:
"Maka perkataan ini disenangi oleh semua golongan, lalu mereka memilih Stephanus, seorang yang penuh dengan iman dan Ruhul Kudus, dan juga Philips, Prokhurus, Nikanor, Simon, Parmenus dan Nicholas iaitu seorang muallaf dari Antiochia."

Soalnya, siapakah Ruhul Kudus sehingga peranannya menonjol dalam pelbagai keadaan dan masa? Apakah benar ia roh Tuhan, atau cuma suatu makhluk ciptaan Tuhan yang diberi tugas tertentu oleh-Nya? Melihat kepada peranannya seperti yang dipaparkan dalam Bible sendiri, tidak ada alasan yang memungkinkan ia patut dianggap sebagai roh ketuhanan sebagaimana sangkaan umat Kristian, cuma sebagai makhluk suci yang mempunyai kedudukan serta tugas penting di sisi Tuhan.

Jika pemikiran ini dapat dibina kembali, maka ia bukan merupakan suatu perkara baru, kerana sebelum munculnya akidah ketuhanan Ruhul Kudus dalam agama Kristian, pengikut-pengikut Isa dari generasi permulaan tidak pernah mengenal Ruhul Kudus sebagai Tuhan. Pengangkatan taraf Ruhul Kudus sebagai Tuhan baru dibuat kira-kira dalam abad yang keempat Masehi menerusi Muktamar Konstantinopel Pertama yang berlangsung dalam tahun 381 Masehi. Hal tersebut diperkukuh oleh catatan sejarah sendiri yang mana selepas Muktamar Nicea (325 M) yang memutuskan ketuhanan al-Maseh, umat Kristian ketika itu dibiarkan dalam keadaan berselisih pendapat mengenai status Ruhul Kudus.

Satu golongan yang dipimpin oleh Gereja Alexandria berpegang pada tiga ketuhanan. Menurut mereka, yang berkuasa di bumi ini adalah tiga kekuatan, iaitu Pencipta Yang Pertama, Fikiran (Anak) dan Jiwa Umum (Ruhul Kudus). Golongan kedua yang dipimpin oleh beberapa orang pendeta yang diketuai oleh Macdonius mempercayai bahawa Ruhul Kudus bukan Tuhan, malahan ia adalah suatu makhluk yang dijadikan.

Perselisihan tersebut berlangsung selama beberapa ketika sehingga diadakan Muktamar Konstantinopel Pertama yang memutuskan bahawa Ruhul Kudus adalah Tuhan yang lahir daripada Tuhan Bapa. Kemudian dalam tahun 589 Masehi, satu keputusan baru mengenai Ruhul Kudus telah dibuat dalam Majlis Tulaitilah, iaitu Ruhul Kudus juga terpancar daripada Tuhan Anak, di samping Tuhan Bapa.

Walau bagaimanapun, Gereja Qibti di Mesir menolak keputusan tersebut dan berpegang pada keputusan bahawa Ruhul Kudus terbit daripada Tuhan Bapa sahaja. Demikianlah latar belakang peristiwa yang dilukis oleh sejarah mengenai ketuhanan Ruhul Kudus yang menjadi pegangan umat Kristian hari ini.

Kekeliruan Fakta dalam Bible



Penganut-penganut Kristian yakin bahawa seluruh isi Bible yang ada sekarang adalah wahyu Tuhan dan isinya tidak berubah sedikit pun. Kepercayaan ini berlandaskan jaminan Bible sendiri yang berbunyi:

"Seluruh kitab ini adalah daripada Allah dan berguna untuk pengajaran..."
(Timothius II Fasal 3:16)

Tetapi para penyelidik yang jujur dari kalangan orang Kristian sendiri sedar bahawa Bible yang ada sekarang telah diubah, ditokok tambah dan ada yang dibuang.

Sebagai contoh, dalam Bible naskhah King James "Markus" 15:39 berbunyi:

"Dan manakala ketua tentera itu yang berdiri tegak berhadapan dengannya melihat dia (Isa) menjerit sedemikian kemudian mati, maka katanya: "Benarlah orang ini Anak Allah.""

Tetapi "Lukas" (naskhah yang sama) menerangkan bahawa ketua tentera itu berkata; "... benarlah dia seorang yang baik". Lihat perbezaan ayat di mana Injil Markus menyebut 'Anak Allah' sedangkan 'Lukas' menyebut 'seorang yang baik'. Mana satu yang betul?

Begitu juga dalam Bible naskhah The Revised Standard Version menyebut:

"Dan ketua tentera itu telah berkata: Benarlah ini seorang anak Tuhan."

Maksud 'seorang Anak Tuhan' dalam ayat ini ialah seorang yang soleh menurut bahasa kiasan orang Yahudi, bukan anak Tuhan yang hakiki sebagaimana sangkaan orang Kristian.

Percanggahan dapat dilihat lagi dalam naskhah King James berbunyi:

"Inilah permulaan wasiat Isa Anak Tuhan."
(Markus 1:1)
Perkataan "Anak Tuhan" tidak terdapat dalam Bible naskhah terjemahan Dr. Schonfield. Bible tersebut menyebut: "Inilah permulaan wasiat Isa." Mungkinkan perkataan tersebut sengaja ditambah dalam naskhah King James, atau sengaja dibuang dalam naskhah terjemahan Schonfield? Kekeliruan ini mungkin dapat dilenyapkan jika dirujuk pada naskhah The Revised Standard Version yang menjelaskan kedudukan ayat tersebut. Menurut Bible tersebut perkataan "Anak Tuhan" tidak ada dalam naskhah-naskhah lama. Persoalannya, bagaimana perkataan tersebut boleh dimasukkan ke dalam kitab suci, sedangkan perkataan itu bukan firman Tuhan?

Dalam "Kisah Rasul-Rasul" naskhah King James, ayat berbunyi:

"... aku percaya bahawa Isa al-Maseh adalah Anak Allah."
(Fasal 8:37)

Ayat yang sama juga terdapat dalam naskhah Rheims (terbitan 1582) yang digunakan dengan rasmi oleh penganut Kristian mazhab Katholik, tetapi dalam naskhah terbaru yang bernama "The 1941 Confraternity Revision" keluaran golongan Katholik, ayat tersebut diletakkan dalam kurungan, kemudian di bawah halaman berkenaan dinyatakan bahawa ayat tersebut TIDAK terdapat dalam naskhah-naskhah yang ditulis tangan berbahasa Greek dan bahasa Latin yang lebih tua. Dalam Bible The Revised Standard Version, Schonfield's Translation, The New World Translation dan banyak lagi naskhah keluaran terkemudian tidak memasukkan ayat tersebut.

Percanggahan juga terdapat pada fakta yang sama dan dalam Bible yang sama. Sebagai bukti, lihat naskhah King James yang berbunyi:

"Dan orang yang melalui tempat itu mengejek-ngejeknya sambil menggeleng-gelang kepala. Mereka berkata: 'Wahai si peruntuh Haikal dan membangunkannya semula dalam masa tiga hari, lepaskanlah dirimu. Jika kamu Anak Allah, maka turunlah dari salib itu.'"
(Matius 27:39-40)

Tetapi dalam Injil Lukas (naskhah yang sama) berbunyi begini:

"Dan orang ramai berdiri memerhatinya. Dan begitu ketua-ketua yang ada bersama mereka mencacinya dengan berkata: 'Orang lain sudah diselamatkannya, sekarang biarlah dia melepaskan dirinya sendiri jika benar dia al-Maseh pilihan Tuhan.'"
(Lukas 23:35)

Kedua-dua Injil tersebut menerangkan bahawa sewaktu Isa disalib, orang ramai yang menjadi musuhnya lalu dihadapannya atau berhimpun dekat dengannya sambil mengejek-ngejeknya dengan mengeluarkan kata-kata kesat. Persoalannya, mengapa Matius meriwayatkan kata-kata kesat itu berbeza dengan apa yang diriwayatkan oleh Lukas, sedangkan kedua-duanya menceritakan perkara yang sama iaitu peristiwa penyaliban Isa?

 Sebenarnya percanggahan isi Bible sudah menjadi begitu ketara dan tidak ada cara lagi untuk mengatasinya. Mungkin kerana itulah menyebabkan ramai sarjana penyelidik tidak berminat meneruskan kajian mereka kerana dianggap membuang masa.

Benarkah Isa Rela Disalib


Seperti yang disentuh dalam perbincangan lepas, umat Kristian percaya bahawa kedatangan Isa adalah untuk menebus dosa warisan manusia dengan merelakan dirinya disalib. Beliau yang dianggap Anak Tuhan yang tunggal dikirim oleh Tuhan Bapa ke dunia untuk dikorbankan bagi menyelamatkan anak Adam daripada azab kerana kesalahan yang dilakukan oleh Adam dan Hawa (Eve) sewaktu di syurga dahulu.

Menurut seorang penulis Kristian, Alfred E. Garvie, hubungan Tuhan dengan manusia mungkin menjadi lemah atau terputus kerana dosa yang dilakukan oleh manusia. Untuk memulihkan semula hubungan itu, manusia seharusnya rela berkorban, iaitu mengorbankan diri mereka sendiri. Tetapi tiada seorang pun yang sanggup berbuat demikian, kecuali Isa Anak Tuhan yang dengan rela hati menawarkan dirinya sebagai perantaraan baik antara Tuhan mahupun manusia. Demikianlah falsafah pengorbanan untuk menebus dosa yang dilukiskan oleh Alfred dalam 'The Encyclopedia of Religion and Ethics".

Namun demikian, pendapat tersebut disanggah oleh Pendeta Paulus Ilyas al-Khauri dengan mengatakan bahawa idea tersebut sebenarnya dicipta oleh Paulus dengan kerjasama muridnya Lukas. Merekalah yang mempelopori gerakan diayah dalam usaha mengembangkan idea tersebut. Untuk itu, Paulus menyatakan dalam risalah-risalahnya dengan berbagai-bagai gaya bahasa tentang konsep belas kasihan Tuhan terhadap manusia, lalu ia mengutus anaknya yang tunggal itu untuk menebus dosa mereka di tiang salib.

Peristiwa berdarah yang dikatakan meragut nyawa Isa di tiang salib dipandang oleh umat Kristian sebagai pengorbanan suci yang mempunyai nilai keagamaan yang tinggi. Bible sendiri telah melukiskan tragedi yang menyayat hati itu dengan penuh kengerian sehingga boleh mencetuskan berbagai-bagai perasaan pilu, hiba dan kasihan terhadap diri Isa yang menjadi mangsa kekejaman musuhnya dan serentak dengan itu pula melahirkan rasa dendam, marah dan benci terhadap golongan yang melakukan kekejaman tersebut.

Persoalan yang timbul di sini, apakah benar Isa merelakan dirinya disalib untuk menebus dosa manusia? Jika benar, mengapa menurut Bible beliau begitu gementar, ketakutan dan tidak mengakui dirinya Isa sewaktu beliau ditangkap untuk disalib? Selepas beliau disalib di Bukit Golgota, maka mengapakan pada kira-kira pukul 3.00, beliau berseru dengan suara yang nyaring;

"Eli, Eli lama sabakhtani."
Ertinya: Wahai Tuhan, apakah sebabnya Engkau meninggalkan aku?

Bukankah itu seolah-olah mencerminkan beliau menyesal pada peristiwa yang sedang menimpa dirinya?

Menurut Bible, orang yang bertanggungjawab menyebabkan Isa tertangkap ialah Judas Iskariut. Judas dianggap pengkhianat kerana bersubahat dengan orang Yahudi yang memburu Isa. Akhirnya dia membunuh dirinya sendiri kerana menyesali kesilapannya menyerahkan Isa kepada musuh sehingga beliau dizalimi dan akhirnya dijatuhkan hukuman salib sampai mati. Mengapa pula Judas dianggap sebagai pengkhianat dan menyesali perbuatannya sampai tergamak memusnahkan dirinya sendiri? Kalau kedatangan Isa memang untuk disalib bagi menebus dosa manusia, maka Judas patut diberi penghormatan dan sanjungan yang tingga kerana membantu menjayakan usaha yang suci itu, bukan menganggapnya sebagai pengkhianat. Demikian juga Judas sendiri tidak patut kesal dan merasa bersalah atas perbuatannya menyerahkan Isa ke tangan Yahudi, bahkan sebaliknya, dia patut merasa bangga kerana dapat memberikan sumbangan pada usaha-usaha penyaliban yang penuh erti di sisi agama.

Di samping itu, umat Kristian seharusnya berterima kasih dan berhutang budi kepada orang-orang Yahudi atas kerjasama mereka melaksanakan tugas penyaliban. Mereka sepatutnya dianggap kawan yang setia, bukan musuh yang zalim kerana sudi menyempurnakan tugas suci itu. Oleh itu, peristiwa yang ngeri itu sepatutnya disambut dengan riang gembira, bukan dengan ratap tangis dan pilu kecewa seperti yang berlaku kepada pengikut-pengikut Isa ketika itu. Bahkan pada hari ini pun perasaan sedemikian terus menguasai jiwa orang-orang Kristian, terutama ketika mereka mendengar bacaan khutbah di geraja-gereja yang mengupas peristiwa tersebut untuk kenangan dan ingatan. Bukankah ini ganjil?

Seorang penulis bangsa Inggeris bernama George Sale mengulas kisah penyaliban Isa dengan mengemukakan pegangan beberapa mazhab Kristian yang wujud sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. Menurut pendapat tersebut, Isa sebenarnya tidak disalib, tetapi yang disalib ialah Simon dari kaum Cyrenian. Demikianlah menurut kepercayaan Mazhab Basilidian. Sebelum itu orang-orang Corinthian dan Carpocration juga tidak percaya bahawa Isa disalib, tetapi yang disalib sebagai ganti Isa ialah salah seorang pengikut Isa yang mempunyai bentuk dan rupa yang hampir menyerupai beliau.

Pendapat yang serupa juga telah diberi oleh seorang ahli sejarah bernama Photius yang memetik isi kandungan buku The Journey of the Apostles (Pengembaraan Pesuruh-Pesuruh Isa). Antara kandungan buku tersebut menerangkan bahawa Isa sebenarnya tidak disalib, sebaliknya yang disalib adalah orang lain sebagai gantinya.

Wujudnya perbezaan pendapat di kalangan golongan-golongan Kristian di sekitar peristiwa penyaliban Isa mencerminkan kebenaran peristiwa tersebut masih boleh dipertikai. Ini bererti apa yang dipaparkan dalam Bible sekarang tidak lebih sebagai pendapat satu golongan penganut Kristian yang percaya bahawa Isa disalib untuk menebus dosa manusia.

Masalah Dosa Warisan

Menurut kepercayaan orang-orang Kristian, semua manusia semenjak mula dilahirkan sudahpun memikul dosa warisan yang dipusakai daripada nenek moyang mereka, iaitu Adam dan Hawa. Oleh sebab itulah menurut tradisi Kristian, bayi yang baru dilahirkan dibawa ke gereja untuk dibaptis bagi maksud penyucian dosa.

Sebenarnya terdapat ayat-ayat dalam Bible yang menafikan dosa warisan. Hal ini meletakkan kepercayaan tersebut dalam keadaan yang meragukan. Perhatikan ayat-ayat yang berikut:

"Diri orang yang berbuat dosa juga akan mati. Anak tidak akan menanggung dosa bapanya dan bapa tidak akan menanggung dosa anak. Kebaikan orang yang baik tergantung atasnya dan kejahatan orang yang jahat tergantung atasnya."
(Yehezkiel 18:20)
Matius meriwayatkan kata-kata Isa yang berbunyi:

"... biarlah kanak-kanak itu datang kepadaku dan janganlah melarang mereka, kerana orang seperti merekalah yang mempunyai kerajaan syurga."
(Matius 19:14)
Ayat-ayat yang tersebut di atas menerangkan bahawa kesalahan atau dosa yang dilakukan oleh bapa tidak berjangkit kepada anak, begitu juga kesalahan atau dosa yang dilakukan oleh si anak tidak berpindah kepada si bapa. Orang yang berbuat baik akan dibalas baik dan orang yang melakukan kejahatan akan menanggung dosanya sendiri. Isa sendiri mengaku bahawa kanak-kanak suci daripada sebarang dosa (termasuk dosa warisan) dan mereka juga diberi masuk ke syurga Allah. Tidak syak lagi ayat-ayat dalam Bible sendiri menafikan konsep dosa warisan yang diperkenalkan oleh Paulus sebagaimana yang disebutkan dalam "Rom" fasal 5 ayat 12.

Mungkin kerana itulah barangkali penyelidik agama Kristian berpendapat bahawa Isa tidak pernah memperkatakan dosa warisan, tetapi Pauluslah yang mengadakannya.

Bible Menyatakan Isa Dilaknat

Orang-orang Kristian memberikan penghormatan yang tinggi terhadap lambang salib kerana mempunyai kaitan dengan peristiwa penyaliban Isa bagi menebus dosa manusia. Ini bermakna, Isa dikenakan hukuman yang dipandang mulia dan suci dari sisi agama Kristian. Tetapi menurut kepercayaan penganut agama Yahudi, orang yang dikenakan hukuman salib adalah dilaknat oleh Tuhan dan kayu yang digunakan untuk tujuan itu juga dipandang jijik.

Adakah Isa juga dilaknat? Dalam soal ini eloklah kita meninjau kata-kata Paulus terhadap Isa seperti yang dirakamkan dalam Bible:

"Al-Maseh telah menebus kita daripada kutukan Tuhan dengan menjadikan suatu kutukan kerana kita, kerana telah tersurat: 'Bahawa terkutuklah setiap orang yang tergantung pada kayu'."
(Galatia 3:13)
Berpandukan kenyataan dalam Bible tersebut (Perjanjian Baru) maka Isa sendiri tergolong dalam golongan orang-orang yang dilaknat Tuhan kerana menurut hukum Taurat "Terkutuklah tiap-tiap orang yang tergantung pada kayu (salib)". Layakkah orang seperti Isa dilaknat? Andainya beliau dilaknat, bagaimana beliau dapat menebus dosa manusia? Inilah antara kekeliruan-kekeliruan yang wujud dalam agama Kristian dan sukar difahami tentang hakikatnya.

Kebenaran Fakta Sejarah Diragui

Pengkaji-pengkaji Bible banyak menemui fakta sejarah yang meragukan dan bercanggah di antara satu sama lain. Sebagai contoh, menurut Bible ramai bayi lelaki telah dibunuh oleh Raja Herodes setelah gerakan mencari Isa (yang menurut ramalan ahli nujum bakal menjadi raja Yahudi) gagal ditemui. Peristiwa berdarah ini menurut ramalan Matius, menepati ramalan Nabi Jeremiah dalam 'Perjanjian Lama'.

Kejadian tersebut diragui kebenarannya oleh pakar-pakar yang mengkaji sejarah dalam Bible kerana tidak ada sebarang catitan yang menunjukkan peristiwa yang dahsyat tanpa perikemanusiaan itu berlaku. Penyelidik-penyelidik Bible juga menolak dakwaan Matius yang menyatakan bahawa Nabi Jeremiah telah meramalkan peristiwa pembunuhan bayi beramai-ramai di Jerusalem dan di sekitarnya.

Menurut mereka, sebenarnya Nabi Jeremiah menceritakan satu peristiwa yang telah terjadi pada zaman kekuasaan Babylon yang mana ramai orang Yahudi ditawan dan dibawa ke Babylon untuk dijadikan hamba abdi. Malapetaka yang menimpa bangsa Yahudi itu kononnya diratapi oleh Rachel, isteri Nabi Yaakub yang telah lama bersemadi dalam kubur, kerana sedih atas kejadian yang menimpa anak cucunya, iaitu bangsa Israel.

Keraguan tentang tempat kelahiran Isa juga timbul apabila ahli-ahli sejarah mempertikaikan sejarah yang termuat dalam Bible. Menurut Bible, orang yang disebut dalam 'Perjanjian Lama' yang akan muncul di Baitul Laham (Bethleham) untuk menjadi raja kepada bangsa Yahudi ialah Isa. Bagaimana Isa muncul (dilahirkan) di Baitul Laham padahal ibunya tinggal di Nasirah (Nazareth)? 'Lukas' menerangkan bahawa sewaktu Mariam sedang mengandung, Kaisar Augustus yang memerintah Rom pada waktu itu mengeluarkan perintah supaya mengadakan banci penduduk kerana urusan percukaian.

Untuk melaksanakan rancangan tersebut, semua penduduk di tanah jajahan Rom dikehendaki mendaftarkan diri di kawasan masing-masing. Lalu Mariam dan tunangnya Yusoff pergi ke bandar Baitul Laham untuk mendaftarkan diri kerana nenek moyang mereka berasal dari kawasan tersebut. Setibanya di sana, Mariam melahirkan seorang anak lelaki.

Pakar-pakar sejarah telah menyelidik projek banci tersebut yang dikatakan ditaja oleh kerajaan Rom dan merumuskan bahawa dalam sejarah kerajaan Rom tidak ada rancangan banci dijalankan menjelang kelahiran Isa. Jika rancangan banci penduduk tidak ada pada masa itu, bagaimana Mariam boleh sampai ke Baitul Laham dan melahirkan anak di sana? Pakar-pakar penyelidik seperti Professor Micheal Grant dan sebagainya berpendapat bahawa Isa sebenarnya dilahirkan di Nasirah, bukan di Baitul Laham sebagaimana yang dinyatakan dalam Bible.

Pendapat tersebut sama dengan fahaman orang-orang Islam yang berpegang pada kenyataan sejarah yang digambarkan dalam al-Quran.

Keraguan mengenai fakta sejarah yang terdapat dalam Bible memberikan gambaran negatif bahawa orang-orang Kristian sanggup mengada-adakan sesuatu yang tidak ada, semata-mata untuk memenuhi kepentingan dalam agama mereka.

Benarkah Agama Kristian Untuk Semua Bangsa

Kenyataan yang wujud sekarang ialah agama Kristian menjadi agama antarabangsa, tidak sebagaimana agama Yahudi yang menjadi agama kaum Bani Israel sahaja. Persoalan yang sering bermain di kepala para penyelidik agama Kristian ialah benarkah agama Kristian untuk semua bangsa? Atau dengan kata lain, adakah sleuruh bangsa di dunia ini berhak menganut agama Kristian?

Untuk menemui jawapan tersebut, ada baiknya jika dirujuk nas-nas Bible. Mula-mula apakah kata Isa tentang tugasnya;

"... tidaklah aku diutuskan melainkan kepada biri-biri Bani Israel yang sesat."
(Matius 5:24)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Isa seorang utusan Tuhan yang ditugaskan untuk menyeru umat Bani Israel sahaja pada syariat yang diturunkan Allah. Ini bermakna ajaran yang disiarkan oleh Isa khusus untuk bangsa itu sahaja, bukan untuk semua bangsa.

Untuk lebih yakin lagi, sila rujuk Injil Matius 1:21 yang berbunyi:

"Maka dia akan melahirkan anak lelaki dan berilah namanya Isa kerana dia akan melepaskan kamu daripada dosa."

Ayat ini menerangkan dengan jelas bahawa Isa sebenarnya anak manusia, bukan Anak Tuhan dan tugasnya sebagai Rasul untuk memimpin kaum bangsanya (Bani Israel) pada agama yang benar dan mengeluarkan mereka daripada kekufuran dan kesesatan.

Selanjutnya Injil Matius menerangkan bahawa Isa sendri mengarahkan dua belas orang sahabatnya supaya jangan menyeru (mendakwah) orang-orang yang bukan Yahudi pada ajaran yang dibawanya. Wasiat beliau berbunyi:

"Ke negeri orang kafir usahlah kamu pergi dan ke negeri orang Samaria janganlah kamu masuk, bahkan sayugianyalah kamu pergi kepada biri-biri Bani Israel yang sesat itu."
(Matius 10:5-6)
Sewaktu Isa pergi ke bahagian daerah Sur dan Sidon, seorang perempuan dari suku Kana'an (suku bukan Bani Israel) datang menemuinya sambil merayu supaya beliau sudi mengubati anak perempuannya yang gila, tetapi beliau tidak melayan rayuan tersebut sehingga sahabat-sahabatnya meminta supaya perempuan tersebut diusir. Dalam suasana tersebut Isa berkata; "... tiadalah aku diutuskan melainkan kepada biri-biri Bani Israel yang sesat." Injil Matius fasal 15 ayat 21-24 menerangkan perkara tersebut dengan jelas.

Dengan berpandukan teks dalam Bible sendiri orang dapat memahami siapa sebenarnya Isa dan kepada siapa beliau diutuskan. Kerana itu penyelidik-penyelidik berpendapat bahawa Isa tidak pernah menyeru manusia supaya beriman dengan ajarannya selain dari bangsa Israel, padahal pada masa itu terdapat ramai bangsa-bangsa lain yang menetap di Palestin dan sekitarnya. Kerana itulah barangkali Encyclopedia Britannica merumuskan bahawa sahabat-sahabat al-Maseh meneruskan usaha mereka untuk menjadikan agama Kristian sebagaimana agama Yahudi dan menjadikan al-Maseh salah seorang Nabi Bani Israel khusus untuk bangsa Israel.

Penyataan-penyataan yang ditonjolkan dalam Bible sendiri jelas memperlihatkan bahawa Isa diutus untuk kaumnya sahaja, bukan untuk seluruh bangsa. Hal ini selaras dengan apa yang ditegaskan oleh Isa bahawa tugas beliau adalah untuk meneruskan kesinambungan ajaran Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa. Di samping itu, beliau adalah seorang Rasul dari bangsa Israel dan diutuskan untuk bangsanya sahaja. Oleh itu, sekiranya ada penyataan lain yang berlawanan dengan prinsip tersebut, maka keraguan terhadapnya amat ketara kerana penyataan itu tidak mungkin boleh membatalkan prinsip yang kuat serta lebih menonjol.

والله أعلم

لا عزة إلا بالإسلام

1 comment: