Injil Barnaba



Injil Barnaba tergolong dalam kumpulan Injil yang tidak diiktiraf oleh gereja. Isi kandungannya memperkatakan hal-hal yang hampir menyerupai Inil-Injil rasmi Kristian seperti kelahiran Nabi Isa, tugas kerasulannya, ancaman dan cabaran yang ditempuh hingga kisah penangkapan dan peristiwa penyaliban Isa.

Sebelum diharamkan oleh gereja, Injil tersebut pernah digunakan oleh umat Kristian dahulu kala hingga abad keempat. Kemudian Injil tersebut diputuskan sebagai Injil yang ditolak dan dikutuk. Kutukan tersebut dibuat melalui tiga dekrit, iaitu dekrit dari gereja Barat (382 M), dekrit dari Paus Innocent I (465 M) dan dekrit dari Gelasius (496 M). Dengan itu, Injil ini disenaraikan dalam kumpulan Injil-Injil Apokrif seperti yang dibicarakan sebelum ini kerana sebahagian besarnya telah dimusnahkan dan ada yang cuma dikenal namanya sahaja.

Siapa Barnaba

Nama Barnaba banyak disebut dalam Perjanjian Baru yang mana dia tergolong sebagai murid-murid Isa yang banyak memainkan peranan dalam penyebaran ajaran Isa a.s. Dalam risalah Kisah Perbuatan Rasul-Rasul fasal 4 ayat 36-37 berbunyi:

“Adapun Yusoff yang dipanggil Barnaba oleh rasul-rasul, yang diterjemahkan sebagai anak penghiburan, dia adalah seorang Lewi dari Cyprus.”
“Baginya ada sebidang tanah lalu dijualnya dan wang itu dibawa dan dipersembahkan di sisi kaki rasul-rasul itu.”
Selanjutnya dalam fasal 9 ayat 26-27 risalah tersebut dinyatakan bahawa sewaktu Paulus sampai ke Jerusalem selepas mengaku dirinya telah dilantik menjadi rasul kepada Isa, dia cuba mendekati murid-murid Isa, tetapi mereka semua curiga terhadap dirinya. Walau bagaimanapun, Barnaba sedia menyambut dan membawanya kepada rasul-rasul sambil menceritakan bagaimana Paulus nampak Tuhan semasa dalam perjalanan ke Damsyik dan Tuhan (Isa) melantiknya menjadi Rasul. Demikianlah sikap Barnaba terhadap Paulus pada peringkat awalnya.

Dalam Kisah Perbuatan Rasul-Rasul terdapat banyak ayat yang memperkatakan Barnaba. Antaranya menyebut bahawa Barnaba seorang Rasul dan dia telah mengembara kerana menyiarkan ajaran Isa kepada orang ramai. Dalam Kisah Perbuatan Rasul-Rasul fasal 11 ayat 22-26 berbunyi:

“Maka terdengarlah berita mereka itu ke telinga pohak gereja di Jerusalem, lalu Barnaba diutus pergi ke Antiochia.”
“Yang mana apabila dia sampai dan nampak nikmat anugerah Allah gembiralah hatinya dan menasihati orang ramai agar hati mereka tetap kepada Tuhan.”
“Kerana dia adalah seorang yang soleh serta penuh dengan Ruhulkudus dan iman. Maka bertambah ramailah orang yang berpaling kepada Tuhan.”
“Kemudian barulah Barnaba ke Tarus untuk mencari Saul. Dan setelah menemuinya, dia dibawa ke Antiochia.”
“Maka keduanya berada bersama ahli gereja setahun lamanya sambil mengajar orang ramai. Dan di Antiochialah murid-murid itu dipanggil orang Kristian.”
Ayat-ayat di atas menerangkan bahawa Barnaba dihantar ke Antiochia oleh Sidang Jumaat untuk menyiarkan ajaran Isa kepada orang-orang bukan Yahudi di sana setelah mereka mendengar berita bahawa penduduk-penduduknya tertarik kepada ajaran tersebut. Akhlak Barnaba yang baik serta keimanannya yang tinggi menjadi pendorong kepada orang ramai untuk memeluk agama Kristian.

Sejarah Penemuan Injil Barnaba

Sejarah telah menerangkan bahawa Injil Barnaba telah lama muncul di kalangan umat Kristian, tetapi menerima nasib yang malang kerana tidak diakui sebagai kanun dan tersenarai sebagai Injil yang diharamkan oleh gereja. Tindakan tersebut diambil sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. lagi.

Setelah sekian lama Injil Barnaba tersorok di tempat persembunyian, akhirnya ditemui oleh seorang paderi Latin yang bernama Vramarino kira-kira pada akhir abad keenam belas di Perpustakaan Paus Sixtus V. Menurut ceritanya, Vramarino terlalu ingin membaca Injil Barnaba kerana sebelum itu dia pernah membaca beberapa tulisan Iremeus yang mengecam Paulus kerana penyelewengannya. Kecaman itu dibuat berlandaskan Injil Barnaba. Kerana itu timbul keinginannya untuk mencari Injil tersebut yang telah diharamkan itu.

Pada suatu hari, paderi Vramarino bersama kawan karibnya Paus Sixtus V masuk ke perpustakaan Pau situ. Dalam perpustakaan tersebut Paus tertidur dan dalam kesempatan itu Vramarino ingin membaca buku-buku yang ada di situ hingga Paus terjaga. Kebetulan buku pertama yang terpegang oleh tangannya ialah Injil Barnaba. Alangkah gembira hatinya kerana impiannya selama ini terkabul, lalu perbendaharaan yang mahal nilainya itu disorok ke dalam bajunya. Setelah Paus terjaga daripada tidurnya, Vramarino segera memohon izin untuk pulang dengan membawa Injil Barnaba. Injil tersebut dibaca dengan penuh teliti secara sulit sehingga akhirnya dia memeluk agama Islam.

Demikianlah riwayat Paderi Vramarino seperti yang terkandung dalam mukaddimah naskhah bahasa Sepanyol sebagaimana yang diriwayatkan oleh orientalis Sale dalam sebuah buku yang ditulisnya tentang terjemahan al-Qur’an.

Naskhah Injil Barnaba itu kemudiannya dipercayai berpindah ke perpustakaan seorang bangsawan dan ditemui dalam tahun 1709 oleh Craemer, seorang penasihat raja Prusia (Jerman) yang ketika itu berada di Amsterdam. Naskhah tersebut berbahasa Itali setebal 225 halaman dianggap satu penemuan sejarah yang terkenal. Empat tahun kemudian , ia dihadiahkan kepada Prince Eugene Savoy. Walaupun sibuk dengan urusan peperangan dan pergolakan politik negara, tetapi dia amat meminati ilmu pengetahuan serta peninggalan-peninggalan sejarah. Kemudian dalam tahun 1738, naskhah Injil tersebut bersama isi perpustakaan prince tersebut dipindahkan ke perpustakaan Diraja di Vienna dan tersimpan di situ sampai sekarang.

Selain itu, pada awal abad ke-18 dijumpai pula satu naskhah Injil Barnaba dalam bahasa Sepanyol yang mengandungi 222 fasal dan 420 halaman. Tulisannya banyak yang terhapus kerana ditelan usia. Naskhah tersebut pernah diberi pinjam oleh Dr. Holm dari Hardley (di Wilayah Hempshire) kepada seorang orientalis yang terkenal bernama Sale. Selepas itu naskhah itu diberi pula kepada Dr. Minkhauss, seorang anggota Kings College di Oxford, lalu diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Naskhah asli itu bersama terjemahannya diserahkan kepada Dr. White, seorang mahaguru yang terkenal dan selepas itu terus lenyap.

Menurut Dr. Khalil Saadah, seorang sarjana Kristian (lahir di Lubnan dan meninggal di Brazil tahun 1934), naskhah berbahasa Sepanyol itu adalah terjemahan sepatah demi sepatah daripada naskhah berbahasa Itali. Dia memetik komen Sale terhadap naskhah berbahasa Sepanyol kerana menurut Sale, naskhah tersebut adalah terjemahan daripada naskhah Itali oleh seorang Muslim Arughani bernama Mustaffa al-Ardani.

Mengapa Barnaba Mengarang Injil

Sebab Barnaba menulis Injil dijelaskan dalam pendahuluan Injilnya seperti yang berikut:

“Barnaba Rasul Jesus orang Nasara yang dipanggil Al-Maseh, mengharapkan kesejahteraan dan kemuliaan bagi sekalian penduduk bumi.”
“Wahai tuan-tuan yang terhormat! Sesungguhnya Allah Maha Agung penuh ajaib, sesungguhnya Ia telah meninjau-ninjau kita pada hari-hari yang terakhir dengan nabi-Nya Jesus Al-Maseh dengan rahmat yang besar bagi mengajar dan menerangkan perkara-perkara yang telah digunakan oleh syaitan sebagai jalan untuk menyesatkan orang ramai dengan dakwaan taqwa.”
“Mereka menyebarkan ajaran-ajaran yang terlalu kufur.”
“Mereka mendakwa, Al-Maseh itu putera Allah.”
“Mereka enggan berkhatan sebagaimana yang telah diperintah oleh Allah selamanya.”
“Mereka mengharuskan segala daging yang najis.”
“Yang juga turut tersesat dalam golongan mereka ialah Paulus yang saya tidak memperkatakannya kecuali dengan rasa sedih.”
“Dan dialah yang menyebabkan saya menulis kebenaran itu yang telah saya lihat dan dengar di tengah-tengah pergaulan saya dengan Jesus supaya tuan-tuan sekalian terselamat dan tidak disesatkan oleh syaitan lantas anda binasa dalam soal agama Allah.”
“Atas perkara itu maka berwaspadalah kamu terhadap setiap orang yang menyebarkan ajaran-ajaran baru yang bertentangan daripada apa yang saya tuliskan ini supaya kamu sekalian terselamat buat selama-lamanya.”
“Tetapi Allah Yang Maha Agung bersama kamu dan sentiasa menjaga kamu daripada syaitan dan segala kejahatan. Amin…!”
Prinsip Injil Barnaba

Injil Barnaba berbeza daripada Bible dari segi prinsipnya. Berikut ini dipaparkan beberapa perbezaan penyataan antara Injil Barnaba dan Injil-Injil lain:
1.    Perjanjian Baru menyatakan bahawa Isa adalah Tuhan, sedangkan dalam Injil Barnaba, Isa mengingkari ketuhanannya dan menafikan dirinya Anak Allah (Barnaba 52: 10-14, 94: 1-2, 112: 5-10, 206: 1-5);
                            i. “Sebenarnya kukatakan kepada kamu, bercakap dari dalam hati sesungguhnya aku merasa gementar kerana dunia ini akan memanggil aku Tuhan.”
“Oleh itu wajib atasku mengemukakan perhitungan.”
 “Demi Allah diriku berdiri di hadrat-Nya, sesungguhnya aku ini lelaki yang akan binasa seperti semua manusia.”
 “Tetapi aku, meskipun Allah mengangkat aku sebagai Nabi atas umat Israel untuk kesihatan orang-orang lemah dan memperbaiki pendosa-pendosa, aku tetap menjadi khatam.”
 “Dan kamu menjadi saksi atas perkara ini, bagaimana aku mengingkari atas mereka itu orang-orang jahat yang selepas pemergianku dari dunia ini, akan membatalkan kebenaran Injilku dengan perbuatan syaitan.”
(Barnaba 52: 10-14)
                           ii.“Maka Jesus berkata sambil menangis: “Wahai Barnaba! Wajib ku jelaskan kepadamu dengan rahsia-rahsia yang besar, wajiblah engkau menyebarkannya ke seluruh alam setelah aku pergi darinya.”
 “Maka penulis ini menjawab sambil menangis: “Izinkanlah saya menangis wahai tuan guru dan juga orang-orang lain kerana kami ini berdosa.”
 “Dan Tuan wahai orang suci lagi Nabi Allah, tidak elok bagi tuan membanyakkan tangis.”
 “Jawab Jesus: “Percayakanlah kepadaku wahai Barnaba bahawa aku tidak berkuasa menangis sekadar mana yang diwajibkan atasku.”
 “Kerana kalaulah orang tidak memanggil aku Tuhan, tentulah aku dapat melihat Tuhan di sini sebagaimana Ia akan dapat dilihat di syurga dan tentulah aku merasa aman daripada ketakutan hari pembalasan.”
 “Tetapi Allah mengetahui aku bersih kerana tidak layak terlintas di hatiku bahawa aku menganggap lebih banyak daripada seorang hamba yang miskin.”
(Barnaba 112: 5-10)
                         iii.“Setelah menjelang siang, Jesus naik ke rumah ibadat beserta kumpulan ramai daripada masyarakat.”
 “Lalu ketua pendeta mendekatinya sambil berkata:
 “Katakanlah kepadaku wahai Jesus, sudah lupakah engkau segala apa yang telah ku akui bahawa engkau bukanlah Allah, bukan putera Allah dan bukan juga Messia?”
 “Jawab Jesus: Tidak sekali-kali aku tidak lupa.”
 “Kerana inilah pengiktirafan yang ku saksikan di hadapan kerusi pengadilan Allah di hari penghukum nanti.”
 “Kerana segala apa yang tertulis dalam kitab Musa itu adalah benar sebenar-benarnya, maka sesungguhnya Allah pencipta kita itu adalah esa, dan aku ini hamba Allah dan aku ingin menjalankan khidmat Rasul Allah yang kamu namakannya itu Messia.”
(Barnaba 206: 1-5)
Ayat-ayat di atas yang dipetik daripada Injil Barnaba menunjukkan perbezaan yang amat ketara dengan Injil-Injil rasmi Kristian, terutama dala soal ketuhanan. Dalam Injil ini, Isa sendiri amat kesal dan dukacita kerana dianggap sebagai Tuhan, padahal beliau sebenarnya manusia biasa yang dipilih dan dilantik oleh Allah sebagai Rasul, sama dengan Rasul-rasul Tuhan yang lain seperti Ibrahim, Daud, Sulaiman, Musa dan lain-lain lagi.
 2.   Perjanjian Baru menganggap bahawa Paulus seorang rasul yang dilantik oleh Isa, sedangkan Injil Barnaba mengatakan bahawa dia seorang yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Isa yang sebenarnya:
                      i.    “Yang turut sesat dalam golongan mereka ialah Paulus yang tidak saya memperkatakannya kecuali dengan rasa sedih.”
(Barnaba: Pendahuluan: 7)
                   ii.      “Kerana segolongan daripada orang-orang jahat yang mendakwa diri mereka murid-murid itu, menyebarkan khabar bahawa Jesus telah mati dan tidak pernah bangun lagi, dan golongan yang lain pula menyebar dan sentiasa terus menyebar khabar bahawa Jesus itu anak Allah, termasuk jumlah orang yang tertipu itu ialah Paulus.”
(Barnaba 222: 3)
3.      Perjanjian Baru menyatakan bahawa Isa disalib hingga mati, kemudian dibangkitkan semula dari kubur, sedangkan Injil Barnaba menyatakan bahawa Isa tidak disalib, tetapi orang yang disalib itu ialah Judas Iskariot. Sebagai buktinya, rujuklah fasal-fasal yang berikut:
                            i.   “Maka ketahuilah wahai Barnaba bahawa kerana lantaran ini wajib atasku berjaga-jaga dan aku akan dijual oleh salah seorang muridku dengan tiga puluh keping wang.”
“Dan atas perkara ini, maka aku yakin bahawa orang yang akan menjual aku itu akan terbunuh dengan namaku.”
 “Kerana Allah akan membawaku naik dari bumi dan akan mengubah pandangan si pengkhianat itu sehingga setiap orang yang melihatnya akan menyangka dia itulah aku.”
 “Meskipun demikian, apabila dia mati dalam keadaan yang seburuk-buruk itu, akan sentiasa berada dalam kejadian itu dalam masa yang panjang di dunia ini.”
(Barnaba 112: 13-16)
                         ii.   “Maka bala tentera pun mengambil Yahuza lalu diikatnya sambil mengejek-ngejeknya.”
 “Kerana dia menafikannya, sedangkan dia bercakap benar bahawa dia sesungguhnya bukanlah Jesus.”
“Maka bala tentera telah berkata dengan mengejek-ngejeknya: “Wahai tuanku! Jangan takut, kerana kami datang untuk menjadikan engkau sebagai raja yang memerintah Israel.”
 “Dan sesungguhnya kamu mengikat engkau, kerana kami tahu bahawa engkau enggan memerintah.”
 “Jawab Yahuza: Barangkali kamu sekalian telah gila.”
(Barnaba 217: 1-5)
                        iii.“Maka datanglah ketua pendeta beserta ahli-ahli al-kitab dan orang-orang Parisi melihat Yahuza tidak mati dengan sebatan, mereka bimbang kalau-kalau ia dilepaskan oleh Bilatas, mereka berikan hadiah berupa wang kepada gabenor lalu ia menerimanya, kemudian ia menyerahkan Yahuza kepada ahli-ahli al-kitab dan orang-orang Parisi sebagai seorang penjenayah yang berhak menerima hukuman mati.”
 “Lalu mereka menjatuhkan hukuman sula atas dua orang pencuri bersama-samanya.”
 “Maka mereka menyeretnya ke Bukit Golgota, iaitu tempat gantungan yang biasa bagi penjenayah-penjenayah dan di sanalah mereka menyulanya telanjang sebagai menguatkan penghinaannya.”
(Barnaba 217: 7-9)
4.      Menurut Perjanjian Baru, anak Nabi Ibrahim yang hendak dikorbankan ialah Ishak (Kejadian 22: 1-13), sedangkan menurut Injil Barnaba anak itu ialah Ismail:
“Demi Allah bahawa Ibrahim telah menyintai Allah sehingga tidak mencukupi dengan menghancurkan berhala-berhala palsu itu dengan sehancur-hancurnya dan tidak cukup juga dengan meninggalkan ayah dan bondanya, tetapi ia hendak menyembah anaknya kerana taatkan Allah.”
“Jawab ketua pendeta: “Aku hanya bertanyakan ini kepada engkau, dan tidak menuntut pembunuhanmu, maka katakanlah kepada kami, siapakah putera Ibrahim itu?”
“Jawab Jesus: “Bahawa kecemburuan kemulianmu wahai Allah telah menyala-nyalakan aku dan aku tidak lagi tahan hendak berdiam.”
“Sebenarnya, kukatakan kepadamu, bahawa putera Ibrahim itu ialah Ismail yang wajib datang daripada keturunannya itu Mesia yang telah dijanjikan kepada Ibrahim, bahawa dengannya akan berkatlah semua bangsa di bumi.”
“Maka manakala ketua pendeta mendengar hal ini, naik beranglah dia lalu berteriak: “Marilah kita rejamkan si celaka ini kerana dia Ismail dan dia telah mencaci Musa dan syariat Allah.”
(Barnaba 208: 4-8)
5.  Messia yang ditunggu-tunggu kedatangannya bukan Isa, tetapi Muhammad.
                            i.   “Dan manakala selesai sembahyang, pendeta itu berkata dengan suara yang tinggi: “Berhentilah wahai Jesus kerana wajib atas kami untuk mengetahui siapakah engkau ini untuk menenangkan umat kita.”
 “Jawab Jesus: “Saya Jesus anak Mariam daripada keturunan Daud, seorang manusia yang akan mati, takut kepada Allah dan aku memohon supaya tidak diberikan kemuliaan dan ketinggian itu melainkan kepada Allah.”
“Jawab pendeta itu: “Sesungguhnya tertulis dalam kitab Musa bahawa Tuhan kita akan mengutus Messia kepada kita dan akan datang untuk memberitahu kita dengan apa yang dikehendaki oleh Allah dan dia akan datang membawa rahmat Allah kepada manusia.”
 “Oleh yang demikian, kuharapkan engkau berkata benar kepada kami adakah engkau ini Messia Allah yang kami tunggu-tunggu?”
“Jawab Jesus: “Sebenarnya Allah telah berjanji demikian, tetapi aku bukanlah dia kerana dia diciptakan sebelumku dan dia akan datang selepasku.”
(Barnaba 96: 1-5)
                          ii.   “Ketika itu Allah akan memberikan rahmat kepada alam ini dan akan mengutuskan Rasul-Nya yang telah diciptakan segala sesuatu itu kerananya.”
 “Yang akan datang dari selatan dengan kekuatan dan akan membasmi berhala-berhala dan penyembah-penyembah berhala.”
 “Dan akan dicabut daripada syaitan-syaitan kekuasaannya atas manusia.”
“Dan akan datang dengan rahmat Allah untuk keselamatan orang-orang yang beriman dengannya.”
 “Dan akan jadilah mereka yang beriman dengan kata-katanya itu diberkati.”
(Barnaba 96: 11-15)
 Sedutan ayat-ayat Injil Barnaba yang dipaparkan dalam ruang ini sepintas lalu dapat memberikan jawapan mengapa gereja mengharamkan Injil tersebut. Antara sebab yang paling pokok ialah kerana Injil tersebut mempertahankan konsep tauhid sebagai teras akidah ajaran Isa dan beliau sendiri tidak lebih daripada seorang Nabi dan Rasul Allah untuk memimpin umat Bani Israel ke jalan yang benar.
 Semuanya ini memang berlawanan dengan pegangan dan fahaman gereja yang mendokong aliran Paulus, yang mana menurut Injil Barnaba dia termasuk dalam golongan yang sesat kerana menyeleweng daripada ajaran sebenar yang dibawa oleh Isa a.s.

والله أعلم

لا عزة إلا بالإسلام

No comments:

Post a Comment