Tasawwur Tarbiah Islamiah


Penekanan tarbiah yang syumul dalam harakah islamiah adalah merupakan elemen yang penting dalam mencapai matlamat tajdid islami. Penekanan tarbiah ini bukan semata-mata dalam bentuk teori malah ia juga berbentuk 'amal yang melahirkan 'amal-amal' yang teguh di kalangan ahli. Tarbiah yang syumul akan menjelaskan lagi peranan setiap ahli jemaah yang berjuang untuk mencapai tajdid islami.
Tajdid islami ialah satu perjuangan untuk menegakkan kembali Islam dalam bentuknya yang asal dan suci. Ia juga bertujuan membangkitkan umat Islam agar menghayati prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam serta membina kembali kehidupan mereka sejajar dengan tuntutan Islam. Ia adalah satu perubahan daripada belenggu jahiliyyah kepada keadilan islam.

Usaha-usaha untuk menegakkan kembali Islam ini berlaku sejak daripada zaman Rasulullah sehinggalah ke hari ini. Ini telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadithnya:

"Allah akan membangkitkan untuk umat ini, pada permulaan setiap seratus tahun, seorang yang akan memperbaharui keadaan deen-Nya"
 (Hadith Riwayat Abu Daud)

Tarbiah yang menyentuh masalah fitrah manusia telah dimulakan dengan menekankan kepercayaan kepada Allah serta menolak kepercayaan kepada Ilah-Ilah yang selain daripadaNya. Hasil penerimaan Uluhiyyati dengan sepenuh-penuhnya oleh generasi unik ini telah menjadi model kepada masyarakat Islam sehingga ke hari ini terutamanya kepada golongan yang menyertai Harakah Islamiah. Allah s.w.t. telah memuji mereka di dalam al-Quran:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu mengajak kepada maaruf, dan kamu mencegah kepada yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah"
(Ali-'Imran:110)
Tasawwur Tarbiah

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah pada jalanNya, supaya kamu mendapat keuntungan."
(Al-Maa'idah:35)
Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menyuruh kita mencari segala jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya demi untuk mencari keredhaanNya. Terdapat dua perkara yang menjamin survival Islam di atas muka bumi iaitu amal maaruf nahi munkar dan jihad fi sabilillah.

Kedua-dua perkara ini memungkinkan setiap orang hidup dalam sistem Islam di mana seluruh urusan negara dilaksanakan atas dasar undang-undang Islam.

Untuk melahirkan generasi pengasas ini memerlukan kepada tarbiah yang mantap dan jitu. Tarbiah adalah segala usaha yang dilakukan untuk membawa kita ke arah mengabdikan diri kepada Allah secara sempurna. Di atas dasar untuk memenuhi saranan ayat di atas inilah kefahaman tarbiah ditegakkan. Lantaran itu, segala usaha yang melibatkan pendidikan, pengalaman, penglibatan dalam dakwah, persekitaran dan lain-lain usaha yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah adalah tarbiah.

Kepentingan serta perjalanan proses tarbiah dapat dilihat dari beberapa kisah di dalam al-Quran dan Sirah, contohnya:

a) Kisah Luqman mendidik anaknya (Luqman:12-19)
b) Kewajipan ar-Rasul bertahajjud di dalam memikul "qaulan thaqila" (Tafsir Surah Al-Muzammil)
c) Para sahabat yang dididik seperti Mus'ab bin Umair dan Ibnu Maktum r.a. yang dihantar ke Madinah 
    untuk menyampaikan ajaran Islam. Setiba Rasulullah s.a.w. di Madinah, Rasulullah terus membina sebuah 
    sekolah dan melantik Abdullah Ibnu Said Ibn Alias untuk mengajar mereka menulis.

Sifat-Sifat Tarbiah 

1. Proses tarbiah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. adalah merupakan suatu proses yang Rabbani seperti 
    firman Allah s.w.t. agar segala perencanaan serta bahan tarbiah mestilah dirumuskan dari Al-Quran dan 
    As-Sunnah:

 
 "Demi bintang ketika terbenam, kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru; dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)."
(An-Najm:1-4)

2. Disepanjang perjuangan baginda Rasulullah s.a.w, sistem tarbiah yang dibawanya sentiasa menekankan 
    persoalan pokok iaitu aqidah manusia. Kerap kali sifat-sifat Allah s.w.t. diterangkan di dalam al-Quran 
    untuk mengingatkan manusia tentang perhubungan mereka denganNya, kerana tanpa hubungan ini, 
    sia-sialah amalan mereka.

3. Sistem tarbiah yang digariskan Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. adalah syumul iaitu bersifat menyeluruh, 
    merangkumi segala aspek amalan-amalan yang membolehkan kita mencapai keredhaan Allah.

4. Proses perlaksanaan tarbiah mestilah dijalankan mengikut kemampuan para du'at dan mad'u. Al-Quran 
    sendiri Allah turunkan peringkat demi peringkat.

5. Bahan tarbiah juga hendaklah mempunyai sifat tawazzun iaitu seimbang.

Matlamat Tarbiatul Islamiah

Hakikat Tarbiatul Islamiah adalah untuk membina satu ummah yang muttaqin, bertaqarrub kepada Allah serta mempunyai taaluqbillah yang kuat.
Maksud taaluqbillah ialah hidup dan matinya dan segala amalan seseorang itu hanyalah untuk Allah s.w.t. bersesuaian dengan firman Allah s.w.t.:

"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama yang lurus."
(Al-Bayyinah:5)
Sesungguhnya tarbiatul islamiah bertujuan melahirkan insan-insan yang muttaqin dan ciri-ciri mereka termasuklah sifat-sifat yang benar-benar cintakan Allah. Di samping itu juga mereka benar-benar takut dan benci jika dilemparkan ke dalam neraka. Ingatan mereka kepada akhirat mendorong mereka supaya sentiasa beramal untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengelakkan perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaanNya. Mereka merasakan bahawa Islam itu adalah nikmat Allah. Maka kemasukan mereka ke dalam Islam serta penyerahan mereka kepada Allah adalah suatu yang diamalkan dengan penuh lengkap serta tidak berbelah bagi.

Tarbiatul Islamiah juga bermatlamat untuk melahirkan insan-insan yang benar-benar menghayati perjuangan. Sifat-sifat mereka ini termasuklah seperti yang diterangkan dalam ayat al-Quran:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar."
(Al-Hujurat:15)
Elemen Penting Tarbiah Islamiah

Bagi mencapai matlamat yang telah digariskan seperti di atas, terdapat elemen penting yang perlu diambil kira. Elemen penting dalam tarbiah islamiah tersebut ialah:
  a) Tauhidullah (mengesakan Allah s.w.t)
  b) Nubuwwah (berlandaskan apa yang dibawa oleh para nabi)
  c) Al-Hasyr dan Al-Jaza' (hari manusia dikumpul dan diberi pembalasan)

Jenis Tarbiah
Berdasarkan kepada elemen tarbiah islamiah inilah menyebabkan tarbiah perlu dilaksanakan di setiap peringkat supaya menepati elemen di atas. Jenis tarbiah yang perlu dilengkapkan oleh umat Islam ialah:

  a) Tarbiah 'aqliyyah
  b) Tarbiah ruhiyyah
  c) Tarbiah jasadiyyah
  d) Tarbiah siasiyyah

Unsur-Unsur Yang Boleh Membawa Kepada Keberkesanan Tarbiah

Individu
Individu itu sendiri merupakan unsur yang paling utama kerana dialah yang menentukan samada dia tunduk ataupun tidak kepada perintah Allah s.w.t. FirmanNya:

"Iaitu bagi sesiapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus."
(At-Takwir:28)
Bi'ah (persekitaran)
Keadaan persekitaran amat penting dalam proses tarbiah kerana ianya memberi kesan kepada jiwa manusia dari semasa ke semasa bagi melahirkan corak manusia atau masyarakat yang dirancangkan. Manusia sebagai makhluk yang sering lupa selalu terpengaruh dengan suasana di sekelilingnya; samada kesannya baik atau tidak sesuai dengan masyarakatnya. Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tidak ada dari anak-anak terkecuali lahir dari fitrah maka dua ibu bapanya yang menyebabkan ia menjadi Yahudi atau Nasrani."
(Muttafaqun 'alaih)
Penglibatan
Usaha untuk mempertingkatkan keimanan seseorang itu termasuklah tugas untuk menjalankan tugas dakwah, satu tugas yang ditutut Allah:
"Katakanlah: "Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang beriman yang mengikutku mengajak (kamu) kepada Allah hujjah yang nyata. Maha Suci Allah, tiada termasuk orang-orang musyrik."
(Yusuf:108)

Mas'ul
Kepentingan mas'ul dalam keberhasilan tarbiah terletak kepada kemampuannya sebagai pemimpin, pembimbing dan pendidik setiap ahli yang dipimpin. Rasulullah s.a.w. yang mendapat cahaya bimbingan daripada Allah telah berjaya melahirkan sebuah generasi yang agung lagi mulia.
Sesungguhnya pemimpin harus memiliki dua rukun iaitu: Quwwah dan Amanah.

"Sesungguhnya orang yang paling baik untuk bekerja itu adalah yang kuat lagi amanah"
(Al-Qashaash:26)
Kesimpulan
Kejayaan sesuatu jemaah bergantung kepada kejayaannya dalam menyusun tarbiah. Perlulah diingat bahawa perkara-perkara yang diterangkan di atas adalah merupakan panduan dan bukanlah faktor penentu kepada kejayaan tarbiah yang dimainkan oleh sesuatu jemaah. Kejayaan sesuatu tarbiah bergantung kepada kesungguhan yang dimainkan oleh ahli-ahli dalam jemaah itu sendiri bi iznillah.

No comments:

Post a Comment