Hadith Palsu Fadhilat Solat Tarawih

SETIAP amalan terpuji di bulan Ramadhan akan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda daripada Allah. 

KHUSYUK...solat secara berjemaah adalah amalan yang amat dituntut agama Islam dan perlu diteruskan pada bila-bila masa
Semestinya umat Islam tidak mahu melepaskan bulan penuh keberkatan dan keampunan ini untuk meningkatkan amal ibadat masing-masing.

Yang pasti, kelainan dan kemeriahan Ramadhan adalah waktu malamnya yang tidak sama dengan bulan lain kerana mempunyai solat tarawih.


Rasulullah juga menuntut umatnya untuk memakmurkan setiap malam sepanjang Ramadhan dengan ibadat qiamullail dan solat tarawih.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang bangun (qiamullail) pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan, diampunkan baginya dosa-dosa terdahulu."

Kemeriahan memakmurkan masjid atau surau perlu diteruskan sama ada awal atau akhirnya. Ibadat lain yang dituntut dalam bulan Ramadhan ialah solat tahajjud, membaca al-Quran dan mengkhatamnya sebanyak mungkin.

Jika sebelum ini, ramai sibuk dengan jadual yang padat, inilah masa untuk memberi 'ruang' melaksanakan solat tarawih secara berjemaah.

IKHLAS KERANA ALLAH... pamerkan keikhlasan dalam melakukan tuntutan sebagai hamba, Allah menilai amalan seseorang berdasarkan apa yang mereka laksanakan.

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah menunaikan solat tarawih di masjid kemudian diikuti beberapa orang bersamamya. Baginda bersolat lagi dan orang yang solat bersamanya semakin bertambah ramai.

Seterusnya orang ramai berhimpun pada malam ketiga dan keempat tetapi Rasulullah tidak keluar untuk solt tarawih bersama mereka.

Apabila tiba waktu subuh, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu lakukan. Tiada yang menghalang aku keluar kepada kamu selain kerana aku takut ia difardhukan ke atas kamu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga halnya ketika zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar al-Khattab, umat Islam pada peringkat awal mengerjakan solat tarawih secara bersendirian. 
Umar al-Khattab memerintahkan mereka mengerjakan secara berjemaah dan melantik Ubai bin Ka'ab sebagai imam.

Kelebihan bertarawih secara berjemaah seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Seseorang lelaki yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga imam itu pulang (selesai mengerjakan solat), ia dikira bangun (beribadat) keseluruhan malam."

Namum, setiap Ramadhan pasti ramai menerima e-mel atau SMS mengenai fadhilat atau kelebihan solat tarawih yang berlainan sepanjang 30 malam.

Ia menjadi hadis popular di bulan Ramadhan. Hadis itu berbunyi, diriwayatkan daripada Saidina Ali bahawa Rasulullah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan.

Antaranya, pada malam pertama: Akan terhapus dosa orang mukmin seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan daripada Allah).

Malam keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.

Malam keenam: Allah kurniakan pahala malaikat yang tawaf di Baitul Ma'mur (sebanyak 70,000 malaikat sekali tawaf), serta batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa orang yang mengerjakan solat tarawih malam itu.

Malam ketujuh: Kelebihan seolah-olah dapat bertemu serta menolong Nabi Musa menentang Fir'aun dan Haman.

Malam kelapan: Allah mengurniakan pahala orang solat tarawih seperti yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim.

Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad dan kelebihan lain sehingga sampai malam yang ke-30.

Hadis itu yang menyatakan kelebihan solat tarawih dikatakan palsu dan tidak pernah ditemui dalam Sunnan Sittah (himpunan dalam kitab hadis oleh enam ulama' hadis masyhur) dan kitab Muwatta' karangan Imam Malik.

Hadis ini juga dianggap palsu kerana tidak mempunyai sumber yang muktabar.

Terdapat hadis sahih berkenaan solat tarawih iaitu: Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghayati (beribadat) malam al-Qadar  dengan iman dan mengharapkan pahala nescaya diampuni semua dosanya." (Hadis Riwayat an-Nasa'i)
Selain itu, sebuah lagi hadis daripada Said Musayyap, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa beribadat (solat tarawih) di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala nescaya diampuni dosa yang terdahulu." (Hadis Riwayat an-Nasa'i)

Pendakwah yang pernah berkhidmat di unit dakwah Kedutaan Arab Saudi, Dr Abdullah Yasin, berkata hal berkaitan fadhilat dan kelebihan tertentu adalah urusan Allah.

"Ia adalah sesuatu yang ghaib dan hanya dalam ilmu Allah dan Rasul. Tiada hadis Rasulullah berkaitan kelebihan itu.

Ia bukan perkara baru dan jika anda menerima SMS atau e-mel mengenai kelebihan atau fadhilat solat tarawih, abaikan saja,"katanya.

Cuma, katanya tarawih pada 10 malam terakhir saja dinyatakan kelebihannya dan umat Islam perlu merebut peluang itu.

"Malam itu adalah lailatul qadar yang mempunyai keistimewaan dan keberkatan. Allah menjanjikan pengampunan kepada hamba-Nya yang menghidupkan malam itu dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan.

Umat Islam perlu berwaspada dengan maklumat yang mereka terima, jangan percaya bulat-bulat. Jika keliru atau ragu-ragu, rujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang agama,"katanya.

Beliau berkata apa saja yang berkaitan dengan agama, ganjaran, seksaan dalam Islam adalah hak mutlak Allah.

"Jika mahu menggalakkan umat Islam rajin bersolat tarawih, berikan sumber hadis sahih yang diambil dari kitab yang muktabar.

"Sebenarnya tidak salah kita mengharapkan ganjaran Allah, cuma dibimbangkan jika tiada hubungan dengan hadis Nabi atau al-Quran, ia boleh mengelirukan.
"Saya bimbang jika ada umat Islam yang bersungguh-sungguh mempercayainya, ia boleh membawa kepada tergelincir akidah,"katanya.

No comments:

Post a Comment