Kitab
suci agama Kristian terdiri daripada himpunan kitab-kitab yang disebut Bible.
Bible mengandungi 66 kitab besar dan kecil yang dibahagikan kepada dua
bahagian, iaitu Perjanjian Lama (Old Testement) dan Perjanjian Baru
(New Testement). Perjanjian Lama ialah tulisan-tulisan atau kitab-kitab
yang tertulis sebelum kedatangan Isa, manakala Perjanjian Baru ialah
tulisan-tulisan yang dihasilkan sesudah kedatangan Isa.
Untuk
mengenal kitab Perjanjian Lama, berikut ini disenaraikan 39 naskhah
kitab yang terdiri daripada Taurat Nabi Musa, Zabur (Mazmur) Nabi Daud dan
kitab nabi-nabi sebelum Isa:
- Kitab Kejadian
- Kitab Keluaran
- Kitab Imamat Orang Lewi
- Kitab Bilangan
- Kitab Ulangan
- Kitab Yusak
- Kitab Hakim-Hakim
- Kitab Rut
- Kitab Samuel I
- Kitab Samuel II
- Kitab Raja-Raja I
- Kitab Raja-Raja II
- Kitab Tawarikh I
- Kitab Tawarikh II
- Kitab Ezra
- Kitab Nehemya
- Kitab Ester
- Kitab Ayub
- Kitab Zabur (Mazmur)
- Kitab Amsal Sulaiman
- Kitab Alkatib
- Kitab Syiru’lasyar
- Kitab Nabi Yesaya
- Kitab Nabi Yermia
- Kitab Nudub Yermia
- Kitab Nabi Yehezkiel
- Kitab Nabi Daniel
- Kitab Nabi Hosea
- Kitab Nabi Yoel
- Kitab Nabi Amos
- Kitab Nabi Obaya
- Kitab Nabi Yunus
- Kitab Nabi Micha
- Kitab Nabi Nahum
- Kitab Nabi Habakuk
- Kitab Nabi Zafanya
- Kitab Nabi Hajai
- Kitab Nabi Zakaria
- Kitab Nabi Malaichi
Perjanjian
Baru mengandungi 27 tulisan, iaitu empat buah Injil dan kumpulan surat
kiriman termasuk sebelas surat kiriman Paulus. Yang berikut adalah nama
kitab-kitab dan risalah-risalah yang menjadi komponen Perjanjian Baru:
- Kitab Injil Matius
- Kitab Injil Markus
- Kitab Injil Lukas
- Kitab Injil Yahya
- Kitab Perbuatan Rasul-Rasul
- Surat Kiriman Paulus kepada Orang Rom
- Surat Kiriman kepada Orang Korintus I
- Surat Kiriman kepada Orang Korintus II
- Surat Kiriman kepada Orang Galatia
- Surat Kiriman kepada Orang Epesus
- Surat Kiriman kepada Orang Epesus
- Surat Kiriman kepada Orang Pilipi
- Surat Kiriman kepada Orang Kolose
- Surat Kiriman kepada Orang Tasalonika I
- Surat Kiriman kepada Orang Tasalonika II
- Surat Kiriman kepada Timotius I
- Surat Kiriman kepada Timotius II
- Surat Kiriman kepada Titus
- Surat Kiriman kepada Pilemon
- Surat Kiriman kepada Orang Ibrani
- Surat Kiriman Yakub
- Surat kiriman daripada Petrus I
- Surat Kiriman daripada Petrus II
- Surat Kiriman daripada Yahya I
- Surat Kiriman daripada Yahya II
- Surat Kiriman daripada Yahya III
- Surat Kiriman Yahuda
- Wahyu kepada Yahya
Sejarah Penulisan Bible
Bible
yang ada sekarang telah ditulis dalam tempoh 1 400 tahun, iaitu bermula 1 300
tahun sebelum Masehi bagi Perjanjian Lama hingga 100 tahun selepas Masehi bagi
Perjanjian Baru. Keseluruhan Bible ditulis oleh banyak orang sehingga
kebanyakannya tidak dapat dikenal lagi. Bible yang ada sekarang merupakan
naskhah salinan daripada naskhah asli yang bertulisan tangan yang kini sudah
hilang. Oleh itu, isi kandungan naskhah yang asli itu tidak dapat diketahui
dengan tepat, manakala kandungan naskhah salinan pula didapati banyak
berlawanan antara satu dengan yang lain.
Kitab
Perjanjian Lama yang terdapat sekarang datangnya daripada tiga sumber, iaitu
naskhah Septuagint dalam bahasa Greek, naskhah Masoretik dalam
bahasa Hebrew (Yahudi) dan naskhah Samarithan juga dalam bahasa Hebrew.
Naskhah Septuagint merupakan terjemahan daripada naskhah dalam bahasa
Yahudi yang sudah lenyap itu. Oleh sebab kitab Perjanjian Lama itu menjadi
kitab suci orang-orang Yahudi, maka mereka mengiktiraf naskhah dalam bahasa
Yahudi sahaja dan menolak naskhak Septuagint yang diakui sah oleh
orang-orang Kristian dengan menganggapnya palsu kerana telah dipinda oleh
orang-orang Kristian. Sebaliknya orang-orang Yahudi mengakui naskhah Masoretik,
padahal naskhah itu telah lama ditulis selepas naskhah Septuagint.
Kitab
Perjanjian Baru tertua yang masih wujud hingga kini ialah naskhah yang ditulis
dalam bahasa Greek dalam kurun kelima Masehi. Bagaimanapun kandungannya banyak
yang bercanggah. Setengah daripada naskhah tersebut dinamakan Codex
Vaticanus dan Ephraemis.
Golongan
Mazhab Katholik, iaitu mazahab yang terbesar dalam agama Kristian tidak
mengiktiraf kitab Perjanjian Lama yang ditulis dalam bahasa Hebrew (Ibrani) dan
kitab Perjanjian Baru yang ada ditulis dalam bahasa Greek kerana dianggap
palsu. Sebaliknya mereka menggunakan naskhah lain yang dinamakan Vulgate yang
ditulis dalam bahasa Latin. Adapun golongan mazhab Kristian yang lain pula
menganggap bahawa naskhah Perjanjian Lama berbahasa Hebrew dan Perjanjian Baru
berbahasa Greek sebagai asli dan sah.
Timbul
pertanyaan, mengapa golongan Katholik mengiktiraf naskhah Vulgate, sedangkan
naskhah itu merupakan naskhah terjemahan, bukan naskhah asli? Naskhah tersebut
diterjemah oleh Jerome dalam kurun keempat Masehi daripada naskhah bertulis
tangan dalam bahasa Yahudi yang kini sudah hilang. Kandungannya berbeza
daripada naskhah Perjanjian Lama yang berbahasa Yahudi yang ada sekarang.
Menurut ahli sejarah, sebelum Jerome menterjemah kitab Perjanjian Lama daripada
bahasa Yahudi ke bahasa Latin, kitab tersebut telah pun diterjemah ke bahasa
Greek oleh orang lain. Tetapi naskhah tersebut yang dinamakan naskhah Septuagint
berlainan isinya daripada naskhah Vulgate. Keadaan ini jelas menggambarkan
kitab Perjanjian Lama yang dianggap wahyu Tuhan itu sudah hilang keasliannya
kerana diubah oleh tangan manusia sendiri.
Pembahagian
Kitab Suci
Pada
amnya kitab suci Kristian terbahagi kepada tiga, iaitu kanon, apokrip dan
pseudegraf. Kanon ertinya kitab-kitab suci yang diakui sah oleh gereja.
Manakala apokrip ialah kitab-kitab yang pernah dianggap sebagai kitab suci oleh
orang Kristian pada suatu ketika dulu, tetapi tidak diiktiraf oleh gereja dan
tidak dianggap kanon. Sementara pseudegraf terhad sebagai kitab suci, tetapi
tidak pernah diakui oleh seluruh gereja.
Menurut
Dr. D. D. Mulder, kitab-kitab yang termasuk dalam senarai kitab apokrip dan
pseudegraf (yang terkenal) adalah sebagaimana berikut:
Kitab
Apokrip
- Surat Ezra III
- Kitab Taubat atau Tobias
- Kitab Judit
- Kitab Hikmat Salomo
- Kitab Hikayat Jesus Sirakh
- Surat Baruch
- Kitab Makkabi I
- Kitab Makkabi II
- Kitab Makkabi III
- Doa Manasye
- Kitab Ezra IV
Kitab-Kitab
Pseudegraf
- Surat Aristeas
- Kitab Jobel-Jobel
- Mazmur-Mazmur Salomo
- Kitab Makkabi IV
- Kitab-Kitab Sibylla
- Kitab Henoch
- Kitab Mi’raj Musa
- Apokalypse Baruch
- Kitab Testement dari dua belas Patriarch
- Kitab Riwayat Adam dan Hawa
INJIL-INJIL
YANG DIAKUI
‘Injil’ ertinya khabar gembira. Dalam bahasa Yunani disebut ‘Enggelion’
dan dalam bahasa Latin disebut ‘Evangelium’. Sebelum pertengahan
abad kedua Masehi, umat Kristian cuma berpegang pada kitab Perjanjian Lama
sahaja disamping catatan-catatan mengenai ajaran Nabi Isa yang diriwayatkan
oleh murid-murid beliau dahulu kala yang banyak tersimpan dalam jemaah
Jerusalem, Antiochia, Iskandariah dan lain-lain. Catatan tersebut berbeza
antara satu dengan yang lain kerana terpengaruh oleh lingkungan persekitaran.
Pada
awal abad yang kedua Masehi barulah timbul keinginan dikalangan pemimpin agama
tersebut untuk menyamakan catatan-catatan Injil yang berbeza-beza itu dalam
satu kitab suci yang harus diakui sebagai kanon oleh seluruh umat Kristian
sebagaimana kitab Perjanjian Lama. Usaha tersebut terpaksa menmepuh jalan rumit
kerana setiap jemaah cuba mempertahankan kebenaran yang ada dalam Injil milik
mereka dan meragui Injil golongan lain kerana berlainan isinya.
Tetapi
akhirnya golongan yang kuat mengatasi golongan yang lemah dan berjaya
menentukan keputusan dengan menerima empat buah Injil karangan Matius, Markus,
Lukas dan Yahya sebagai Injil yang sah walaupun antara satu dengan yang lain
terdapat perbezaan di sana sini. Selain empat buah Injil yang tersebut diatas,
mereka juga mengiktiraf surat-surat kiriman Paulus, kitab Kisah Rasul-Rasul
karangan Lukas (seorang murid Paulus) dan Kitab Wahyu karangan Yahya sebagai
sebahagian daripada kitab Perjanjian Baru.
Injil
Matius
Injil
ini dibangsakan kepada salah seorang murid Isa bernama Matius yang juga dikenal
sebagai ‘Lawi bin Halafi’. Sebelum menjadi pengikut Isa yang kanan, dia
bertugas sebagai pemungut cukai di Kafarnahum, daerah Galilea, Palestin.
Terdapat
perbezaan pendapat tentang bahasa asal Injil ini. Ada yang mengatakan bahawa
Injil ini ditulis dalam bahasa Ibrani (Hebrew) dan ada pendapat yang mengatakan
bahawa bahasa asalnya ialah Aramik. Ibnu Petric dan Gerome berpendapat bahawa
Injil ini ditulis di Baitul Maqdis dalam bahasa Ibrani untuk dimanfaatkan oleh
pengikut-pengikut Isa dari kalangan orang-orang Yahudi. Walaupun wujud
perbezaan pendapat tentang bahasa asal Injil ini, namun semuanya sepakat bahawa
naskhah ulungnya yang ditemui ditulis dalam bahasa Yunani, tetapi lenyap.
Injil
ini merupakan lanjutan daripada Perjanjian Lama dan merupakan yang pertama
dalam urutan kumpulan kitab-kitab Perjanjian Baru. Kandungan Injil ini
dimulakan dengan memaparkan salasilah keturunan Isa yang menghubungkan beliau
dengan Nabi Ibrahim a.s. melalui Nabi Daud a.s. sebagaimana yang terdapat dalam
Perjanjian Lama. Injil ini mempunyai kekhususan mengenai ajaran Isa a.s.
sebagaimana yang terkandung dalam ‘Khutbah di Bukit’ yang panjang lebar.
Pengkritik-pengkritik
Injil menemui banyak kelemahan pada isi Injil Matius hingga mereka
meragui ketulenannya. Misalnya dalam Injil tersebut dipaparkan tentang
peristiwa hidup semula mayat wali-wali apabila Isa yang mati disalib dan
dikebumikan bangkit semula dari kuburnya, kemudian mayat-mayat yang hidup
semula itu masuk ke Kota Jerusalem dan dilihat oleh orang ramai.
Soal
tarikh penulisan Injil ini juga tidak dapat dipastikan dengan sebenarnya.
Menurut Ibnu Patric, Injil ini ditulis pada masa pemerintahan Claudius (41-54
M), manakala seorang penulis Lubnan bernama George Zwen berpendapat bahawa
Injil ini ditulis di Jerusalem dalam tahun 39 Masehi, iaitu dengan berdasarkan
pendapat Irelimus. Dr. George Post (1838-1909 M) pula berpendapat bahawa Injil
Matius ditulis sebelum kehancuran Kota Jerusalem dalam bahasa Yunani.
Perbezaan
pendapat tentang tarikh penulisan Injil ini serta bahasa asalnya memberikan
suatu gambaran bahawa tarikh sebenar dan bahasa asalnya tidak diketahui dengan
tepat. Bagaimana keadaan ini boleh terjadi pada sebuah karya yang dianggap
sebagai kitab suci?
Injil
Markus
Injil
Markus dipercayai yang tertua, tetapi
lebih pendek berbanding dengan Injil-Injil rasmi Kristian yang lain. Menurut
ahli sejarah, nama penyusun atau penulisnya ialah Yahya yang dipanggil Markus,
iaitu murid kepada murid Isa a.s. yang bernama Petrus. Ini bermakna penulis
Injil ini bukanlah salah seorang murid Isa yang dua belas. Dia berasal daripada
keluarga Yahudi yang menetap di Afrika Utara. Kemudiannya kedua-dua orang
tuanya berhijrah ke Palestin dan menetap di Jerusalem.
Seperti
Injil-Injil lain, Injil Markus banyak menerima kritikan kerana
kelemahannya. Contohnya, R.P. Rouquet mengkritik pengarangnya dengan mengatakan
bahawa dia seorang penulis yang kurang pandai bahkan yang paling lemah jika
dibandingkan dengan penulis-penulis Injil yang lain kerana tidak pandai menulis
hikayat. Dalam beberapa hikayat, ternyata Injil ini berlawanan dengan Injil
Matius dan Injil Lukas seperti yang terdapat pada hikayat mengenai
alamat Nabi Yunus a.s.
Penulis-penulis
Kristian sepakat mengatakan bahawa Injil ini ditulis dalam bahasa Yunani.
Menurut George Post dalam bukunya yang berjudul ‘Kamus al-Kitab al-Muqaddas’,
bahawa Injil Markus ditulis dalam bahasa Yunani dan beberapa
perkataannya dihurai dengan menggunakan bahasa Latin. Penulis Injil ini
sebenarnya – menurut Ibn Patric – ialah Petrus, kemudian dinisbahkannya kepada
muridnya Markus. Karya tersebut dihasilkan di bandar Rom. Jika pendapat ini
benar, maka keadaannya menjadi ganjil dan terbalik kerana lazimnya sesuatu
karya penulisan menggunakan nama guru sebagai menghormati sumbangan ilmu yang
diberi oleh guru kepada muridnya.
Selain
itu, tarikh Injil ini ditulis juga tidak diketahui dengan tepat. Ada yang
berpendapat bahawa Injil ini ditulis dalam tahun 56, 60 atau 63 Masehi dan ada
yang mengatakan bahawa Injil ini ditulis dalam tahun 61 Masehi. Walaupun Injil
ini dianggap kanun secara rasmi, namun dibahagian akhirnya (fasal 16, ayat
9-20) dianggap oleh pengkaji-pengkaji moden sebagai karya tambahan yang bukan
diadakan oleh penulis asalnya. Dengan ini Injil Markus hilang keasliannya.
Injil
Lukas
Terdapat
perbezaan pendapat tentang tempat kelahiran dan bidang kerjaya Lukas, pengarang
Injil ini. Ada yang berkata bahawa dia lahir di Antiochia dan ada pula yang
berpendapat bahawa dia berketurunan Romawi yang dilahirkan di Itali. Mengenai
bidang kerjayanya, dia dikatakan seorang doktor perubatan yang berjaya, tetapi
sesetengah ahli sejarah Kristian berpendapat bahawa dia seorang pelukis.
Walau
bagaimanapun, suatu penyataan yang tidak dapat diragukan lagi ialah dia seorang
murid Paulus dan bukan murid Isa. Dalam risalah Paulus kepada orang Kolose ada
menyebut begini;
“Salam untukmu daripada Lukas, tabib yang dikasihi dan juga
daripada Demas.”
(Kolose 4 : 14)
Begitu
juga dalam Risalah Paulus II kepada Orang Timotius ada disebut;
“Hanya Lukas ada bersamaku”
(Timotius 11, 4 : 11)
Kenyataan
ini membuktikan bahawa Lukas adalah seorang murid Paulus. Lukas menulis
Injilnya dalam bahasa Yunani dengan menyatakan tujuannya dalam mukaddimah Injil
yang bermaksud:
“Ketika ramai orang mencuba mengarang hikayat mengenai hal-hal yang
memberikan keyakinan di kalangan kita, bagaimana yang telah diserahkan kepada
kita oleh mereka yang semenjak asalnya menyaksikan dengan mata mereka sendiri,
serta menjadi pengajar kepada Injil itu, aku juga berpendapat elok bagiku yang
telah menyelidiki segala sesuatu semenjak mulanya lagi dengan rapi, menulis
untukmu dengan teratur wahai Teopilus yang mulia, supaya kamu mengetahui akan
kebenaran kalam (Injil) yang diajarkan kepadamu.”
(Lukas 1 : 1-4)
Daripada
ungkapan ayat yang disajikan oleh Lukas, tergambar kemampuannya sebagai seorang
penulis yang baik jika dibandingkan dengan Markus.
Tentang
tarikh penulisan Injil ini, para penyelidik Kristian sendiri tidak sepakat
mengenainya. Menurut Dr. Post, Injil ini ditulis sebelum kehancuran Kota
Jerusalem dan sebelum ditulis Kisah Perbuatan Rasul-Rasul. Menurut
pendapat yang kuat, Injil ditulis di suatu tempat bernama Kisriah di Palestin,
iaitu sewaktu Paulus masih dalam tawanan (58-60 M). Pendapat lain pula
mengatakan bahawa Lukas menyusun Injilnya selepas kematian Paterus dan Paulus.
Horner pula berpendapat bahawa Injil ini disusun dalam tahun 53 atau 63 atau 64
Masehi.
Tentang
isi kandungan Injil ini pula, penulisannya dikatakan berpandukan Injil
Markus dan Matius. Menurut Dr. Maurice Bucaille dalam bukunya Bible,
Quran dan Sains Moden, hikayat dalam Injil ini banyak bercanggah dengan
Injil-Injil lain. Misalnya mengenai masa kenaikan Isa ke langit. Injil ini
mengatakan bahawa kejadian tersebut berlaku pada hari Pasah, sedangkan dalam Kisah
Perbuatan Rasul-Rasul yang dikatakan ditulis oleh Lukas juga menyebut
bahawa peristiwa itu berlaku 40 hari selepas hari Pasah. Percanggahan juga
terdapat pada Injil ini dan Injil Matius mengenai salasilah keturunan
Isa.
Injil
Yahya
Pengarang
Injil ini dipertikaikan sama ada Yahya sahabat Nabi Isa a.s. atau Yahya lain.
Banyak pengarang Kristian menegaskan Injil ini dikarang oleh Yahya lain dan
tidak mempunyai kaitan langsung dengan Yahya sahabat Isa. Dalam Encyclopedia
Britannica menerangkan bahawa Injil Yahya adalah palsu kerana
penulisnya mempunyai niat untuk menimbulkan penentangan antara kedua-dua orang
sahabat Isa a.s., iaitu Yahya dan Matius.
Lama
sebelum adanya Encyclopedia Britannica, Injil ini telahpun dinafikan
ditulis oleh Yahya sahabat Isa, bagaimanapun murid-murid Yahya sahabat Isa yang
masih hidup tidak pernah menyanggah penafian itu. Ada pula yang berpendapat
bahawa Injil ini ditulis oleh beberapa orang penulis. Sebagaimana Injil
Markus, Injil Yahya juga tidak sunyi daripada tokok tambah penulis-penulis
lain seperti yang terdapat pada fasal 21, fasal 4 : 2 dan banyak lagi.
Injil
Yahya amat berlainan daripada tiga Injil
lain, bahkan dianggap sebagai alam lain oleh pengulas-pengulas Barat. Ketuhanan
Isa al-Maseh disebut dengan terang dalam Injil ini. Menurut Yusof al-Dubsi
dalam pendahuluan tafsirnya “Min Tuhfat al-Injil” bahawa Yahya mengarang
Injilnya pada akhir usianya atas gesaan pendeta-pendeta Kristian di Asia dengan
maksud menegaskan ketuhanan Isa al-Maseh yang diingkari oleh beberapa golongan
pada zaman itu. Gesaan itu dibuat kerana pada waktu itu belum ada Injil yang
menegaskan ketuhanan al-Maseh seperti yang dianuti oleh Paulus dan
pengikut-pengikutnya. Ini adalah jelas kerana penyataan tentang ketuhanan
al-Maseh tidak terdapat ketiga-tiga Injil lain yang terdahulu, padahal soal
ketuhanan adalah perkara asasi yang perlu diutamakan.
Mengapa
ketiga-tiga Injil terdahulu (Matius, Markus dan Lukas) tidak menyebut
tentang ketuhanan al-Maseh sedangkan perkara itu adalah yang paling pokok?
Apakah soal yang amat penting itu sengaja dilupakan oleh
pengarang-pengarangnya? Mengapakah dalam Injil Yahya sahaja yang
membutirkan ketuhanan al-Maseh dengan jelas? Kemusykilan ini dijawab oleh Ahmad
Syalaby dalam bukunya ‘Agama Masehi’ yang berbunyi:
“Adalah
tidak mungkin tiga Injil yang pertama itu mengabaikan satu asas yang pada
hakikatnya merupakan asas pokok dalam agama mereka, iaitu ketuhanan al-Maseh.
Kalau sekiranya ketuhanan itu mempunyai asas dalam agama Masehi, maka tidaklah
mungkin diabaikan oleh ketiga-tiga Injil tersebut. Nampaknya keraguan mengenai
ketuhanan Isa al-Maseh bukan sahaja wujud dalam penulisan-penulisan ilmiah atau
kritikan-kritikan awam, bahkan juga wujud dalam kitab suci Kristian sendiri.”
Perlu
dijelaskan di sini bahawa Injil Yahya ditulis menjelang penghujung kurun
pertama Masehi dan merupakan yang terakhir daripada empat buah Injil yang
diiktiraf oleh gereja Kristian.
Injil-Injil
yang Tidak Diakui
Menurut
sejarah, tulisan-tulisan yang memuatkan riwayat Isa yang disebut Injil amat
banyak, sehingga jumlahnya kira-kira tujuh puluh jenis. Walau bagaimanapun,
cuma empat buah sahaja yang diakui sebagai kanun dalam suatu muktamar agama
Kristian yang diadakan pada abad keempat, manakala yang lain telah menjadi
korban sejarah gereja yang dikenal dengan nama ‘Bacaan-Bacaan Rahsia’
atau ‘Apocrypha Literature’. Senarai Injil-Injil tersebut seperti yang
dicatatkan dalam Encyclopedia Britannica jilid 2 adalah seperti yang
berikut:
Injil-Injil (Gospels)
1.
Fayum
Gospel Fragment
(Fragment Injil
Fayum)
2.
Gospel
According to the Egyptions
(Injil Orang
Mesir)
3.
Protevangel
of James
(Injil Jakobus)
4.
Gospel
of According to the Hebrews
(Injil Ibrani)
5.
Gospel
of Peter
(Injil Petrus)
6.
Gospel
of Thomas
(Injil Thomas)
7.
Gospel
of the Twelve
(Injil Dua Belas)
Injil-Injil Lain
1.
Gospel
of Andrews
(Injil Andrew)
2.
Gospel
of Apeles
(Injil Apeles)
3.
Gospel
of Barnabas
(Injil Barnaba)
4.
Gospel
of Barthelomov
(Injil
Barthelomeus)
5.
Gospel
of Basilides
(Injil Basilides)
6.
Gospel
of Abinites
(Injil Ebienia)
7.
Gospel
of Eve
(Injil Eva)
8.
Gospel
of James The Less
(Injil Jakobus
Kecil)
9.
Wisdom
of Jesus Christ
(Ajaran Isa
al-Maseh)
10.
Apocryph
of John
(Rahsia
daripada Yahya)
11.
Gospel
of Judas Iscariot
(Injil Judas Iskariot)
12.
Evangelium
Vivum
(Injil Hidup)
13.
Gospel
of Marcion
(Injil Marcion)
14.
Descent
of Mary
(Keturunan
Mariam)
15.
Questions
of Mary
(Pertanyaan-Pertanyaan
daripada Mariam)
16.
Gospel
of Mary
(Injil Mariam)
17.
Gospel
of Matthias
(Injil
Matthias)
18.
Gospel
of Perfection
(Injil
Kesempurnaan)
19.
Gospel
of Philip
(Injil Philip)
20.
Gospel
of Thaddaeus
(Injil
Thaddaeus)
21.
Gospel
of Thomas
(Injil Thomas)
22.
Gospel
of Truth
(Injil Kebenaran)
Erti
Injil Bagi Orang Kristian
Menurut
kepercayaan orang-orang Kristian, Isa tidak menerima wahyu daripada Tuhan
seperti Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang lain kerana mereka mengatakan bahawa
beliau sendiri memberikan wahyu kepada Rasul-rasulnya yang dilantik menjadi
rasul secara misteri. Ini bermakna, kedatangan Isa ke bumi ini tidak membawa
kitab Injil (khabar gembira), sebab tubuh beliau sendirilah ‘khabar gembira’
yang dimaksudkan itu.
Adapun
perkataan ‘Injil’ yang diajar oleh Isa seperti yang banyak disebut dalam Bible,
bukanlah membawa erti sebuah kitab yang diwahyukan Tuhan, tetapi pada
hakikatnya perkataan itu merupakan suatu perkhabaran gembira perihal Allah yang
mengurniakan anak-Nya yang tunggal untuk dikorbankan bagi menebus dosa manusia
di samping membimbing mereka ke arah keselamatan dan kehidupan yang kekal. Jadi
jika ada pengajaran Isa yang mengajak manusia supaya beriman kepada Injil, maka
maksudnya supaya mereka beriman kepada ‘khabar gembira’ dan ‘khabar
keselamatan’ yang keluar dari mulut Tuhan sendiri yang menjelma menjadi
manusia. Demikianlah kepercayaan umat Kristian.
Adapun
Injil-Injil yang ditulis oleh Matius, Lukas dan Yahya serta surat-surat kiriman
yang ditulis oleh Paulus, semuanya itu ditulis dengan ilham Ruhulkudus dan
dianggap tulisan wahyu sebagaimana kitab-kitab suci yang lain juga.
Persoalan
yang timbul, adakah kepercayaan orang-orang Kristian seperti yang disebut itu
tidak bercanggah dengan doktrin agama mereka sendiri sedangkan dalam Injil
banyak ayat yang menunjukkanbahawa Isa menerima firman Tuhan untuk mengajar
kaum Bani Israel? Antara ayat tersebut berbunyi:
a)
Dalam Injil Yahya, fasal 7 ayat 14-16 berbunyi:
“Dan
manakala tiba di pertengahan hari raya, masuklah Isa ke dalam Haikal lalu
mengajar. Maka hairanlah orang-orang Yahudi seraya berkata: “Bagaimana orang
ini boleh memahami kitab-kitab padahal dia tidak belajar?” Jawab Isa kepada
mereka katanya: “Pengajaranku bukan daripadaku, bahkan datang daripada orang
yang mengutusku.”
b) Dalam Injil Yahya, fasal 17 ayat 6-8 berbunyi:
“Aku
telah menyatakan namaku kepada orang yang telah Engkau serahkan daripada dunia
ini. Mereka itu adalah milikMu, lalu Engkau serahkan mereka itu kepadaku, dan
mereka telah menurut firmanMu. Dan sekarang mereka mengetahui bahawa segala
sesuatu yang Engkau berikan kepadaku itu adalah datangnya dari sisi Engkau.
Kerana segala firman yang Engkau berikan kepadaku telah aku sampaikan kepada
mereka dan mereka telah pun menerimanya dan mengetahui dengan sebenarnya bahawa
aku datangnya dari sisi Engkau, dan mereka percaya bahawa Engkau sesungguhnya
telah mengutusku.”
c) Dalam Injil Yahya fasal 12 ayat 49 berbunyi:
“Kerana
aku berkata bukan dengan kehendakku, akan tetapi atas kehendak Bapa yang
mengutusku, Dia yang telah memberikan aku wasiat apa yang patut aku kerjakan
dan mereka percaya bahawa Engkau sesungguhnya telah mengutusku.”
Ayat-ayat
lain yang menerangkan hal yang sama dapat ditemui dalam Injil Yahya
fasal 12 ayat 50, fasal 14 ayat 23-24, fasal 17 ayat 14, Injil Markus
fasal 2 ayat 2 dan banyak lagi. Mafhum daripada ayat-ayat tersebut, Isa cuma
mengajar manusia apa yang difirmankan oleh Allah kepadanya. Tugas ini nampaknya
sama seperti Rasul-rasul yang diutus oleh Allah sebelum beliau, iaitu menerima
wahyu daripada Allah melalui Ruhulkudus (malaikat Jibril) dan mengajar apa yang
diwahyukan itu kepada umat manusia.