Akidah Agama Kristian

Masalah ketuhanan dalam agama Kristian menjadi isu pokok perbincangan yang sukar. Misteri mengenai ketuhanan itu amat melemahkan kedudukan agama Kristian dalam kumpulan keluarga agama-agama langit yang mengakui keesaan Tuhan. Semua Rasul termasuk Rasul-Rasul dari kalangan Bani Israel yang membawa agama wahyu menyiarkan iktikad ketuhanan yang sama, iaitu keesaan Allah, Tuhan semesta alam.

Menurut akidah Kristian, Tuhan mengandungi tiga oknum (peribadi); iaitu Tuhan Bapa (Allah), Tuhan Anak (Isa) dan Ruhulkudus. Tuhan Bapa adalah pencipta sekalian alam dan tinggal di syurga.* Tuhan Anak, iaitu Isa al-Maseh merupakan ‘Kalimah Tuhan’ yang datang ke alam dunia untuk menjadi ‘Juruselamat’ bagi menebus dosa manusia melalui pengorbanan dirinya sendiri. Adapun Ruhulkudus merupakan ‘Roh Allah’ yang boleh masuk ke dalam diri orang-orang suci (soleh).

Menurut kepercayaan orang Kristian, Isa al-Maseh adalah Anak Tuhan semenjak azali dan beliau menyerupai Bapanya yang bersifat azali juga. Tidak ada perbezaan waktu antara beliau dan Allah. Maksud Ruhulkudus pada kepercayaan mereka ialah roh Tuhan yang sentiasa turun kepada orang-orang suci terutama selepas lenyapnya Isa. Roh suci inilah yang mengunjungi Maryam dengan membawa berita gembira bahawa dia akan mengandung seorang yang akan menjadi juruselamat.

Ruhulkudus dipercayai sentiasa turun untuk menuntun dan mengajar paderi-paderi gereja setiap kali mereka menemui jalan buntu dalam masalah agama.

Konsep berbilang Tuhan sebenarnya telah banyak ditemui dalam fahaman primitif di Timur dan di Barat. Di kalangan para penyelidik, banyak yang berpendapat bahawa agama Kristian terpengaruh dengan unsur-unsur kepercayaan kuno hasil daripada campur tangan Paulus yang sememangnya mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama-agama seperti Yahudi, Mithras dan lain-lain. Pengaruh luar yang dibawa ke dalam agama Masehi itu berkemungkinan untuk menyesuaikan ajaran Kristian dengan suasana pemikiran umat wasani (yang menyembah berhala) pada zaman itu supaya mereka semua dapat menerima agama baru dengan mudah.

Oleh sebab itulah kita dapati latar belakang sejarah perwatakan Nabi Isa a.s. digubah dengan sedemikian rupa untuk menyamai tokoh-tokoh legenda zaman lampau yang menjadi objek pemujaan dalam kepercayaan kuno seperti Apollo yang didewa-dewakan oleh bangsa Greek, Hercules yang dipuja oleh bangsa Romawi, Mithras yang disembah oleh bangsa Parsi, Adoness yang dipuja oleh bangsa Syria, Qzeres, Aizes dan Hores yang dipuja oleh bangsa Mesir dan Baal yang didewa-dewakan oleh bangsa Babylon.

Ciri-ciri pensejarahan yang terdapat pada watak-watak yang tersebut di atas itu telah dipaparkan dalam sejarah Nabi Isa a.s. sehingga wujudlah unsur-unsur persamaan dari segi tarikh lahir, keadaan tempat lahir, mengharungi penderitaan hidup semata-mata kerana umat manusia, peristiwa penyeksaan jasmani, kebangkitan semula sesudah mati dan naik ke langit dan lain-lain lagi.

Sebagai perbandingan, cuba perhatikan peristiwa dalam agama Mithras yang muncul di Parsi lebih kurang enam abad sebelum Masehi. Menurut ceritanya, Mithra adalah perantara Allah dan manusia yang mana dia diutuskan sebagai penyelamat. Dia dilahirkan pada tanggal 25 Disember dalam sebuah gua atau di suatu sudut bumi. Dia menyebarkan agamanya dengan bantuan dua belas orang sahabat. Dia kemudiannya mati kerana menebus dosa manusia. Selepas mayatnya dikebumikan dia bangkit semula dari kuburnya dan naik ke langit di hadapan murid-muridnya. Penganut-penganut agama Mithras mengadakan perayaan setiap tahun, sementara upacara santapan malam yang suci adalah satu acara tradisi dalam perayaan tersebut.

Ceritera yang hampir sama juga ditemui dalam agama Baal yang muncul di Babylon beberapa abad  sebelum kelahiran agama Kristian.

Kisah Baal
Kisah Nabi Isa
  • Baal menjadi tawanan.
  • Baal dihukum secara terbuka.
  • Baal dicederakan selepas dibicarakan
  • Bersama-sama Baal ada seorang lagi yang dihukum bunuh. Menurut kebiasaan setiap tahun, salah seorang yang dikenakan hukuman mati dibebaskan, tetapi orang ramai mendesak supaya Baal dibunuh, manakala orang salah yang lain itu diampun.
  • Baal dihukum mati di sebuah bukit.
  • Selepas Baal dihukum, cuaca menjadi gelap, guruh berdentum dan orang ramai gempar.
  • Kubur Baal dikawal agar mayatnya tidak dicuri oleh para pengikutnya.
  • Disekeliling pusara Baal tuhan-tuhan perempuan menangisi kematiannya.
  • Baal bangkit dari kubur dan naik ke langit menjelang musim bunga.
  • Isa menjadi tawanan.
  • Isa dihukum secara terbuka.
  • Isa diserang selepas dibicarakan.
  • Bersama-sama Isa ada seorang penjenayah bernama Barabes yang dijatuhkan hukuman mati. Peletos mencalonkan supaya Isa diampunkan menurut kebiasaan setiap tahun, tetapi orang-orang Yahudi meminta supaya Barabes dibebaskan dan Isa dihukum salib.
  • Isa dihukum salib di sebuah bukit.
  • Selepas Isa disalib, langit tiba-tiba menjadi gelap dan gempar.
  • Kubur Isa dikawal agar mayatnya tidak dicuri oleh para sahabatnya.
  • Mariam Magdalina dan Mariam lain meratapi kematian Isa di sisi pusaranya.
  • Isa bangkit dari kubur pada hari Ahad menjelang musim bunga.



Persamaan dari segi fakta dan peristiwa yang wujud pada dua tokoh Baal – Isa menurut kepercayaan agama masing-masing tidak boleh tidak menimbulkan tanda tanya mengapa dan bagaimana terjadi sedemikian? Begitu juga banyak persamaan antara Buddha dan Isa seperti peristiwa kematian dan bangkit semula, amalan tebus dosa dan lain-lain. Demikian menurut T.W. Doane dalam bukunya Bible Mytholodgy, Edward Thomas dalam bukunya The Life of Budha dan Khawaja Kamaluddin dalam The Sources of Christianity.

Di sini ahli penyelidik berpendapat bahawa orang-orang Kristian banyak menceduk peristiwa penting daripada agama-agama terdahulu yang popular pada penilaian dan pemikiran agama dewasa itu termasuk soal-soal kelahiran tokoh pemujaan mereka, penyeksaan, kebangkitan dari kubur dan lain-lain. Sebagai contoh, upacara Santapan Malam Ketuhanan yang diamalkan dalam tradisi agama Kristian pada setiap tahun dengan memakan roti yang dianggap seolah-olah daging Isa dan meminum air anggur (arak) dengan niat meminum darah Isa dengan tujuan membebaskan diri daripada dosa, adalah resapan daripada tradisi agama Mithras yang diamalkan oleh pengikut-pengikutnya.

Mengapa terjadi sedemikian? Wajarkah agama Kristian yang diakui sebagai rangkaian agama dari langit menjadikan agama-agama wasani sebagai sumber rujukannya? Kita jangan lupa bahawa tangan Paulus telah banyak mengubah ketulenan agama Masehi seperti yang dijelaskan sebelum ini. Kerana itulah Berry dengan berani menegaskan bahawa agama Masehi adalah agama Paulus.

Konsep berbilang Tuhan yang wujud dalam kepercayaan Kristian telah menimbulkan perselisihan akidah di kalangan penganut-penganutnya. Pada peringkat awalnya tidak semua paderi Kristian sepakat dalam perkara tersebut, sebaliknya ada yang tetap mengakui keesaanTuhan dan yakin bahawa Nabi Isa a.s. adalah Rasul yang diutus untuk memimpin umat Bani Israel ke jalan kebenaran. Antara yang berfahaman demikian ialah Nistor dan pengikut-pengikutnya dari Konstantin.Menurut Nistor, Isa bin Maryam adalah seorang manusia. Penyatuannya dengan Allah Cuma dari segi kecintaan sahaja dan sebutan beliau sebagai Anak Tuhan cuma satu kiasan (majaz). Demikian juga pendirian Arius dari Mesir.

Kekalutan yang timbul akibat daripada perbezaan fahaman di kalangan paderi-paderi Kristian itu menyebabkan mereka mengadakan majlis-majlis persidangan (muktamar) bagi mencari titik pertemuan dalam soal ketuhanan dan masalah-masalah pokok yang lain dalam agama Kristian.

Sekitar Muktamar Agama Kristian
Tujuan diadakan muktamar adalah untuk membincangkan dan memutuskan semua masalah yang berbangkit mengenai agama Kristian, baik perkara pokok (usuliah) mahupun perkara cabang (furu’iyah). Majlis tersebut terbahagi kepada dua, iaitu muktamar sedunia dan muktamar tempatan. Muktamar pertama telah diadakan dalam tahun 105 Masehi di Jerusalem yang diketuai oleh Paderi Besar ‘Yakub Pesuruh’ bagi membincangkan perkara mengenai hukum berkhatan di kalangan orang bukan Yahudi. Berikut dipaparkan sebahagian daripada muktamar-muktamar penting agama Kristian yang diadakan sekitar kurun ke-4 hingga kurun ke-19 Masehi.

1.      Muktamar Nicea (325 M)
Muktamar ini diadakan atas perintah Kaisar Constantine yang ketika itu belum menganut agama Kristian bagi membincangkan isu penting, iaitu ketuhanan dalam agama Kristian. Muktamar itu disertai oleh 2 048 orang paderi Kristian dan dalam persidangan tersebut berlaku pertikaian hebat mengenai isu yang dibincangkan, iaitu mengenai ketuhanan al-Maseh yang majoritinya berpendapat bahawa beliau adalah makhluk, bukan Tuhan. Pendapat tersebut diketuai oleh Arius. Akibatnya timbullah ketegangan di kalangan peserta dan menyebabkan kaisar campur tangan dalam menyelesaikan masalah dengan memerintahkan satu majlis berasingan diadakan untuk 318 orang peserta yang terdiri daripada mereka yang menyokong pendapat mengenai ketuhanan al-Maseh. Antara keputusan yang dicapai dalam muktamar tersebut ialah:
  •  Isa al-Maseh adalah anak Tuhan yang hakiki yang bersifat qadim sama dengan zat Tuhan Bapa. Oleh itu, beliau juga Tuhan pada hakikatnya. Kedatangannya ke dunia adalah untuk menebus dosa manusia dengan mengorbankan dirinya.
  • Arius serta orang-orang yang sependapat dengannya dianggap menyeleweng daripada agama Kristian. Beliau dihukum buang negeri dan kitab-kitab karangannya dibakar kerana bertentangan dengan pendapat muktamar.
  • Orang-orang awam Kristian dilarang membaca kitab suci dan mereka mempelajari ilmu agama cuma setakat apa yang diberi oleh pihak gereja sahaja.
2.      Muktamar Sur (334 M)
Muktamar ini diadakan selepas beberapa tahun berlangsungnya persidangan Nicea dan membuat ketetapan bahawa Tuhan adalah satu dan Isa al-Maseh adalah Rasul-Nya. Ini bermakna ketetapan muktamar ini mengetepikan ketetapan yang dibuat dalam muktamar Nicea dulu. Walau bagaimanapun, ketetapan ini ditolak oleh gereja.

3.   Muktamar Konstantinopel Pertama (381 M)
Muktamar ini membuat keputusan bahawa Ruhulkudus juga Tuhan. Dengan itu sempurnalah akidah Triniti dalam agama Kristian bahawa Tuhan mempunyai tiga oknum, iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Ruhulkudus.

4.   Muktamar Ephesus Pertama (431 M)
Muktamar ini memperakui Mariam melahirkan seorang Tuhan yang mempunyai dua tabiat; tabiat ketuhanan dan tabiat kemanusiaan.

5.   Muktamar Ephesus Kedua (449 M)
Muktamar ini diadakan tidak berapa lama selepas muktamar Ephesus Pertama dan berjaya menghasilkan suatu ketetapan, iaitu al-Maseh sebenarnya mempunyai satu tabiat sahaja yang terkumpul padanya Lahut dan Nasut. Muktamar ini sependapat dengan gereja Iskandariah dan menyanggah ketetapan muktamar Ephesus Pertama.

6.   Muktamar Chalcedon (451 M)
Muktamar ini membuat ketetapan yang menyokong muktamar Ephesus Pertama mengenai tabiat Isa dan menolak ketetapan muktamar Ephesus Kedua. Muktamar ini mencetuskan pergaduhan yang hebat antara dua golongan yang berlainan fahaman sehingga Patriach Discoris dari Iskandariah bersama paderi-paderi besarnya dihalang menyertai majlis muktamar tersebut kerana fahamannya dianggap bercanggah. Sebagai hukuman, beliau dibuang ke Palestin dan mati dalam buangan.

7.   Muktamar Konstantinopel Kedua (553 M)
Muktamar kali ini membuat keputusan yang berikut:
  • Memperakui mazhab yang mengatakan bahawa Isa mempunyai satu tabiat.
  • Menolak dan mengutuk golongan yang berpegang pada tanasukh arwah.**
  • Menetapkan Isa adalah peribadi yang hakiki.
  • Mengutuk pendapat yang mengatakan bahawa Isa adalah satu peribadi khayalan semata-mata.
8.   Muktamar Konstantinopel Ketiga (680 M)
Muktamar kali ini menghasilkan ketetapan bahawa Isa mempunyai dua tabiat dan dua keinginan, iaitu sebagai sanggahan atas golongan yang berpendapat bahawa Isa mempunyai dua tabiat dan satu keinginan sahaja.

9.   Muktamar Konstantinopel Keempat (869 M)
Sebenarnya muktamar ini telah diadakan beberapa kali di Rom dan antara yang dikira penting ialah yang diadakan dalam tahun 869 Masehi. Ketetapan yang dicapai dalam muktamar ini ialah:
  • Ruhulkudus memancar daripada Tuhan Bapa dan Tuhan Anak.
  • Segala pengaduan mengenai agama Kristian hendaklah dibuat pada Gereja Rom.
  • Penganut-penganut Kristian di seluruh dunia hendaklah patuh kepada segala keputusan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh gereja Rom.
10. Muktamar Konstantinopel Kelima (879 M)
Muktamar kali ini membuat suatu ketetapan yang berlainan dari Muktamar Rom pada 869 Masehi, iaitu Ruhulkudus hanya memancar daripada Tuhan Bapa sahaja, tidak daripada Tuhan Anak.

11. Muktamar Rom (1215 M)
Muktamar ini membuat ketetapan bahawa Gereja Paus mempunyai kuasa pengampunan dosa yang boleh diberi kepada sesiapa jua, dan ‘Santapan Malam Ketuhanan’ bertukar menjadi daging dan darah Isa.

12. Muktamar Rom (1869 M)
Muktamar ini membuat ketetapan rasmi bahawa Pope adalah maksum (terpelihara daripada dosa).

Melihat kepada keputusan dan ketetapan yang dibuat dalam muktamar-muktamar agama Kristian, suatu analisa dapat dibuat bahawa umat Kristian mengalami kecelaruan yang teruk di sekitar persoalan ketuhanan sehingga ketetapan-ketetapan yang terkemudian dapat membatalkan ketetapan-ketetapan yang lepas dan ketetapan terakhir dapat pula menghidupkan kembali ketetapan yang sudah ditolak oleh ketetapan yang lalu.

Di samping itu, golongan yang kalah kerana pendapat mereka ditolak, terdedah kepada ancaman penganiayaan daripada golongan yang kuat seperti dihalau, dibuang negeri atau dibunuh sebagaimana terjadi kepada Arius dan pengikut-pengikutnya, manakala kitab-kitab mereka pula dibakar. Semuanya berlaku dengan campur tangan pemerintah yang sememangnya mempunyai motif politik.

Sejarah telah menerangkan bahawa iktikad Tuhan Triniti telah dipaksa ke atas penganut-penganut Kristian dan mereka dikehendaki melupakan tauhid yang menjadi teras kepercayaan agama-agama dari langit yang dibawa oleh rasul-rasul terdahulu. Arahan yang dikuatkuasakan menerusi ugutan dan ancaman itu telah menamatkan pertikaian mengenai ketuhanan dalam ajaran Kristian. Mereka yang masih berpegang pada akidah tauhid terpaksa menutup mulut sampai ke akhir hayat dan tidak kurang pula yang membawa diri ke daerah-daerah yang jauh untuk mengelakkan penindasan dan kekejaman.

Bagi pemerhati-pemerhati luar yang bersimpati pada peristiwa-peristiwa malang yang menimpa umat Kristian, mungkin timbul berbagai-bagai persoalan seperti:
  • Adakah Nabi Isa a.s. lupa atau gagal memahamkan pengikut-pengikutnya akan hakikat ketuhanan dan membiarkan mereka mencari-cari atau menentukan siapa dan berapakah Tuhan dengan sendiri?
  • Adakah keterangan-keterangan yang terdapat dalam Bible belum cukup untuk menerangkan soal ketuhanan kepada penganut-penganut Kristian sehingga menyebabkan mereka berselisih pendapat mengenainya dan kemudian terpaksa mengadakan perhimpunan demi perhimpunan bagi menentu dan melantik Tuhan dengan secara mengundi, bagaimanapun keputusan menang diberi kepada suara yang sedikit seperti yang terjadi dalam Muktamar Nicea?
  • Dimanakah letaknya maruah keagamaan dalam menentukan keputusan yang muktamad mengenai Tuhan sama ada satu, dua atau tiga, maka kuasa pemutus daripada orang bukan Kristian, iaitu Kaisar Constantine diterima dan dikira sah di sisi agama Kristian? Bukankah ganjil, orang yang tidak percayakan Tuhan Allah dan ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. diberi kepercayaan untuk menentukan soal ketuhanan yang dia sendiri kufur dengannya?
  • Persoalan tersebut sepatutnya dijawab oleh pendeta-pendeta Kristian seperti Pope, Bishop, Patriach atau paderi kerana menurut tradisi Kristian cuma orang-orang gereja sahaja yang mempunyai kewibawaan dalam memutuskan persoalan-persoalan mengenai agama. Adapun orang lain wajib mematuhinya sahaja.
Sesungguhnya pertikaian akidah yang berlaku terhadap umat Kristian berlarutan sampai ke hari ini. Oleh itu, tidak hairan jika terdapat banyak cerdik pandai Kristian yang meragui konsep Tuhan Triniti. Selain itu, mereka juga berani mengkritik konsep tersebut melalui penulisan ilmiah mereka tanpa gentar kepada pihak gereja yang mungkin menghukum mereka sebagai murtad, sesat dan sebagainya. Kegagalan ajaran Kristian dalam memantapkan keyakinan dan iman penganutnya berhubung dengan soal ketuhanan yang dianggap misteri itu menyebabkan banyak yang memeluk agama Islam setelah mereka menemui sesuatu yang dicari oleh akal mereka selama ini. Pengalaman seumpama ini pernah berlaku kepada pendeta-pendeta Kristian seperti Abdul Ahad Daud, bekas seorang paderi yang memeluk agama Kristian dan kemudiannya menghasilkan buku berjudul Al-Injil Wassalib, Muhammad al-Hashimi pengarang buku Al-Adyan Kafatil Mizan, Ibrahim Khalil Ahmad bekas uskup Gereja Asyut, Mesir dan ramai lagi.

* - Fahaman tentang syurga di kalangan umat Kristian ialah suatu tempat yang tidak alamiah (supernatural), atau suasana kekudusan yang dalam bahasa Inggeris disebut heaven
** - Tanasukh arwah (incarnation) ertinya berpindah daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain. Menurut kepercayaan orang-orang Kristian bahawa roti dan arak yang dimakan dalam upacara Santapan Malam Ketuhanan akan bertukar menjadi daging dan darah Nabi Isa. Dengan itu mereka menjadi bersebati dengan Nabi Isa dan ajarannya.

والله أعلم

لا عزة إلا بالإسلام

1 comment:

  1. Kerana kamu TIDAK mengerti,Semoga TUHAN mengampuni kamu.Amen

    ReplyDelete