Asal Usul Agama Kristian

Agama Kristian atau Masehi lahir di bumi Jerusalem kira-kira empat belas abad selepas kemunculan agama Yahudi yang dianuti oleh bangsa Israel. Orang-orang Arab menyebutnya agama Nasara (orang Melayu pula menyebutnya Nasrani) bersempena dengan tempat Isa a.s. dilahirkan, iaitu Nasirah (Nazereth). Agama tersebut pada peringkat awalnya tidak mempunyai apa-apa nama, bahkan hanya disebut sebagai ‘ajaran Isa’ sahaja. Selepas ketiadaan Isa a.s., barulah agama tersebut dikenal dengan agama Masehi atau dalam bahasa Inggeris disebut Christian.

Perkataan al-Maseh (Christ) bererti Juru Selamat. Menurut kepercayaan bangsa Israel, al-Maseh akan datang menyelamatkan mereka daripada belenggu perhambaan, penindasan dan cengkaman bangsa-bangsa lain serta memimpin mereka ke arah kesejahteraan yang berterusan. Dalam sejarah Bani Israel, harapan kedatangan al-Masih (Massiah) terlalu tinggi, terutama pada zaman pemerintahan Kaisar Augustus, iaitu pada sekitar seratus tahun sebelum Palestin diperintah secara mutlak oleh bangsa Rom. Penderitaan hidup yang dialami oleh kaum Yahudi di bawah penjajahan Rom pada zaman itu menyebabkan mereka amat mengharapkan kemunculan al-Maseh dengan segera sehingga ada yang meninggalkan urusan keduniaan dan menumpukan masa dengan beribadat semata-mata sebagai persediaan untuk menyambut kemunculan al-Maseh seperti yang diisyaratkan dalam kitab suci mereka, iaitu Taurat.

Walau bagaimanapun, bagi kaum Bani Israel yang masih kukuh menganut agama Yahudi, kedatangan Nabi Isa a.s. tidaklah dianggap Massiah yang ditunggu-tunggu, sebaliknya beliau dianggap sebagai pembawa ajaran palsu yang mesti dihapuskan. Oleh sebab itulah mereka memburu Isa dan pengikut-pengikutnya dengan segala kekuatan yang ada untuk melenyapkan pengaruhnya di bumi Yahudi.

Siapa Isa
Isa (Jesus) adalah seorang yang berketurunan Bani Israel dari tanah Galilea. Beliau ialah putera Mariam yang dilahirkan tanpa bapa. Latar belakang Mariam dan keluarganya diterangkan dengan terperinci dalam al-Qur’an, teristimewa dalam Surah Mariam. Menurut riwayat al-Qur’an, Mariam berketurunan Imran. Dia seorang gadis perawan yang diberi didikan agama yang tinggi, mempunyai budi pekerti yang mulia, serta kuat berpegang kepada ajaran agama.

Semenjak kecil lagi Mariam diserahkan oleh ibunya kepada Nabi Zakaria untuk dibesar dan dididik dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya bagi membolehkannya berbakti kepada rumah Allah, iaitu Baitul Maqdis dan mengabdikan diri kepada Allah. Penyerahan itu dilakukan sebagai menunaikan nazarnya dulu, iaitu sekiranya dia dikurniakan anak lelaki, anak itu akan diserahkan untuk berkhidmat di Baitul Maqdis. Tetapi Allah Yang Maha Mengetahui telah mengurniakan anak perempuan yang bakal menjadi ibu kepada seorang nabi yang terbilang kepadanya. Walaupun anak yang dilahirkannya itu perempuan, namun nazarnya tetap disempurnakan juga.

Semenjak kecil lagi Mariam telah menunjukkan ketinggian akhlak dan rajin beribadat di bawah bimbingan bapa angkatnya, iaitu Nabi Zakaria a.s. yang menjadi imam di Baitul Maqdis. Selain itu, Tuhan sentiasa melimpahkan rezeki kepadanya. Setiap kali Nabi Zakaria masuk ke bilik Mariam, beliau mendapati ada makanan yang tersedia. Keadaan ini membuat beliau berasa hairan.

Didikan yang sempurna yang diterima oleh Mariam adalah sebagai persediaan untuk memikul suatu tugas yang amat berat. Cabaran yang akan ditempuh oleh Mariam bukanlah kerana dia dipilih untuk mengandung seorang yang bakal menjadi Nabi Bani Israel bagi menyambung risalah Rasul-rasul terdahulu. Tetapi cabaran itu berupa cemuhan, ejekan dan penghinaan yang akan dilemparkan oleh masyarakat Yahudi terhadap dirinya kerana dituduh melakukan perbuatan sumbang sehingga mengandung dan melahirkan anak di luar nikah.

Cubalah bayangkan betapa beratnya penyeksaan jiwa yang ditanggung oleh perempuan solehah seperti Mariam apabila dilemparkan dengan tuduhan keji yang amat memalukan itu. Hanya orang yang mempunyai keimanan yang kuat sahaja mampu menghadapi ujian tersebut.

Pada suatu hari, ketika Mariam bersendirian, datanglah Jibril (Ruhul Kudus) yang menyamar sebagai seorang lelaki yang tampan. Jibril menemuinya dan memperkenalkan diri: “Sesungguhnya aku adalah utusan Tuhanmu. Tuhanmu akan mengurniakan seorang putera suci kepadamu.” Dengan suara yang meninggi Mariam menjawab, “Bagaimana saya akan memperoleh seorang putera sedangkan saya tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun dan saya bukanlah perempuan lacur.” Jibril menerangkan kepada Mariam bahawa perkara tersebut mudah sahaja bagi Allah dan akan menjadi tanda kekuasaan Tuhan bagi seluruh umat manusia di bumi ini. Kisah dialog antara Jibril dan Mariam dapat diikuti dalam al-Qur’an, Surah Mariam ayat 19-21.

Ia berkata: "Sesungguhnya Aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci". (19) Mariam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?" (20) Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya. (21)
Selepas Jibril memberikan penerangan tentang tujuan kedatangannya serta menjawab pertanyaan-pertanyaan yang ditimbulkan oleh Mariam, beliau pun meniup roh ke dalam badan Mariam. Dengan itu, Mariam pun hamil.

Ketika sedang hamil, Mariam meninggalkan Baitul Maqdis dan kembali ke al-Nasirah (Nazereth) dan tinggal seorang diri di sebuah rumah kecil untuk mengelakkan diri daripada pandangan orang ramai. Perasaannya sentiasa cemas memikirkan keadaan dirinya yang sedang mengandung tanpa bersuami. Apakah yang akan terjadi sekiranya berita kehamilannya itu diketahui orang ramai. Berat batinnya menanggung perasaan yang semakin hari semakin cemas kerana saat-saat kelahiran bayi itu semakin hampir. Tapi oleh sebab semuanya berlaku dengan kehendak Allah, maka segala-galanya dihadapi dengan penuh tabah dan sabar.

Apabila sampai tempohnya, terasalah oleh Mariam bahawa dia akan melahirkan seorang anak, lalu keluarlah dia dari desa itu dan singgah di bawah sebatang pokok yang sudah kering. Di sinilah dia melahirkan putera yang comel tanpa ditemani oleh sesiapa pun. Hatinya sungguh riang melihat anak yang baru dilahirkan itu, tetapi fikirannya diburu oleh lamunan yang mendebarkan apabila memikirkan akibat yang bakal dihadapi seandainya peristiwa itu diketahui oleh kaumnya. Terlintas di hatinya lebih baik mati sahaja sebelum itu.

Di tengah-tengah kegelisahan yang hebat itu, tiba-tiba terdenga suara Jibril menyerunya supaya jangan bersedih kerana sesungguhnya Tuhan telah menyediakan sebuah mata air yang mengalir di bawah tempat duduknya sebagai minumannya. Manakala di atas kepalanya tersedia buah kurma yang masak ranum sebagai makanannya. Jika digoncang pangkal pokok itu, nescaya gugurlah buahnya. Kemudian jika bertemu dengan manusia yang melemparkan berbagai-bagai pertanyaan dan tuduhan atas dirinya, dia hanya perlu berdiam diri sahaja kerana segala-galanya akan diterangkan oleh bayi itu sendiri.

Berita Mariam yang belum bersuami tiba-tiba melahirkan anak telah menggemparkan masyarakat Yahudi termasuk keluarganya sendiri. Dengan itu timbullah tuduhan bahawa Mariam melahirkan anak luar nikah. Peristiwa itu memang telah diduga sejak dulu lagi dan tuduhan tersebut disanggah oleh Mariam dengan membisu seribu bahasa sebagaimana yang diajar oleh Jibril kepadanya, sebaliknya mengisyaratkan kepada bayi yang ada dalam pangkuannya supaya memberikan penjelasan yang sebenarnya. Dengan izin Allah, bayi yang masih kecil itu dapat berkata-kata dengan fasih dan memberikan penerangan kepada orang yang menuduh ibunya:

“Aku hamba Allah. Ia memberiku kitab suci dan menjadikan aku seorang Nabi. (30) Ia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana-mana jua aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan mengeluarkan zakat selama hidupku. (31) Ia juga memerintahkan aku supaya berbudi kepada ibuku dan Ia tidak menjadikan aku sombong dan derhaka. (32) Dan kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada waktu aku dilahirkan, pada ketika aku dimatikan dan juga pada hari aku dibangkitkan semula. (33)
(Surah Mariam : 30-33)
Demikianlah Allah s.w.t. mengurniakan kemampuan bertutur kepada Isa yang masih bayi untuk membuktikan kesucian ibunya kepada orang ramai. Menurut ulama Islam, kebolehan bertutur yang dikurniakan kepada bayi Mariam yang masih kecil itu sekadar untuk menjelaskan kedudukan diri mereka berdua yang sebenar, kemudian bayi itu kembali seperti keadaan bayi biasa yang tertakluk pada proses tabii perkembangan dan pembesaran insan.

Pengurniaan kebolehan yang luar biasa oleh Allah kepada Isa a.s. di peringkat bayi itu amat besar hikmahnya. Salah satu daripadanya termasuklah untuk membantu meringankan beban cabaran dan penderitaan yang ditanggung oleh Mariam kerana mengandung anak tanpa melalui proses tabii manusia. Ekoran daripada itu dia dilemparkan dengan berbagai-bagai tuduhan yang bukan-bukan. Kedua, untuk mematah dan melenyapkan prasangka buruk yang ditimbulkan oleh masyarakat Yahudi terhadap peribadi Mariam yang tidak berdosa. Hal ini kerana peristiwa luar biasa yang berlaku kepada dirinya itu bukanlah dengan ikhtiarnya, tetapi dengan kehendak Allah s.w.t.

Riwayat Isa Menurut Kristian
Menurut riwayat Kristian, Nabi Isa dilahirkan pada zaman pemerintahan Raja Herodes, iaitu raja Yahudi yang bernaung di bawah kekuasaan penjajah Rom. Pada waktu itu Rom diperintah oleh Kaisar Augustus. Kebetulan pada waktu itu Kaisar Augustus mengeluarkan perintah supaya mengadakan bancian ke atas penduduk di wilayah-wilayah jajahannya. Untuk menyempurnakan perintah tersebut, semua penduduk dikehendaki pulang ke tempat asal masing-masing. Oleh itu, Yusof bersama tunangnya, Mariam yang sedang mengandung meninggalkan desa Nasirah yang berada dalam wilayah Galilea dan menuju ke Baitul Laham (Bathleham) dalam kawasan Judea. Setibanya di sana, Mariam pun melahirkan seorang anak lelaki.

Pada suatu hari, Raja Herodes diberitahu tentang kunjungan tiga orang pendeta Majusi dari Parsi ke Jerusalem dengan membawa harta yang banyak. Mereka bertanya khabar tentang seorang bayi yang baru lahir yang bakal menjadi raja Yahudi. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk mempersembahkan harta itu kepada bakal raja tersebut. Raja Herodes memerintahkan tiga orang pendeta Parsi supaya menghadapnya untuk bertanya tentang tujuan kunjungan mereka ke bandar Jerusalem. Pendeta-pendeta tersebut memberitahu raja bahawa mereka melihat sebutir bintang muncul di sebelah Timur dan bergerak sampai ke Jerusalem. Menurut firasat mereka, pergerakan bintang sakti itu mengisyaratkan kelahiran seorang bayi yang bakal menjadi raja orang-orang Yahudi.

Apabila mendengar berita itu, Raja Herodes memerintahkan pendeta tersebut mencari bayi yang dimaksudkan itu dan melaporkan hal itu kepadanya jika mereka menemuinya. Maka pergilah pendeta itu mencari bayi tersebut dengan panduan bintang sakti yang bergerak di langit sehingga sampai ke Baitul Laham. Di sana mereka menemui bayi bertuah itu dan mempersembahkan harta sambil memberikan penghormatan kepadanya sebagai seorang raja. Selepas itu mereka terus pulang ke Parsi tanpa menemui Raja Herodes kerana mereka tahu bahawa raja tersebut mempunyai niat jahat, iaitu untuk menghapuskan bakal raja Yahudi itu.

Hijrah ke Mesir
Pada suatu malam, Yusof an-Najar bermimpi seorang malaikat datang kepadanya dan menyuruh dia membawa anak kecil dan Mariam berpindah ke Mesir kerana Raja Herodes hendak membunuhnya (Matius 2: 13). Perintah itu dilaksanakan dengan segera oleh Yusof.

Raja Herodes amat kecewa dan murka kepada pendeta-pendeta Majusi kerana memungkiri janji mereka. Oleh itu, Raja Herodes mengeluarkan perintah supaya membunuh semua anak lelaki di Baitul Laham yang berumur dua tahun ke bawah, semata-mata untuk menghapuskan bakal raja Yahudi yang diramalkan itu. Dia bertindak demikian kerana bimbang takhtanya jatuh ke tangan raja baru yang akan muncul itu. Bagaimanapun Yusof dan keluarganya kembali semula ke Nasirah selepas kematian Raja Herodes.

Kehidupan Awal Isa
Telah menjadi kelaziman kepada orang Yahudi menghantar anak mereka mempelajari ilmu agama dan pengetahuan-pengetahuan lain mengenai Judaisme ke Kota Suci Jerusalem. Tetapi Yusof tidak mampu menghantar Isa ke Jerusalem kerana miskin. Namun demikian Yusof dan Mariam yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang baik berusaha mendidik Isa dengan memberikan ilmu pengetahuan agama di samping membentuk jiwanya supaya menjadi seorang pemuda yang mempunyai akhlak yang tinggi dan mulia. Ternyata didikan yang diterima oleh Isa daripada keluarganya di rumah memberikan kesan rohaniah yang positif, sehingga dalam usia yang masih remaja beliau kuat beribadat.

Pada suatu ketika, Yusof berkesempatan membawa Isa melawat ke Kota Jerusalem. Lawatan itu telah lama menjadi impian Isa untuk menyaksikan suasana kekudusan kota suci itu yang menjadi kota kebanggaan orang-orang Yahudi dengan matanya sendiri. Malangnya kota yang dianggap bertuah itu rupa-rupanya indah khabar dari rupa. Rumah ibadat yang suci itu telah dikotori dengan kegiatan untuk mendapatkan rezeki dengan cara mudah dan keadaan menjadi kelam kabut. Kekecewaan Isa bertambah-tambah lagi apabila mendengar syarahan agama yang disampaikan oleh pendeta agung Yahudi kerana isi huraian yang diberikan itu berbelit-belit dan susah untuk difahami. Pengajaran yang ada dalam kitab suci, walaupun maksud asalnya senang, tetapi sengaja dipayahkan dan bersimpang siur.

Kehidupan Isa pada peringkat awal adalah biasa jua, tetapi beliau mempunyai kecerdasan akal yang tinggi serta luas pengetahuan agama. Beliau amat sensitif kepada kaumnya yang berada dalam kesesatan dan menyimpang daripada ajaran Taurat akibat perbuatan ahli-ahli agama Yahudi yang memperalat agama untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Seruan Isa
Menurut riwayat Kristian, Isa memulakan seruannya selepas dibaptis oleh Yahya, pembaptis di Sungai Jordan. Mengikut Injil Matius, sejurus selepas beliau dibaptis, maka terbukalah langit lalu terlihat roh Allah turun seperti seekor burung merpati ke atasnya. Maka kedengaran suatu suara dari langit berkata:

“Inilah dia anakku yang Aku cintai, kepadanya Aku menyukai”
(Matius 3:17)
Selepas itu Isa dibawa oleh roh itu ke padang pasir untuk mendapat ujian daripada Iblis. Di sana Isa berpuasa siang dan malam selama empat puluh hari dengan menanggung lapar dan dahaga. Ketika itulah iblis datang menggoda Isa, tetapi kekuatan iman dan ketabahan hati Isa menyebabkan Iblis tidak berjaya menggodanya. Beliau kemudiannya pulang ke Galilea dan memulakan dakwahnya untuk menyeru bangsa Israel kepada agama Allah.

Dalam melaksanakan tugas kerasulan itu, Isa memilih dua belas orang sahabatnya yang terdiri dari kalangan murid-muridnya yang setia. Mereka itu adalah:

    1.  Simon yang terkenal Petrus
    2.  Andreas saudara Simon
    3.  Yakub anak Zabdi
    4.  Yahaya saudara Yakub
    5.  Philips
    6.  Bartolomius
    7.  Tomas
    8.  Matius pemungut cukai
    9.  Yakub anak Alfius
    10. Labbaos yang bergelar Tadius
    11. Simon orang Kanani
    12. Judas Iskariut

Kumpulan dua belas sahabat Isa itu disebut sebagai Rasul atau utusan Isa menurut agama Kristian. Manakala al-Qur’an menamakan mereka ‘Hawariyyun’. Mereka bertanggungjawab membantu menyebarkan ajaran Isa a.s. ke merata-rata kawasan yang ditentukan oleh Isa. Isa juga berpesan kepada mereka supaya menyampaikan tabligh itu di kalangan Bani Israel sahaja. Selain itu, mereka pula dilarang menyeru orang kafir dan memasuki negeri orang Samaria. Ini bermakna ajaran Isa ditujukan khusus kepada orang-orang Bani Israel sahaja, bukannya kepada bangsa lain, walaupun mereka itu beragama Yahudi sebagaimana orang-orang Samaria.

Di Galilea, ramai penduduk telah menjadi pengikut Isa. Adakalanya beliau menyampaikan dakwah di atas perahu di Tasik Galilea, sementara orang ramai mendengar penerangannya sambil berdiri di tebing tasik itu. Tidak berapa lama kemudian, nama beliau tersebar ke merata-rata tempat hingga ke Kota Jerusalem. Kedatangan beliau ke kota tersebut disambut dengan meriah oleh penduduk-penduduknya. Tugas pertama yang dilakukannya setelah tiba di kota itu ialah membersihkan rumah ibadat suci daripada kegiatan jual beli yang meraih keuntungan dengan memperdagangkan pengorbanan atas maksud agama. Beliau dan pengikut-pengikutnya bertindak mengusir penjual wang dan burung-burung merpati yang dibeli dibebaskan oleh pengunjung-pengunjung rumah ibadat itu dan melingkupkan kerusi meja tempat menjual perkara-perkara tersebut sambil berkata:

“Telah tersurat bahawa rumahku akan disebut rumah tempat berdoa, tetapi kamu menjadikannya gua perompak.”
(Matius 2 : 13)
Kecaman yang pedas juga ditujukan kepada pendeta-pendeta agama Yahudi kerana menyeleweng daripada ajaran agama yang sebenar, bersikap berpura-pura, mementingkan diri dan sukakan sanjungan daripada orang ramai. Mereka menyintai duniawi lebih daripada tugas keagamaan dan mengutamakan hukum yang kecil-kecilan daripada perintah yang besar-besar. Kerana sikap kepura-puraan dalam agama, Isa tidak segan-segan menyebut golongan tersebut sebagai ‘munafiq’. Kecaman yang dibuat oleh beliau mengejutkan golongan ahli agama Yahudi yang bermegah dengan jubah yang panjang meleret, kerana selama ini tidak ada yang berani mengkritik mereka, apa lagi mengecam tindak tanduk mereka yang sombong itu. Ini adalah satu kenangan pahit yang menggemparkan orang Yahudi.

Mukjizat Nabi Isa
Mukjizat adalah suatu pemberian Allah kepada Rasul-rasul-Nya yang berupa kejadian atau peristiwa luar biasa yang mencarikkan adat dan melemahkan segala ikhtiar serta kepandaian manusia. Tujuan Allah menganugerahkan mukjizat kepada Rasul-rasul adalah untuk menjadi bukti bahawa mereka adalah utusan-Nya yang benar. Lazimnya mukjizat yang diberikan kepada Rasul-rasul mengikut hal-hal yang terkenal dalam masyarakat mereka seperti sihir pada zaman Nabi Musa, ilmu tabib pada zaman Nabi Isa dan ilmu balaghah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Sesuai dengan keadaan Nabi Isa a.s., Allah mengurniakan baginda beberapa mukjizat seperti menghidupkan orang mati, mencelikkan orang buta, menyembuhkan penyakit sopak, menghidupkan burung yang dibuat daripada tanah liat dan sebagainya lagi. Semua kejadian itu mengatasi kepakaran ilmu tabib yang ada pada zaman itu, lebih-lebih lagi mukjizat menghidupkan orang mati dan burung daripada tanah liat yang tentunya di luar kemampuan segala kepandaian manusia biasa, kerana perkara itu membabitkan soal roh yang rahsianya hanya ada pada Allah.

Baik al-Qur’an mahupun Injil rasmi orang Kristian, semuanya mengakui wujudnya mukjizat Nabi Isa a.s. walaupun pendekatan al-Qur’an berbeza dengan Injil. Al-Qur’an menggambarkan mukjizat Nabi Isa a.s. sama dengan mukjizat nabi-nabi lain kerana tujuannya seperti yang tersebut di atas, dan kejadian yang berlaku itu semuanya dengan keizinan Allah jua. Ini bermakna mukjizat Nabi Isa tiada lain, melainkan untuk membuktikan bahawa beliau adalah seorang Rasul yang diutuskan Allah. Matlamat tersebut tersirat dalam nas al-Qur’an yang menerangkan peristiwa tuntutan sahabat-sahabat Isa yang disebut ‘Hawariyyun’ supaya beliau membawa hidangan dari langit sebagai bukti kerasulannya;


“(Ingatlah), ketika pengikut-pengikut Isa berkata: “Wahai Isa putera Mariam, sanggupkah Tuhanmu menurunkan hidangan dari langit kepada kami?” Isa menjawab: “Bertaqwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang yang beriman.” Mereka berkata: “Kami ingin memakan hidangan itu supaya tenteram hati kami dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan hidangan itu.” Isa Putera Mariam berdoa: “Wahai Tuhan kami! Turunkanlah kepada kami suatu hidangan dari langit (yang hari turunnya) akan menjadi hari raya bagi kami iaitu bagi orang-orang yang bersama-sama kami dan yang datang sesudah kami, dan menjadi tanda kekuasaan Engkau, berilah rezeki kepada kami, dan Engkaulah pemberi rezeki yang paling utama.”
(Al-Ma’idah : 111-114)
Tetapi Injil Kristian memberikan gambaran yang keterlaluan mengenai mukjizat Isa sehingga menampakkan kesibukan beliau memenuhi tuntutan orang ramai supaya menggunakan mukjizatnya untuk menghidupkan orang mati yang begitu ramai dan menyembuhkan berbagai-bagai jenis penyakit. Untuk menambahkan kehebatan mukjizat Isa lagi, orang Kristian percaya bahawa Isa berkuasa mengurniakan mukjizat kepada sahabat-sahabatnya dan juga kepada gereja (Pope). Pengakuan seumpama itu dibuat oleh pendeta Paulus Ilyas dengan mengatakan bahawa antara keistimewaan Isa yang tidak dapat ditandingi oleh nabi-nabi dan rasul-rasul lain ialah beliau berkuasa memberikan mukjizat kepada muridnya dan mewariskan kuasa itu kepada gereja (Pope).

Persoalannya, adakah benar Pope yang ada sekarang mewarisi mukjizat Nabi Isa? Sepanjang yang diketahui, Pope tidak pernah melakukan sesuatu yang mencarikkan adat, apa lagi menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang sakit dan sebagainya. Jika benar Pope mempunyai mukjizat, mengapa dia tidak menggunakannya dalam usaha menyebarkan agama Kristian ke merata-rata dunia supaya orang ramai percaya akan kebenaran Kristian? Untuk apa Pope menyimpan mukjizat jika benarlah dia ada mukjizat, sehingga menyebabkan badan-badan Kristian terpaksa mencurahkan wang yang amat besar untuk menyeru dan menarik manusia kepada agama Kristian?

Sikap Orang Yahudi Terhadap Seruan Isa
Isa a.s. diutuskan sewaktu orang-orang Yahudi sedang hanyut dalam arus kebendaan dan mengabaikan soal-soal kerohanian yang dituntut oleh agama mereka. Di samping itu, telah timbul suatu kefahaman yang menganggap bahawa para rahib adalah perantaraan manusia dan Tuhan.

Bani Israel menganggap bahawa bangsa mereka sebagai aristokrat agama yang mempunyai kedudukan tertinggi di sisi Tuhan, sedangkan bangsa-bangsa lain adalah rendah walaupun sama-sama menganut agama Yahudi. Oleh sebab itulah mereka menganggap bahawa bangsa Samaritan yang beragama Yahudi seperti bangsa buangan yang hina.

Dalam keadaan yang serba pincang itu datanglah Nabi Isa a.s. menyeru bangsa Israel supaya kembali ke jalan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa dalam Tauratnya dan nabi-nabi yang diutus selepasnya serta mengikis tabiat yang bercanggah dengan ajaran agama seperti memandang rendah sesama manusia, mendewa-dewakan rahib dan pembesar-pembesar agama lebih daripada sepatutnya, mengutamakan hukum agama yang kecil-kecil dan meninggalkan hukum yang asasi kerana dirasakan berat dan banyak lagi. Ternyata seruan yang disampaikan oleh Isa telah menimbulkan penentangan, terutama di kalangan pendeta-pendeta agama, pembesar-pembesar Yahudi dan orang-orang kaya. Mereka memandang Isa sebagai musuh besar yang akan meruntuhkan kekuasaan dan kedudukan mereka. Untuk mengekang pengaruh Isa, mereka membalas serangan dengan tohmahan yang bukan-bukan. Lantaran itu, sebahagian besar orang Yahudi enggan menurut seruan Isa, kecuali sebahagian kecil sahaja, kerana terpengaruh dengan kata-kata rahib mereka yang cemburu dan dengki kepada beliau.

Tidak cukup setakat itu, mereka bermuafakat mencari jalan untuk menghapuskan ajaran Isa di bumi Yahudi itu sama sekali. Suatu perjumpaan telah diadakan di Balai Kayafas yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin agama untuk merancang pembunuhan Isa. Rancangan jahat itu telah ditangguhkan selepas hari raya supaya segala-galanya dapat diatur dengan rapi. Suatu jalan yang baik telah ditemui dan pembunuhan itu seharusnya dilakukan mengikut undang-undang sah supaya kelak tidak menimbulkan konflik dengan kerajaan yang memerintah pada waktu itu. Jadi pembunuhan hendaklah dilakukan oleh pemerintah sendiri melalui penguatkuasaan undang-undang, seperti yang dilakukan kepada penjenayah-penjenayah yang lain.

Untuk menyempurnakan rancangan tersebut, orang-orang Yahudi menghasut pembesar-pembesar Rom supaya turut membenci serta memainkan peranan untuk menanam benih kebencian dalam diri orang-orang Romawi terhadap Isa. Tetapi pemerintah Rom tidak berminat untuk campur tangan dalam soal-soal keagamaan yang terjadi di kalangan orang-orang Yahudi itu. Lagipun tidak ada jalan bagi pemerintah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Isa kerana dakwaan beliau langsung tidak menyentuh urusan politik kenegaraan. Sikap dingin yang ditunjukkan oleh pemerintah mengecewakan orang-orang Yahudi, lantas mereka menggunakan tipu muslihat yang berupa fitnah dengan mengatakan bahawa Isa sedang merancang gerakan bawah tanah untuk menggulingkan pemerintah Rom.

Berakhirnya Riwayat Isa
Menurut riwayat Kristian, pada suatu malam, Isa a.s. dan dua belas orang sahabatnya berkumpul di suatu tempat kerana santapan Paska. Dalam majlis itu, beliau menerangkan bahawa salah seorang daripada sahabatnya itu akan membantu pihak musuh menangkapnya. Mereka bertanya kepadanya siapakah orang yang dimaksudkan itu. Beliau mengisyaratkan bahawa orang yang mencelup tangan ke pinggan serentak dengan beliau, itulah yang akan membantu pihak musuh. Maka orang yang berbuat demikian ialah Judas Iskariut.

Pada malam Isa ditangkap, beliau dan sahabat-sahabatnya berkumpul di Taman Getsemani. Beliau duduk agak jauh sedikit daripada sahabatnya kerana berdoa kepada Allah, sementara mereka yang lain terlena kerana terlalu mengantuk. Pada waktu itu datanglah tentera Rom bersama orang Yahudi, lalu mengepung tempat persembunyian mereka dengan didahului oleh Judas.

Judas memberikan isyarat kepada mereka bahawa siapa yang akan diciumnya, maka itulah Isa dan tangkaplah. Dia menghampiri Isa dan menciumnya, lalu beliau pun ditangkap. (Matius 26 : 47-51)

Orang-orang Kristian mempercayai bahawa Isa Anak Allah ditangkap dan dianiaya dengan teruk sebelum menemui ajal di kayu salib. Menurut Injil Matius, semasa di Balai Pengadilan, Isa dipakaikan jubah berwarna ungu dan mahkota duri serta memegang sebatang tongkat buluh. Beliau diberikan penghormatan olok-olok sebagai ‘raja Yahudi’, kemudian mukanya diludah dan kepalanya dipukul dengan tongkat buluh yang ada di tangannya sendiri. Selepas itu jubah tersebut ditanggalkan dan beliau dibawa ke tempat penyaliban di Bukit Golgota. Di sana beliau diberi minum air anggur yang bercampur hempedu, tetapi beliau enggan meminumnya. Setelah disalib, maka kira-kira pukul tiga berserulah Isa dengan suara yang nyaring katanya:

“Eli, Eli, lama sabaqhtani!” Ertinya: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau meninggalkan aku.”
(Matius 7 : 27-46)

Setelah Isa mati, Gabenor Pilatus membenarkan seorang yang bernama Yusof dari negeri Arimatea mengambil mayatnya dan mengebumikannya di perkuburan Yusof sendiri (Matius 27 :59-60). Beberapa hari kemudian, Isa dikatakan hidup kembali dan keluar dari kuburnya lalu menuju ke Galilea untuk menemui sebelas orang sahabatnya. Adapun Judas, setelah Isa dijatuhkan hukuman mati, maka terasalah betapa besar kesalahannya terhadap Isa kerana dialah orang yang bertanggungjawab menyebabkan Isa tertangkap. Sebagai menunjukkan penyesalannya dia mengembalikan wang upah kepada orang Yahudi lalu menggantung dirinya sampai mati.




Injil Barnaba meriwayatkan bahawa apabila Judas (Yahuza) mengetahui tempat Isa berada bersama-sama muridnya, maka pergilah dia menemui ketua pendeta dan katanya; 

“Jika tuan memberi saya apa yang telah tuan janjikan itu, maka malam ini juga saya serahkan Isa ke tangan tuan yang tuan cari-carikan itu, kerana dia memencilkan diri bersama-sama sebelas orang sahabatnya.” Jawab ketua pendeta, “Berapakah yang engkau mahu?” Jawab Judas, “Tiga puluh keping emas.” Ketika itu juga ketua pendeta itu segera menghitung wang kepadanya.
(Barnaba 214 : 2-7)
Selepas itu, operasi menangkap Isa pun dijalankan. Isa a.s. yang sedang sembahyang terdengar suara orang ramai lalu segera masuk ke dalam rumah dalam ketakutan, sedangkan sebelas orang sahabatnya semuanya tidur dengan nyenyak. Untuk menyelamatkan Isa a.s., Allah mengutuskan malaikat-malaikat-Nya untuk mengambil beliau melalui jendela di sebelah selatan.
(Barnaba 215 : 1-5)
Judas yang telah belot itu menyerbu ke dalam rumah dan bertanya kepada kawan-kawannya di mana Isa berada. Ketika itu juga Tuhan mengubah rupa dan suaranya seperti rupa dan suara Isa. Kawan-kawannya yang baru sedar daripada tidur hairan dengan pertanyaan itu kerana mereka menyangka orang yang bertanya itulah sebenarnya Isa. Lebih menghairankan lagi apabila dia mengaku bahawa dirinya adalah Judas Iskariut sedangkan rupanya bukan Judas tetapi Isa. Dalam keadaan begitu, masuklah tentera dan menangkap Judas, manakala sahabat-sahabat yang lain sempat lari untuk menyelamatkan diri.

Menurut Injil Barnaba lagi, lelaki yang dikenakan hukuman mati di palang salib ialah Judas pengkhianat, bukannya Isa, kerana baginda telah diselamatkan Allah dan ditempatkan di langit yang ketiga. Adapun Injil rasmi Kristian menyatakan bahawa Isa ditangkap dan disalib hingga mati. Selepas dikebumikan mayatnya hidup kembali bersama beberapa mayat orang suci yang lain, kemudian berjalan masuk ke Kota Jerusalem dan disaksikan oleh orang ramai. Empat puluh hari kemudian beliau diangkat naik ke langit di Bukit Zaiton dengan disaksikan oleh ibu dan sahabatnya.

Al-Qur’an menafikan Isa dibunuh dan disalib, tetapi tragedi tersebut dikelirukan (disamarkan) kepada musuh, sedangkan mereka sendiri ragu-ragu. Walaupun al-Qur’an tidak menerangkan peristiwa penyaliban Isa a.s. secara terperinci, tidak menyebut ke mana beliau diangkat, serta tidak membutirkan bagaimana cara beliau diselamatkan daripada hukuman salib, tetapi soal pokok telah diterangkan dengan jelas, iaitu Isa tidak disalib dan tidak mati kerana itu. Ini bermakna orang yang dikenakan hukuman salib dan mati di tiang salib, bukan Isa sebenarnya.

Nas al-Qur’an ini mempunyai persamaan dengan riwayat Injil Barnaba yang menerangkan bahawa Isa tidak disalib sebagaimana sangkaan orang-orang Yahudi dan orang Kristian, tetapi orang yang menerima hukuman itu sebenarnya Judas pengkhianat yang diubah rupa dan suaranya oleh Allah supaya menyerupai rupa dan suara Isa. Mungkin ada orang yang hairan dan merasa mustahil bagaimana rupa Judas dengan tiba-tiba boleh bertukar menjadi rupa Isa a.s.? Kalau Allah dapat mencipta Isa tanpa bapa, maka apalah yang perlu dihairankan jika Allah sekadar mengubah rupa paras dan suara seseorang dalam sekelip mata? Perkara itu amat mudah bagi-Nya.

Penindasan ke Atas Umat Kristian
Zaman penindasan merupakan zaman penderitaan dan zaman dukalara yang menjadi sejarah pahit bagi umat Kristian. Zaman tersebut bermula dari kelahiran ajaran Isa dan berterusan hingga beberapa abad kemudian. Penindasan dan penyeksaan bukan sahaja datang daripada kekejaman orang-orang Yahudi yang tidak senang dengan kemunculan ajaran Isa, malah datang juga daripada pemerintahan Rom kerana bimbang kalau-kalau kelahiran Isa akan membawa bencana kepada kestabilan politik mereka di tanah jajahan Palestin. Lantaran itu, sebelum dugaan itu menjadi kenyataan, pengaruhnya perlulah dibasmikan hingga ke akar umbinya.

Pada zaman pemerintahan Gailes (37-41M) dan Claudius (41-54M) ramai pengikut Isa menjadi mangsa kekejaman pemerintah sehingga ramai yang menemui maut. Menurut riwayat, antara penyeksaan yang dilakukan oleh Kaisar Nero (54-68M) terhadap pengikut-pengikut Isa ialah mencampakkan mereka ke arah anjing setelah tubuh mereka disarungkan dengan kulit binatang dan ada yang dibakar dan dijadikan obor untuk menerangi jalan raya pada waktu malam. Penyeksaan yang ngeri berlaku pada zaman pemerintahan Kaisar Tranjanus (98-117M), Kaisar Decius (249-252M) dan Kaisar Deocletias (284-305M).

Bentuk penyeksaan bukan sahaja berupa ancaman fizikal, bahkan juga penyeksaan jiwa. Mereka dipaksa melakukan berbagai-bagai perbuatan yang menghina pegangan yang dianut oleh mereka seperti mempersembahkan korban kepada dewa yang dipuja oleh bangsa Rom, meninggalkan amalan-amalan agama, mencaci Isa, memaksa mereka supaya murtad dan perbuatan-perbuatan lain yang merosakkan kepercayaan agama, termasuk membakar kitab-kitab suci dan sebagainya. Pada zaman kelam kabut itulah kitab Injil yang tulen telah lenyap, samada musnah di tangan musuh umat Kristian atau lenyap dalam persembunyian orang Kristian sendiri.

Tekanan dan penindasan yang berterusan menimpa umat Kristian pada kurun awalan sudah cukup untuk melemahkan serta menggugat ajaran yang baru muncul, lebih-lebih lagi masa yang diperuntukkan kepada Isa bagi menyampaikan tablighnya cuma kira-kira tiga tahun sahaja. Bayangkanlah bagaimana biji benih yang mula bertunas dan baru berakar dapat mempertahankan dirinya daripada ribut kencang yang melanda tempat semaiannya?

Kesan Penindasan Terhadap Agama Kristian
Penindasan yang begitu lama, iaitu lebih kurang 313 tahun yang dialami oleh umat Kristian memberikan kesan yang besar terhadap ajaran Isa selepas peninggalannya. Akibatnya, ajaran yang suci itu amat terdedah kepada penyelewengan di tengah-tengah gelombang angkara Yahudi dan Romawi yang bersatu menghala gerakan penentangan terhadap, lebih-lebih lagi orang-orang Yahudi terkenal dengan kepintaran mereka dalam kerja-kerja seumpama itu.

Tempoh kerasulan Nabi Isa a.s. yang singkat, iaitu lebih kurang tiga tahun menjadi salah satu faktor yang menyebabkan ajarannya mudah lenyap dalam penyelewengan yang dilakukan oleh musuh-musuhnya dan juga tenggelam dalam zaman penindasan seperti yang dinyatakan sebelum ini. Itulah sebabnya penulisan Injil-injil rasmi Kristian tidak ada satu pun yang mempunyai sandaran untuk menyokong kesahihannya. Hal ini diakui sendiri oleh pendeta-pendeta agama Kristian bahawa kehilangan perkara tersebut akibat zaman malapetaka yang menimpa mereka pada zaman awal. Demikian dinyatakan oleh Syeikh Khalil Rahman dari India dalam bukunya yang berjudul ‘Izhar al-Haq’.

Selain itu, kesan penindasan itu juga membawa perubahan besar kepada watak, sikap dan pemikiran umat Kristian. Ajaran Isa yang bersifat menuntun jiwa manusia kepada kehalusan budi dan semangat toleransi yang tinggi seolah-olah tidak dihargai lagi oleh orang Kristian, malahan mereka menjadi pendendam, cemburu, pendengki, prasangka dan ganas, bukan sahaja terhadap orang-orang bukan Kristian, malahan terhadap sesama mereka yang berlainan fahaman akidah. Perubahan ini berlaku setelah mereka menjadi umat yang kuat dan menguasai pemerintahan negara.

Sejarah telah mencatatkan bahawa setelah pengaruh Kristian menjadi kuat, maka muncullah persatuan-persatuan revolusioner atas nama agama Masihi seperti Persatuan Salib Suci di Torinne yang berfungsi untuk membasmi saki baki mulhid dari kalangan orang-orang Romawi. Akibatnya banyaklah darah yang mengalir dan nyawa yang melayang tanpa perikemanusiaan dan merupakan sekejam-kejam peristiwa yang pernah tercatat dalam sejarah.

Penindasan dan penyiksaan atas sesama orang-orang Kristian pula berlaku ekoran daripada perbezaan fahaman mengenai ketuhanan al-Maseh, triniti dan lain-lain. Mereka yang menjadi mangsa kekejaman baru itu ialah penganut ajaran Isa yang tulen yang menolak kepercayaan berbilang Tuhan seperti yang diyakini oleh golongan Kristian yang terpengaruh dengan ajaran Paulus. Jadi golongan Kristian Pauluslah yang pesat berkembang dan menyeksa golongan yang satu lagi itu kerana mereka dianggap sebagai petualang.

Pada abad keempat (336M), Arius yang menolak fahaman ketuhanan Isa telah dianggap bersalah. Oleh itu, buku-bukunya telah dibakar dan orang ramai dilarang mengikut ajarannya yang dianggap menyeleweng itu. Bukan setakat itu sahaja, malahan hukuman bunuh akan dikenakan ke atas sesiapa yang didapati menyembunyikan buku-buku karya Arius dan pengikut-pengikutnya. Begitu juga penyeksaan telah dikenakan ke atas pendeta besar Mesir bernama Benyamin oleh pihak gereja dengan cara membakar badannya dengan lilin dan mencabut giginya kerana menentang keputusan muktamar Calcenodia yang berpendapat bahawa Isa al-Maseh mempunyai dua tabiat, iaitu tabiat ketuhanan dan tabiat kemanusiaan.

Pendeknya, kekejaman yang tidak berperikemanusiaan telah diambil alih oleh gereja untuk menghapuskan orang yang dianggap berdosa dan kafir kerana menolak fahaman agama yang diputuskannya. Lazimnya hukuman mati didahului dengan bermacam-macam penyeksaan seperti memukul, menyeterika tubuh dengan besi panas, membakar anggota badan dan lain-lain lagi. Tindakan itu diambil untuk memaksa mangsa supaya mengaku kesalahan mereka. Menurut kajian sejarah, di Sepanyol terdapat seramai 31 000 orang yang telah dicampakkan ke dalam api dan lebih daripada 290 000 orang pula telah dikenakan hukuman berat yang hampir membawa maut.

Dalam kurun yang ke-13 Masihi, Gereja Katholik di Rom telah menjalankan rancangan pemaksaan atas orang-orang bukan Kristian supaya memeluk agama Kristian. Rancangan tersebut dikenal sebagai ‘inquisition’, manakala semua orang dimestikan memeluk agama Kristian tanpa pilihan. Sesiapa yang didapati enggan berbuat demikian, maka maut padahnya. Inquisition yang dilaksanakan oleh orang-orang Kristian dalam usaha mengembangkan agama mereka di kalangan umat manusia berlangsung selama lebih kurang 200 tahun dan mengorbankan sejumlah mangsa yang ramai.

Menurut Joseph Gaer dalam bukunya yang berjudul ‘How The Great Religions Began’ terbitan The American Library New York 1960, andainya lelaki atau perempuan dan juga kanak-kanak menolak agama Kristian, mereka akan diseksa hingga mati. Menurutnya lagi, kekejaman yang dilakukan di bawah rancangan tersebut lebih hebat jika dibandingkan dengan bentuk penyeksaan yang dialami oleh orang-orang Kristian pada zaman sebelum pemerintahan Konstantin. Penyeksaan yang dilakukan termasuk membakar mangsanya hidup-hidup dengan api yang perlahan, dihimpit dengan benda yang berat dan sebagainya.

Peristiwa yang ngeri dan menyayat hati itu telah menimpa penduduk Netherland dalam tahun 1568. Dalam peristiwa itu berjuta-juta manusia, termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak dibunuh dengan kejam atas perintah Dewan Gereja. Dalam tahun 1572, Kota Paris telah bermandi darah apabila berlaku tragedi pembunuhan kejam ke atas orang-orang Kristian Protestan yang dilakukan oleh orang-orang Kristian Katholik. Pada mulanya orang-orang Kristian Protestan dijemput ke Paris oleh pihak Gereja Katholik atas alasan untuk menyelesaikan masalah dan mengadakan kompromi. Malangnya mereka dibunuh beramai-ramai ketika sedang tidur. Hutang darah itu kemudiannya ditebus pula oleh orang-orang Kristian Protestan dengan berbagai-bagai kekejaman selepas mereka mempunyai kekuatan.

Demikianlah kesuburan agama Kristian yang ada pada hari ini dibina dengan pengaliran darah, air mata dan timbunan abu mayat. Nilai-nilai kasih sayang, kehalusan budi dan semangat perikemanusiaan yang tinggi yang dibawa oleh Isa dalam ajarannya telah terbuang kerana orang-orang Kristian sendiri mempunyai watak kejam, dendam dan ganas dalam kehidupan mereka yang sebenarnya.

والله أعلم

لا عزة إلا بالإسلام

2 comments:

  1. Ni kalilah...baca dan fahamilah..bolehlah jg di jadikan untuk menambah lagi ilmu di dada kita yg tak seberapa ni kan

    ReplyDelete
  2. Teruk jg korang hentam agama kristian ni kan...ala la..takpe lah...dlm bible ada ckap ampunkanlah mereka kerana mereka tak tahu apa yg mereka perbuat

    ReplyDelete