Wanita, Tahukah Kamu Bahawa Kamu Itu Sangat Berharga?



Ketahuilah bahawa, makhluk yang paling saya sayangi di atas dunia ini adalah wanita.

Percaya? Saya bukan nak main gula-gula di sini. Tetapi saya serius menyatakannya. Ketahuilah bahawa, makhluk yang paling saya sayangi di atas dunia ini adalah wanita.

Mengapa?

Jika yang lelaki bertanya, saya mungkin memahami. Tetapi wanita, jika kamu yang bertanya, maka saya kehairanan.

Apakah kamu tidak tahu mengapa saya menyayangi kamu? Adakah kamu tidak menyedari betapa istimewanya kamu?

Aku dari rahim seorang wanita.

Kalau difikirkan semula, tiada lelaki yang dilahirkan selain dari rahim ibu melainkan Nabi Adam AS. Perhatikanlah sultan, pemerintah, perdana menteri, laksamana tentera, pegawai, jurutera, doktor, doktor falsafah, genius, semuanya dilahirkan dari perut seorang wanita.

Saya, dari rahim seorang wanita juga.


Tiada manusia dilahirkan hebat. Mereka semua dilahirkan sebagai manusia biasa. Tetapi biasanya manusia-manusia hebat ini mempunyai ibu yang hebat di sisi mereka. Yang mendidik dan memberikan suasana kepada mereka semenjak kecil.

Mengapa pula saya tidak menyayangi wanita? Mengapa pula saya tidak mengambil berat terhadap mereka? Dari rahim mereka lahirnya pewaris masa hadapan!

Sekiranya saya membiarkan wanita rosak, dirosakkan, merosakkan diri mereka, maka sama sahaja dengan saya membiarkan masa depan dunia hancur, gelap, kelam dan hitam.

Jangan lupa, dari rahim wanita juga lahirnya penderhaka, penjenayah, perogol, pencuri, yang ingkar kepada Allah, pembohong, dan banyak lagi manusia-manusia yang mencorakkan dunia dengan kehitaman. Hatta Barrack Obama dan George Bush  juga lahir dari perut seorang wanita.

Sekiranya wanita yang menggendong masa hadapan dunia selama 9 bulan 9 hari ini rosak, di mana masa hadapan dunia?

Mustahil saya tidak menyayangi wanita. Maka tiadalah harapan yang saya inginkan, melainkan wanita juga menyayangi diri mereka dan menjaga peribadi mereka daripada perkara yang Allah larang dan murka.

Wanita sayap kiriku

Saya hendak berkahwin dengan siapa? Mustahil dengan lelaki. Baik macam mana pun saya dengan mereka, mustahil saya akan berkahwin dengan mereka.

Saya akan berkahwin dengan seorang wanita.

Mustahil saya tidak menyayangi kaum ini. Yang menjadi isteri-isteri dan pendamping kepada lelaki. Yang menjadi pengawal kepada segala rahsia seorang lelaki. Yang menjadi guru kepada anak-anak seorang lelaki. Yang menjadi penenang dan penyejuk mata serta pendamai jiwa seorang lelaki.

Kestabilan seorang wanita, menjamin kestabilan seorang lelaki.

“Apabila enta bangun tidur dan melihat isteri enta di sebelah, enta akan merasakan keajaiban penciptaan Allah SWT” ~ Pakcik Rosdi. Dan dia berkata dalam keadaan tersenyum. Hidupnya bahagia dengan ketenangan isterinya: Cikgu Maimunah

Maka mustahil saya hendak membiarkan wanita rosak, dirosakkan atau merosakkan diri mereka sendiri. Kerana mereka adalah penjaga-penjaga lelaki di satu sisi. Suami-suami memerlukan isteri-isteri yang solehah, yang baik, yang taat kepada Allah dalam rangka hendak membangunkan ummah.

Tidak dinafikan isteri-isteri juga memerlukan suami-suami yang baik. Tetapi bukan sedikit lelaki yang berubah kerana cinta seorang wanita. Maka mengapa wanita tidak mempersiapkan diri mereka lebih sedikit untuk mengubah seorang lelaki dengan cinta?

MasyaAllah

Saya amat menyayangi wanita. Maka tiadalah harapan saya melainkan wanita menyayangi diri mereka sendiri. Menjaga diri dari kerosakan. Menjaga diri dari kemungkaran. Mempersiapkan diri menjadi hamba Allah yang taat. Buat apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang.

Maka amat menyedihkan saya jika…

Bila sayang, akan datang ambil berat. Semestinya demikian. Saya amat hairan kalau seseorang itu menyatakan sayang kepada si fulan: “Aku sangat menyayangimu” kemudian dia melemparkan si fulan itu ke dalam api. Mustahil itu adalah sayang.

Maka kerana sayang itu jugalah saya akan terluka apabila melihat wanita-wanita berkeliaran tanpa menutup aurat. Kerana sayang itu jugalah saya akan tercedera apabila melihat ada wanita-wanita tidak menjaga maruah mereka dan berpeleseran dengan lelaki tanpa segan silu. Kerana sayang itu jugalah saya akan terasa apabila melihat wanita-wanita menayangkan akhlak buruk mereka. Kerana sayang itu jugalah saya akan tercucuk dengan wanita yang tiada rasa malu pada diri mereka.

Kalaulah wanita tahu bahawa mereka memegang nasib dunia. Mereka bakal ibu dan isteri. Ibu kepada anak dan isteri kepada suami. Nyatakan kepada saya bagaimana mereka ini tidak memberikan kesan kepada dunia? Semestinya mereka ini memberikan kesan. Dan kesan yang diberikan oleh kamu wahai wanita, bukannya sedikit bahkan besar.

Sudah wujud di dalam sejarah, kerajaan hebat jatuh kerana seorang wanita. Sudah wujud di dalam sejarah, abid hebat jatuh kerana seorang wanita.

Sebab itu saya sangat menyayangi wanita dan sering memikirkan mereka.

Apakah wanita-wanita memikirkan diri mereka sendiri?

Jika sayang ini tidak berbalas, tidak mengapa. Tetapi…

Jika sayang ini tidak berbalas, tidak mengapa. Bukan tujuan saya menulis artikel ini untuk disayangi wanita. Tetapi tujuan saya menulis artikel ini supaya wanita menyayangi diri mereka sendiri.

Maksud sayang pada saya adalah = Hendak masuk syurga bersamanya.

Maka kalau tak nak masuk syurga dengan saya, at least kamu kenalah rasa hendak masuk syurga dengan diri kamu wahai wanita. Maka jagalah diri, persiapkan peribadi. Kamu pemegang masa hadapan dunia. Dan tiada yang memberikan kesan lebih besar terhadap dunia selain kamu wahai wanita.

Kalaulah kamu tahu betapa sejuknya mata ini melihat wanita-wanita yang berakhlak. Kalaulah kamu tahu betapa senangnya jiwa ini melihat wanita-wanita yang pemalu. Kalaulah kamu tahu betapa seronoknya kalbu ini melihat wanita-wanita yang menutup aurat. Kalaulah kamu tahu betapa tenangnya diri ini melihat wanita-wanita yang menjaga batas pergaulan.

Wahai wanita, tidakkah kamu memandang diri kamu berharga?

Maka jangan murahkan.

Siapkan dirimu untuk menggoncang masa hadapan dengan keimanan dan ketaatan.

Bukan dengan kehancuran dan kerosakan.

Sungguh, saya merayu di sini. Agar kamu mencintai diri sendiri.

 لا عزة إلا بالإسلام

No comments:

Post a Comment