Tasawwur Tarbiah Islamiah


Penekanan tarbiah yang syumul dalam harakah islamiah adalah merupakan elemen yang penting dalam mencapai matlamat tajdid islami. Penekanan tarbiah ini bukan semata-mata dalam bentuk teori malah ia juga berbentuk 'amal yang melahirkan 'amal-amal' yang teguh di kalangan ahli. Tarbiah yang syumul akan menjelaskan lagi peranan setiap ahli jemaah yang berjuang untuk mencapai tajdid islami.
Tajdid islami ialah satu perjuangan untuk menegakkan kembali Islam dalam bentuknya yang asal dan suci. Ia juga bertujuan membangkitkan umat Islam agar menghayati prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam serta membina kembali kehidupan mereka sejajar dengan tuntutan Islam. Ia adalah satu perubahan daripada belenggu jahiliyyah kepada keadilan islam.

Usaha-usaha untuk menegakkan kembali Islam ini berlaku sejak daripada zaman Rasulullah sehinggalah ke hari ini. Ini telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadithnya:

"Allah akan membangkitkan untuk umat ini, pada permulaan setiap seratus tahun, seorang yang akan memperbaharui keadaan deen-Nya"
 (Hadith Riwayat Abu Daud)

Tarbiah yang menyentuh masalah fitrah manusia telah dimulakan dengan menekankan kepercayaan kepada Allah serta menolak kepercayaan kepada Ilah-Ilah yang selain daripadaNya. Hasil penerimaan Uluhiyyati dengan sepenuh-penuhnya oleh generasi unik ini telah menjadi model kepada masyarakat Islam sehingga ke hari ini terutamanya kepada golongan yang menyertai Harakah Islamiah. Allah s.w.t. telah memuji mereka di dalam al-Quran:

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu mengajak kepada maaruf, dan kamu mencegah kepada yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah"
(Ali-'Imran:110)
Tasawwur Tarbiah

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah pada jalanNya, supaya kamu mendapat keuntungan."
(Al-Maa'idah:35)
Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menyuruh kita mencari segala jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya demi untuk mencari keredhaanNya. Terdapat dua perkara yang menjamin survival Islam di atas muka bumi iaitu amal maaruf nahi munkar dan jihad fi sabilillah.

Kedua-dua perkara ini memungkinkan setiap orang hidup dalam sistem Islam di mana seluruh urusan negara dilaksanakan atas dasar undang-undang Islam.

Untuk melahirkan generasi pengasas ini memerlukan kepada tarbiah yang mantap dan jitu. Tarbiah adalah segala usaha yang dilakukan untuk membawa kita ke arah mengabdikan diri kepada Allah secara sempurna. Di atas dasar untuk memenuhi saranan ayat di atas inilah kefahaman tarbiah ditegakkan. Lantaran itu, segala usaha yang melibatkan pendidikan, pengalaman, penglibatan dalam dakwah, persekitaran dan lain-lain usaha yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah adalah tarbiah.

Kepentingan serta perjalanan proses tarbiah dapat dilihat dari beberapa kisah di dalam al-Quran dan Sirah, contohnya:

a) Kisah Luqman mendidik anaknya (Luqman:12-19)
b) Kewajipan ar-Rasul bertahajjud di dalam memikul "qaulan thaqila" (Tafsir Surah Al-Muzammil)
c) Para sahabat yang dididik seperti Mus'ab bin Umair dan Ibnu Maktum r.a. yang dihantar ke Madinah 
    untuk menyampaikan ajaran Islam. Setiba Rasulullah s.a.w. di Madinah, Rasulullah terus membina sebuah 
    sekolah dan melantik Abdullah Ibnu Said Ibn Alias untuk mengajar mereka menulis.

Sifat-Sifat Tarbiah 

1. Proses tarbiah yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. adalah merupakan suatu proses yang Rabbani seperti 
    firman Allah s.w.t. agar segala perencanaan serta bahan tarbiah mestilah dirumuskan dari Al-Quran dan 
    As-Sunnah:

 
 "Demi bintang ketika terbenam, kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru; dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Quran) menurut kemahuan nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)."
(An-Najm:1-4)

2. Disepanjang perjuangan baginda Rasulullah s.a.w, sistem tarbiah yang dibawanya sentiasa menekankan 
    persoalan pokok iaitu aqidah manusia. Kerap kali sifat-sifat Allah s.w.t. diterangkan di dalam al-Quran 
    untuk mengingatkan manusia tentang perhubungan mereka denganNya, kerana tanpa hubungan ini, 
    sia-sialah amalan mereka.

3. Sistem tarbiah yang digariskan Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. adalah syumul iaitu bersifat menyeluruh, 
    merangkumi segala aspek amalan-amalan yang membolehkan kita mencapai keredhaan Allah.

4. Proses perlaksanaan tarbiah mestilah dijalankan mengikut kemampuan para du'at dan mad'u. Al-Quran 
    sendiri Allah turunkan peringkat demi peringkat.

5. Bahan tarbiah juga hendaklah mempunyai sifat tawazzun iaitu seimbang.

Matlamat Tarbiatul Islamiah

Hakikat Tarbiatul Islamiah adalah untuk membina satu ummah yang muttaqin, bertaqarrub kepada Allah serta mempunyai taaluqbillah yang kuat.
Maksud taaluqbillah ialah hidup dan matinya dan segala amalan seseorang itu hanyalah untuk Allah s.w.t. bersesuaian dengan firman Allah s.w.t.:

"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama yang lurus."
(Al-Bayyinah:5)
Sesungguhnya tarbiatul islamiah bertujuan melahirkan insan-insan yang muttaqin dan ciri-ciri mereka termasuklah sifat-sifat yang benar-benar cintakan Allah. Di samping itu juga mereka benar-benar takut dan benci jika dilemparkan ke dalam neraka. Ingatan mereka kepada akhirat mendorong mereka supaya sentiasa beramal untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengelakkan perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaanNya. Mereka merasakan bahawa Islam itu adalah nikmat Allah. Maka kemasukan mereka ke dalam Islam serta penyerahan mereka kepada Allah adalah suatu yang diamalkan dengan penuh lengkap serta tidak berbelah bagi.

Tarbiatul Islamiah juga bermatlamat untuk melahirkan insan-insan yang benar-benar menghayati perjuangan. Sifat-sifat mereka ini termasuklah seperti yang diterangkan dalam ayat al-Quran:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar."
(Al-Hujurat:15)
Elemen Penting Tarbiah Islamiah

Bagi mencapai matlamat yang telah digariskan seperti di atas, terdapat elemen penting yang perlu diambil kira. Elemen penting dalam tarbiah islamiah tersebut ialah:
  a) Tauhidullah (mengesakan Allah s.w.t)
  b) Nubuwwah (berlandaskan apa yang dibawa oleh para nabi)
  c) Al-Hasyr dan Al-Jaza' (hari manusia dikumpul dan diberi pembalasan)

Jenis Tarbiah
Berdasarkan kepada elemen tarbiah islamiah inilah menyebabkan tarbiah perlu dilaksanakan di setiap peringkat supaya menepati elemen di atas. Jenis tarbiah yang perlu dilengkapkan oleh umat Islam ialah:

  a) Tarbiah 'aqliyyah
  b) Tarbiah ruhiyyah
  c) Tarbiah jasadiyyah
  d) Tarbiah siasiyyah

Unsur-Unsur Yang Boleh Membawa Kepada Keberkesanan Tarbiah

Individu
Individu itu sendiri merupakan unsur yang paling utama kerana dialah yang menentukan samada dia tunduk ataupun tidak kepada perintah Allah s.w.t. FirmanNya:

"Iaitu bagi sesiapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus."
(At-Takwir:28)
Bi'ah (persekitaran)
Keadaan persekitaran amat penting dalam proses tarbiah kerana ianya memberi kesan kepada jiwa manusia dari semasa ke semasa bagi melahirkan corak manusia atau masyarakat yang dirancangkan. Manusia sebagai makhluk yang sering lupa selalu terpengaruh dengan suasana di sekelilingnya; samada kesannya baik atau tidak sesuai dengan masyarakatnya. Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tidak ada dari anak-anak terkecuali lahir dari fitrah maka dua ibu bapanya yang menyebabkan ia menjadi Yahudi atau Nasrani."
(Muttafaqun 'alaih)
Penglibatan
Usaha untuk mempertingkatkan keimanan seseorang itu termasuklah tugas untuk menjalankan tugas dakwah, satu tugas yang ditutut Allah:
"Katakanlah: "Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang beriman yang mengikutku mengajak (kamu) kepada Allah hujjah yang nyata. Maha Suci Allah, tiada termasuk orang-orang musyrik."
(Yusuf:108)

Mas'ul
Kepentingan mas'ul dalam keberhasilan tarbiah terletak kepada kemampuannya sebagai pemimpin, pembimbing dan pendidik setiap ahli yang dipimpin. Rasulullah s.a.w. yang mendapat cahaya bimbingan daripada Allah telah berjaya melahirkan sebuah generasi yang agung lagi mulia.
Sesungguhnya pemimpin harus memiliki dua rukun iaitu: Quwwah dan Amanah.

"Sesungguhnya orang yang paling baik untuk bekerja itu adalah yang kuat lagi amanah"
(Al-Qashaash:26)
Kesimpulan
Kejayaan sesuatu jemaah bergantung kepada kejayaannya dalam menyusun tarbiah. Perlulah diingat bahawa perkara-perkara yang diterangkan di atas adalah merupakan panduan dan bukanlah faktor penentu kepada kejayaan tarbiah yang dimainkan oleh sesuatu jemaah. Kejayaan sesuatu tarbiah bergantung kepada kesungguhan yang dimainkan oleh ahli-ahli dalam jemaah itu sendiri bi iznillah.

Segitiga Bermuda Tempat Munculnya Dajjal?

Salah satu daripada sekian banyak tanda-tanda kiamat, sebagaimana disampaikan Rasulullah s.a.w. adalah munculnya dajjal, pada suatu masa nanti. Dajjal digambarkan sebagai makhluk bermata satu dan suka menyebarkan fitnah. Ia juga mengaku dirinya sebagai tuhan. Akibatnya, ramai umat manusia yang menjadi rosak akhlaknya kerana terpedaya oleh tipu daya dan fitnah dajjal ini. Ia hanya mampu dikalahkan oleh Nabi Isa a.s.

Kerana itu, Rasulullah s.a.w. senantiasa berdoa agar dijauhkan daripada fitnah Dajjal. "Ya Allah, aku berlindung dari seksa neraka, azab kubur, fitnah hidup dan saat kematian datang, serta fitnah dajjal."

Dalam pelbagai hadisnya, Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya, agar berhati-hati terhadap dajjal.

"Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada fitnah di muka bumi ini yang lebih dahsyat daripada dajjal. Dan Allah s.w.t. tidak mengutus seorang rasul atau nabi pun kecuali ia memperingatkan umatnya terhadap kemunculan dajjal. Aku adalah Nabi terakhir, dan kamu sekalian adalah umat terakhir pula. Dajjal pasti keluar dari tengah-tengah kalian. Jika ia keluar sedang aku ada di antara kalian, maka aku akan mengalahkannya dengan hujah dan kemampuanku. Jika ia keluar setelah aku tiada, maka setiap seorang akan menjadi penolong dirinya sendiri untuk mengalahkan musuhnya. Allah adalah penggantiku bagi setiap Muslim, ..." (HR Ibnu Majah, Ibn Khuzaimah dan al-Hakim).

Dimanakah dajjal itu akan muncul, bila masa kemunculannya, bagaimana rupanya, sehebat apa kekuatannya, berapa umurnya, dan di mana tinggalnya? Itulah berbagai pertanyaan yang sering diungkapkan ramai orang mengenai kemunculan dajjal tersebut.

SEGITIGA BERMUDA
Menyebut kata 'segitiga bermuda', maka akan terbayang sebuah tempat yang senantiasa menyimpan berbagai macam misteri, musnah atau hilangnya benda-benda yang berada atau melintas di atasnya. Sejumlah kapal terbang dan kapal laut secara tiba-tiba menghilang semasa melintasi di atasnya. Benarkah ada sesuatu di sana?

Pelbagai kajian telah dilakukan mengenai misteri Segitiga Bermuda. Ada yang menyatakan, lokasi tersebut memiliki medan magnet yang sangat tinggi. Sehingga benda-benda yang mengandung logam, akan mudah ditarik ke pusaranya. Teori ini dikemukakan oleh Albert Einstein, dengan teori relativitinya.

Ada pula yang menyatakan, hilangnya benda-benda (pesawat dan kapal laut) itu, kerana memasuki gerbang waktu. Benda-benda itu memasuki wilayah gerbang waktu, sehingga ketika tepat di atasnya, maka akan menghilang. Hilangnya itu, boleh kembali ke masa lampau atau muncul di masa hadapan.


Ada juga yang menyatakan, lenyapnya benda-benda itu kerana mereka ditelan atau dibawa oleh UFO (Unidentified Flying Object) atau piring terbang. Sementara yang lain mengatakan, mereka hilang kerana masuk dalam dunia parallel. Mereka ada di dunia yang berbeza dengan dunia yang sebelumnya. Dari empat teori di atas, ketiga-tiga teori yang terakhir disebut pula dengan teori mekanikal Quantum.

Benarkah semua itu? Hingga saat ini, belum ada yang mampu menjelaskannya secara ilmiah. Berbagai-bagai hasil kajian dan teori-teori di atas, seakan terbantahkan ketika hal itu tidak mampu dibuktikan.

Lalu apakah yang menyebabkannya? Faktor Dajjal. Mungkin inilah jawapan terakhir yang dikemukakan sejumlah orang mengenai hilangnya pesawat dan kapal laut itu. Dajjal,-makhluk terlaknat dan pembuat fitnah itu- kini dikaitkan yang melakukan semua itu kerana persekongkolannya dengan syaitan.

PANDANGAN MUHAMMAD ISA DAUD
Muhammad Isa Daud, penulis buku "Dajjal Muncul di Segitiga Bermuda" menjelaskan, musnahnya benda-benda itu disebabkan oleh makhluk bermata satu atau dajjal. Menurutnya, di daerah segi tiga bermuda (Bermuda Triangle) yang terletak di antara Florida (Amerika) di sebelah barat, Puerto Rico di sebelah timur, dan pulau Bermuda di sebelah utara. Ada yang memgatakan, Florida berasal dari perkataan 'Flory' dan 'ida' yang bererti bomoh yang ditunggu atau tuhan masa depan.


Segitiga Bermuda terletak di Samudera Atlantik. Menurut Isa Daud, di situ terdapat sebuah pulau yang dikuasai oleh sekumpulan makhluk yakni syaitan yang bekerjasama dengan dajjal untuk menghancurkan umat manusia. Nama pulau itu adalah pulau syaitan.

Di sekitar wilayah segitiga bermuda ini, sebagaimana diterangkan Isa Daud, dajjal bersama syaitan berkomplot dan terus berusaha menyebarkan misinya, melalui orang-orang kepercayaannya, sesama penyembah syaitan. Mereka mengajarinya dengan berbagai pujukan dan rayuan sehingga orang-orang terkesima dan takjub dengan apa yang dihidangkan atau disajikannya. Maka, sebelum hari kiamat nanti, dari lokasi (Segitiga Bermuda) inilah, dajjal akan muncul dan melakukan fitnah secara besar-besaran kepada seluruh umat manusia. Ia akan membangga-banggakan cara Yahudi, kerana dajjal dipercayai merupakan keturunan dari Yahudi.

Muhammad Isa Daud menegaskan, ia membuat kesimpulan di atas, bukan atas pendapatnya sendiri, melainkan berdasarkan sejumlah manuskrip kuno yang ia pelajari dari beberapa orang umat Islam, baik yang tinggal di Palestin, Arab Saudi, Yaman, Sweden, Amerika, Britain, Jerman dan lainnya. Mereka itulah, ungkap Isa Daud, yang memiliki data yang penuh misteri yang belum pernah dipaparkan oleh orang lain. Sejauh mana kebenarannya keyakinan Isa Daud ini, Wallahu A'lam.

6 Dekad Nakbah Kita


Istilah Nakbah mungkin adalah satu perkataan yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin.

NAKBAH bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara rasminya pada 15hb Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya pendudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam buat penduduk asal bumi Palestin, orang-orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.

PENCETUS PENUBUHAN NEGARA YAHUDI

Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan pengasas gerakan Zionis di dalam gagasannya yang kemudiannya dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Israel) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan Negara Zionis di Palestin.

PEMANGKIN PENDUDUKAN HARAM YAHUDI DI BUMI PALESTIN

British yang merupakan sekutu kuat gerakan Zionis telah sentiasa menyebelahi mereka dengan mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2hb November 1917 apabila kerajaan British telah memberi jaminan untuk mewujudkan sebuah negara khusus untuk bangsa Yahudi di Palestin. Ini merupakan usaha yang paling jahat dalam sejarah peradaban dunia kerana dengan jelas ianya mencabuli perjanjian antarabangsa. Dengan angkuhnya deklarasi ini telah menidakkan hak dan aspirasi penduduk bumi Palestin yang sah yang kemudiannya telah diikuti dengan penjajahan Palestin oleh tentera British.

Selepas itu berlakulah penghijrahan beramai-ramai yang sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah dan Rusia ke Palestin. Sedikit demi sedikit tanah milik penduduk Palestin dirampas samada dengan cara kekerasan mahupun dengan cara penipuan oleh pendatang Yahudi.

PERANAN PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)

Isu Palestin semakin panas dan mula dibawa ke peringkat antarabangsa di atas tuntutan British yang meminta supaya PBB memasukkan isu tersebut ke dalam agendanya. Laporan Badan Penyelidik Antarabangsa Palestin (UNSCOP) milik PBB telah mengakui tentang ketidakadilan pengambilan tanah serta cadangan pembahagian bumi Palestin kepada dua buah negara yang berasingan iaitu Palestin dan Yahudi. Namun rentetan duka Palestin semakin berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Yahudi telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah Negara Palestin kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah.

Ketetapan ini sangat bercanggah dengan prinsip PBB sendiri iaitu untuk melaksanakan ketetapan hak-hak bangsa dari segi kebebasan dan penentuan nasib mereka sendiri. Rakyat Palestin yang terlibat dengan isu ini tidak langsung diminta pendapat dan keizinan malahan mereka mengalami kezaliman dan penindasan yang amat dahsyat.

KELEMAHAN LIGA NEGARA ARAB

Rakyat Palestin adalah antara bangsa yang paling malang di dunia kerana dilupakan oleh PBB, negara-negara Arab dan juga umat Islam sendiri. Ketika Yahudi Zionis erat bekerjasama dengan British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara Arab pula gagal membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan Negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya.

Penglibatan tentera dari Liga Negara Arab yang digembar-gemburkan itu hanyalah merupakan tragedi apabila mereka telah ditewaskan dengan mudah oleh angkatan tentera pengganas Yahudi yang juga telah meresap ke dalam pimpinan tentera Liga Negara Arab.

Dengan kekalahan yang mengaibkan tentera Arab di dalam peperangan ini dan diikuti dengan penaklukan 78 % bumi Palestin, Yahudi Zionis telah mengumumkan Negara “Israel” pada petang 14hb Mei 1948. British mengundurkan tentera dan pemerintahannya ke atas Palestin apabila Negara Israel yang merdeka diistiharkan secara rasminya pada 15hb Mei 1948.

TERTUBUHNYA ISRAEL ADALAH MALAPETAKA PALESTIN


Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 % rakyat Palestin (lebih kurang 800 000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9hb April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang-orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan PBB sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak. Dalam serangan itu, wanita-wanita yang hamil telah dibelah perutnya dan dikeluarkan janin dan bayi hidup-hidup dari rahim ibunya. 52 orang kanak-kanak pula telah disiksa di depan ibu bapa mereka, lalu mereka dibunuh dan dipenggal kepalanya.

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,”Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Tentera tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.

Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya. Sesungguhnya amat tidak adil apabila Yahudi menjadikan Holocaust atau peristiwa pembunuhan bangsa mereka di Eropah oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas lautan penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.

Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.

Mereka sengaja melupakan bahawa bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal bumi Palestin sehinggakan pemerintah tentera mereka yang kemudiannya dilantik sebagai menteri pertahanan, Moshe Dayan mengakui sendiri bahawa setiap penempatan Yahudi dibina dari keruntuhan perkampungan rakyat Palestin. Ini adalah jenayah yang terancang melalui perencanaan dan pengiktirafan sebelumnya.

Jenayah Ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka (sehingga tahun 2000) supaya mengembalikan hak 4.4 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tidak ada satu pun daripada resolusi-resolusi ini yang dilaksanakan oleh rejim Yahudi Zionis.

Nakbah 1948 yang melanda Palestin juga menimbulkan kenangan pahit dan perasaan terhina yang mendalam di kalangan rakyat Palestin, orang-orang Arab dan umat Islam secara keseluruhannya sehingga ke hari ini.

ENAM DEKAD NAKBAH

Kini 60 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan Negara Palestin terus diganyang Yahudi Zionis sehinggakan :

1. Rejim Zionis terus yang melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, membakar kebun-kebun mereka dan memperluaskan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi. Sehingga kini yahudi telahpun merampas dan menguasai kira-kira 90 % dari keseluruhan bumi Palestin.

2. Peningkatan serangan ke atas Masjid Al Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian qiblat pertama umat Islam di dalam rangka mereka MengYahudikan Baitul Maqdis. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan masjid Al Aqsa dan mendirikan Kuil Yahudi di atas tapak masjid sekarang.

3. Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang-orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. Di kalangan mereka adalah orang-orang tua, kanak-kanak malahan juga wanita yang hamil lagi sakit.

4. Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang-orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.

5. Ramai di kalangan kanak-kanak palestin yang telah dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil.

6. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.

Umat Islam di seluruh dunia seharusnya bersatu memperjuangkan isu Palestin yang merupakan isu induk umat Islam di abad ini. Perselisihan dan perbezaan budaya, geografi, bahasa dan bangsa sudah semestinya diketepikan demi menjayakan misi besar dalam menyelesaikan masalah ini.

7. Dijangkakan seramai 6.45 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 60 tahun yang lalu. Inilah jumlah pelarian yang paling lama dan paling ramai di dalam sejarah peradaban dunia.

8. Rejim Zionis kini berterusan menyiksa dan membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang turut diakui pemimpin kanan mereka sebagai holocaust yang lebih hebat.

9. Terbaru konvoi kapal-kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan perubatan, pendidikan dan pembinaan bagi rakyat Gaza yang menderita akibat sekatan telah diserang dan dirampas oleh Angkatan Laut Israel jam 12.30 tengah hari tadi waktu Malaysia yang telah menyebabkan 16 orang maut dan lebih 30 yang lain cedera. Tentera Israel telah mengekori konvoi dari jam 7.30 pagi waktu Malaysia menggunakan sebuah kapal selam, 3 buah kapal perang serta sebuah helikopter dan cuba mendekati kapal Mavi Marmara yang merupakan kapal terbesar dalam konvoi tersebut.


Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

PERANAN MASYARAKAT ANTARABANGSA

Fakta-fakta sejarah, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa amat memihak kepada rakyat Palestin yang berhak memiliki ketuanan dan kedaulatan di bumi mereka sediri.

Rejim Zionis Israel kini mendapati bahawa mereka tidak boleh mengawal keadaan rakyat dan negara Palestin. Malahan mereka terpaksa membuat berbagai pendekatan yang keras mahupun dengan cara berkompromi untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat Palestin. Mereka menggunakan pelbagai strategi terutamanya dengan mempengaruhi sekutu kuat mereka iaitu Amerika Syarikat untuk menangai permasalahan yang terus berpanjangan.

PBB dan masyarakat antarabangsa yang sentiasa memperjuangkan keadilan semestinya teguh dalam membuat pendirian dan tidak dipengaruhi oleh lobi Yahudi Zionis di dalam membuat dan melaksanakan keputusan-keputusan mereka. Kependudukan dan negara Palestin mesti dikembalikan kepada pemilik asal yang sah yang pernah mendiami bumi ini sejak sekian lama.

PERANAN UMAT ISLAM

Bumi Palestin adalah tanah yang mulia untuk seluruh umat Islam kerana di situlah letaknya Masjid Al Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat, tempat berlakunya peristiwa Isra dan Mi’raj, Tanah Suci umat Islam yang ke tiga yang juga merupakan bumi para Nabi. Isu Palestin bukanlah sekadar isu untuk orang-orang Palestin atau orang-orang Arab sahaja. Bahkan isu ini adalah isu penting yang berkaitan dengan keimanan untuk semua umat Islam di seluruh dunia.

Umat Islam di seluruh dunia seharusnya bersatu memperjuangkan isu Palestin yang merupakan isu induk umat Islam di abad ini. Perselisihan dan perbezaan budaya, geografi, bahasa dan bangsa sudah semestinya diketepikan demi menjayakan misi besar dalam menyelesaikan masalah ini. Negara –negara Islam perlu berani dan ikhlas membantu terutamanya dari segi kemanusiaan setelah ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa terkorban dalam krisis yang berlarutan sekian lamanya.

DI MALAYSIA
Kefahaman mengenai isu ini masih perlu diperluaskan lagi di kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai melalui penulisan di akhbar-akhbar dan majalah, ceramah-ceramah dan pameran-pameran serta media elektronik. Sumbangan kemanusiaan pula mesti dipergiatkan bagi membantu rakyat Palestin yang telah sekian lama tertindas. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Malaysia seharusnya menjuarai isu sejagat ini, bukan sahaja di kalangan kita bahkan di persada antarabangsa.



اَللهُمَّ إِناَّ نَجْعَلُكَ فِى نُحُورِ أَعدَاءِناَ


وَ نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِم


اَللهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ


وَ فَرِّقْ جَمْعَهُمْ


وَ شَتِّتْ كَلِمَتَهُم


وَزَلْزِلْ أَقدَامَهُم


وَ سَلِّطْ عَلَيهِمْ كَلْباً مِنْ كِلاَبِكَ


ياَ قَهاَّر يَا جَباَّر يَا مُنتَقِم


يَا الله يَا الله يَا الله


اَللَّهُمَّ يَا مُنزِلَ الْكِتاَبِ


وَ مُجْرِيَ السَّحاَبِ


وَ هَازِمَ الأَحْزَابِ


إِهْزِمْهُم إِهْزِمْهُم إِهْزِمْهُم


وَانْصُرنَا عَلَيْهِمْ

Ya Allah,

Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami,

Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka,

Ya Allah,

Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,

Pecah-belahkanlah dan kacau-bilaukanlah persatuan mereka,

Goncangkan pendirian mereka,

Dan hantarkanlah anjing-anjing Kamu kepada mereka

Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa,

Wahai Tuhan Yang Maha Menghukum,

Wahai Tuhan Yang bersifat Murka,

Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah,

Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,

Dan yang mengarakkan awan,

Serta Tuhan yang menewaskan bala tentera al-Ahzab,

Kalahkan mereka,

Kalahkan mereka,

Kalahkan mereka,

Dan menangkan kami ke atas mereka.


Marilah sama-sama kita umat Islam membaca doa ini dalam setiap solat fardhu yang kita lakukan setiap hari pada rakaat terakhir sebelum sujud. Semoga dengan doa ini Allah s.w.t menyelamatkan semua saudara kita di bumi Palestin dan menurunkan bala tenteraNya menghancurkan tentera Israel laknatullahi alaikum… 

Hadith Palsu Fadhilat Solat Tarawih

SETIAP amalan terpuji di bulan Ramadhan akan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda daripada Allah. 

KHUSYUK...solat secara berjemaah adalah amalan yang amat dituntut agama Islam dan perlu diteruskan pada bila-bila masa
Semestinya umat Islam tidak mahu melepaskan bulan penuh keberkatan dan keampunan ini untuk meningkatkan amal ibadat masing-masing.

Yang pasti, kelainan dan kemeriahan Ramadhan adalah waktu malamnya yang tidak sama dengan bulan lain kerana mempunyai solat tarawih.


Rasulullah juga menuntut umatnya untuk memakmurkan setiap malam sepanjang Ramadhan dengan ibadat qiamullail dan solat tarawih.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang bangun (qiamullail) pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan, diampunkan baginya dosa-dosa terdahulu."

Kemeriahan memakmurkan masjid atau surau perlu diteruskan sama ada awal atau akhirnya. Ibadat lain yang dituntut dalam bulan Ramadhan ialah solat tahajjud, membaca al-Quran dan mengkhatamnya sebanyak mungkin.

Jika sebelum ini, ramai sibuk dengan jadual yang padat, inilah masa untuk memberi 'ruang' melaksanakan solat tarawih secara berjemaah.

IKHLAS KERANA ALLAH... pamerkan keikhlasan dalam melakukan tuntutan sebagai hamba, Allah menilai amalan seseorang berdasarkan apa yang mereka laksanakan.

Daripada Aisyah bahawa Rasulullah menunaikan solat tarawih di masjid kemudian diikuti beberapa orang bersamamya. Baginda bersolat lagi dan orang yang solat bersamanya semakin bertambah ramai.

Seterusnya orang ramai berhimpun pada malam ketiga dan keempat tetapi Rasulullah tidak keluar untuk solt tarawih bersama mereka.

Apabila tiba waktu subuh, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu lakukan. Tiada yang menghalang aku keluar kepada kamu selain kerana aku takut ia difardhukan ke atas kamu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga halnya ketika zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar al-Khattab, umat Islam pada peringkat awal mengerjakan solat tarawih secara bersendirian. 
Umar al-Khattab memerintahkan mereka mengerjakan secara berjemaah dan melantik Ubai bin Ka'ab sebagai imam.

Kelebihan bertarawih secara berjemaah seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: "Seseorang lelaki yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga imam itu pulang (selesai mengerjakan solat), ia dikira bangun (beribadat) keseluruhan malam."

Namum, setiap Ramadhan pasti ramai menerima e-mel atau SMS mengenai fadhilat atau kelebihan solat tarawih yang berlainan sepanjang 30 malam.

Ia menjadi hadis popular di bulan Ramadhan. Hadis itu berbunyi, diriwayatkan daripada Saidina Ali bahawa Rasulullah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan.

Antaranya, pada malam pertama: Akan terhapus dosa orang mukmin seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan daripada Allah).

Malam keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.

Malam keenam: Allah kurniakan pahala malaikat yang tawaf di Baitul Ma'mur (sebanyak 70,000 malaikat sekali tawaf), serta batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa orang yang mengerjakan solat tarawih malam itu.

Malam ketujuh: Kelebihan seolah-olah dapat bertemu serta menolong Nabi Musa menentang Fir'aun dan Haman.

Malam kelapan: Allah mengurniakan pahala orang solat tarawih seperti yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim.

Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad dan kelebihan lain sehingga sampai malam yang ke-30.

Hadis itu yang menyatakan kelebihan solat tarawih dikatakan palsu dan tidak pernah ditemui dalam Sunnan Sittah (himpunan dalam kitab hadis oleh enam ulama' hadis masyhur) dan kitab Muwatta' karangan Imam Malik.

Hadis ini juga dianggap palsu kerana tidak mempunyai sumber yang muktabar.

Terdapat hadis sahih berkenaan solat tarawih iaitu: Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghayati (beribadat) malam al-Qadar  dengan iman dan mengharapkan pahala nescaya diampuni semua dosanya." (Hadis Riwayat an-Nasa'i)
Selain itu, sebuah lagi hadis daripada Said Musayyap, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa beribadat (solat tarawih) di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala nescaya diampuni dosa yang terdahulu." (Hadis Riwayat an-Nasa'i)

Pendakwah yang pernah berkhidmat di unit dakwah Kedutaan Arab Saudi, Dr Abdullah Yasin, berkata hal berkaitan fadhilat dan kelebihan tertentu adalah urusan Allah.

"Ia adalah sesuatu yang ghaib dan hanya dalam ilmu Allah dan Rasul. Tiada hadis Rasulullah berkaitan kelebihan itu.

Ia bukan perkara baru dan jika anda menerima SMS atau e-mel mengenai kelebihan atau fadhilat solat tarawih, abaikan saja,"katanya.

Cuma, katanya tarawih pada 10 malam terakhir saja dinyatakan kelebihannya dan umat Islam perlu merebut peluang itu.

"Malam itu adalah lailatul qadar yang mempunyai keistimewaan dan keberkatan. Allah menjanjikan pengampunan kepada hamba-Nya yang menghidupkan malam itu dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan.

Umat Islam perlu berwaspada dengan maklumat yang mereka terima, jangan percaya bulat-bulat. Jika keliru atau ragu-ragu, rujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang agama,"katanya.

Beliau berkata apa saja yang berkaitan dengan agama, ganjaran, seksaan dalam Islam adalah hak mutlak Allah.

"Jika mahu menggalakkan umat Islam rajin bersolat tarawih, berikan sumber hadis sahih yang diambil dari kitab yang muktabar.

"Sebenarnya tidak salah kita mengharapkan ganjaran Allah, cuma dibimbangkan jika tiada hubungan dengan hadis Nabi atau al-Quran, ia boleh mengelirukan.
"Saya bimbang jika ada umat Islam yang bersungguh-sungguh mempercayainya, ia boleh membawa kepada tergelincir akidah,"katanya.

Adab Berpuasa dan Solat Tarawih

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.:

 "Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga." (Riwayat an-Nasa'i)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah:

"Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan. Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya Rasulullah s.a.w: 

"Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya." (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)



Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur. Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: 

"Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur." (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: 

"Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)." (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat.

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiam semalaman." (Riwayat an-Nasa'i)


Kelebihan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi

PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.