“Salahkah bercinta?”
“Allah yang hadirkan cinta, takkan tak boleh layan?”
“Kalau tak bercinta, macam mana nak kenal bakal pasangan?”
Begitulah antara keluhan remaja kita. Banyak persoalan di minda yang masih belum terjawab. Siapa yang akan menjawabnya?
Adakah pengalaman orang dewasa di sekeliling mereka yang akan menjawabnya? Atau logik minda mereka sendiri akan menjawab kesemua persoalan tersebut? Atau penangan media massa yang akan mengilhamkan jawapan untuk mereka?
Beruntunglah remaja yang mencari jawapan yang benar daripada sumber yang maksum (terpelihara) iaitu al-Quran dan sunnah, bukan mencari fatwa dalam majalah-majalah hiburan, kisah cinta picisan, drama lakonan dan perbincangan kosong di alam maya.
Beruntunglah remaja yang mendapat didikan yang benar daripada al-Quran dan sunnah. Bukan membiarkan diri dididik dan tunduk kepada kepuasan rakan sebaya, orang sekeliling dan realiti yang bercanggah dengan kebenaran.
Al-Quran dan sunnah, dua sumber itu yang akan menyelamatkan kita daripada terhumban dalam kesesatan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Aku meninggalkan kamu dua perkara, tidak akan sesat selama-lamanya sesiapa yang berpegang kepada kedua-duanya; kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.”
(Riwayat Malik)
Jika ujian cinta itu amat berat dan menjalar dalam segenap hidup manusia sepanjang zaman, takkan dua sumber yang agung ini tidak memberi panduan tentangnya? Panduan untuk menguruskannya, bukan untuk membunuhnya. Masakan Islam agama yang fitrah mahu membunuh fitrah. Islam memandu kita untuk menyalurkannya secara mulia, terhormat dan bermaruah. Bersama redha Allah.
Nasihat Buat Remaja
Belek-beleklah panduan Al-Quran dan sunnah. Alam remajamu akan menjadi lebih indah terarah. Naluri ingin mencintai dan dicintaimu itu akan terpesona dengan naluri ingin memiliki cinta agung. Kuasa cinta agung ini akan lebih membina kegagahan dalam setiap derap langkahmu menuju masa depan. Kegagahan tercipta kerana dirimu berasa dinaungi cinta Yang Maha Gagah. Itulah kehebatan cinta Allah.
Di mana harus dicari panduan-panduan yang praktikal agar cinta sesama manusia akan dapat memancing cinta Allah sekali gus? Selain mengutip panduan daripada bahan-bahan bacaan yang berfaedah, kau akan temuinya di bibir guru-guru yang beramal, orang soleh, di majlis-majlis ilmu, forum-forum, ceramah-ceramah, masjid-masjid, blog yang dipercayai, laman web para ulama dan sebagainya. Ini ialah jalan-jalan untuk kita lebih memahami al-Quran dan sunnah. Banyak dan mudah, bukan? Jika hendak seribu daya. Jika tak hendak, doa-doalah biar hati jadi lunak. Tunduk dan menyerahlah kepada apa yang Allah kehendaki.
Syirik Cinta
Selalu kita diingatkan agar tidak syirik. Ada apa dengan syirik? Syirik itu menduakan Allah. Menyembah selain Allah. Ia dinobatkan sebagai raja segala dosa besar. Dosa yang tidak mampu diberi ganti rugi untuk membeli keampunan Allah.
Mengambil sesuatu yang selain daripada Allah s.w.t. sebagai sumber kecintaan paling utama dalam hidup bererti menggantikan tempat Allah s.w.t. dengan selain-Nya. Allah s.w.t mendedahkan kepada kita dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Dan antara manusia ada orang yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat seksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah amat berat seksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).”
Al-Baqarah 2:165
Para ulama ketika membincangkan ayat ini menyebut tentang kesyirikan dalam cinta atau ia digelar sebagai syirk al-mahabbah. Manusia menduakan cinta kepada Allah dengan makhluk seangkatan dengannya.
Bagaimana dengan cinta kita kepada makhluk saat ini? Adakah ia sedang menjadi alat untuk kita lebih dekat kepada Allah? Atau adakah ia sedang menjadi matlamat yang kita damba-dambakan sehingga melupakan Allah? Semakin besar cintamu kepada Allah, semakin kecil nilai makhluk dihatimu, apatah lagi untuk menjadikannya tandingan kepada Allah untuk diangau-angaukan.
Ketika cinta berkuasa, diri menjadi bingung. Gundah-gulana. Resah melanda. Banyak urusan tergendala. Apa yang dibuat serba tak kena. Merebak rasa malas. Membarah rasa segan jika orang tahu tindakan yang pernah dilakukan. Maksiat demi maksiat mula meratah iman dan kesedaran. Menyimbah nur dengan kegelapan. Hati menjuih tatkala mendengar kebenaran.
Aduhai hati, takutlah pada syirik cinta! Jangan tipiskan sensitivitimu wahai hati kerana aku tidak sanggup memiliki hati yang mati.
Menterjemahkan Cinta dengan Jalan-Jalan “Taqrabu az-zina”
Ya, bukan Allah tidak tahu hatimu cenderung pada si dia. Bukan Allah tidak memahami kau selalu merinduinya. Bukan Allah tidak mengerti bayangannya sering singgah di mindamu. Semua itu fitrah. Setiap fitrah ada peraturannya. Kenapa? Supaya fitrahmu itu akan tersalur secara mulia dan diredhai-Nya.
Bagaimana menghadapi ujian ini? Agar fitrah tidak menjadi fitnah. Agar fitrah mendapat barakah. Bagaimana caranya?
Kenal pasti dahulu tahap kesediaanmu, wahai remaja.
Dirimu sedang sibuk bergelumang dengan pelajaran kan? Dirimu belum bersedia untuk berumah tangga kan? Dirimu sedang mempersiapkan diri kan? Dirimu sedang mengutamakan prioriti yang lebih penting kan?
Kalau dirimu dalam situasi ini, jadikan ujian cinta ini sebagai lubuk pahala apabila kau perisaikannya dengan mujahadah. Apabila ‘angau’ bertandang, cepat-cepatlah beristighfar kepada Allah. Kita beristighfar bukan kerana rindu itu suatu dosa sebaliknya kerana bimbang zina hati akan menjalar. Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina diri.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Setiap bani Adam memiliki peluang untuk berzina. Kedua-dua mata itu berzina dan zinanya adalah dengan melihat. Kedua-dua kaki juga berzina dan zinanya adalah dengan berjalan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah dengan mencium dan hati itu juga berzina dan zinanya adalah hawa nafsu dan angan-angan. Tetapi kemaluanlah yang akan membenarkan atau mengingkari zina tersebut.”
(Riwayat Ahmad)
Gentarlah pada firman-Nya ini yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”
(al-Isra’ 17:32)
Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah s.w.t. “janganlah kamu mendekati zina,” maknanya lebih dalam daripada “janganlah kamu berzina”. Firman Allah tersebut bermakna, “Dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina.” (Tafsir al-Qurtubi, jil. 10, hlm. 253) Yakni, janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan apa-apa yang membawa kepada zina, apatah lagi sampai berzina. (Tafsir Ruh al-Ma’ani, jil. 15, hlm. 67-68, al-Imam al-Alusi al-Baghdadi, Tafsir Bahr al-Muhith, jil.6 hlm.33).
Setelah Islam memberikan panduan, wajarkah menyalurkan fitrah cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina? SMS bertali arus tanpa keperluan. Call siang malam tanpa urusan. Chatting kosong tanpa isi. Dating bertemankan syaitan. Pandang-pandang tanpa pagaran. Khalwat di tempat-tempat sunyi. Berbual-bual, bincang-bincang, tanya-tanya khabar tanpa sempadan.
Inikah Bukti Cintamu?
Adakah kau ingin membina sebuah mahligai perkahwinan dengan sebuah kenangan cinta yang menghampiri zina? Berkatkah nanti syurga dunia idamanmu? Mampukah ia membawa kepada syurga abadi?
No comments:
Post a Comment