Paulus dan Agama Kristian

Sesungguhnya perbicaraan mengenai agama Kristian tidak lengkap jika tidak disentuh tentang diri Paulus yang memainkan peranan penting dalam mewarna dan mencorakkan agama tersebut selepas ketiadaan Isa. Para penyelidik berpendapat bahawa Paulus adalah sumber agama Kristian dan sekali gus sebagai pelopor aliran Kristian yang ada sekarang. Dengan kata lain, Paulus adalah seorang tokoh yang mempunyai kaitan langsung dalam meletakkan prinsip-prinsip dan upacara-upacara dalam agama Kristian, bahkan juga menggubal peraturan untuk pegangan penganut-penganutnya. Demikianlah peranan Paulus.

Siapa Paulus
Paulus dikenal dengan nama Saul serta anak seorang saudagar Yahudi Romawi yang bernama Kissai dari suku Ben-Yamin. Dia telah dihantar mempelajari agama Yahudi di Jerusalem untuk dididik menjadi Rabbi. Setelah tamat pengajian, dia kembali ke Tarsus dan bekerja sebagai pembantu ayahnya, di samping mengajar hukum agama Yahudi kepada anak bangsanya.

Sewaktu agama Masehi yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. sedang meningkat pengaruhnya, Paulus dipanggil ke Jerusalem untuk membantu membanteras agama baru itu. Tugas yang diserahkan kepadanya itu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan akibatnya banyak pengikut Isa menjadi mangsa kekejaman Paulus. Namun demikian, perkembangan agama tersebut tidak dapat dibendung, bahkan semakin berkembang dengan meluas.

Semasa dalam perjalanan ke Damsyik untuk menangkap pengikut-pengikut Isa, Paulus tiba-tiba menyatakan bahawa dia telah bertaubat. Dalam ‘Kisah Rasul-Rasul’ 12:6-12 Paulus menerangkan bahawa satu peristiwa aneh telah berlaku pada dirinya. Dia ternampak akan cahaya dari langit yang terang di sekelilingnya. Ketika itu dia rebah dan terdengar suatu suara yang menyeru namanya.

Menurut Paulus, sungguhpun orang yang ada bersamanya ternampak akan cahaya tersebut, tetapi mereka tidak mendengar suara ghaib itu, iaitu suara Isa. Suara itu menyuruh dia pergi ke Damsyik untuk menerima tugas sebagai utusan Isa daripada seorang ‘abid (ahli ibadat) yang taat kepada hukum Taurat yang bernama Ananias. Dia dipimpin menuju ke Damsyik kerana matanya tidak dapat melihat lagi akibat pancaran cahaya yang amat kuat itu. Tetapi setelah bertemu dengan Ananias dia telah dipulihkan dan dapat melihat semula. Di situ dia menerima perintah menjadi Rasul Isa.

Selepas itu Paulus kembali ke Jerusalem dan katanya, semasa berdoa di Baitullah dia tidak sedarkan diri. Semasa dalam keadaan demikian dia bertemu dengan Isa dan menyuruhnya supaya segera meninggalkan Jerusalem kerana orang ramai tidak percaya akan dakwaannya sebagai utusan Tuhan. Menurutnya lagi, Tuhan Isa mengarahkannya menyebut orang-orang kafir (orang-orang bukan Yahudi) mengenai agamanya.

Riwayat Mengenai Peristiwa Misteri Bercanggah
Peristiwa aneh yang dikatakan berlaku atas diri Paulus sebagaimana yang diriwayatkan dalam ‘Kisah Rasul-Rasul’ didapati bercanggah antara satu dengan yang lain. Buktinya, dalam ‘Kisah Rasul-Rasul’ fasal 9 menerangkan bahawa orang yang bersama-sama Paulus turut mendengar suara ghaib semasa peristiwa-peristiwa aneh itu berlaku, tetapi dalam fasal 22 menyebut bahawa mereka semua tidak mendengar suara tersebut, cuma melihat cahaya sahaja.

Demikian juga dalam ‘Kisah Rasul-Rasul’ fasal 9 dan 22 menyebut bahawa suara ghaib itu menyuruh Paulus pergi ke Damsyik untuk menerima tugas daripada seorang yang bernama Ananias, sedangkan dalam fasal 26 menyebut bahawa dia menerima perintah sebagai utusan di tempat kejadian itu, bukan di Damsyik.

Satu perkara lagi yang tidak munasabah ialah tentang panggilan ‘Tuhan’ terhadap diri Isa. Bagaimana Paulus boleh terus memanggil diri Isa ‘Tuhan’ dengan spontan setelah suara ghaib itu memperkenalkan dirinya sebagai Isa, padahal sebelum itu Paulus amat memusuhi Isa? Bahkan perjalanan yang sedang dilakukannya itu pun tidak lain melainkan untuk menghancurkan pengikut-pengikut Isa di Damsyik. Percanggahan yang begitu ketara tentang peristiwa yang luar biasa itu sudah cukup untuk menimbulkan keraguan mengenainya.

Mengaku Menjadi Rasul
Ekoran daripada peristiwa yang tersebut di atas, Paulus dengan terbuka mengaku bahawa dirinya menjadi Rasul Isa. Dalam 2 Korintus 41:5 Paulus berkata:

“kerana aku mensifatkan diriku sedikit pun tidak terkurang daripada Rasul-rasul yang terutama itu”
Ini bermakna Paulus menganggap bahawa taraf kerasulan yang dikurniakan kepada dirinya sama dengan taraf rasul-rasul utama yang lain.

Walau bagaimanapun, pengisytiharan Paulus sebagai Rasul tidak mendapat perhatian masyarakat Yahudi, bahkan pengikut-pengikut Isa langsung tidak percaya akan dakwaannya itu. Diceritakan bahawa semua murid Isa mengelakkan diri daripada Paulus, lalu Barnaba menyambut dan membawanya menemui pengikut-pengikut Isa. Tetapi tidak berapa lama selepas itu Barnaba sendiri menjauhkan diri daripada Paulus kerana hilang keyakinan terhadap kejujuran dan kebenaran kata-katanya. Kisah ini dapat diketahui dalam Galatia 2:13 dan Kisah Rasul-Rasul 15:9.

Seperti yang telah diketahui, Paulus tidak pernah berguru dengan Isa dan tidak pernah mendengar pengajaran dari mulut beliau sendiri. Tetapi oleh sebab dia mendakwa dirinya dilantik menjadi Rasul, maka segala pengajaran dikatakan daripada wahyu Tuhan Isa. Hal ini diterangkan oleh Paulus dalam Galatia 1:11-12 berbunyi:

“Dan aku ingin memberitahumu wahai saudara-saudaraku, bahawa Injil yang telah aku sampaikan itu sesungguhnya bukanlah pendapat manusia. Kerana aku bukan menerimanya daripada manusia dan bukan aku mempelajarinya. Bahkan daripada perkhabaran Isa al-Maseh.”
Selanjutnya Paulus menerangkan bahawa Injil yang diajarnya itu berlainan dengan Injil yang diajar oleh guru-guru yang lain. Katanya:

“Sesungguhnya aku hairan melihat kamu begitu cepat berpaling daripada dia yang menyeru kamu kepada hikmat al-Maseh kepada Injil yang lain. Padahal yang lain itu bukannya Injil, tetapi ada golongan yang mencuba mengharukan kamu dan ingin memesongkan Injil al-Maseh. Akan tetapi jika kamu atau satu malaikat daripada Injil sekalipun menerangkan kepada kamu Injil lain daripada yang kami beritakan kepadamu, maka biarlah dia terkutuk.”
(Galatia 1:609)
Daripada teks di atas dapat difahami bahawa Paulus meriwayatkan Injil berbeza daripada Injil yang diriwayatkan oleh guru-guru yang lain pada masa itu. Paulus begitu marah apabila orang lain yang meriwayatkan Injil yang berlainan daripada Injilnya itu dengan mengatakan bahawa ‘biarlah mereka terkutuk’. Begitu juga Paulus menerangkan bahawa perihal Isa yang diberitakannya berlainan dengan apa yang diberitakan oleh guru-guru yang lain. Kerana itulah dia meminta orang ramai supaya menerima apa yang diberitakannya sahaja dengan alasan bahawa kedudukannya tidak kurang daripada rasul-rasul utama yang lain. Kenyataan tersebut berbunyi:

“Maka sesungguhnya jika datang orang menyeru akan Isa yang lain pula, yang bukan kami sampaikan, atau kamu menerima roh yang lain daripada yang telah kamu terima, atau Injil yang lain daripada yang telah kamu sambutnya, maka eloklah kamu terima sahaja. Kerana sesungguhnya aku menganggap bahawa diriku ini tidak terkurang sedikitpun daripada rasul-rasul yang utama itu.”
(Korintus 11:4-5)

Pengaruh Hellenisme
Paulus amat minat mempelajari kebudayaan Yunani (Hellenisme) terutama falsafahnya, di samping mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam agama Yahudi. Dengan itu dalam diri Paulus terkumpul dua pengaruh, iaitu pengaruh ajaran Yahudi dan kebudayaan Yunani. Aliran falsafah Yunani yang berpengaruh pada waktu itu ialah aliran Stoa yang mempertuhankan alam (makhluk) dan menganggap bahawa Tuhan dan makhluk merupakan satu kesatuan yang sama zatnya, cuma berbeza dalam penglihatan bentuk.

Pengkaji-pengkaji Barat yang tidak berat sebelah, seperti Von Platen, mengatakan bahawa ajaran Paulus berasal daripada ajaran Teleologi daripada mazhab Stoa yang mempertuhankan alam. Oleh sebab itulah terdapat perbezaan yang jelas antara ajaran Paulus dengan ajaran Isa. Sebagai contoh:
  1. Isa menyangkal dirinya Tuhan di samping Tuhan Yang Maha Esa (Matius 7:21-22), sedangkan Paulus menganggap bahawa Isa sebagai Tuhan (Korintus 1:1-9 dan lain-lain).
  2. Isa menganjurkan taubat nasuha untuk mendapatkan keampunan Tuhan atas kesalahan dosa yang dilakukan oleh manusia, sedangkan Paulus menggantungkan keampunan dosa manusia kepada penyaliban Isa.
  3. Isa tetap mengakui keunggulan hukum Taurat dan penguatkuasaannya di kalangan pengikut-pengikutnya (Matius 5:17-18), sedangkan Paulus mengajar bahawa hukum Taurat tidak dipakai lagi selepas penyaliban Isa untuk menebus dosa manusia (Rom 7:4-6), bahkan diganti dengan iman terhadap penyaliban itu sendiri (Rom 3:21-28).
  4. Isa tidak pernah membicarakan dosa warisan, sedangkan Paulus mengajar mengenai dosa warisan (Rom 5:12).
  5. Isa mengajar Injil di kalangan orang-orang Yahudi sahaja (Matius 10:5-6, Matius 15:24-26), sedangkan Paulus memperluaskannya kepada orang-orang bukanYahudi (Kisah Rasul-Rasul 14:46 dan 14:27).
  6. Isa mewajibkan amalan berkhatan sebagai meneruskan hukum Nabi Ibrahim, sedangkan Paulus tidak mewajibkannya (Rom 3:30).


Hasrat Paulus Tercapai
Tekad Paulus untuk mengembangkan ajarannya kepada semua bangsa manusia menjadi kenyataan apabila dia berjaya mempengaruhi beberapa orang untuk menjadi murid setianya. Antara yang popular ialah Lukas, iaitu seorang yang bukan berketurunan Yahudi. Lukaslah yang menyusun Injil yang disandar kepada namanya sendiri dan ‘Kisah Rasul-Rasul’ yang memuatkan riwayat hidup Paulus yang menyebabkan kedua-duanya telah dianggap sebagai sebahagian daripada kitab suci bagi orang Kristian. Dia juga memainkan peranan penting di belakang Paulus dan mengabdikan diri kepadanya sehingga mendapat pujian sebagai ‘doktor yang dicintai’. Oleh sebab itulah Injil yang ditulisnya memaparkan fikiran-fikiran Paulus dengan memberikan sanjungan yang tinggi terhadapnya seolah-olah setaraf dengan kedudukan Isa sendiri.

Paulus mempunyai kepintaran yang tinggi dalam membentuk suatu agama supaya dapat diterima oleh semua bangsa. Bagi menarik orang-orang Yahudi dan bukan Yahudi kepada ajaran baru, dia mengadunkan beberapa ajaran Yahudi dan falsafah Yunani di dalamya. Dengan itu berduyun-duyun orang Barat yang bukan Bani Israel memeluk agama Kristian, manakala orang-orang Timur menjauhkan diri daripadanya. Hal ini diakui sendiri oleh Paulus dalam risalah kepada muridnya Timotius yang berbunyi;

“Engkau mengetahui hal ini, bahawa semua orang di sebelah Asia telah berpaling tadah daripadaku, antaranya ialah Pigelus dan Hermogenes.”
(2 Timotius 1:15)
Oleh sebab itulah agama Kristian yang dibentuk oleh Paulus bertukar daripada agama Timur menjadi agama Barat sehingga pusat agama itu sendiri pun terletak di sebelah Barat, iaitu Rom, padahal agama itu muncul di Timur, iaitu Jerusalem.

Saripati ajaran yang dibentuk oleh Paulus adalah seperti yang berikut:

  1.  Agama Kristian adalah untuk semua bangsa, bukan untuk Bani Israel sahaja.
  2. Akidah triniti iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Ruhulkudus.
  3. Isa adalah anak Tuhan dan dia dikirim ke bumi untuk dikorbankan bagi menebus dosa manusia.
  4. Isa bangkit semula dari alam kubur selepas mati disalib dan naik ke langit serta duduk di kanan Bapanya untuk memerintah manusia.

Pengaruh Paulus dalam Perjanjian Baru
Sarjana-sarjana yang mengkaji ‘Perjanjian Baru’ mendapati pengaruh Paulus begitu menonjol kerana sebahagian besar daripada isinya ada kaitan dengan Paulus. Sebagai bukti, daripada 349 halaman ‘Perjanjian Baru’ yang diterbitkan oleh Lembaga Al-Kitab Jakarta 1962, 219 halaman atau kira-kira 63% adalah mengenai tulisan Paulus dan pengikut-pengikutnya, manakala selebihnya mengandungi Injil yang lain. Keadaan ini membayangkan betapa besarnya pengaruh Paulus dalam ‘Perjanjian Baru’ yang menjadi sebahagian daripada kitab suci Kristian sekarang, sehingga Injil ‘rasul-rasul terutama’ yang lain tidak mendapat tempat sewajarnya sebagaimana yang dicapai oleh Paulus.

Dalam usaha mengembangkan ajarannya kepada semua bangsa, Paulus menggunakan taktik menghalalkan cara. Hal ini dijelaskan sendiri oleh Paulus dalam 1 Korintus 9:20-21 yang berbunyi:

“Maka di kalangan orang Yahudi, aku menjadi seperti seorang Yahudi, supaya aku dapat mempengaruhi orang Yahudi. Dan bagi mereka yang di bawah hukum Taurat, aku seolah-olah orang di bawah hukum Taurat, supaya aku dapat menawan mereka yang di bawah hukum Taurat itu.”
“Dan di kalangan mereka yang bukan di bawah hukum Taurat, aku seolah-olah orang bukan di bawah hukum Taurat, meskipun aku tiada terlepas dari hukum Allah, bahkan tertakluk di bawah hukum al-Maseh supaya aku dapat menawan mereka yang bukan di bawah hukum Taurat itu.”
Nampaknya Paulus menggunakan serampang banyak mata semata-mata untuk menarik semua bangsa manusia kepada ajarannya. Barangkali kerana itulah penulis buku ‘Religion of The World’ menegaskan bahawa Paulus memasukkan beberapa ajaran Yahudi untuk menarik bangsa Yahudi ke dalam agamanya, mengambil falsafah Yunani untuk menarik orang Yunani dan mengumumkan bahawa Isa adalah Penyelamat, Pembebas dan Tuan ‘Lord’, serta dengan perantaraannyalah manusia dapat mencapai keselamatan yang mana istilah-istilah tersebut banyak terdapat dalam ajaran Mithras dan Cybele untuk menarik perhatian penganut agama-agama tersebut kepada ajarannya.

Dalam usaha untuk menarik golongan terpelajar, Paulus meminjam pemikiran ahli-ahli falsafah Yunani, terutama daripada Philo, konsep hubungan Tuhan dengan bumi melalui perantaraan ‘al-Kalimat’ (Logos), Anak Tuhan dan Roh Suci (The Holy Ghost). Semuanya itu dilakukan untuk menarik minat manusia yang berlainan  bangsa, keturunan dan kebudayaan supaya mereka menggabungkan diri di bawah satu ajaran baru.

Resapan falsafah Philo dalam alam pemikiran Paulus dapat dilihat dalam penggunaan istilah-istilah keagamaan yang sering digunakannya sehingga kini menjadi sebutan di gereja-gereja seperti ‘Anak Sulung Tuhan’, ‘Pengantara Tuhan dan Manusia’, ‘Gembala yang Baik’, ‘Bayang-Bayang Tuhan’, ‘Roti Kehidupan’, ‘Kurnia Tuhan kepada Manusia Selaku Penebus Dosa’, ‘Pemberi Air Hidup yang Kekal’, ‘Yang Duduk di Sebelah Kanan Tuhan’, ‘Tuhan Satu yang Bersifat Tiga’ dan lain-lain lagi. Cuba perhatikan petikan kata-kata Philo berikut:

“Kepada kalamnya Ia memberi kurnia yang istimewa supaya ia dapat memberi syafaat di antara makhluk dan Tuhan. Kita mengakui bahawa Imam Besar itulah Kalam yang disucikan dari segala dosa kesalahan. Bayang-bayang Tuhan itulah Kalamnya yang kekal. Imam Besar itulah Kalam Tuhan, sebab itu kepalanya pun dilumurkan minyak. Pengembala kambingnya yang suci. Oleh kerana itu mengajak setiap orang yang cekap berlumba-lumba di suatu perlumbaan, untuk membelokkan jalan mereka menurut Kalam Tuhan di atas dengan tidak mengurangkannya, iaitu kalam yang menjadi mata aliran segala hikmat, di mana orang hendak mendapati hidup yang kekal dengan sebab meminum air sumber yang suci itu.
Sebagai bayang-bayang Tuhan dan sebagai yang diperanakkan sulung di antara segala makhluk yang berakal, maka ia pun didudukkan dekat dengan Tuhan. Walaupun tidak ada seorang jua yang layak disebut Anak Tuhan, tetapi harus ada juga seorang yang berbuat dengan sungguh-sungguh hati supaya didapatinya kepatutan disebut Anaknya yang sulung, iaitu Kalam. Allah diiring-iringi dari kedua belah pihak oleh dua macam wujud yang bersifat kekuasaan Tuhan menjadi satu dengan kedua wujud yang lain itu bertempat di tengah-tengah mereka, sehingga menjadi satu pemandangan yang berwujud tiga, seperti yang dapat dilihat oleh roh Ibrahim.”
Jika direnung dengan teliti kata-kata Philo dan Paulus akan terasa benar seolah-olah curahan ilmu daripada seorang guru kepada seorang murid. Dengan sebab itulah penyelidik berpendapat bahawa dalam bidang falsafah, Paulus adalah murid Philo dan Plato, bukan murid Isa. Adalah jelas bahawa Paulus merupakan sumber penting agama Kristian yang ada sekarang walaupun agama itu disebut sebagai ajaran Isa.

والله أعلم

لا عزة إلا بالإسلام

No comments:

Post a Comment