Mawar Berduri atau Semalu Tersembunyi



Wahai ukhti yang dikasihi

Usahlah menjadi MAWAR BERDURI

Memang ianya menjadi pujaan Ikhwan masa kini

Memang ramai yang akan memuja serta memuji

Tidak kurang juga yang akan cuba menghampiri

Namun yakinlah dirimu itu dikelilingi duri

Dan sudah pastinya melukai tiap Ikhwan yang menghampiri

Bisa saja ada yang akan bertahan menahan pedih hati

Terpesona dengan keindahan serta kecantikan pada diri

Namun bila dirimu berlalu pergi atau tidak mahu peduli

Mungkin ada Ikhwan yang bisa meredhakan dirimu pergi

Kerana memilih berkorban untuk kebahagian dirimu yang dikasihi

Namun pasti ada juga yang tidak bisa menahan pedihnya hati

Juga tidak ingin mengerti ketentuan Ilahi

Bisa saja Ikhwan itu hilang pedoman diri

Bisa saja Ikhwan itu melakukan perkara yang menghancurkan diri

Hanya saja untuk melupakan dirimu yang sering menghantui

Namun apa yang paling ku takuti

Bila Ikhwan itu hilang arah hidupnya nanti

Segalanya menjadi marah juga benci

Ditambah hasutan nafsu serta syaitan musuh dalam diri

Mungkin juga Ikhwan mengambil jalan mudah untuk dipilih

MENCANTASMU tanpa kamu menyedari


Fikirlah wahai ukhti yang dikasihi

Hati manusia umpama besi

Bila ianya sudah bengkok mahupun remuk nanti

Yakinlah sukar untuk ianya pulih kembali

Kiranya pulih pun ianya sudah tidak seperti dahulu lagi

Seperti juga kata-kata yang sering didengari

Luka ditangan bisa sembuh dan dirawati

Luka dihati tiada yang tahu merawat serta sembuhnya nanti

Luka ditangan meninggalkan parut yang pasti

Juga sukar parut itu berdarah kembali

Namun di hati semuanya tidak pasti


Wahai ukhti yang dikasihi

Jadilah SEMALU BERDURI serta TERSEMBUNYI

Tidak kelihatan kecuali pada yang benar-benar peduli

Juga mengerti serta memahami kehebatan diri

Melindungi kecantikan yang ada pada diri

Memeliharanya untuk meraih keredhaan Ilahi

Menjaganya untuk yang layak serta halal untuk memiliki

Bisa saja Ikhwan tidak menyedari kehadiranmu nanti

Bisa saja Ikhwan tidak peduli kewujudanmu nanti

Namun yakinlah Ikhwan itu bukanlah yang TERBAIK untuk menemani

Terdapat berjuta Ikhwan didunia ini

Namun hanya SATU yang bisa menjadi SUAMImu nanti

Hatimu pastinya akan diuji

Hatimu pasti juga diselubungi sepi

Untuk melihat keikhlasan diri

Juga mendekatkan cinta serta dirimu pada Ilahi

Serta cinta mana yang utama bagi diri

Cinta atas redha Ilahi ataupun nafsu yang duniawi

Istikharah serta mohonlah pada Ilahi

Kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui

Juga Maha Adil serta Maha Pengasih yang takkan PILIH KASIH

Yakinlah hanya yang TERBAIK akan diberikan-Nya nanti

Insya Allah bila semuanya dalam redha, rahmat serta berkat Ilahi

Dirimu pasti akan dipertemukan dengan yang terbaik untuk memiliki

Juga Insya Allah kebahagiaannya kekal ABADI (Dunia Akhirat)


Insya Allah.. Insya Allah.. Insya Allah..

Amin.. Amin.. Amin ya Rabbal 'Aalamin.. ^_^


Keajaiban Jari-Jemari



Firman Allah s.w.t.:

“Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang-temulang? Bahkan sebenarnya kami berkuasa untuk menyusun (kembali) jari-jemari dengan sempurna.”
(Surah al-Qiyamah 75:3-4)

Diriwayatkan bahawa ayat-ayat ini diturunkan apabila dua orang yang bernama ‘Adi bin Abi Rabi’ah dan Akhnasy bin Syuraiq datang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanya mengenai hari kiamat dan keadaan manusia pada waktu tersebut. Kemudian Rasulullah s.a.w. menceritakan apa yang akan berlaku semasa hari kiamat kelak.

Kemudian berkata ‘Adi, “Apakah mungkin hai Muhammad, Allah sanggup mengumpulkan kembali tulang-temulang manusia yang telah hancur?” Maka turunlah ayat keempat surah al-Qiyamah ini untuk menegaskan bahawa Allah s.w.t. lebih berkuasa daripada itu bahkan tulang jari –jemari yang begitu halus dan kompleks juga mampu disusun kembali.

Pada saat al-Quran mengatakan bahawa mudah bagi Allah s.w.t. untuk menghidupkan kembali manusia setelah kematiannya, kenyataan tentang jari-jemari manusia secara khusus disebut. Cuba kita lihat jari-jemari pada kedua-dua tangan kita. Perhatikan di depan dan belakang. Apakah keistimewaan jari-jemari ini hingga Allah s.w.t. menyebutnya secara khusus di dalam al-Quran?

Anatomi Jari-Jemari
Apabila kita mengkaji struktur anatomi tangan, kita akan dapati ia sebenarnya satu struktur yang sangat kompleks, berliku-liku dan juga sangat menarik. Meskipun tangan merupakan sebahagian struktur tubuh yang agak kecil, namun ia sebenarnya dibentuk oleh 27 tulang daripada pergelangan tangan sehingga ke hujung jari. Ia dikategorikan sebagai tulang karpal yang membentuk pergelangan tangan, metacarpal yang membentuk tangan dan tulang falanks yang membentuk jari-jemari.

Setiap jari mempunyai tiga tulang falanks melainkan ibu jari yang mempunyai dua tulang falanks sahaja. Ia dibahagikan kepada tiga barisan iaitu barisan pertama (proximal phalanx), barisan pertengahan (middle phalanx) dan barisan hujung (distal phalanx). Setiap barisan disambung oleh sendi-sendi kecil yang begitu kompleks dan unik.

Setiap sendi disokong oleh ligamen-ligamen untuk memastikan kestabilannya dalam melakukan kerja. Menariknya, tidak ada struktur lain di dalam badan kita yang mana tulang-tulang kecil disambung dan dibenarkan bergerak bebas ke hadapan dan ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Ia hanya terdapat pada jari-jemari sahaja.

Urat-urat saraf yang terdapat pada tangan juga begitu kompleks dan unik. Urat saraf itulah yang berfungsi untuk menghantar deria rangsangan ke otak untuk ditafsirkan. Maka sebab itulah kita menggunakan tangan untuk merasai sama ada sesuatu objek itu panas atau sejuk dan meraba-raba sesuatu objek untuk mengetahui bentuknya ketika lampu tiba-tiba terpadam.

Kulit yang menyelaputi jari-jemari juga begitu unik. Ia berbeza antara kulit pada tapak tangan dan belakang tapak tangan. Kulit pada belakang tapak tangan nipis, manakala kulit yang menyelaputi tapak tangan lebih tebal dan kenyal. Ia dicipta khas untuk memegang sesuatu objek, membuat kerja kasar dan juga melakukan apa-apa sahaja fungsi.

Fungsi Jari-Jemari
Antara nikmat Allah s.w.t. yang begitu besar kepada kita ialah tangan. Setiap tangan lazimnya mempunyai lima jari dan ia memiliki fungsi yang tidak terkira banyaknya. Dengan jari inilah kita mengambil dan meletakkan sesuatu barang, menggenggam, memukul, membuat kerja, menulis, menggunakan komputer dan sebagainya. Seorang pakar bedah juga menggunakan nikmat jari-jemari yang ada padanya untuk membuat pembedahan dengan cekap dan berkesan.

Cuba bayangkan sekiranya jari kita cedera dihiris pisau tajam, melecur terkena api atau sakit, pasti kita dapat menilai betapa besarnya anugerah jari yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita. Bahkan jika hanya satu jari sahaja yang cedera, jari-jari lain juga seolah-olah cedera kerana keseluruhan tangan sukar untuk berfungsi.

Jari-jemari yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita sebenarnya boleh mempengaruhi destinasi kita di akhirat sama ada ke syurga atau ke neraka, nauzubillah.

Seorang penulis boleh menggunakan jari mereka untuk menulis karya-karya islamik yang berunsurkan dakwah agar ia dapat dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Dengan jari-jemari juga kita boleh melaksanakan pelbagai kebaikan dan ibadah kepada Allah s.w.t. seperti menghitung kalimah zikir dan juga meluruskan jari telunjuk apabila mengucapkan kalimah syahadah dalam solat.

Namun, dengan jari-jemari ini juga seseorang boleh melakukan banyak keburukan. Mereka yang tidak beretika sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah dan perkara-perkara buruk tentang orang lain dalam blog dan website dengan menggunakan jari-jemari. Seorang penjenayah juga menggunakan jari mereka untuk menarik picu pistol dan mengakibatkan kecelakaan kepada orang lain.

Malah dengan jari jugalah golongan yang ingkar dengan seruan tauhid cuba menyumbat telinga dengan jari mereka. Allah s.w.t. berfirman:

“Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinga dan menutup baju mereka (ke muka) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat.”
(Surah Nuh 71:7)

Jari-jemari juga seolah-olah boleh bercakap dengan memberikan isyarat-isyarat tertentu kepada seseorang. Sebagai contoh, jika semua jari digenggam dan ibu jari diluruskan, ia menunjukkan tanda bagus dan cemerlang kepada orang itu. Jika jari telunjuk diluruskan dan diletakkan di bibir, ia memberi isyarat supaya seseorang itu diam atau tidak membuat bising.

Cap Jari
Pada hujung setiap jari kita, terdapat alur-alur kecil yang membentuk corak tertentu yang dinamakan sebagai cap jari. Dengan cap jari inilah kita boleh mengeluarkan duit daripada akaun kita di kaunter-kaunter bank. Malah dengannya juga kakitangan sesebuah pejabat membuka pintu tanpa perlu menggunakan anak kunci lagi. Dengan cap cari juga pihak polis dan pasukan forensik mampu memberkas penjenayah melalui kesan-kesannya di tempat kejadian.

Apabila al-Quran diturunkan 1400 tahun yang lalu, pengetahuan mengenai cap jari masih belum dapat dinilai oleh masyarakat pada waktu itu. Sehinggalah pada tahun 1856, seorang saintis Inggeris bernama Genn Ginsen menemui corak-corak pada hujung jari seseorang yang begitu unik dan berbeza antara satu individu dengan individu lain.

Penelitian terhadap penciptaan cap jari mempunyai erti yang cukup besar. Ini kerana bentuk dan corak pada cap jari seseorang mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Setiap manusia yang hidup di muka bumi atau yag pernah hidup suatu ketika dahulu mempunyai corak cap jari yang tersendiri yang tidak akan sama dengan orang lain. Bahkan, jika sepasang kembar seiras yang mempunyai DNA (deoxyribonucleic acid) yang sama namun cap jari mereka tetap berbeza.

Cap jari telah terbentuk sejak lahir dan ia tidak akan berubah sampai bila-bila pun melainkan terdapat kecederaan yang menyebabkan parut yang kekal pada jari. Bahkan menurut kajian, didapati cap jari mula terbentuk seawal usia tiga bulan di dalam kandungan.

Alangkah hebatnya ciptaan dan kurniaan Allah s.w.t. kepada kita. Struktur yang kecil tetapi kompleks dan unik, sehingga Allah s.w.t. secara khusus menyebutnya di dalam al-Quran. Jika struktur yang kompleks dari segi bentuk dan fungsinya mampu disusun kembali oleh Allah s.w.t. di hari akhirat, apatah lagi struktur lain yang tidak begitu kompleks. Semua ini mengingatkan kepada kita bahawa kepada-Nya kita akan kembali.

والله أعلم

Tidur Sekejap


Jam di tangan menunjukkan tepat pukul 1 tengah hari. Mata terasa berat. Kepala pula berpusing. Pandangan menjadi kabur. Fikiran tumpul dan susah untuk focus. Segala kerja menjadi lembap dan tidak menjadi. Badan memberi isyarat untuk “lena” seketika. Nak tidur?

Oh, tidak mungkin kerana kerja-kerja yang belum disiapkan bertimbun!. Dalam tak sedar, akhirnya terlelap seketika di atas kerusi pejabat dengan komputer terpasang.

Seketika kemudian terjaga semula dikejutkan suara rakan-rakan sekerja. Badan seolah-olah sebuah bateri yang baru dicas semula. Fikiran yang tadinya tumpul menjadi tajam dan gerakan kembali lincah. Kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan lebih pantas. Ajaib! Adakah ini kesan daripada tidur hanya beberapa minit sahaja tadi?

Pusingan Biologi Badan
Bagi mereka yang mempunyai cukup tidur pada waktu malam, mereka biasanya mengakui tetap berasa mengantuk dan lembap pada siang hari. Sebahagian kita mungkin menyangka bahawa ini berpunca daripada makan tengah hari dalam jumlah yang banyak kerana perut yang kenyang lazimnya akan menyebabkan mengantuk. Namun, ia sebenarnya berpunca daripada sebab lain dan rasa mengantuk ini merupakan tanda badan kita memerlukan tidur dalam tempoh yang sekejap.

Badan kita sebenarnya mempunyai biological rhythm atau pusingan biologi. Sistem ini dikawal oleh hormon-hormon yang terdapat dalam tubuh kita. Dalam keadaan normal,  sistem inilah yang menyebabkan kita berasa mengantuk pada waktu tertentu dan berasa bertenaga pada waktu yang lain.

Sebagai contoh pada waktu malam, badan manusia akan mengeluarkan sejenis hormon iaitu melatonin dalam jumlah yang banyak. Melatonin akan menyebabkan badan berasa mengantuk dan memberi isyarat kepada kita untuk tidur. Selepas itu paras melatonin menurun ke tahap yang paling rendah, maka waktu itu kita bangun tidur sekitar jam 5 atau 6 pagi.

Hormon kortisol pula akan meningkat secara mendadak sewaktu kita bangun pada awal pagi dan ia menyebabkan badan kita menjadi lebih bertenaga. Inilh waktu yang paling baik untuk kita bekerja atau belajar dengan efektif dan produktif.

Hormon ini kembali menurun ke tahap yang paling rendah pada waktu tengah hari menyebabkan badan kita menjadi lesu dan lemah. Pergerakan badan menjadi perlahan dan otak menjadi kusut. Fasa ini disebut sebagai “mid afternoon quiescent phase” atau “secondary sleep gate.”

Badan kita akan memberi isyarat untuk berehat dan tidur sekejap pada waktu ini. Jika tidur sekejap dapat dilaksanakan, kita seolah-olah mengecas semula tenaga di dalam badan kita. Badan akan kembali menjadi aktif dan dapat meneruskan kerja seperti biasa. Fokus kita pada sesuatu juga akan menjadi lebih tajam dan banyak idea-idea baru dapat dihasilkan.

Manfaat Day Napping
Dalam sesetengah masyarakat, tidur pada waktu siang dianggap sebagai satu perlakuan orang yang malas dan tabiat yang tidak baik. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, masa dinilai sebagai duit. Mereka mengkritik amalan tidur pada waktu siang hari kerana dianggap sebagai tidak mendatangkan keuntungan, tidak produktif, malas dan membuang masa sahaja.
Namun, sejak kebelakangan ini mereka mula sedar akan kepentingan tidur seketika pada waktu siang. Para saintis sehingga kini sedang giat menjalankan pelbagai kajian mengenai kesan day napping ke atas badan manusia. Mereka termasuklah David F. Dinges dan Robert J. Broughton yang telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioral and Medical Aspect of Napping.

Buku ini menyebut bahawa bagi mereka yang secara rutinnya mengamalkan tidur selama 30 minit pada waktu siang mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat serangan penyakit jantung berbanding orang lain. Bahkan ia juga berkesan untuk mengurangkan tekanan mental kerana tempat kerja merupakan punca utama kepada masalah tersebut.

Pakar tidur dari Cornell University, Dr. James Maas juga membuat kajian mengenai day napping. Beliau mengatakan bahawa tidur pada waktu tengah hari sekadar 15 hingga 20 minit mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan.

Lebih menarik lagi, satu kajian selama 25 tahun telah dilakukan untuk mengkaji kesan-kesan day napping ke atas pekerja-pekerja di negara-negara industri dan pasca industri. Hasil kajian tersebut, 92.5% para pekerja yang berkesempatan tidur sekejap pada waktu siang mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan untuk menyelesaikan masalah juga meningkat dan hasilnya, produktiviti turut meningkat.

Sunah Nabi s.a.w.
Islam sebenarnya telah lama mengajar umatnya tentang day napping. Bahkan ini merupakan salah satu sunah Rasulullah s.a.w. yang disebut sebagai qailulah. Dalam bahasa Arab qailulah bermaksud tidur sebentar pada waktu tengah hari.

Sabda Rasulullah s.a.w. yag bermaksud:

“Lakukanlah qailulah (tidur siang hari), kerana sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan qailulah.”
(Riwayat at-Tabarani)

Dalam kitab Misykat al-Masabih juga menyebut mengenai sunah Rasulullah s.a.w. mengenai qailulah:

“Tidur yang sedikit pada waktu siang hari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah s.a.w. ada melakukannya.”

Sesungguhnya amalan sunah ini rupa-rupanya mempunyai manfaat yang sangat besar untuk kita amalkan. Ia nampak ringkas, sekadar tidur beberapa minit sahaja tetapi manfaatnya amat besar sekali. Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita cara paling baik untuk memulihkan tenaga kita dan juga meningkatkan kecerdasan badan kita untuk bekerja. Jika anda mempunyai kesempatan untuk qailulah, amalkanlah sunah ini. Badan kita akan menjadi lebih bertenaga selepas itu.

Sebaik sahaja bangkit daripada qailulah, badan kita mungkin akan berasa sedikit pening dan kaku, namun ia hanya sementara untuk tempoh 5-20 minit. Selepas tempoh itu tamat, badan kita akan mengalami perubahan mendadak dari segi emosi, kecerdasan dan juga fokus.

Namun Rasulullah s.a.w. mengajar kita untuk tidur sekejap sahaja dan tidak berlebihan. Kajian menunjukkan jika kita tidur berlebihan pada siang hari dan dilakukan selepas pukul 4.00 petang, badan kita akan memasuki fasa tidur yang lena yang susah untuk bangkit semula. Kesannya, badan akan berasa pening dan terhuyung-hayang dalam tempoh masa yang lama dan juga boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur pada waktu malam hari.

والله أعلم

Khitbah Ditolak – Jangan Kecewa Ya Akhi…


“Maaf Akhi, bukannya saya tidak menghormati permintaan akhi. Tapi rasanya cukuplah kita menjalin ukhuwah dalam perjuangan sahaja. Saya doakan semoga akhi menemui pasangan lain yang lebih baik dari saya.”


Aduhai, bagaimana rasanya bila kalimat di atas dialami oleh para ikhwan? Bisa saja langit terasa runtuh, hati berkeping-keping. Sang pujaan hati yang kita harapkan menjadi teman setia dalam mengarungi perjalanan hidup menolak khitbah kita. Segala usaha yang pernah cuba ditambatkan akhirnya karam. Cinta suci yang didambakan sang ikhwan bertepuk sebelah tangan.


Ya lika-liku kehidupan menuju mahligai pelamin memang bermacam-macam ragam. Ada yang menjalaninya dengan smooth, amat mulus, tapi ada yang berliku penuh onak duri, bahkan ada yang pupus ditengah perjalanan kerana cintanya tak bertaut dalam mahligai pernikahan.

Ini bukan saja dialami oleh para ikhwan, kaum akhawat pun bisa mengalaminya. Bezanya, para ikhwan mengalaminya secara langsung kerana posisi mereka sebagai subjek/pelaku aktif dalam proses melamar. Sehingga getirnya kegagalan cinta – seandainya memang terasa getir- langsung terasa. Sedangkan kaum akhawat perasaanya lebih aman tersembunyi kerana mereka umumnya berposisi pasif, menunggu pinangan. Tapi apabila sang ikhwan yang didamba memilih untuk berlabuh dihati yang lain kekecewaan juga merebak dihati mereka.

Ikhwan dan akhawat rahimakumullah, siapa pun berhak kecewa apabila keinginan dan cita-citanya tidak tercapai. Perasaan kecewa adalah sebahagian dari gharizatul baqa’ (naluri mempertahankan diri) yang Allah ciptakan pada manusia. Dengannya, manusia adalah manusia, bukan longgokan daging dan tulang belulang. Ia juga bukan robot yang bergerak tanpa perasaan, tapi manusia memiliki beraneka emosi jiwa. Ia bisa bergembira tapi juga bisa kecewa.

Emosi negatif, seperti perasaan kecewa akibat tertolak, bukannya tanpa hikmah. Kesedihan akan memperhalus perasaan manusia, bahkan akan meningkatkan kepekaannya pada sesama manusia. Bila dikelola dengan baik maka akan semakin matanglah emosi yang terbentuk. Tidak meledak-ledak lalu lenyap seketika. Ia akan siap untuk kesempatan berikutnya; kecewa ataupun bergembira. Jadi mengapa tidak bersyukur apabila kita ternyata bisa merasai kekecewaan? Kerana ianya bererti kita adalah manusia seutuhnya.

Kegagalan meraih cinta juga bukan petanda bencana. Tapi akan memberikan pelajaran berharga pada manusia.

Kerananya kegagalan bukanlah akhir dari segalanya, sebaliknya permulaan dari segala-galanya. Meskipun kelihatan seperti pelik tapi ada benarnya; ambillah pelajaran dari sebuah kegagalan lalu buatlah penambahbaikan diri. Tentu sahaja itu dengan tetap mengimani qadha Allah Subhanahu wata'ala. Agar kegagalan mengkhitbah tidak menjadi petaka, maka ikhwan dan akhawat, persiapkanlah diri sebaik-baiknya. Ada beberapa langkah yang boleh diambil:

Mempercayai Qadha

Manusia tidak suka dengan penolakan. Ia ingin semua keinginannya dipenuhi. Padahal ditolak adalah salah satu bahagian dari kehidupan kita. Kata seorang kawan, hidup itu adakalanya tidak boleh memilih. Perkataan itu benar adanya, cubalah kita renungkan, kita lahir ke dunia ini tanpa ada pilihan; dilahirkan sebagai seorang jejaka atau gadis, berkulit coklat atau putih, berbeza suku bangsa dan sebagainya. Demikian pula rezeki dan jodoh adalah hal yang berada di luar pilihan kita. Man propose, god dispose. Kita hanya bisa menduga dan berikhtiar, tapi Allah jua yang menentukan.Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللهِ بنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : حَدَّثَنَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقُ : إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْماً نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا
 ]رواه البخاري ومسلم]

Dari Abi Abdirrahman Abdillah bin Mas’ud radhiallahu’anhu, beliau berkata: Kami diberitahu oleh Rasulullah dan beliau adalah orang yang juur lagi dipercayai – Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

“Sesungguhnya telah disempurnakan penciptaan salah seorang dari kalian dalam perut ibunya selama empat puluh hari dalam bentuk sperma, kemudian dia menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian menjadi segumpal daging selama itu pula, kemudian Allah mengutus kepadanya malaikat, kemudian ditiupkan roh kepadanya, lalu malaikat tersebut diperintahkan untuk menulis empat perkara; untuk menulis rezekinya, ajalnya dan amalannya dan nasibnya (setelah mati) apakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia. Sesungguhnya salah seorang dari kalian benar-benar beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antara dirinya dengan syurga hanya satu hasta, lalu dia didahului oleh catatan takdirnya, sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga dia memasukinya. Dan salah seorang di antara kalian benar-benar beramal dengan amalan ahli neraka, hingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya sehasta, lalu dia didahului oleh catatan takdirnya, sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga hingga dia memasukinya.
(HR Bukhari dan Muslim. Shahih dikeluarkan oleh Al Bukhari di dalam [Bid’ul Khalqi/3208/Fath]. Muslim di dalam [Al Qadar/2463/Abdul Baqi]).

Maka kukuhkanlah keimanan saat perkara itu terjadi pada kita. Yakinilah ketentuan Allah sedang berlangsung, dan jadilah insan yang bersangka baik kepadaNya. Tanamkan dalam diri kita ‘Allah Maha Tahu yang terbaik bagi hamba-hambaNya’ . Jangan biarkan kekecewaan merosakkan keimanan kita kepadaNya. Apatah lagi dengan terus menanamkan prasangka buruk kepadaNya. Segeralah sedar bahawa ini adalah ujian dari Allah . Samada kita menerima qadha-Nya atau mengingkarinya?

Dengan demikian, fragmen yang pahit dalam kehidupan ini Insya Allah akan memperkuatkan lagi keyakinan kita bahawa Allah sayang pada kita. Demikian sayangnya, sehingga Allah tidak rela menjodohkan kita dengan si fulanah/ si fulan yang kita sangka sebagai pelabuhan cinta kita nan abadi.

Bukan Aib Kalau Ditolak

Ditolak? Tak Mungkin! Nah, mungkin demikian fikiran sebahagian ikhwan. Malu, kesal dan kecewa menjadi satu. Tapi itulah bentuk ‘perjuangan’ menuju pernikahan. Kita tidak akan pernah tahu apakah sang pujaan menerima atau menolak kita, kecuali setelah mengajukan pinangan padanya. Apabila ditolak tidak usah malu, bukan cuma kita yang pernah ditolak, banyak ikhwan yang ‘senasib’ dan ‘sependeritaan’ dengan kita . Saatnya berjiwa besar ketika ditolak. Tidak perlu merasa terhina. Demikian pula saat ramai orang tahu hal itu. Bukankah apa yang kita lakukan adalah sesuatu yang benar? Mengapa mesti malu.

Kita Mungkin Tidak Akan Bahagia’ Jika Dengan Dia

Marah-marah kerana lamaran ditolak? Mendoakan keburukan pada akhawat/ikhwan yang tidak mencintai kita? Itu bukan sikap seorang muslim/muslimah yang baik. Tidak ada yang bisa melarang seseorang untuk jatuh cinta mahupun menolak cinta. Sebagaimana kita punya hak untuk mencintai dan melamar orang, maka ada pula hak yang diberikan agama pada orang lain untuk menolak pinangan kita. Bahkan dalam kehidupan rumah tangga pun seorang suami dan isteri diberikan hak oleh Allah Ta'ala untuk membatalkan sebuah ikatan pernikahan. Mengapa ada hak penolakan cinta yang diberikan Allah pada kita? Bahkan dalam pernikahan ada pintu keluar ‘perceraian’? Jawapannya adalah sangat mungkin manusia yang jatuh cinta atau setelah membangun rumah tangga, ternyata tidak memperolehi kebahagiaan dari pasangannya, maka tiada guna mempertahankan sebuah bahtera rumah tangga bila kebahagiaan dan ketenteraman tidak dapat diraih. Wallahu a’lam.

Talak yang dapat dirujuk adalah dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma’ruf atau menceraikan dengan cara yang baik. ( Al-Baqarah[2] :229 ). Berfikir secara positiflah apabila cinta tak berbalas. Belum tentu kita memperoleh kebahagiaan bila hidup bersamanya. Apa yang kita pandang baik secara mata kasar, belum tentu berbuah kebaikan di kemudian hari. Adakalanya keinginan untuk hidup bersama orang yang kita idamkan begitu menggoda. Tapi bila ternyata cinta kita bertepuk sebelah tangan, untuk apa kita fikirkan semua itu lagi? Allah Maha Pengatur, ia pasti akan mempertemukan kita dengan orang yang memberikan kebahagiaan seperti yang kita idamkan. Bahkan mungkin lebih dari yang kita harapkan.

Be positive thinking, suatu hari kelak ketika antum telah menikah dengan orang lain bukan dengan si dia yang antum idam-idamkan - nescaya antum takjub dengan kebahagiaan yang antum rasakan. Percayalah ramai orang yang telah merasakan hal demikian.

Jangan Katakan “Saya tak mungkin bahagia tanpanya”

Ini adalah perangkap, ia akan memenjarakan kita terus menerus dalam kekecewaan. Perasaan ini juga menghambat kita untuk mendapatkan kesempatan berbahagia dengan orang lain. Mereka yang terus menerus mengingat orang yang pernah menolaknya, dan masih terbius dengan angan-angannya sebenarnya sedang menyeksa perasaan mereka sendiri dan menutup peluang untuk bahagia. Mari berfikir dengan jernih, untuk apa memikirkan orang lain yang sudah menjalani kehidupannya sendiri? Jangan biarkan orang lain membatalkan kebahagiaan kita. Diri kitalah yang bisa menciptakannya sendiri. Untuk itu tanamkan optimisme dan keyakinan terhadap qadha Allah Ta'ala. Insya Allah, akan ada orang yang membahagiakan kita kelak.

Menerima Pinangan Memerlukan Waktu

“Mahukah ukhti menjadi istri saya? Saya tunggu jawapan ukhti dalam tempoh 24 jam!” Masya Allah, menerima pinangan tidak seperti memesan murtabak telur yang boleh di tunggu waktu masaknya. Ia berperingkat, apatah lagi berbicara soal rumah tangga, pastinya banyak pertimbangan yang harus difikirkan. Ada unsur keluarga yang harus berperanan. Selain ada pilihan-pilihan lain yang mungkin boleh diambil. Jadi harap difahami bila kesempatan datangnya cinta itu memerlukan waktu. Seorang akhwat yang akan dilamar – contoh extrim seperti situasi diatas- boleh jadi tidak serta merta menjawab. Biarkanlah ia berfikir dengan jernih sampai akhirnya ia melahirkan keputusan. Jadi cara berfikir seperti di atas sebenarnya lebih sesuai dimiliki anggota pasukan komando berbanding orang yang berkhitbah.

Ideal Bagus, Tapi Realistik Adalah Sempurna

Suami yang saya dambakan adalah yang bertanggungjawab pada keluarga, giat berdakwah dan rajin beribadah, cerdas serta memahami, penyayang, peramah dan juga tampan.” Itu mungkin ciri-ciri suami  yang anda dambakan duhai Ukhti . Tapi jangan marah bila saya katakan bahawa kriteria itu adalah harga mati yang tak tertawar, maka yang ukhti perlukan bukanlah seorang ikhwan melainkan kitab-kitab pembinaan. Kenyataannya tidak ada satu pun lelaki di dunia ini yang boleh memenuhi semua keinginan kita. Ada yang ramah  tapi kurang rupawan, ada yang rajin beribadah tapi kurang ramah, ada yang giat berdakwah tetapi ego dan sebagainya. Ini bukan bererti kita tidak boleh memiliki kriteria bagi calon suami/isteri kita, lantas membuat kita mengubah prinsip menjadi “yang penting akhwat” atau “yang penting ikhwan”. Tapi realistiklah, setiap menusia mempunyai kekurangan – sekaligus kelebihan. Mereka yang menikah adalah orang-orang yang berani menerima kekurangan pasangannya, bukan orang-orang yang sempurna. Tapi berfikiran realistik terhadap orang yang akan melamar kita, atau yang akan kita lamar, adalah kesempurnaan. Maka doa kita kepada Allah bukanlah,”berikanlah padaku pasangan yang sempurna” tetapi “Ya Allah, kurniakanlah kepadaku pasangan yang baik bagi agamaku dan duniaku.”

Kekuatan Ruhiyah

Percaya diri itu harus, tapi "overself confidence" adalah satu kesalahan. Jangan terlalu percaya diri akhi bahawa lamaran antum diterima. Jangan juga terlalu yakin ukhti, bahawa sang pujaan akan datang ke rumah anti. Jodoh adalah perkara ghaib. Tanpa ada seorang pun yang tahu bila dan dengan siapa jodoh kita. Cinta dan jodoh tidak mengenal status dan identifikasi fizikal. Bukan kerana ukhti cantik maka para ikhwan menyukai ukhti. Juga bukan kerana akhi seorang hamalatud da’wah lalu setiap akhwat mendambakannya. Kita tidak boleh mengukur kebahagiaan orang lain menurut persepsi kita. Bukankah sering kita melihat seseorang yang menurut kita “luar biasa” bertemu jodoh dengan yang ‘biasa-biasa’ . Seperti seringkali kita melihat pasangan yang tampan dan cantik, popular tapi kemudian berpisah. Inilah rahsia cinta dan jodoh, tidak boleh diukur dengan ukuran-ukuran manusia.

Maka landasilah rasa percaya diri kita dengan sikap tawakal kepada Allah. Kita berserah diri kepadaNya akan keputusan yang Dia berikan. Jauhilah sikap takabur dan sombong. Kerana itu semua hanya akan membuat diri kita rendah dihadapan Allah dan orang lain. Intinya saya bermaksud mengatakan ‘jangan obses’ dengan segala title dan atribut yang melekat pada diri kita.

Yakinlah KepadaNya Cinta Akan Bersemi Di Suatu Saat

……….dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.” ( QS. Yusuf[12]:87 )

Bersedih hati kerana gagal bersanding dengan dambaan hati wajar adanya. Tapi bukan alasan untuk menyurutkan langkah berumah tangga. Dunia ini luas, demikian pula dengan orang-orang yang mencintai kita. Kegagalan cinta bukan bererti kita tidak berhak bahagia atau tidak bisa meraih kebahagiaan. Bila hari ini Allah belum mempertemukan kita dengan orang yang kita cintai, insya Allah ia akan datang esok atau lusa, atau bila pun ia menghendaki, itu adalah sebahagian dari kekuasaanNya. Cinta juga berproses. Ia memerlukan waktu. Ia bisa datang dengan cepat tak terduga atau mungkin tidak seperti yang kita harapkan. Ada orang yang dengan cepat berumah tangga, tapi ada pula yang merasakan segalanya berjalan lambat, namun tidak pernah ada kata terlambat untuk merasakan kebahagiaan dalam pernikahan.

Rasulullah bersabda:

إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير
 
“Jika seseorang melamar kalian yang kalian redha dengan agamanya dan akhlaknya maka nikahilah ia, bila kalian tidak melakukannya maka akan ada fitnah di muka bumi dan kerosakan yang nyata” (HR. Tirmidzi)

Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam juga bersabda:

 تُنْكحُ الْمَرْأَةُ لأرْبَعٍ: لمالها ولِحَسَبها ولِجَمَالها وَلدينها: فَاظْفَرْ بذاتِ الدِّينِ تَربَتْ يَدَاكَ " مُتّفَقٌ عَلَيْهِ

"Wanita dinikahi kerana empat perkara; dinikahi kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah agamanya nescaya dirimu akan selamat.” (HR.Ahmad)

Bersabar Atas Musibahnya

Rasulullah sallallahu'alaihi wasallam bersabda:

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير ، وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن ؛ إن أصابته سرّاء شكر ؛ فكان خيراً له ، وإن أصابته ضرّاء صبر ؛ فكان خيراً له .

Ertinya: " Amat menakjubkan perkara seorang mu'min sungguh segala hal yang ada padanya adalah kebaikan, dan ini tidaklah dimiliki melainkan oleh seorang mukmin. Apabila ia mendapatkan kesenangan kemudian bersabar maka itulah yang terbaik baginya, dan apabila ia tertimpa dengan kesengsaraan kemudian ia bersabar maka itu yang terbaik baginya". (HR. Muslim)