Sabarlah dalam Bersabar!


“Jangan cakap tentang sabar. Perkataan itu pantang disebut di sini dan ketika ini. Orang hendak penyelesaian yang tuntas, bukan hanya kata-kata dan nasihat!” Begitulah yang pernah saya dengar pesanan daripada pihak pengurusan dan pentadbiran kepada petugas-petugas yang mengendalikan suatu tugasan yang melibatkan kepentingan orang ramai. Mereka tidak mahu mendengar perkataan sabar. Mereka hanya inginkan penyelesaian dan tindakan. Seolah-olah sabar itu bukan penyelesaian. Seakan-akan sabar itu bukan satu tindakan…

Jadi, apa yang sering berlaku apabila kita menasihati seseorang supaya bersabar ketika sesuatu kesusahan atau musibah yang menimpa, spontan dia akan meningkah: ‘Aku inginkan penyelesaian yang konkrit. Bukan kata-kata sabar! Kalau itu, aku pun tahu!” Tanpa dia sedari, sebenarnya dengan berkata demikian, sah dia tidak tahu apa itu sabar.

Namun mengapa itu yang sering terjadi? Keadaan itu menunjukkan bahawa sama ada pihak yang memberi nasihat, pihak yang menerima nasihat atau kedua-duanya sekali tidak benar-benar memahami erti sabar yang tepat dan dinamik. Boleh jadi yang memberi nasihat tidak ikhlas, yakni tidak bercakap daripada hati (sekadar ambil hati mungkin). Oleh sebab itu, yang mendengar sukar menerimanya. Ataupun pihak yang memberi nasihat benar-benar ikhlas, tetapi yang menerima pula tidak ikhlas atau tidak faham maksud sebenar sabar yang didengarnya itu.

Erti dan Praktik Sabar
Seseorang akan memusuhi apa yang tidak diketahuinya. Oleh sebab itu, penting sekali kita memahami apa erti sabar. Kemudian apa yang kita faham itu, kita hayati dan praktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Apa itu sabar? Sabar dari segi bahasa ertinya menahan atau mengekang. Dari segi praktiknya pula, sabar bererti menahan atau mengekang diri daripada rasa keluh-kesah dan sedih dalam menghadapi sesuatu yang tidak disukai. Lawan kepada sifat sabar adalah sedih dak keluh-kesah.

Sifat sabar sangat penting dalam kehidupan kerana apa yang berlaku pada diri kita tidaklah sentiasa secocok atau selaras dengan apa yang kita inginkan. Kita bukan Tuhan, kita hanya hamba-Nya. Banyak perkara yang berlaku pada diri kita adalah sesuatu yang kita tidak ingini, harapkan dan jangkakan. Jadi apakah jalan keluar? Tidak lain hanya dengan sifat sabar sahaja kita dapat melalui semua itu tanpa rasa kesal, kecewa, bimbang dan dukacita.

Sabar itu bukan sahaja satu tuntutan syariatullah (hukum yang ditetapkan oleh Allah untuk dipatuhi oleh manusia), malah ia adalah satu sunnatullah (hukum yang ditetapkan oleh Allah untuk mengatur seluruh alam dan kehidupan). Seluruh alam ini dicipta dan diatur atas tapak sabar. Langit dan bumi diciptakan oleh Allah penuh kesabaran yakni dalam tempoh enam masa, padahal Allah mampu menciptakannya hanya dalam sekelip mata.

Matahari terbit dari sebelah timur dan naik sedikit demi sedikit untuk tenggelam di sebelah barat. Tumbuh-tumbuhan juga membesar sedikit demi sedikit, daripada anak benih sampailah berbatang, berdahan, beranting, berdaun dan berbuah. Begitu juga penciptaan haiwan, tumbesaran manusia, kejadian planet dan segala-galanya. Ia sentiasa mematuhi hukum tadarruj (gradually) yang bertapak atas kesabaran!

Allah sebagai Pencipta yang Maha Berkuasa juga bersifat sabar. Allah tidak segera menghukum hamba-hamba-Nya yang berdosa. Allah bersabar atas kerenah dan perbuatan hamba-Nya. Justeru salah satu daripada nama-nama Allah yang baik (Asma al-Husna) adalah as-Sabur (Zat Yang Maha Sabar).

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada seorang pun yang mendengar sesuatu yang menyakitkan lebih sabar daripada Allah. Dia telah disekutukan dan dianggap memiliki anak, tetapi Dia membiarkan dan memberi mereka rezeki.”
(Riwayat  Ahmad daripada Abu Musa al-Ash’ari)

Sepatutnya semua ini menyedarkan manusia agar rasa malu dan takut jika tidak bersabar. Jika Allah sendiri yang memiliki segala sifat kesempurnaan lagikan bersabar, apatah lagi manusia yang begitu banyak kelemahan dan kekurangannya. Kenangkanlah sifat sabar Allah s.w.t. itu, insya-Allah kita akan rasa malu untuk cepat melenting, marah, kecewa dan putus asa dalam menghadapi apa jua perlakuan negatif orang lain terhadap diri kita.

Sabar adalah tuntutan yang khusus buat manusia. Ia tidak dituntut ke atas haiwan kerana haiwan hanya memiliki syahwat tanpa akal dan hati nurani. Oleh sebab itu, ia tidak dibekalkan oleh Allah dengan keupayaan untuk bersabar. Hidupnya hanya dipandu oleh syahwat (nafsu). Manakala malaikat pula memang telah sedia baik, tidak mempunyai nafsu. Jadi tidak ada pertarungan dalam dirinya untuk melakukan kebaikan atau kejahatan yang memerlukan sifat sabar.

Sebaliknya manusia perlu melawan nafsunya untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dan ini sangat memerlukan sifat sabar. Segala macam potensi  yang dibekalkan kepada manusia seperti akal, nafsu, cabaran dan bakat menyebabkan manusia dianggap mukallaf (yakni dibebani) untuk memenangkan unsur baik dan mengalahkan unsur jahat dalam dirinya sendiri.

Apabila kita bercakap tentang sabar, ertinya kita menyentuh soal keimanan. Firman Allah s.w.t.:

“Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang bertaqwa.”
(al-Baqarah 2:177)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sabar itu separuh daripada iman”
(Riwayat al-Baihaqi)

Ertinya, tanpa iman tidak aka nada kesabaran. Iman itu bukan sekadar ilmu di kepala, ucapan di mulut, tetapi ia soal keyakinan dalam hati serta dibuktikan dengan perbuatan.

Apabila pesan sabar diluahkan, ia sekali gus merupakan pesanan yang berkaitan dengan keimanan kepada Allah dan hari akhirat. Allah menyebut tentang sabar lebih daripada 90 tempat dalam al-Quran. Ini menunjukkan betapa perlunya sifat tersebut untuk dimiliki oleh setiap manusia. Tanpa sabar, tidak aka nada kejayaan di dunia dan akhirat.

Berpesan-pesan atas kesabaran tidak boleh dianggap jumud, menyerah atau eskapisme. Bukankah kalimah itu yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika melihat keluarga Yasir (Yasir, isterinya Sumayyah dan anaknya Ammar) diseksa oleh pemuka Quraisy?

Apakah ucapan “sabarlah wahai keluarga Yasir, bagimu syurga” satu ucapan jumud, berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab?

Tidak, tetapi itulah iman. Iman itu percaya tentang adanya soal-soal ghaibiyyat yang tidak dapat dilihat oleh mata tetapi dapat dirasa oleh hati. Kesannya, Yasir dan Sumayyah terkorban tanpa mendapat sebarang pembelaan mahupun ganjaran dari segi material dan fizikal.

Hanya orang yang beriman sahaja yang boleh diperingatkan dengan sabar, kerana pada minda dan jiwa mereka ada keyakinan adanya hari pembalasan. Firman Allah:

“Dan berilah peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu akan memberi manfaat kepada orang yang beriman.”
(ad-Dhariyat 51:55)

Manakala orang yang tidak beriman atau lemah imannya akan marah, rasa disindir, dieksploitasi dengan kalimah sabar yang dipesan kepada mereka.

Apakah sabar itu satu sifat pesimis dan tidak produktif? Tidak! Sabar itu akan diganjari dengan syurga. Itulah keyakinan orang beriman. Dengan keyakinan itu, penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia mampu dihadapi kerana mengharapkan kenikmatan yang lebih baik dan berkekalan di syurga. Rasulullah s.a.w. yakin hakikat itu dan keyakinan itulah yang dipesan kepada keluarga Yasir yang juga mempunyai keyakinan yang sama. Sesungguhnya, pesanan itu meresap ke dalam hati kerana disampaikan daripada hati.

Ketika para sahabat Rasulullah s.a.w. diseksa sebegitu dahsyat di Makkah, tidak ada senjata yang diangkat untuk melawan. Semuanya dihadapi dengan pasrahdan tawakkal.

Khabab bin al-Arat berkata: “Kami mengeluh dihadapan Rasulullah sewaktu baginda sedang bersandar di Ka’bah: ‘Apakah engkau tidak memohon pertolongan bagi kami? Tidakkah engkau berdoa kepada Allah untuk kami?’ Nabi s.a.w. bersabda: ‘Dahulu seorang lelaki ditanam badannya ke dalam bumi lalu gergaji diletakkan dan kepalanya dibelah dua, namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Dan disikat dengan sikat besi sehingga mengelupas daging daripada kulitnya sehingga nampak tulangnya, namun itu tidak menghalangnya daripada agamanya.’”
(Riwayat al-Bukhari no. 3343)

Orang yang beriman akan mendapat kekuatan daripada pesan sabar. Hatinya mampu mengaitkan apa yang sedang dihadapinya dengan ketentuan Allah. Apabila berlaku sesuatu musibah terhadap dirinya, dia dapat menerima dan menghadapinya dengan baik kerana menyedari hakikat berikut:

i. Yakin akan mendapat pahala tanpa batas daripada Allah

Firman Allah s.w.t.:

“Sesungguhnya hanya orang yang bersabar yang dicukupkan pahala bagi mereka tanpa batasan.”
(az-Zumar 39 : 10)

ii. Mendapat berita gembira dengan rahmat dan petunjuk daripada Allah

Firman Allah s.w.t.:

“Dan berikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar, yang apabila ditimpa musibah mereka berkata, ‘Kami milik Allah dan kepada-Nya jua kami akan dikembalikan.’ Mereka itulah orang yang mendapat rahmat daripada Tuhannya dan merekalah orang yang mendapat petunjuk.”
(al-Baqarah 2: 155-157)

iii. Diampunkan segala dosa

Dia faham bahawa ujian yang didatangkan oleh Allah kepadanya ialah ujian pembersihan terhadap dosa-dosa yang dilakukannya. Jadi, dia tahu kepahitan ujian itu hakikatnya ubat kepada penyakit-penyakit hatinya. Sepertimana pesakit fizikal gembira mendapat ubat bagi penyakitnya, maka begitulah juga orang yang beriman akan berasa lega apabila diuji dengan kesusahan kerana mendapat ubat kepada penyakit rohaninya.

iv. Mendapat syurga di hari akhirat kelak

Firman Allah s.w.t.:

“Dan para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkannya), keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”
(ar-Ra’d 13:23-24)

Seseorang yang diuji dengan kematian anak misalnya akan digembirakan oleh Allah menerusi janji-Nya yang disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w., mafhum sabda baginda:

“Jika anak seorang hamba mati, Allah berkata kepada malaikat-Nya: ‘Engkau telah mengambil nyawa anak daripada hamba-Ku? Mereka menyatakan: ‘Ya.’ Allah kemudian berkata: ‘Apa yang dikatakan oleh hamba-Ku?’ Mereka berkata: ‘Ia memuji-Mu dan beristirja.’ Maka Allah berkata: ‘ Dirikanlah sebuah rumah di syurga buat hamba-Ku dan berikanlah nama dengan Baitul Hamd (rumah pujian).”
(Riwayat at-Tirmidzi daripada Abu Musa al-Ash’ari)

Tidak syak lagi, sabar adalah syarat untuk mendapat keayaan di dunia dan akhirat. Tanpanya kita akan rugi, terhina, kalah dan menderita. Orang yang tidak sabar telah melanggar hukum syari’atullah (perintah Allah supaya bersabar) dan juga sunnatullah (hukum yang Allah tetapkan untuk mengatur alam dan kehidupan). Putus asa adalah sifat orang kafir manakala tergesa-gesa adalah daripada syaitan.

Imam al-Syafi’I berkata:

“Seandainya al-Quran hanya ada satu surah ini sahaja, ia akan mencukupi buat manusia kerana ia mengandungi segala yang diperlukan untuk manusia dan ditutup dengan sabar.”

Surah apakah itu? Ya, itulah surah al-‘Asr.

Firman Allah:

“Demi masa sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.”
(al-‘Asr 103:1-3)
Semoga kita terus bersabar dalam usaha untuk menambah ilmu tentang sabar dan sabar pula ketika bermujahadah mengamalkannya dalam realiti kehidupan. Sabarlah dalam bersabar!


والله أعلم

لا عزة إلا بالإسلام

2 comments:

  1. syukran, artikel ni sedikit sebanyak menyedarkan sy.

    ReplyDelete
  2. 'afwan.. alhamdulillah, perkongsian untuk kebaikan kita semua..

    ReplyDelete