‘Idul Fitri… sebutan yang sepatutnya menjadi buah mulut umat Islam seluruh dunia. Inilah sebutan yang mungkin boleh mengembalikan kita kepada penghayatan sebenar sambutan hari raya. Mengapa tidak, selepas berpuasa selama sebulan, mengekang nafsu, mengikis mazmumah, kini kita seperti dikembalikan kepada fitrah yang suci bersih. Itulah hakikat taqwa.
Ya, ‘idul fitri kalau diterjemahkan dalam bahasa kita bermaksud kembali kepada fitrah dan jika dikaitkan dengan ibadah puasa sebagai bulan latihan, maka hasilnya umat Islam kembali kepada fitrahnya sebagaimana mereka dilahirkan. Sebagaimana bayi dilahirkan tanpa dosa, maka begitulah mereka yang berpuasa Ramadhan. Pada hari raya mereka kembali bersih daripada dosa.
Tetapi berapa ramai yang boleh mengekalkan kesucian dan kebersihan hati daripada dosa? Usaha yang dilakukan sebulan dalam bulan Ramadhan, musnah hanya satu hari pada hari raya. Dosa sebelum Ramadhan disambung semula pada hari raya pertama.
Makan minum sudah tidak berkira lagi. Malah pergaulan bebas tanpa batas, tabiat buruk memfitnah dan mengumpat subur semula.
Hari raya ini diraikan sebulan kerana Syawal adalah sebulan. Walaupun setiap hari tersebut dipenuhi dengan kunjungan kemesraan, menghubungkan silaturrahim disambut pula dengan ucapan “Selamat Hari Raya; Maaf Zahir dan Batin”, namun mereka tetap membawa dosa bersama. Jadi, sambutan hari raya telah mengembalikan mereka kepada dosa.
Fenomena Rumah Terbuka
Fenomena baru dalam amalan menyambut hari raya di negara kita telah banyak mengubah cara rakyat Malaysia berhari raya. Kalau dahulu, rumah terbuka hanya berlaku pada hari raya pertama iaitu semua rumah umat Islam dibuka kepada semua pengunjung terutama sanak saudara. Dan yang paling gembira ketika itu tentunya anak-anak kerana setiap kali mengunjungi rumah terbuka, mereka akan diberi duit raya walaupun sekadar 50 sen.
Suasana itu akhirnya berubah terutamanya di bandar apabila rumah terbuka pada hari pertama tidak boleh diadakan kerana kebanyakan umat Islam di bandar pulang ke kampong. Bagi menggantikannya, maka diwujudkan rumah terbuka selepas seminggu kembali ke bandar. Cuma pada kali ini, hanya sanak saudara dan sahabat handai dijemput. Sementara jiran tetangga tidak dilibatkan sama.
Walaupun namanya rumah terbuka, konsepnya sudah berubah daripada konsep asalnya. Kalau dahulu, jiran dan sahabat handai boleh datang pada hari tersebut, tetapi kini semuanya mesti dijemput atau diundang terlebih dahulu. Lalu jiran tidak mendapat undangan, tidak berani datang berkunjung.
Selain itu, pemimpin tempatan juga turut membuat rumah terbuka untuk memberi peluang kepada rakyat atau orang yang berada di bawah pimpinannya untuk bermesra dengannya. Walaupun semua rakyat boleh datang berkunjung tanpa jemputan khusus, namun kerana jumlah kehadiran yang terlalu ramai, pemimpin tidak dapat bermesrda dengan semua pengunjung. Kadang-kadang ada yang tidak mendapat makanan.
Kalau begitulah keadaannya, sambutan hari raya yang disambut sebulan itu masih tidak mencapai objektifnya. Sambutan hari raya yang sepatutnya melahirkan rasa terima kasih dan syukur kepada Allah kerana dikembalikan kepada fitrah, telah bertukar kepada majlis dosa dan maksiat. Di mana silapnya sambutan hari raya kita di Malaysia?
Layakkah Berhari Raya?
Sebenarnya sambutan hari raya yang kita sambut kini lebih pada adat dan budaya yang langsung tiada nilai ibadah. Bayangkan berapa ramai yang bertakbir, bertahmid dan bertasbih pada malam hari raya? Realitinya, lebih ramai yang membuat persiapan akhir menyambut raya; memasang langsir, mengemas rumah dengan susun atur yang baru dan sibuk memasak ketupat, lemang dan pelbagai juadah hari raya.
Malangnya pada pagi raya pula terlambat bangun lalu tergesa-gesa mandi dan terlupa untuk niat mandi sunat hari raya. Kemudian tergesa-gesa pula ke masjid, lalu acara bersalaman dengan ibu bapa dilakukan tanpa terlebuh dahulu bersarapan pagi sebelum ke masjid. Inilah ibadah yang sering mereka lupa kerana mengutamakan tradisi.
Semasa menunggu solat ‘idul fitri dimulakan, ada jemaah yang tidak sama-sama bertakbir, bertasbih dan bertahmid kerana mengunjungi tanah perkuburan terlebih dahulu, meratapi insan yang telah pergi. Malah ada yang tidak tahu menyebut kalimah-kalimah takbir, tasbih dan tahmid dengan betul. Ada perkataan yang tidak boleh disebut dengan baik padahal mereka ada peluang untuk belajar. Bagi yang bertakbir, bertasbih dan bertahmid pula, mereka melagukan laungan tersebut dengan irama sedih dan mendayu-dayu seolah-olah sedang menangisi suatu kematian. Sepatutnya laungan takbir, tasbih dan tahmid dilakukan dengan penuh semangat dan kegembiraan bagi meraikan kemenangan kita memerangi dan menundukkan hawa nafsu di bulan Ramadhan. Wajarkah kita meraikan kemenangan kita dengan tangisan dan irama-irama kesedihan sebagaimana yang kita amalkan sebelum ini?
Mengapa semua itu berlaku? Ya, barangkali inilah cara orang yang menyambut hari raya tanpa taqwa. Hakikatnya mereka sama-sama mahu meraikan kejayaan orang yang berjaya beroleh ketaqwaan. Walaupun mereka sendiri tidak layak berhari raya sebagai orang bertaqwa, namun mereka tetap diberi peluang menikmati hari raya.
‘Idul fitri memang selayaknya untuk orang yang beroleh taqwa. Pada malam hari raya, mereka berazam untuk mengekalkan sifat taqwa. Mereka sangat berhati-hati dengan dosa, tidak mahu terlibat dengan amalan yang boleh menimbulkan fitnah. Mereka amat takut kepada Allah lalu meninggalkan larangan Allah sepanjang masa.
Bagaimana anda pada hari raya ini? Adakah anda memiliki taqwa seperti yang dijelaskan? Percayalah, kalau anda sudah berpuasa dengan baik, pasti natijah taqwa akan menghiasi anda. Setelah itu, sanggupkah anda merosakkan taqwa itu dengan hanya satu hari pada hari raya? Yang pasti, orang yang bertaqwa tidak mungkin akan melakukan dosa sepanjang menyambut hari raya.
Hari Raya Sebenar
Menyedari keadaan di atas, marilah kita menyambut hari raya dengan menepati kehendak Islam, sekali gus dinilai sebagai ibadah. Untuk itu hiasilah hari raya kita bermula malamnya dengan beberapa acara ibadah:
- Penuhi malam raya dengan takbir, tasbih dan tahmid sebaik sahaja terbenam matahari akhir Ramadhan. Boleh dilakukan di mana-mana sama ada sewaktu berziarah ataupun bersendirian. Amalan sunat ini akan tamat sebelum imam mengimamkan solat sunat ‘idul fitri.
- Saling menziarahi dan mengucapkan tahniah atau selamat hari raya, tanda gembira atas kejayaannya melepasi ujian puasa sehingga beroleh taqwa. Boleh kita gunakan ucapan lazim “Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.” Tapi dicadangkan sedikit tambahan:
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وِمِنكُمْ وَجَعَلَنَا مِنَ العَائِدِينَ وَالْفَائِزِينَ. كُلُّ عَامٍ وَأنْتُم بِخَيْرِ
“Semoga Allah menerima (puasa) kita dan menjadikan kita kembali (dalam keadaan suci) dan termasuk orang-orang yang mendapat kemenangan. Semoga kamu berada dalam kebaikan setiap tahun.”
- Boleh mulakan ucapan tersebut kepada yang lebih tua; isteri terhadap suami, anak kepada ibu bapa, pekerja kepada majikan, rakyat kepada pemimpin dan akhirnya sesama sahabat handai juga rakan taulan.
- Sarapan terlebih dahulu sebelum ke masjid.
- Mandi sunat hari raya, walaupun wanita dalam keadaan haid.
- Menghadiri tempat solat lebih awal untuk membolehkan mereka bertakbir dan mendengar khutbah raya, termasuk juga bagi wanita yang dalam keadaan haid.
- Lakukan solat hari raya bagi yang boleh melakukan solat.
- Memberi sumbangan raya kepada anak-anak terutama anak yatim.
- Menunaikan zakat fitrah sebelum imam memulakan solat sunat Hari Raya.
Manakala pada hari raya kedua, tiada lagi sambutan hari raya yang berlebihan. Sebaliknya terus melakukan ibadah puasa Syawal selama enam hari. Puasa ini elok disegerakan kerana suasana puasa masih dirasai oleh umat Islam. Bahkan puasa ini amat dituntut oleh Rasulullah dalam hadisnya:
“Sesiapa telah berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal (puasa), maka ia seperti (pahala) puasa ad-dahr (setahun).”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6502)
Jadi, mulakan dengan puasa sunat selepas sempurna Ramadhan. Bagi mereka yang perlu qadha puasa Ramadhan, eloklah dahulukan qadha daripada sunat ini. Demikian bagi melengkapkan puasa setahun seperti yang ditawarkan dalam hadis di atas.
Umat Berjaya
Umat Islam yang berjaya menempuh Ramadhan dengan sempurna dan diikuti dengan amalan sunat di atas, pasti akan memiliki akhlak mulia. Mereka ini bukan sahaja berakhlak sesama manusia, berbudi bahasa, bertoleransi dan saling bertolong bantu sesama manusia, tetapi lebih utama mereka berakhlak mulia dengan Allah.
Inilah konsep taqwa yang diinginkan daripada madrasah Ramadhan. Mereka mungkin tidak terlibat dengan amalan dosa samada dengan manusia dan lebih-lebih lagi dosa dengan Allah. Bayangkan kalau manusia seperti ini dapat dilahirkan daripada madrasah Ramadhan, pasti banyak kemajuan dapat dihasilkan di dunia ini.
Manusia tersebut sudah tentu umat Islam yang berjiwa kuat dan murni dalam mempertahankan kebenaran Allah. Ketika itu, umat Islam sudah ada kekuatan yang sukar ditandingi. Malah orang bukan Islam boleh meletakkan kepercayaan kepada umat Islam sepenuhnya.
Walau bagaimanapun umat Islam yang digambarkan di atas terlalu sedikit berbanding dengan golongan yang masih hanyut dalam kehidupan yang sia-sia. Mereka tidak mendapat manfaat daripada puasa yang dilakukan selama sebulan. Golongan inilah yang perlu disedarkan agar mereka semua boleh menjadi orang Muslim yang bertaqwa suatu hari nanti.
والله أعلم
No comments:
Post a Comment