Wahai Muslimah, Bangunlah Dari Mimpi!



Pernahkah anda bermimpi lalu terjaga daripada tidur dan rupa-rupanya jaga itu pun masih lagi sebenarnya adalah sebuah mimpi? Pasti menyeramkan dan menyedihkan apabila apa yang anda rasai, sangka dan anggap sebagai realiti itu sebenarnya adalah cuma sebuah fantasi atau lebih tepat lagi disebut sebagai sebuah mimpi!

Demikianlah perumpamaan yang mampu saya berikan kepada kaum wanita yang tersesat dan dikhayalkan oleh godaan duniawi. Bumi dan langit yang begitu tinggi dan besar kejadiannya kelihatan begitu ringkas dan kecil “significant”nya dalam kehidupan mereka.

Sedangkan Allah SWT berfirman: 

“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi itu lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Al-Mukmin : 57)

Mereka tidak peduli!

Bangun pagi seperti sang puteri, dilayani manja oleh ibubapa selama mereka masih setia menjadi anak yang taat dan tidak berkahwin lari…kemudian ke sekolah atau kolej bagi meneruskan rutin harian mereka….

Belajar….kenapa belajar ? Kerana…kena belajarnya…semua orang pun belajar…lagipun kalau belajar dapat ilmu baru dan boleh dapat sijil dan dapat mencari kerja….bila dah kerja dapat gaji boleh balas jasa ibu dan ayah….

Senyum lebar ibubapa dan bahagianya rasa apabila mendengar jawapan si anak…!

Apakah sempat mereka memikirkan kebesaran Allah yang menghidupkan dan mematikan ? Yang telah membangkitkan mereka dari tidur yang lena ?

Tidak !!!

Sudah lewat? Hari ini ada periksa? Ada janji temu (dating) dengan teman lelaki ? Itulah yang ada di dalam benak pemikiran mereka.

Ubudiyah kepada Allah? Apa kejadah tu ….?

Mimpi di zaman kanak-kanak

Semenjak kecil para wanita ini membesar dengan asuhan yang salah oleh ibu bapa. Mereka tidaklah dibesarkan sebagai amanah Allah yang perlu diserahkan kepada seorang lelaki (suami) kelak pada masa hadapan…tidak!



Sebaliknya mereka dibesarkan sebagai seorang puteri yang comel dan merupakan harta dan perhiasan yang berharga oleh pihak ibubapa dan dijaga dengan penuh kasih sayang dan kemanjaan.

Maka anak perempuan itu pun hiduplah dalam mimpi bahawa bahagia itu miliknya, tiada apa yang akan terjadi kepadanya kerana ibubapa sayang kepadanya, ada kereta, ada rumah, ada wang, ada sekolah dan ada mama dan papa yang saling sayang menyayangi dan amat cinta kepadanya!

Tup-tup!

Ibubapa bercerai…mama dan papa mati…keluarga jadi miskin, sekolah banjir dan pelbagai lagi tragedi yang boleh menimpa maka terjagalah anak perempuan ini sekejap dari lena dan tidur yang panjang!

Terjaga!!!

Bahawa apa yang dia miliki selama ini boleh hilang….trauma…takut dan sedih dan rasa tuhan tidak adil….! Kenapa kau ambil ibu bapaku? Apa salah mama? Apa salah papa? Kenapa ambil mama dan papa? Kenapa mama dan papa bercerai??

Blaming game pun bermula….

Mimpi di zaman remaja

Anak-anak gadis di zaman remaja amat dahsyat mimpi mereka… Sukar dikejutkan dan amat payah terjaga dari lena dan tidur yang panjang!

Mereka ada bilik sendiri, ada ruang sendiri, ada pemikiran sendiri, ada rakan dan hak-hak tersendiri…. Minta dihormati, perasaannya perlu dipertimbangkan dan dia merasakan bahawa semua orang perlu menghormatinya!

Dia bermimpi bahawa hidup ini adalah miliknya, dialah ratu dan dialah dirinya sendiri yang serba hebat…. Jatuh cinta dan dipikat oleh sang keldai lelaki dalam kelas atau di pusat pengajian tusysen… Tertarik, tertawan… Oh manisnya dunia dalam dakapan sang lelaki yang tak ketahuan…

Jika bernasib baik perhubungan akan terputus sebab lama tidak berhubung, terpisah oleh kesibukan belajar atau kerana bertemu rakan baru. Jika bernasib tidak baik dan mak bapa pun tidak ambil peduli sebab bukan kahwin lari maka mungkin budak perempuan itu boleh bunting kerana hari-hari berlaku ujikaji biologi dalam bab pensenyawaan dan hubungan badan.

Jika cerdik makan ubat, jika tak cerdik dan dungu maka akan menangis, sedih dan kemudian keluarga akan memujuk supaya kejadian perit itu dilupakan….

Terjaga sekejap dari mimpi bahawa zaman persekolahan dan kolej ini memang penuh dugaan…

Sambung mimpi lagi…

Di universiti pula ada persatuan, ada jamaah dan pertubuhan maka kaum muslimah ini pun bermimpi bahawa itulah perjuangan hanya sebab mengikuti usrah kecil-kecilan dengan buku shaari sungib jadi bahan bacaan atau pun buku ustaz Fathi Yakan maka dianggaplah bahawa mereka sedang berdakwah dan berjuang setaraf mujahidah dan mujaddidah!

Usrah dan tamrin dihadapi dengan penuh perasaan, tangis-tangisan, sungguh bersungguhan kerana adik-adik akan mengantikan kakak-kakak dalam perjuangan….adik-adik pelapis generasi hadapan kolej atau AJK surau sekian-sekian….menangis…

Malam itu gadis ini tidur dengan nyenyak dalam keadaan merasakan dirinya hamba yang dikasihi Tuhan….dirinya exco dakwah dan pelapis perjuangan kolej sekian-sekian…

Mimpi bersambung lagi…

Tidak lama menjadi AJK sayap kiri kanan depan belakang muslimin maka muslimah ini pun akhirnya memikat burung-burung jantan yang ada di dalam satu sarang jamaah….sms, surat, warkah dakwah dan iman….cinta-cintan perjuangan…ana suka pada ente…jom ke masjid dan dakwah sama-sama….cairlah sebuah keteguhan yang dibuat-buat…tergodalah prinsip muslimah sejati wadah perjuangan murni yang dijadikan tema tahun ini….

Tidak lama kemudian muslimin tak jadi bernikah, ibubapa tak sudi, kena dengar cakap mak bapa… Ada pula bernasib tidak baik sudah melakukan maksiat bergesel-gesel badan tetapi hati kemudian berubah kerana bertemu ustaz idaman… Oh ustaz… Ana sudah istikharah….. Condong hati ana ke ustaz….ceh…

Cinta-cintan di zaman belajar berapa banyak yang berakhir dan berkesudahan? Semuanya hanya mainan perasaan…

Kecewa dan dikecewakan….terjaga sekejap dari mimpi…

Hantar email ke Ustaz Emran…minta panduan dan cara muhasabah diri, banyak dosa sudah dilakukan bla-bla…cerita yang sama tetapi watak yang berbeza ….Ustaz saya ingin bertaubat…

Minta dicarikan muslimin soleh dan lelaki yang mampu membimbing…sekian dan sekian…

Maka terjagalah dari mimpi buat ke sekian kali…

Namun mujurlah sempat kembali dari yang masih terus hanyut dalam alam percintaan…berkahwin dan membina rumahtangga dan melayari bahtera dalam kapal yang penuh bocor dan kerosakan!

Di tengah perjalanan ada arus berlaku pergolakan….si isteri menekan suami…suami menyalahkan isteri dan berlaku perceraian…

Ustaz Emran, saya ingin bertanya tentang suami saya…,bla-bla-bla…

Masalah yang sama…watak yang berlainan….

Kasihan dengan kaum wanita yang kebanyakan hidupnya tidak pernah menikmati realiti dan hanyut oleh mimpi. Ketika kecil dia dibesarkan dengan didikan yang tidak menurut kehendak Allah. Dia dibesarkan tanpa menyedari tanggungjawab dan tujuan hidup di atas muka bumi Allah SWT.

Justeru hidupnya adalah seperti mimpi yang tak pernah terjaga dan gagal merasai reality dan erti sebuah kehidupan yang sementara ini.

Diriwayatkan bahawa Abu Bakar As-siddiq ra pernah berkata : “Barangsiapa yang memasuki kubur tanpa membawa bekalan maka dia seolah-olah mengharungi lautan tanpa menaiki kapal.”

Masih saya ingat lagi, tentang kisah seorang muslimah yang ketika 5 tahun dahulu pernah bertanya saya, Salam ustaz, saya ada seorang kekasih yang sangat saya cintai…dan sekarang setelah 5 tahun berlalu maka dirinya itu dan kekasihnya pun sudah menjadi milik orang lain. Begitu juga dengan wanita yang bertanya 4 tahun dahulu, ustaz saya ada seorang suami dan bertanya saya tentang suatu masalah dan kini mereka pun sudah bercerai…

Seorang budak sekolah dan gadis remaja bercinta dengan rakan sekelasnya, berapa lamakah cinta itu akan bertahan ?

Tanyalah diri anda sendiri…apakah kehidupan yang anda lalui sekarang ini ialah mimpi atau pun sebuah realiti.

Persoalkan sekarang sebelum terus sesat di alam yang tiada kesudahan!


* Dipetik dari artikel tulisan Ustaz Emran Ahmad.

Meskipun ditujukan untuk muslimah, namun perit pedih teguran Ustaz Emran tetap kurasai.. bahawa apa yang ditulis ustazlah apa yang ku maksudkan sebagai REALITI... Terima kasih ustaz…


No comments:

Post a Comment