Menduakan Cinta-Nya - Bila Ujian Cinta Menjalar, Di Mana Panduannya?


“Salahkah bercinta?”

“Allah yang hadirkan cinta, takkan tak boleh layan?”

“Kalau tak bercinta, macam mana nak kenal bakal pasangan?”

Begitulah antara keluhan remaja kita. Banyak persoalan di minda yang masih belum terjawab. Siapa yang akan menjawabnya?

Adakah pengalaman orang dewasa  di sekeliling mereka yang akan menjawabnya? Atau logik minda mereka sendiri akan menjawab kesemua persoalan tersebut? Atau penangan media massa yang akan mengilhamkan jawapan untuk mereka?

Beruntunglah remaja yang mencari jawapan yang benar daripada sumber yang maksum (terpelihara) iaitu al-Quran dan sunnah, bukan mencari fatwa dalam majalah-majalah hiburan, kisah cinta picisan, drama lakonan dan perbincangan kosong di alam maya.

Beruntunglah remaja yang mendapat didikan yang benar daripada al-Quran dan sunnah. Bukan membiarkan diri dididik dan tunduk kepada kepuasan rakan sebaya, orang sekeliling dan realiti yang bercanggah dengan kebenaran.

Al-Quran dan sunnah, dua sumber itu yang akan menyelamatkan kita daripada terhumban dalam kesesatan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Aku meninggalkan kamu dua perkara, tidak akan sesat selama-lamanya sesiapa yang berpegang kepada kedua-duanya; kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.”
(Riwayat Malik)

Jika ujian cinta itu amat berat dan menjalar dalam segenap hidup manusia sepanjang zaman, takkan dua sumber yang agung ini tidak memberi panduan tentangnya? Panduan untuk menguruskannya, bukan untuk membunuhnya. Masakan Islam agama yang fitrah mahu membunuh fitrah. Islam memandu kita untuk menyalurkannya secara mulia, terhormat dan bermaruah. Bersama redha Allah.

Nasihat Buat  Remaja
Belek-beleklah panduan Al-Quran dan sunnah. Alam remajamu akan menjadi lebih indah terarah. Naluri ingin mencintai dan dicintaimu itu akan terpesona dengan naluri ingin memiliki cinta agung. Kuasa cinta agung ini akan lebih membina kegagahan dalam setiap derap langkahmu menuju masa depan. Kegagahan tercipta kerana dirimu berasa dinaungi cinta Yang Maha Gagah. Itulah kehebatan cinta Allah.

Di mana harus dicari panduan-panduan yang praktikal agar cinta sesama manusia akan dapat memancing cinta Allah sekali gus? Selain mengutip panduan daripada bahan-bahan bacaan yang berfaedah, kau akan temuinya di bibir guru-guru yang beramal, orang soleh, di majlis-majlis ilmu, forum-forum, ceramah-ceramah, masjid-masjid, blog yang dipercayai, laman web para ulama dan sebagainya. Ini ialah jalan-jalan untuk kita lebih memahami al-Quran dan sunnah. Banyak dan mudah, bukan? Jika hendak seribu daya. Jika tak hendak, doa-doalah biar hati jadi lunak. Tunduk dan menyerahlah kepada apa yang Allah kehendaki.

Syirik Cinta
Selalu kita diingatkan agar tidak syirik. Ada apa dengan syirik? Syirik itu menduakan Allah. Menyembah selain Allah. Ia dinobatkan sebagai raja segala dosa besar. Dosa yang tidak mampu diberi ganti rugi untuk membeli keampunan Allah.

Mengambil sesuatu yang selain daripada Allah s.w.t. sebagai sumber kecintaan paling utama dalam hidup bererti menggantikan tempat Allah s.w.t. dengan selain-Nya. Allah s.w.t mendedahkan kepada kita dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan antara manusia ada orang yang menjadikan selain Allah sebagai tandingan. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat seksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah amat berat seksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).”
Al-Baqarah 2:165

Para ulama ketika membincangkan ayat ini menyebut tentang kesyirikan dalam cinta atau ia digelar sebagai syirk al-mahabbah. Manusia menduakan cinta kepada Allah dengan makhluk seangkatan dengannya.

Bagaimana dengan cinta kita kepada makhluk saat ini? Adakah ia sedang menjadi alat untuk kita lebih dekat kepada Allah? Atau adakah ia sedang menjadi matlamat yang kita damba-dambakan sehingga melupakan Allah? Semakin besar cintamu kepada Allah, semakin kecil nilai makhluk dihatimu, apatah lagi untuk menjadikannya tandingan kepada Allah untuk diangau-angaukan.

Ketika cinta berkuasa, diri menjadi bingung. Gundah-gulana. Resah melanda. Banyak urusan tergendala. Apa yang dibuat serba tak kena. Merebak rasa malas. Membarah rasa segan jika orang tahu tindakan yang pernah dilakukan. Maksiat demi maksiat mula meratah iman dan kesedaran. Menyimbah nur dengan kegelapan. Hati menjuih tatkala mendengar kebenaran.

Aduhai hati, takutlah pada syirik cinta! Jangan tipiskan sensitivitimu wahai hati kerana aku tidak sanggup memiliki hati yang mati.

Menterjemahkan Cinta dengan Jalan-Jalan “Taqrabu az-zina”
Ya, bukan Allah tidak tahu hatimu cenderung pada si dia. Bukan Allah tidak memahami kau selalu merinduinya. Bukan Allah tidak mengerti bayangannya sering singgah  di mindamu. Semua itu fitrah. Setiap fitrah ada peraturannya. Kenapa? Supaya fitrahmu itu akan tersalur secara mulia dan diredhai-Nya.

Bagaimana menghadapi ujian ini? Agar fitrah tidak menjadi fitnah. Agar fitrah mendapat barakah. Bagaimana caranya?

Kenal pasti dahulu tahap kesediaanmu, wahai remaja.

Dirimu sedang sibuk bergelumang dengan pelajaran kan? Dirimu belum bersedia untuk berumah tangga kan? Dirimu sedang mempersiapkan diri kan? Dirimu sedang mengutamakan prioriti yang lebih penting kan?

Kalau dirimu dalam situasi ini, jadikan ujian cinta ini sebagai lubuk pahala apabila kau perisaikannya dengan mujahadah. Apabila ‘angau’ bertandang, cepat-cepatlah beristighfar kepada Allah. Kita beristighfar bukan kerana rindu itu suatu dosa sebaliknya kerana bimbang zina hati akan menjalar. Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina diri.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Setiap bani Adam memiliki peluang untuk berzina. Kedua-dua mata itu berzina dan zinanya adalah dengan melihat. Kedua-dua kaki juga berzina dan zinanya adalah dengan berjalan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah dengan mencium dan hati itu juga berzina dan zinanya adalah hawa nafsu dan angan-angan. Tetapi kemaluanlah yang akan membenarkan atau mengingkari zina tersebut.”
(Riwayat Ahmad)

Gentarlah pada firman-Nya ini yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.”
(al-Isra’ 17:32)

Para ulama menjelaskan bahawa firman Allah s.w.t. “janganlah kamu mendekati zina,” maknanya lebih dalam daripada “janganlah kamu berzina”. Firman Allah tersebut bermakna, “Dan janganlah kamu mendekati sedikit pun juga daripada zina.” (Tafsir al-Qurtubi, jil. 10, hlm. 253) Yakni, janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan apa-apa yang membawa kepada zina, apatah lagi sampai berzina. (Tafsir Ruh al-Ma’ani, jil. 15, hlm. 67-68, al-Imam al-Alusi al-Baghdadi, Tafsir Bahr al-Muhith, jil.6 hlm.33).

Setelah Islam memberikan panduan, wajarkah menyalurkan fitrah cinta dengan jalan-jalan yang menghampiri zina? SMS bertali arus tanpa keperluan. Call siang malam tanpa urusan. Chatting kosong tanpa isi. Dating bertemankan syaitan. Pandang-pandang tanpa pagaran. Khalwat di tempat-tempat sunyi. Berbual-bual, bincang-bincang, tanya-tanya khabar tanpa sempadan.

Inikah Bukti Cintamu?
Adakah kau ingin membina sebuah mahligai perkahwinan dengan sebuah kenangan cinta yang menghampiri zina? Berkatkah nanti syurga dunia idamanmu? Mampukah ia membawa kepada syurga abadi?

Astaghfirullahal 'azim

Bosan petang-petang tadi,baru balik posting.pesakit punya la ramai, macam-macam perangai lak tu. letihny tuhan je yang tahu
ikutkan hati nak je aku tido, tapi teringat lak pesan Rasullullah jangan tido lepas asar kalau tau mau jadi gila...
so aku pegi la menjelajah facebook ni,
baca post, tengok video dan usha la mana-mana link yang budak-budak ni post,
tapi satu link menarik perhatian aku
so aku pun terus bukak……..

the first word come out of my mind
-ASTAGHFIRULLAHAL 'AZIM-
itulah realitinya, tak pernah terlintas dalam kepala otak aku benda ni selama ni,
so aku share la bende ni untuk dibaca terutamanya untuk kawan-kawan dan adik-adik aku yang muslimah ni
dan nilai la sendiri..
biarlah gambar menceritakan segalanya..










jadi ape pendapat kalian???

maaf, memang ada unsur-unsur lucah dalam perbualan tu. aku sendiri pun tak sanggup nak baca
tapi bukan kelucahan tu yang aku nak "highlight"kan kat sini.
tapi aktiviti keji si jantan celaka yang mensasarkan wanita-wanita bertudung untuk dilacurkan tu yang aku nak bagitau.

semoga diambil sebagai pedoman dan pengajaran. bukan setakat baca je, pastu tepuk dahi mengeleng kepala pastu istighfar panjang-panjang tambah ngan kutuk sikit-sikit. tapi berubahnya tak.. baik xyah baca kalau cam tu.

ni aku nak nasihatkan kat budak-budak pompuan, tak payah la nak tayang-tayang gambar korang kat facebok tu..
aku tau korang memang lawa, memang cute, tapi aku tak nak tengok pun. tak hingin pun aku tengok muka-muka 'cute' korang tu. cuba bayangkan kalau ada jantan-jantan macam yang kat atas tu amik gambar-gambar 'cute' korang kat facebook pastu wat benda-benda tak elok. korang suka tak?

simpan la kecantikan korang tu untuk orang yang betul-betul berhak tengok- sorang lelaki bernama suami. kecantikan korang bukan untuk tatapan umum, tapi sebagai penyejuk mata dan penenang hati suami. macam ne hati suami korang nak tenang kalau gambar-gambar korang tersebar merata-rata seantero dunia...

jaga la ikhtilat korang sebaik mungkin. jangan terlalu merendahkan harga diri korang depan lelaki semata-mata nak tarik perhatian dia. Islam dah angkat martabat korang sebagai wanita, Islam dah bagi berbagai-bagai keistimewaan kat korang. Jangan la korang buang pe yang Islam dah bagi kat korang semata-mata nak mengejar cinta lelaki. kalau tak, korang akan jadi manusia yang paling rugi dan hina. Jangan jadikan diri korang sasaran fitnah. Dan juga jangan jadikan diri korang sumber fitnah bagi orang lelaki sebab fitnah terbesar bagi orang lelaki adalah wanita...

maaf kalau ayat-ayat aku tu agak kasar. tapi kalu aku guna ayat-ayat lembut korang tak nak dengar..so aku kasarkan la sikit. salah satu 'uslub dakwah.. tolong betulkan aku kalau aku silap...

رَبًّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلَّذِينَ كَفَرُواْ وَاغْفِرْلَنَا رَبَّنَا اِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
"Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi orang-orang kafir. Dan ampunilah kami Wahai Tuhan kami. Sesungguhnya Engkau Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"

Ya Allah, hindarkanlah sahabat-sahabat dan adik-adik perempuanku dari malapetaka ni...

Wallahu a'lam

لا عزّة الا باسلام

Cinta Fatamorgana - Cinta yang Menjijikkan

Mati dan tua, hakikat yang tidak boleh dielak oleh manusia. Kedua-duanya pasti datang dalam hidup kita. Semua manusia pasti mati. Tetapi tidak semua manusia berkesempatan mencecah usia tua.

Jika dilihat kepada jumlah keseluruhan manusia di dunia, ramai yang muda daripada yang tua. Itu petanda apa?

Ya, ramai manusia yang tidak sempat tua, mati pada usia muda. Justeru andai kita sempat menjejak usia tua, bersyukurlah. Itu bermakna Allah telah mengurniakan kita nikmat yang jarang diberikan kepada manusia lain.

Pada usia tua, kita tetap punya hati. Dan selagi kita punyai hati, selagi itulah ada cinta. Dalam satu hati tidak boleh ada dua cinta. Setua mana pun kita, pasti ada satu cinta yang bersemi dan mendominasi dalam hati.

Apakah cinta yang sebenarnya ada dalam hati wanita atau lelaki tua? Tentulah cinta Allah. Sebab semakin tua ertinya semakin dekat perjalanan menuju Allah. Kematian itu ertinya pulang menemui Allah. Dan itu juga bererti pulang menemui cintanya yang sejati dan abadi.

Apabila usia telah tua, semua nikmat yang bersifat lahiriah dan fizikal mula dicabut sedikit demi sedikit dan secara beransur-ansur. Nikmat makan, nikmat sihat, nikmat tidur, nikmat melakukan hubungan seks dan lain-lain lagi menjadi semakin menurun. Walaupun cuba dipertahankan dengan ubat, makanan tambahan, rawatan, senaman dan lain-lain, tua tidak dapat dielak. Ia hanya dapat diperlahankan. Ini sunnatullah yang tidak dapat diubah-ubah.

Mengapa Allah takdirkan begitu? Tentu ada hikmahnya. Segala kemanisan dan kelazatan dunia mula dicabut perlahan-lahan menjelang usia tua agar manusia beransur-ansur beralih kepada kelazatan rohaniah pada episod-episod terakhirnya dalam hidup. Seolah-olah manusia “dipaksa” menumpukan fokus hatinya untuk mencintai Allah. Rebut dan nikmati cinta-Nya sebagai bekalan di akhirat nanti.

Apabila kelazatan dunia dunia semakin hambar dan tawar, itu petanda detik berpindah ke alam akhirat sudah dekat. Sediakan bekalan dengan cepat!

Inilah sudut pandangan yang patut ada dalam setiap hati orang tua. Ketika segala-galanya menjauh, datanglah mendekat kepada Allah. Kau tidak ada apa-apa lagi, kuatkan pecutan hatimu menuju Ilahi. Jangan dilalaikan lagi oleh cinta yang lain.

Namun malang sekali kalau pada usia senja masih memburu cinta fatamorgana. Ada yang kembali memburu cinta yang tidak kesampaian pada usia mudanya dahulu. Sudah beranak bercucu, tetapi hati si atuk dan nenek ini kembali mengimbau nostalgia cinta lama zaman remaja. Dulu kononnya terpisah kerana berbeza darjat, disekat oleh orang tua, berpindah tempat dan sebagainya, lalu masing-masing membawa jodoh masing-masing. Bercinta, berkahwin, beranak dan bercucu.

Tiba-tiba kekasih lama muncul semula. Mungkin menerusi pertemuan yang tidak disangka atau dijangka. Atau lewat laman sosial Facebook, Twitter, My Space dan sebagainya. Dan cinta berbunga kembali.

Uban di kepala si datuk dilihat bagaikan mahkota oleh si nenek. Kedutan wajah si nenek dilihat manis dan memikat oleh si datuk. Lalu berlakulah antara mereka hubungan cinta terlarang. Kedua-duanya jadi mabuk cinta dan ada yang terjerumus ke lembah cinta yang curang dan haram.

Sungguh Bijak Syaitan
Ini semua gara-gara memburu cinta fatamorgana pada usia senja. Nostalgia lama berputar kembali untuk membuahkan realiti masa kini. Nenek dan datuk jadi asyik masyuk. Ah, malu sekali bila mereka mengambil kesempatan “berdating” sewaktu sama-sama menghantar cucu di sekolah atau berbalas-balas pesanan ringkas (SMS) pada tengah malam menjelang dinihari.

Sungguh bijak syaitan menipu. Angkara dan strategi yang tidak pernah berhenti. Sentiasa kaya dengan inovasi dan kreativiti. Bermodalkan cinta yang “dikitar semula”, syaitan masuk untuk menyesatkan manusia. Mata si datuk yang seharusnya sudah merasakan kesejukan wudhu dan ketenangan solat, sudah dilekakan untuk mengerling si kekasih lamanya. Masa untuk menatap al-Quran semakin luput apabila asyik berpaut di skrin telefon bimbit untuk membaca “ayat-ayat cinta” yang berputik kembali.

Ini bukan cerita yang diada-adakan. Tetapi cerita yang benar-benar berlaku, bahana cinta sumbang pada usia senja. Cucu-cucu jadi resah. Anak-anak menggeleng kepala. Namun, nenek atau datuk ini, tidak menyedarinya atau telah sedar, tetapi kerana cinta semuanya tidak dipedulikan lagi. Memang cinta itu buta… bukan sahaja kepada remaja yang matanya masih terang, tetapi juga untuk si tua yang matanya hampir buta!

Indah Hanyalah Fatamorgana
Dunia menipu. Cinta memperdaya. Apa yang dilihat indah hanyalah umpama fatamorgana. Panas yang membahang disangka air. Lalu kita berebut-rebut mengejarnya. Namun indah dari jauh, tetapi apabila didekati kosong makna, kontang rasa. Begitulah cinta terlarang pada usia senja.

Kepada yang mendapatnya (tentu sahaja terpaksa membeli dengan harga yang mahal – yakni dengan meninggalkan isteri, anak-anak dan cucu-cucu), terasa sia-sia. Ah, pesona cinta tetap sama! Jika diburu berdasarkan nafsu, percayalah… selagi belum dapat memang indah, tetapi apabila sudah dapat, segala-galanya akan pudar. Apa yang diburu akan menjemukan apabila sudah berada dalam genggaman.

Bila terjadi demikian hendak berpatah balik? Ah, air di dalam tempayan sudah dicurahkan tetapi guruh yang kedengaran berdentam-dentum sebelumnya, tidak langsung menurunkan hujan seperti yang dijangkakan. Pada waktu itulah jiwa yang lara akan menyebabkan diri menjadi lebih tua daripada sebelumnya. Kaki yang menggeletar yang tidak dirasakan dulu (semasa dilamun cinta) jadi bertambah kronik. Langkah jadi capik. Semuanya menjadi kendur dan luntur semula. Paras cinta menurun, paras gula dan kolesterol yang sedia ada pula naik memuncak.

Kepada yang muda jangan tersenyum. Ini bukan cerita mereka yang telah tua sahaja tetapi juga untuk anda yang muda. Ingat, kebaikan yang mampu kita lakukan pada usia tua hanyalah momentum yang dibina sejak usia muda. Dan begitulah dengan kejahatan. Sesiapa yang rajin beramal ibadah sewaktu muda, kerap kali akan mewarisi tabiat yang baik itu apabila telah tua. Jadi rajinlah dan istiqamahlah dengan membuat kebaikan, mengerjakan solat, membaca al-Quran sekarang, agar hati itu terisi… bukan sahaja kini tetapi nanti. Jangan “disantau” oleh cinta fatamorgana pada usia tua.

Bagi remaja yang asyik memburu cinta terlarang sekarang ini, beringat-ingatlah. Jangan kita terpaksa memburu cinta palsu hingga ke akhir hayat. Kita akan diletihkan, ditipu dan dihancurkan oleh cinta itu berkali-kali.

Usia muda terbuang, usia tua tersia-sia. Jangan begitu, orang Mukmin tidak akan jatuh dalam lubang sama dua kali. Jika anda terus dibuai cinta palsu dan konon “bahagia” dengan itu, insya-Allah anda akan disengat bisa cinta fatamorgana dua kali. Syaitan akan menggunakan senjata yang sama untuk memperdayakan kita kerana di situlah kelemahan yang kita suburkan sejak usia remaja lagi.

Cinta Nan Hodoh
Manusia tidak akan letih memburu cinta. Itu hakikatnya. Alangkah malangnya jika yang diburu tanpa jemu itu hanya kebatilan?

Jika ditanya, mengapa ada cinta yang sehodoh dan sebodoh ini? Jawabnya mudah, cinta itu mengikut keadaan hati seseorang. Lebah akan menyeri sari pati bunga. Lalat akan menghurung bangkai. Jika hati itu terisi dengan cinta Allah, ia akan mencari dan memburu kebaikan. Tetapi jika hati itu terbiar kosong atau terisi dengan kebatilan, maka ia akan memburu kejahatan.

“Retua” yang memburu cinta terlarang ialah mereka yang kosong jiwanya. Dalam hatinya belum ada kemanisan iman. Lalu ia mencari dan terus mencari. Allah tidak mengumpulkan dua cinta dalam satu hati. Akhirnya kekosongan itu diisi oleh cinta palsu. Apabila makanan yang lazat tidak lagi memberangsangkan, apabila tidur sudah tidak diganggu insomnia, apabila rangsangan naluri seksual tidak bergetar lagi, hati yang kosong akan bertambah kosong. Sunyi, sepi, sayup-sayup ada suara yang berdetak di hati, “Ah, rumah kata pergi, kubur kata mari…”

Ah, tidak sudi dia ke sana! Takut dan benci mati. Lalu dalam keadaan itu syaitan membisikkan cinta lama. Burulah kebahagiaan itu selagi usia masih ada! Lalu dengan mata yang kabur, uban yang bertabur dan tenaga yang sudah mengendur si tua terus memburu cinta dengan keinginan baru yang membara. Tanpa disedari yang diburunya itu hanyalah tiupan syaitan pada minit-minit terakhir dalam hidupnya!

Apabila usia telah tua, ertinya Allah telah memanggil. Bersedialah untuk pergi. Pergi bukan untuk berpisah tetapi untuk bertemu-Nya. Di sana ada cinta yang lebih bahagia dan lebih sempurna. Jangan terkesima lagi dengan cinta fatamorgana!