Iktibar Ramadhan

Puasa Wajib

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Berpuasalah kalian jika telah melihat hilal (anak bulan) dan sudahilah puasa kalian jika telah melihat hilal lagi. Jika tidak nampak akannya, maka genapkanlah hitungan Sya’ban menjadi 30 hari.”
(Riwayat al-Bukhari)



Niat Puasa

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar, maka tidak ada puasa baginya.”
(Riwayat Abu Daud)


Sahur

Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bersahurlah, kerana pada sahur itu ada keberkatan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Syaitan Dibelenggu

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila bulan Ramadhan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, sedangkan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Segerakan Berbuka

Daripada Sahl bin Sa’ad, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka mahu menyegerakan berbuka.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Memberi Makan Berbuka Orang yang Berpuasa

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti yang diperoleh orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.”
(Riwayat at- Tirmidzi dan Ahmad)


Solat Tarawih

Aisyah r.ha. meriwayatkan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. keluar ke masid untuk mengerjakan solat, lalu orang mengikutinya. Keesokannya para sahabat  berbicara tentang perkara tersebut sehingga bertambah jumlah jemaah. Demikianlah keadaan itu sehingga hari keempat hingga masjid tidak mampu lagi menampung jumlah jemaah yang bertambah. Kemudian Baginda hanya keluar untuk solat Subuh. Rasulullah bersabda selepas solat Subuh:

“Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui keadaan kalian, hanya sahaja aku khuatir kalau aku keluar untuk solat Tarawih, maka solat tersebut akan diwajibkan kepada kalian sehingga kalian tidak mampu mengerjakannya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Jangan Sekadar Beroleh Lapar dan Dahaga

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Berapa ramai orang yang berpuasa hanya mendapat rasa haus dan lapar.”
(Riwayat Ibn Majah)


Tadarus

“Nabi s.a.w menceritakan bahawa Jibril a.s. membacakan kepadanya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan, dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak dua kali.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


‘Iktikaf

Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Syafaat di Akhirat

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat kelak. Puasa akan berkata: ‘Wahai Rabb, aku telah menahannya daripada makan dan syahwat, maka perkenankanlah aku untuk memberi syafaat kepadanya.’ Al-Quran pula berkata: ‘Aku telah mencegahnya daripada tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku untuk memberi syafaat kepadanya.’”

Kemudian Baginda bersabda lagi:

“Maka kedua-duanya diperkanankan memberi syafaat.”
(Riwayat Ahmad dan Hakim)


Bulan Pengampunan

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap redha Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan. Sesiapa yang melaksanakan qiyam Ramadhan atas dasar iman dan mengharap redha Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan. Sesiapa yang melalukan qiyam Lailatul Qadar atas dasar iman dan mengharap redha Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Nuzul al-Quran

Allah s.w.t. berfirman:

“Bulan Ramadhan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)”
(al-Baqarah 2:185)


Lailatul Qadar

Allah s.w.t. berfirman:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadar. Dan apa jalannya engkau mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”
(al-Qadr 97:1-5)


Zakat Fitrah

Ibn Umar berkata:

“Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah (kepada umat Islam pada bulan Ramadhan”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Pintu ar-Rayyan

Daripada Sahl bin Sa’ad, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya di syurga itu terdapat satu pintu yang diberi nama ar-Rayyan. Dari pintu itu orang yang berpuasa akan masuk pada hari kiamat kelak. Tidak ada seorang pun selain mereka yang masuk melalui pintu itu. Kemudian, jika mereka telah masuk, pintu akan ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu itu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Hari Raya ‘Idul Fitri

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang menghidupkan malam dua hari raya (‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha), Allah akan menghidupkan hatinya pada hari hati-hati manusia dimatikan (kiamat).”
 (Riwayat at-Tabarani)









Umpama Bekas Kesturi


Daripada al-Harith al-Asy’ari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya perumpamaan bagi orang yang berpuasa itu adalah seperti seorang lelaki yang membawa satu bekas yang terdapat di dalamnya kesturi, dan ia berada di dalam satu kelompok manusia, maka mereka itu berasa amat hairan dengan wangian tersebut, (begitu juga) sesungguhnya bau orang yang berpuasa di sisi Allah lebih harum daripada wangian kesturi.”
(Riwayat at-Tirmidzi)
Perumpamaan dan kiasan hadis ini menceritakan tentang kelebihan orang beriman yang mengikhlaskan diri kepada Allah s.w.t. dalam melaksanakan ibadah puasa.

Mereka yang berpuasa diumpamakan sebagai seseorang yang membawa bekas wangian kasturi. Hal ini menunjukkan kelebihan dan keistimewaan ibadah ini iaitu orang yang melakukan ibadah puasa diibaratkan sebagai orang yang membawa bekas yang di dalamnya terdapat kesturi yang mengeluarkan bau yang sangat wangi.

Setiap manusia pasti suka kepada wangian yang harum. Oleh sebab itu, Rasulullah telah mengumpamakan sesuatu yang harum itu kepada suatu amalan yang amat berat untuk dilakukan oleh sesetengah orang, iaitu ibadah puasa.

Lalu, kiasan yang digunakan oleh Baginda s.a.w. dalam hadis ini adalah bertujuan sebagai daya tarikan kepada mereka supaya melaksanakan ibadah puasa. Bukankah keharuman itu sememangnya menjadi kesukaan bagi manusia?

Dalam hadis yang lain, digambarkan bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kesturi. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Dan demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada wangian kesturi..."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bersiwak bagi Orang Puasa
Para ulama’ fiqh berselisih pendapat mengenai hukum bersugi atau memberus gigi selepas tergelincirnya matahari bagi orang yang berpuasa. Sesetengah ulama’ menghukumkan makruh bersugi selepas tergelincirnya matahari kerana “bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik di sisi Allah daripada wangian kesturi.”

Ibn Taimiyah r.hm. dalam Majmu' al-Fatawa telah berkata:

"Adapun penggunaan siwak (bagi orang berpuasa), maka dibolehkan tanpa ada perselisihan. Namun para ulama’'berbeza pendapat tentang kemakruhan penggunaannya setelah gelincir matahari. Ada dua pendapat yang terkenal, kedua-duanya merupakan riwayat daripada Ahmad. Namun pendapat yang menyatakan makruh tidak berdasarkan dalil syar’i yang kuat untuk mengkhususkan keumuman dalil-dalil tentang bolehnya penggunaan siwak."

Dalam sebuah hadis riwayat at-Tabarani, diriwayatkan daripada Abdur Rahman bin Ghunm, yang bertanya kepada Muaz in Jabal perihal bersugi dalam keadaan berpuasa. Beliau bertanya: "Apakah boleh aku bersugi dalam keadaan aku berpuasa?" Lalu Muaz menjawab: "Ya." Beliau bertanya lagi: "Pada bahagian yang manakah aku boleh bersugi?" Muaz menjawab: "Bahagian siang mana yang kamu mahu, sama ada pada awal siang atau akhir siang."

Lalu Abdur Rahman berkata: "Sesungguhnya ada orang memakruhkan (bersugi) pada akhir siang." Muaz bertanya: "Mengapa?" Beliau menjawab: "Kata mereka, kerana Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada haruman kesturi.'"

Maka Muaz pun berkata, "Subhanallah! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan mereka untuk bersugi. Ketika Baginda memerintahkan itu, Baginda tahu betul bahawa pasti mulut orang berpuasa akan berbau (busuk) meskipun dia bersugi."

Ketibaan Ramadhan
Umat Islam di seluruh dunia bakal menunggu kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak, untuk melaksanakan ibadah puasa pada siang hari dan bertarawih serta bertadarus al-Quran pada malamnya. Suasana bulan Ramadhan pastinya amat meriah sekali sambutannya, terutama masyarakat umat Islam di negara ini. Namun, persoalannya apakah sambutan meriah ini mempunyai nilai ibadah di sisi Allah ataupun ia semata-mata adat yang disambut secara rutin tahunan?

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang dimuliakan dan bulan yang diberkati Allah. Allah membuka pintu rahmat-Nya seluas-luasnya pada bulan Ramadhan. Betapa besarnya fadhilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud:

"Apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu semua iblis dan syaitan."

Allah telah menyediakan ganjaran yang besar dan tinggi nilainya kepada orang yang melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadhan. Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada hari kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama-sama mereka seorang pun selain mereka. Kelak aka nada pengumuman: 'Di manakah orang yang berpuasa?' Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir daripada mereka masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya."
(Riwayat al-Bukhari)

Ramadhan Bulan Adat?
Bagi individu Muslim yang prihatin dengan rahmat dan ganjaran Allah yang melimpah-ruah pada bulan Ramadhan ini sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk berusaha gigih dan bersungguh-sungguh untuk merebut sebanyak mungkin ganjaran Allah itu.

Namun, apa yang amat menyedihkan yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita ialah sambutan Ramadhan itu lebih menjurus kepada "adat" bukannya ibadat.

Bulan Ramadhan yang sepatutnya menjadi bulan menahan nafsu syahwat dengan berpuasa bertukar menjadi "bulan makan" yang penuh dengan pembaziran apabila tiba waktu berbuka.

Masyarakat Islam tanpa sedar menjadikan Ramadhan bulan untuk berpesta makan secara berlebihan hingga kepada tahap membazir. Pembaziran adalah satu sifat yang dilarang keras dalam Islam. Orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya."
(al-Isra’ 17:27)

Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zilal al-Quran menjelaskan bahawa Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas mentafsirkan pembaziran itu sebagai berbelanja pada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh sebab itu, berbelanja secara berlebihan juga adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir.

Sepatutnya pada bulan Ramadhan umat Islam bersungguh-sungguh melaksanakan “pesta ibadah” serta beristiqamah dengannya. Namun, apabila sambutan Ramadhan dianggap sebagai adat semata-mata, maka mereka yang berduyun-duyun ke masjid pada minggu pertama Ramadhan akan menyusut dari semasa ke semasa. Akhirnya, pada minggu terakhir Ramadhan yang merupakan waktu yang paling penting untuk mendapatkan anugerah lailatul qadr, masjid-masjid dan surau-surau semakin lengang.

Pada minggu terakhir paling bermakna itu, masyarakat Islam di negara kita khususnya, lebih ramai mengunjungi pasar raya, bazaar dan seumpamanya daripada mengunjungi surau dan masjid. Kelebihan dan keutamaan bulan Ramadhan diabaikan semata-mata kerana ghairah membuat persiapan menyambut Hari Raya ‘Idul Fitri.

Syawal Satu Kemenangan
Tanggal 1 Syawal sebenarnya merupakan hari untuk menyambut kemenangan bagi umat Islam yang beribadah dan yang berjaya menundukkan nafsu pada bulan Ramadhan. Namun, apakah mereka yang menyambut Ramadhan secara "adat" layak untuk menyambut kemenangan pada tanggal 1 Syawal sedangkan nafsu mereka masih lagi membelenggu diri?

Sambutan ‘Idul Fitri pula dicemari dengan aspek negatif yang menghakis kemuliaan dan “kemenangan” hari tersebut. Mana tidaknya, selesai sahaja bertakbir dan menunaikan solat Hari Raya, maka nafsu kembali dilayan semahu-mahunya. Hinggakan ada yang melakukan perkara yang boleh mencemarkan nilai ibadah pada hari yang penuh dengan keberkatan itu. Pembaziran terus berlaku semasa menyambut ‘Idul Fitri. Budaya hiburan pula seolah-olah menjadi "menu utama" yang wajib ada semasa perayaan ‘Idul Fitri. Akibatnya, Ramadhan dan Syawal tidak dapat mengubah keperibadian Muslim itu apabila nilai ibadah dalam bulan-bulan ini dipinggirkan.

Apabila Ramadhan atau "bulan puasa" disambut secara adat bukannya ibadat, maka bagaimana dapat menghasilkan individu yang bertaqwa kepada Allah. Akhirnya sambutan Ramadhan tidak mendatangkan makna dan pengertian sebenarnya. Puasa tidak lagi memberi sebarang erti untuk kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

Justeru, anjakan perlu dibuat untuk mengembalikan nilai ibadah dalam bulan Ramadhan agar dapat memperoleh wangian kesturi di sisi Allah serta kesejahteraan dunia akhirat dapat diperoleh kembali.

والله أعلم


لا عزة إلا بالإسلام

Taubat Nasuha Seorang Ahli Maksiat



Diriwayatkan oleh Ka’ab al-Ahbar r.a. bahawa dalam kalangan Bani Israel dahulu ada seorang lelaki yang kerap melakukan fahisyah (maksiat).

Ka’ab seorang tabi’in yang sangat alim tentang kitab Taurat dan al-Quran. Walaupun baru memeluk Islam pada zaman Umar al-Khattab r.a., namun Umar r.a. amat menyenanginya kerana perkara-perkara yang beliau ucapkan selari dengan Islam. (Rujuk al-Bidayah wa an-Nihayah oleh Ibn Kathir, jil. 1, hlm. 18). Beliau dinilai sebagai thiqah (boleh dipercayai) oleh Ibn Hajar.

Menurut cerita Ka’ab, pada suatu hari lelaki itu turun ke dalam sungai untuk mandi. Tiba-tiba dia mendengar suatu suara yang mengatakan kepadanya: “Hai polan! Apakah engkau tidak berasa malu? Bilakah kau akan bertaubat kepada Allah?”

Mendengar suara teguran dari sungai itu menyebabkan dia berasa amat gelisah dan terus berazam untuk meninggalkan perbuatan kejinya itu. Dia berazam untuk bertaubat dengan taubat nasuha serta meninggalkan perbuatan dosa yang dilakukan. Beliau lantas melarikan diri ke sebuah gunung yang didiami oleh 12 orang ahli ibadah yang taat kepada Allah s.w.t. Dia mengambil keputusan untuk menyertai mereka dalam ibadah.

Namun kemudian musim kemarau yang panjang menimpa tempat mereka, menyebabkan mereka terpaksa mengambil keputusan untuk mencari kawasan yang mempunyai air di bawah pergunungan itu.

Tanpa disedari rupa-rupanya mereka telah sampai ke tempat di mana lelaki itu ditegur kerana melakukan dosa.

Kerana bimbang pengalaman itu berulang semula, dia meminta sahabat-sahabatnya agar meneruskan perjalanan mereka tanpanya.

Mereka bertanya: “Mengapa?” Dia menjawab: “Aku malu untuk ke sana kerana di situ ada seseorang yang mendedahkan tentang keaiban diriku sendiri sehingga aku menjadi malu dan bimbang jika dia melihatku sekali lagi.”

Mereka akur tinggal di situ tanpa lelaki itu. Apabila berada di sungai tersebut kedengaranlah satu suara bertanya: “Ke manakah perginya teman kamu?” Apakah yang sedang dilakukan olehnya?” Jawab ahli-ahli ibadat itu: “Dia menyangka di sini ada orang yang akan menyebut-nyebut tentang kesalahannya menyebabkan dia berasa malu lalu dia tidak menyertai kami.”

“Subhanallah! Sekiranya salah seorang daripada kalian memarahi anaknya sendiri ataupun salah seorang daripada keluarganya, lalu individu itu meminta ampun kepadanya, tentulah dia akan dimaafkan. Sekarang ketahuilah oleh kamu semua bahawa kawanmu itu telah pun bertaubat daripada dosanya. Dengan sebab itu pergilah kalian kepadanya dan khabarkan tentang perkara ini. Selepas itu kalian hendaklah beribadah kepada Allah di tepianku (sungai) ini.”

Mendengar penjelasan itu mereka lantas menyampaikan perkara itu kepada sahabat mereka itu. Lalu lelaki itu yang sebelumnya melakukan maksiat di kawasan itu kini semuanya berubah. Mereka berada di tepi sungai itu untuk beribadah dalam satu tempoh.

Selepas berlalu satu jangka masa lelaki tersebut meninggal dunia. Suara itu sekali lagi memanggil-manggil ahli-ahli ibadat yang lain agar memandikan jenazah lelaki itu dengan air sungai itu. Dia meminta agar dikebumikan berdekatan dengan sungai itu agar kelak dia dibangkitkan berdekatan dengan sungai itu.

Mereka melakukan sebagaimana yang diminta. Selepas mengebumikannya mereka berasa sedih yang amat sangat lalu menyebabkan mereka menangis hingga keesokan harinya.

Allah s.w.t. dengan rahmatNya telah menumbuhkan dua belas batang pokok Sarwah berdekatan dengan kubur lelaki itu. Melihat tumbuhnya pokok-pokok itu berdekatan dengan kuburnya, maka mereka mendirikan tempat ibadah berhampiran dengan kawasan itu. Akhirnya setiap mereka telah menetap di situ hingga individu yang terakhir dalam kumpulan itu meninggal dunia. Setiap mereka dikebumikan berhampiran dengan sahabatnya.

Ka’ab berkata: “Apabila makam itu sering dikunjungi untuk tujuan ibadah akhirnya Bani Israel telah melakukan haji ke tempat itu juga.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, at-Tawwabin, hlm. 81-82)

Pengajaran

  • Taubat dari dosa adalah suatu perkara yang diwajibkan.
  • Haram mendedahkan dosa kepada orang lain.
  • Taubat yang benar akan menyebabkan keampunan dosa dan memperoleh husn al-khatimah.
  • Kita dituntut mencari teman-teman yang soleh.
  • Syariat orang sebelum kita berbeza daripada kita sehingga mereka dibenarkan mengasingkan diri untuk tujuan ibadah sedangkan kita tidak dibolehkan berbuat demikian.
  • Orang Yahudi ialah golongan yang dimurkai Allah kerana mengada-adakan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. seperti melakukan haji ke kawasan perkuburan orang soleh.

والله أعلم