Remaja Berakhlak di Bawah Panji-Panji Nabi Yusuf



Setelah Allah s.w.t. menganugerahkan ganjaran kepada golongan yang dibalakan dengan buta dan juga penyakit kusta, kemudian Allah s.w.t. menyeru kepada para pemuda (remaja) yang berakhlak mulia (muta’akkif). Mereka diseru supaya menghadap Allah s.w.t. bagi menerima anugerah, sebagai ganjaran daripada usaha ikhlas dan bersungguh-sungguh mengawal diri daripada sebarang pancaroba remaja.

Zaman remaja adalah zaman yang penuh cabaran. Golongan remaja dengan fizikal yang segar-bugar, dan pada usia inilah gelombang syahwat yang sangat bergelora. Tidak mudah untuk mengawalnya, apatah lagi jika kehidupan mereka tidak terikat dengan keimanan dan batas-batas syariat. Kesempatan untuk bergaul bebas sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi hidup dalam negara dan masyarakat yang tidak melaksanakan hukum dan undang-undang Allah s.w.t. Budaya maksiat yang sengaja disuburkan melalui konsert-konsert hiburan, di mana artis menjadi sanjungan dan ikutan. Kesannya, ia bukan sahaja meruntuhkan akhlak remaja, malah ia menjadikan kehormatan seolah-olah tidak bernilai. Tidak cukup dengan itu ada yang dengan mudah menyerahkan maruah diri demi tuntutan nafsu.

Budaya barat yang bersalut kekufuran dan kemaksiatan sentiasa mengalir melalui media elektronik termasuk juga video lucah, menjadikan golongan remaja sebagai sasarannya. Dalam suasana yang begitu mungkin terdapat segelintir remaja yang hidup terasuh dalam keluarga yang berteraskan tarbiah Islam, mendampingkan diri dengan kelompok pejuang Islam. Dengan suasana yang murni itu mereka memiliki daya tahan daripada sebarang ancaman pengaruh mungkar.

Tidak mudah menjadi seorang remaja mukmin dan berakhlak mulia, lebih-lebih lagi dalam suasana negera dan pemerintah yang mengabaikan peraturan Allah s.w.t. Pengaruh persekitaran yang lebih menjurus kepada dunia hiburan yang melampau, hanya remaja yang mendapat taufiq dan hidayah Allah s.w.t. serta mendapat asuhan dan bimbingan daripada ibu bapa yang kukuh berpegang dengan amanah Allah s.w.t sahaja yang selamat daripada segala bencana itu. Hanya golongan remaja yang memiliki benteng pertahanan iman, serta akhlak mulia, adalah golongan yang telah berjuang sepenuh upaya untuk menjadi remaja yang bermoral tinggi. Allah s.w.t amat menghargai kesungguhan remaja seperti itu. Sebab itulah apabila mereka tiba di Mahsyar, mereka akan disambut dengan segala pujian dan sanjungan daripada para malaikat. Malah kehadiran mereka akan disambut oleh Allah s.w.t. dengan ucapan, “Selamat datang wahai para remaja yang baik.”

Demikianlah penghargaan dan balasan Allah s.w.t terhadap para remaja yang bekerja keras serta bersungguh-sungguh mengawal dari daripada segala pengaruh buruk yang sedang bermaharajalela di sekitar mereka. Berkat kesabaran menahan diri daripada hidup berseronok dan berfoya-foya yang bersifat sementara di dunia ini, sebagai balasannya mereka mendapat keseronokan yang abadi di akhirat.

Setelah Allah s.w.t. mengalu-alukan kedatangan para remaja yang berakhlak mulia itu, para malaikat diperintahkan supaya menempatkan mereka di sebelah kanan. Kepada mereka disediakan sebuah bendera berwarna hijau. Allah s.w.t. menyeru Nabi Yusuf a.s. untuk menerima bendera tersebut bagi mengetuai para belia yang mukminun, berakhlak, sabar, lemah-lembut dan mempunyai ilmu pengetahuan. Nabi Yusuf a.s. terpilih menjadi ketua para belia yang baik budi pekerti , kerana baginda adalah seorang nabi yang sangat kacak dan tampan. Ketampanannya menggoda ramai para wanita, hingga ada wanita yang tertawan dan cuba menggodanya. Namun baginda berjaya mengatasi semua halangan dan godaan.

Ulama’ mufassirin menyifatkan; kecantikan yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada manusia di dunia ini, separuh daripadanya ada pada Nabi Yusuf a.s. Dalam al-Quran terdapat satu surah khas yang bernama ‘Surah Yusuf’, ia menceritakan bukan sahaja mengenai rupa paras Nabi Yusuf a.s. yang tampan dan menawan, tetapi juga menceritakan segala kebaikan dan kelebihan baginda. Alangkah bertuahnya para belia itu kerana mendapat ketua seorang nabi yang termasyhur, iaitu Nabi Yusuf a.s. Bersesuaian dengan ketabahan dan kekuatan baginda yang berjaya menghadapi fitnah wanita. Maka demikian jugalah para remaja yang berjaya menghadapi segala godaan dan cubaan alam remaja, mereka bersama-sama baginda di bawah panji-panji hijau di akhirat kelak.

Setelah itu Allah s.w.t. menyeru pula orang-orang yang menjalinkan hubungan baik sesama manusia semata-mata kerana Allah s.w.t. Mereka berkawan bukan kerana wang ringgit yang selalu diterimanya, ataupun kerana pertolongannya semasa dia mendapat kesusahan. Namun hubungan baiknya hanya atas dorongan hati yang ikhlas. Justeru itu mereka mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t. kerana sifatnya yang terpuji itu. Sifat kasih mesra di antara insan itu  adalah benteng penghalang daripada segala persengketaan dan permusuhan.

والله أعلم

Dipetik dari buku 'Bertemu Janji Allah Jilid 2' tulisan YAB Tuan Guru Dato' Hj Nik Abd Aziz bin Hj Nik Mat

Wahai Muslimah, Bangunlah Dari Mimpi!



Pernahkah anda bermimpi lalu terjaga daripada tidur dan rupa-rupanya jaga itu pun masih lagi sebenarnya adalah sebuah mimpi? Pasti menyeramkan dan menyedihkan apabila apa yang anda rasai, sangka dan anggap sebagai realiti itu sebenarnya adalah cuma sebuah fantasi atau lebih tepat lagi disebut sebagai sebuah mimpi!

Demikianlah perumpamaan yang mampu saya berikan kepada kaum wanita yang tersesat dan dikhayalkan oleh godaan duniawi. Bumi dan langit yang begitu tinggi dan besar kejadiannya kelihatan begitu ringkas dan kecil “significant”nya dalam kehidupan mereka.

Sedangkan Allah SWT berfirman: 

“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi itu lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Al-Mukmin : 57)

Mereka tidak peduli!

Bangun pagi seperti sang puteri, dilayani manja oleh ibubapa selama mereka masih setia menjadi anak yang taat dan tidak berkahwin lari…kemudian ke sekolah atau kolej bagi meneruskan rutin harian mereka….

Belajar….kenapa belajar ? Kerana…kena belajarnya…semua orang pun belajar…lagipun kalau belajar dapat ilmu baru dan boleh dapat sijil dan dapat mencari kerja….bila dah kerja dapat gaji boleh balas jasa ibu dan ayah….

Senyum lebar ibubapa dan bahagianya rasa apabila mendengar jawapan si anak…!

Apakah sempat mereka memikirkan kebesaran Allah yang menghidupkan dan mematikan ? Yang telah membangkitkan mereka dari tidur yang lena ?

Tidak !!!

Sudah lewat? Hari ini ada periksa? Ada janji temu (dating) dengan teman lelaki ? Itulah yang ada di dalam benak pemikiran mereka.

Ubudiyah kepada Allah? Apa kejadah tu ….?

Mimpi di zaman kanak-kanak

Semenjak kecil para wanita ini membesar dengan asuhan yang salah oleh ibu bapa. Mereka tidaklah dibesarkan sebagai amanah Allah yang perlu diserahkan kepada seorang lelaki (suami) kelak pada masa hadapan…tidak!



Sebaliknya mereka dibesarkan sebagai seorang puteri yang comel dan merupakan harta dan perhiasan yang berharga oleh pihak ibubapa dan dijaga dengan penuh kasih sayang dan kemanjaan.

Maka anak perempuan itu pun hiduplah dalam mimpi bahawa bahagia itu miliknya, tiada apa yang akan terjadi kepadanya kerana ibubapa sayang kepadanya, ada kereta, ada rumah, ada wang, ada sekolah dan ada mama dan papa yang saling sayang menyayangi dan amat cinta kepadanya!

Tup-tup!

Ibubapa bercerai…mama dan papa mati…keluarga jadi miskin, sekolah banjir dan pelbagai lagi tragedi yang boleh menimpa maka terjagalah anak perempuan ini sekejap dari lena dan tidur yang panjang!

Terjaga!!!

Bahawa apa yang dia miliki selama ini boleh hilang….trauma…takut dan sedih dan rasa tuhan tidak adil….! Kenapa kau ambil ibu bapaku? Apa salah mama? Apa salah papa? Kenapa ambil mama dan papa? Kenapa mama dan papa bercerai??

Blaming game pun bermula….

Mimpi di zaman remaja

Anak-anak gadis di zaman remaja amat dahsyat mimpi mereka… Sukar dikejutkan dan amat payah terjaga dari lena dan tidur yang panjang!

Mereka ada bilik sendiri, ada ruang sendiri, ada pemikiran sendiri, ada rakan dan hak-hak tersendiri…. Minta dihormati, perasaannya perlu dipertimbangkan dan dia merasakan bahawa semua orang perlu menghormatinya!

Dia bermimpi bahawa hidup ini adalah miliknya, dialah ratu dan dialah dirinya sendiri yang serba hebat…. Jatuh cinta dan dipikat oleh sang keldai lelaki dalam kelas atau di pusat pengajian tusysen… Tertarik, tertawan… Oh manisnya dunia dalam dakapan sang lelaki yang tak ketahuan…

Jika bernasib baik perhubungan akan terputus sebab lama tidak berhubung, terpisah oleh kesibukan belajar atau kerana bertemu rakan baru. Jika bernasib tidak baik dan mak bapa pun tidak ambil peduli sebab bukan kahwin lari maka mungkin budak perempuan itu boleh bunting kerana hari-hari berlaku ujikaji biologi dalam bab pensenyawaan dan hubungan badan.

Jika cerdik makan ubat, jika tak cerdik dan dungu maka akan menangis, sedih dan kemudian keluarga akan memujuk supaya kejadian perit itu dilupakan….

Terjaga sekejap dari mimpi bahawa zaman persekolahan dan kolej ini memang penuh dugaan…

Sambung mimpi lagi…

Di universiti pula ada persatuan, ada jamaah dan pertubuhan maka kaum muslimah ini pun bermimpi bahawa itulah perjuangan hanya sebab mengikuti usrah kecil-kecilan dengan buku shaari sungib jadi bahan bacaan atau pun buku ustaz Fathi Yakan maka dianggaplah bahawa mereka sedang berdakwah dan berjuang setaraf mujahidah dan mujaddidah!

Usrah dan tamrin dihadapi dengan penuh perasaan, tangis-tangisan, sungguh bersungguhan kerana adik-adik akan mengantikan kakak-kakak dalam perjuangan….adik-adik pelapis generasi hadapan kolej atau AJK surau sekian-sekian….menangis…

Malam itu gadis ini tidur dengan nyenyak dalam keadaan merasakan dirinya hamba yang dikasihi Tuhan….dirinya exco dakwah dan pelapis perjuangan kolej sekian-sekian…

Mimpi bersambung lagi…

Tidak lama menjadi AJK sayap kiri kanan depan belakang muslimin maka muslimah ini pun akhirnya memikat burung-burung jantan yang ada di dalam satu sarang jamaah….sms, surat, warkah dakwah dan iman….cinta-cintan perjuangan…ana suka pada ente…jom ke masjid dan dakwah sama-sama….cairlah sebuah keteguhan yang dibuat-buat…tergodalah prinsip muslimah sejati wadah perjuangan murni yang dijadikan tema tahun ini….

Tidak lama kemudian muslimin tak jadi bernikah, ibubapa tak sudi, kena dengar cakap mak bapa… Ada pula bernasib tidak baik sudah melakukan maksiat bergesel-gesel badan tetapi hati kemudian berubah kerana bertemu ustaz idaman… Oh ustaz… Ana sudah istikharah….. Condong hati ana ke ustaz….ceh…

Cinta-cintan di zaman belajar berapa banyak yang berakhir dan berkesudahan? Semuanya hanya mainan perasaan…

Kecewa dan dikecewakan….terjaga sekejap dari mimpi…

Hantar email ke Ustaz Emran…minta panduan dan cara muhasabah diri, banyak dosa sudah dilakukan bla-bla…cerita yang sama tetapi watak yang berbeza ….Ustaz saya ingin bertaubat…

Minta dicarikan muslimin soleh dan lelaki yang mampu membimbing…sekian dan sekian…

Maka terjagalah dari mimpi buat ke sekian kali…

Namun mujurlah sempat kembali dari yang masih terus hanyut dalam alam percintaan…berkahwin dan membina rumahtangga dan melayari bahtera dalam kapal yang penuh bocor dan kerosakan!

Di tengah perjalanan ada arus berlaku pergolakan….si isteri menekan suami…suami menyalahkan isteri dan berlaku perceraian…

Ustaz Emran, saya ingin bertanya tentang suami saya…,bla-bla-bla…

Masalah yang sama…watak yang berlainan….

Kasihan dengan kaum wanita yang kebanyakan hidupnya tidak pernah menikmati realiti dan hanyut oleh mimpi. Ketika kecil dia dibesarkan dengan didikan yang tidak menurut kehendak Allah. Dia dibesarkan tanpa menyedari tanggungjawab dan tujuan hidup di atas muka bumi Allah SWT.

Justeru hidupnya adalah seperti mimpi yang tak pernah terjaga dan gagal merasai reality dan erti sebuah kehidupan yang sementara ini.

Diriwayatkan bahawa Abu Bakar As-siddiq ra pernah berkata : “Barangsiapa yang memasuki kubur tanpa membawa bekalan maka dia seolah-olah mengharungi lautan tanpa menaiki kapal.”

Masih saya ingat lagi, tentang kisah seorang muslimah yang ketika 5 tahun dahulu pernah bertanya saya, Salam ustaz, saya ada seorang kekasih yang sangat saya cintai…dan sekarang setelah 5 tahun berlalu maka dirinya itu dan kekasihnya pun sudah menjadi milik orang lain. Begitu juga dengan wanita yang bertanya 4 tahun dahulu, ustaz saya ada seorang suami dan bertanya saya tentang suatu masalah dan kini mereka pun sudah bercerai…

Seorang budak sekolah dan gadis remaja bercinta dengan rakan sekelasnya, berapa lamakah cinta itu akan bertahan ?

Tanyalah diri anda sendiri…apakah kehidupan yang anda lalui sekarang ini ialah mimpi atau pun sebuah realiti.

Persoalkan sekarang sebelum terus sesat di alam yang tiada kesudahan!


* Dipetik dari artikel tulisan Ustaz Emran Ahmad.

Meskipun ditujukan untuk muslimah, namun perit pedih teguran Ustaz Emran tetap kurasai.. bahawa apa yang ditulis ustazlah apa yang ku maksudkan sebagai REALITI... Terima kasih ustaz…


Tanggungjawab Hati – Amanahlah Pada Ilmu



I
Seorang pemuda sedang berteleku di hadapan komputer. Tiba-tiba azan zohor berkumandang, kedua biji matanya masih ralit menatap skrin. Hatinya menggerutu, “Alamak, kenapa awal sangat masuk waktu solat zohor? Kerja aku masih banyak! Kalau aku solat dahulu, kerja ini entah bila akan siap.” Dia menggeliat kecil dan menatap monitor komputer, hatinya warawiri antara mahu menyambung kerja atau berhenti untuk solat berjemaah.

“Bukankah solat itu dituntut agar didirikan pada awal waktu?” Ilmu dan akalnya berdiskusi. “Ah! Apa boleh buat, kerja masih banyak. Kalau tidak pergi solat berjemaah pun tidak mengapa. Selepas ini aku tetap bersolat sendirian di bilik.” Akhirnya dia memilih untuk meneruskan kerja dan meninggalkan solat berjemaah pada awal waktu.

Beberapa jam kemudian dia menuju ke tandas. Terlebih dahulu dia membuang air kecil. Kelihatan percikan najis terkena pada seluarnya. Dia tepuk dahi “Adui! Macam mana aku mahu bersolat? Seluar kotor terkena najis. Nanti solat aku tidak sah.” Ilmu dan akalnya berhujah lagi. Sebaik keluar dari tandas, dia berwudhu’ sambil hati bercempera. “Ah! Pedulikan saja! Aku tidak bawa kain pelikat untuk menyalin seluar. Solat sajalah dengan seluar ini pun, bukan sesiapa pun tahu seluar ni terkena najis. Yang penting aku solat.”

II
Seorang pemudi sedang menunggu rakan sebiliknya yang menyalin pakaian. Mereka mahu keluar berjalan-jalan ke pasaraya. Beberapa minit dia menunggu kawan sebiliknya berdandan. Pemudi itu terpegun setagal apabila melihat pakaian kawan sebiliknya yang memakai tudung jarang dan berbaju ketat. Hatinya menggerutu, “Bukankah salah memakai tudung jarang? Apatah lagi memakai baju ketat. Perlukah aku tegur?” Hatinya warawiri. Dia menarik nafas panjang, “Ah! Buat apa sibuk menegur, nanti bergaduh pula jadinya. Orang lain masih ramai yang berpakaian begitu. Biarkan sajalah!” Dia menyerah kalan tanpa mahu mencuba dahulu.

Kawannya menghampiri si pemudi itu dan mengajaknya beredar keluar. Pemudi itu tercium bau wangi yang semerbak dari tubuh rakannya. Dia terpegun sekali lagi. Hatinya makin rimas, “Bukankah dalam Islam wanita dilarang memakai haruman yang semerbak apabila keluar rumah? Bolehkah aku membiarkan rakanku keluar dalam keadaan begitu? Kasihan pula jika dia berdosa.” Sekali lagi ilmu dan akalnya berdiskusi. Dengan rasa berat hati, dia memujuk diri sendiri, “Biarlah, bukan selalu dia memakai haruman begini. Kalau berdosa, dia yang tanggung. Aku tidak perlu peduli.” Si pemudi memujuk dirinya. Ilmu dikhianati dan nafsu dituruti. Dia tewas sebelum berjuang.

IKHTISAR
Apa yang telah berlaku pada pemuda dan pemudi itu sebenarnya? Benar! Mereka telah mencuaikan amanah terhadap ilmunya. Mereka tahu yang baik dan buruk, mereka tahu dosa dan pahala, mereka mengetahui batas-batas syariat, malangnya mereka berlaku khianat pada diri sendiri. Lihatlah si pemuda itu, dia memungkiri temujanjinya dengan Allah. Dia mencuaikan solat awal waktu. Apatah lagi dia rela menzalimi dirinya bersolat dalam keadaan pakaiannya bernajis. Perbuatan khianat terhadap ilmu itu membawa dosa dan kerugian kepada dirinya.

Lihat pula si pemudi tadi yang melihat suatu kemaksiatan pada rakannya. Dia mengetahui bahawa perkara itu salah, bahkan dia boleh menegur rakannya dengan cara yang lembut. Namun, kerana tidak mahu menyusahkan diri, dia membiarkan sahaja dosa itu berlaku. Sedarkah bahawa dia telah berlaku zalim pada rakan dan dirinya sendiri. Dia sudah membiarkan rakannya mendapat dosa-dosa dan dia sendiri menanggung dosa rakannya kerana tidak menegur perkara maksiat yang berlaku sepanjang mereka keluar bersiar-siar.

KONKLUSI
Saudaraku! Amanahlah pada ilmu. Zahirkan ilmu itu dan jangan diabaikan. Tiada amanah yang lebih besar untuk dijaga melainkan kita beramal dengan apa kita fahami. Berusahalah untuk mengamalkan setiap ilmu yang benar. Malah ajarilah ia kepada orang lain kerana itu dianggap sebagai amar makruf. Seandainya kita melihat sesuatu kemungkaran berlaku, maka cegahlah ia dengan berhemah kerana itu termasuk dalam nahi mungkar. Sesungguhnya amanah itu wujud di dalam diri seseorang yang sentiasa melakukan suruhan dan menjauhi tegahan berdasarkan ilmu yang ada di dalam dadanya.

Riwayat Tabarani, Nabi s.a.w. bersabda:

“Tiada iman bagi mereka yang tiada amanah dalam hatinya, tiada solat bagi mereka yang tidak bersuci, tiada agama bagi mereka yang tidak bersolat.”

Mudah-mudahan kita kekal beramanah terhadap ilmu di dada kita. Insya Allah..

والله المستعان