Sekularisme

1.O Pendahuluan

Sekularisme berasal daripada perkataan Latin ‘SAECULUM’ yang bererti masa dan tempat yang maksudnya masa kini bertempat di dunia. Dari perkataan saeculum ini lahirnya ‘sekularisme’ iaitu fahaman atau kepercayaan bahawa kehidupan seseorang itu tidak ada hubungannya dengan agama yang dianuti sama ada dari segi prinsip mahupun pelaksanaannya.

Dengan kata lain perkataan ‘sekularisme’ adalah satu kepercayaan bahawa agama dan ketuhanan tidak boleh dicampuradukkan dengan kehidupan individu sehari-hari, masyarakat dan negara. Ertinya manusia itu bebas membuat peraturan-peraturan tanpa diganggu oleh peraturan agama.

2.0 Sekular Merupakan Suatu Ideologi

Sekular merupakan suatu ideologi. Sifat asas suatu ideologi adalah:

Ø  Dicipta oleh manusia
Ø  Tidak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah
Ø  Tidak lengkap dan mesti diubah suai
Ø  Batil dan haram dipegang walaupun sedikit

Ideologi berasal daripada perkataan ideo yang bererti pemikiran dan konsep, manakala logi adalah logic atau pengetahuan. Kebanyakan manusia tidak lagi berpegang dengan amalan Islam secara syumul tetapi hanya sebahagian sahaja yang diamalkan oleh umat Islam sekarang.

Firman Allah s.w.t.:

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian Al-Kitab (hukum) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain?”
(Al-Baqarah : 85)

Barat memang berusaha melebarkan ideologi mereka semata-mata untuk melihat manusia yang mereka benci iaitu umat Islam hancur tanpa berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Firman Allah s.w.t.:

“Tidak akan redha selamanya Yahudi dan Nasrani kepada kamu sehingga kamu mengikut ajaran (agama) mereka”
(Al-Baqarah : 120)
3.0 Asal Usul Sekular

Fahaman sekular timbul daripada gerakan Yahudi dan konco-konconya seperti Zionis, Freemason, Illuminati dan lain-lain yang pada asalnya ditujukan kepada masyarakat Kristian di Barat kerana pada kurun ke-17 puak Yahudi masih tidak mendapat tempat di dalam masyarakat Eropah.

Pada awalnya tujuannya hanya untuk menjadikan seseorang itu ragu-ragu terhadap agamanya apabila disogokkan dengan fahaman keduniaan dan kebendaan. Sehingga akhirnya lahirlah manusia yang tidak beragama (Atheis) apabila mereka tidak percaya wujudnya Allah dah hari akhirat. Kerana yang menjadi pegangan golongan ini ialah untuk mencapai suatu hakikat itu mestilah melalui benda yang nyata.

Apa yang menyedihkan fahaman itu telah meresap dan sebati dengan hidup dan pemikiran masyarakat Islam sehinggakan ada sesetengah masyarakat Islam menjadikan sekularisme sebagai sebahagian kepercayaan dan amalan hidup mereka.

Sebab itulah kita dapati ada orang Islam yang fahaman Islamnya begitu sempit. Mereka menganggap Islam itu hanya mengenai soal-soal ibadah sahaja seperti solat, puasa, zakat, haji dan akhirat semata-mata. Ada juga orang Islam yang mengamalkan atau memerlukan Islam itu dalam tiga masa sahaja iaitu ketika kelahiran bayi dengan mencari imam atau ustaz bagi mengazankan dan mengiqamahkan bayi tersebut, ketika upacara perkahwinan dan juga jika berlaku kematian.

Sebenarnya umat Islam amat memerlukan Khilafah Islamiah seperti Kerajaan Turki Uthmaniah yang menaungi umat Islam. Ini terbukti apabila umat Islam diceroboh seperti seorang wanita dirogol, seluruh negara dibawah naungan Turki dikerah untuk memerangi tentera Rom pada ketika itu. Selain itu kerajaan Turki juga telah mengerahkan seluruh umat Islam berjihad harta dan jiwa menentang penjajahan Barat yang membawa ideologi sekular ini yang turut mempengaruhi Tanah Melayu seperti perjuangan Tok Janggut dan Abdul Rahman Limbong selepas pelajar Melayu yang pulang belajar dari Timur Tengah seperti Mekah dan Mesir menyampaikan arahan sultan Turki ini.

Yahudi dengan kerjasama British telah mempengaruhi golongan pemuda Turki menubuhkan Parti Pemuda Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Atartuk yang berjaya menggulingkan sultan pada 1908 dan menjatuhkan sepenuhnya pada 1924.

4.0 Sifat-Sifat Umum Sekular

  1. Menolak keimanan kepada Allah dan konsep ibadah dimana setiap perkara adalah ibadah seharian.

  1. Memisahkan prinsip agama di dalam pentadbiran, pengajian, pendidikan, kehakiman, kesenian serta apa sahaja yang berkaitan dengan sistem kehidupan.

  1. Mendakwa bahawa agama Islam tidak ada hubungannya dengan soal politik, ekonomi dan sosial. Sedangkan pada hakikatnya Islam tidak boleh dipisahkan dengan politik Islam, ekonomi Islam, kemasyarakatan Islam dan ajaran Islam.

  1. Hanya percaya perkara yang zahir atau dapat dikesan oleh pancaindera semata-mata tanpa meyakini perkara sam’iyyat (perkara ghaib yang didengar dari Rasul).
  2. Pembawanya mengeluarkan kata-kata keji terhadap hukum Islam yang sememangnya membatalkan syahadah kita.

  1. Berasa selesa dengan sistem kufur tanpa ada cita-cita mengembalikan sistem Islam di muka bumi ini.

5.0 Kapitalisme, Sosialisme dan Komunisme

Fahaman sosialis muncul apabila kapitalis mencapai kemuncak kehancuran. Kapitalisme adalah fahaman membangun dan berekonomi tanpa memikirkan nasib sesiapa dan tanpa batasan tertentu. Sosialisme memperjuangkan nasib dan kesamarataan orang bawahan dan memperjuangkan nasib buruh. Walaupun ideologi ini nampak baik namun Islam tidak menyuruh kita bersaing membuat fahaman demi mengejar materialism.

Antara kesan pengaruh ideologi-ideologi moden yang boleh melemahkan umat Islam ialah mengenai fahaman kebebasan yang dilaungkan oleh golongan kapitalis yang memberikan kebebasan sepenuhnya dalam semua bidang kehidupan dari segi sosial, kepercayaan, pendapat, pemilikan harta dan membelanjakannya dan sebagainya.

Fahaman ini juga melahirkan manusia-manusia yang bebas mengeluarkan pendapatnya walaupun bertentangan dengan kepercayaan agamanya dan juga manusia bebas mengumpulkan seberapa banyak harta yang boleh dan membelanjakannya sama ada dari sumber yang dibenarkan oleh agama atau tidak. Sebaliknya komunisme menyekat kebebasan seseorang dalam semua bidang, umpamanya dalam bidang agama, komunisme menyekat manusia daripada menganuti apa juga agama, dalam memiliki harta kekayaan, manusia disekat hak miliknya hingga dirampas hak milik perseorangan kerana kekayaan adalah milik negara.

Kebebasan dalam Islam berbeza dengan sosialis, kapitalis dan komunis kerana ada hak dan batasnya. Dalam kebebasan bergaul antara lelaki dan wanita, Islam meletakkan batas-batas yang tertentu supaya manusia yang mempunyai akal fikiran itu tidak berubah sikap menjadi haiwan.

Nasionalisme

Merupakan suatu cabang sekular yang membawa fahaman sesuatu kumpulan yang menolong dan membantu serta memperjuangkan sesuatu yang berkaitan dengan bangsa tertentu, bahasa dan negara asalnya bukan atas dasar aqidah dan agama yang menjadi teras perjuangan.

Nasionalisme hanya bekerjasama dengan sesiapa yang cuba membawa ideologi bersamanya walaupun berlainan bangsa kerana atas tujuan yang sama. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Bukan dari golongan kita orang yang menyeru ke arah assabiyah, bukan dari golongan kita sesiapa yang berperang atas dasar assabiyah dan bukan dari kalangan kita orang yang mati di atas dasar assabiyah.”

6.0 Kembali Kepada Islam

Islam adalah agama wahyu yang lengkap dan sempurna merangkumi semua aspek kehidupan manusia sama ada mengenai hubungan seorang hamba dengan tuhannya, rakannya dan masyarakat. Hubungan ini bukan sahaja dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah dan ibadah bahkan dalam soal sosial, ekonomi, akhlak, ilmu pengetahuan, politik dan sebagainya.

Akan tetapi oleh kerana sesetengah orang Islam memahami Islam dari fahaman sekular maka ada antara mereka yang mengatakan bahawa agama Islam tidak boleh dicampur adukkan dengan politik dan ekonomi. Suara-suara sepeti itu pada hakikatnya datang dari fahaman sekular yang memisahkan apa jua bentuk agama dengan kehidupan manusia.

7.0 Penutup

Fahaman sekular boleh membawa kesan buruk kepada umat Islam kerana kebanyakan ideologi tidak meyakini adanya Allah sama ada dengan terang atau sunyi. Peraturan yang dicipta oleh fahaman sekular ini adalah hasil daripada pemikiran manusia semata-mata. Sedangkan ajaran Islam ialah wahyu Allah yang mengandungi peraturan, cara hidup yang lengkap dan sempurna serta berkekalan ke akhirat.

Oleh itu perlulah bagi umat Islam berusaha meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang agama Islam yang lengkap dan sempurna supaya tidak ada lagi umat Islam yang memperkecilkan agama Islam sebaliknya akan meyakinkan bahawa Islam sahaja yang hak, paling tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.

No comments:

Post a Comment