Tidur Sekejap


Jam di tangan menunjukkan tepat pukul 1 tengah hari. Mata terasa berat. Kepala pula berpusing. Pandangan menjadi kabur. Fikiran tumpul dan susah untuk focus. Segala kerja menjadi lembap dan tidak menjadi. Badan memberi isyarat untuk “lena” seketika. Nak tidur?

Oh, tidak mungkin kerana kerja-kerja yang belum disiapkan bertimbun!. Dalam tak sedar, akhirnya terlelap seketika di atas kerusi pejabat dengan komputer terpasang.

Seketika kemudian terjaga semula dikejutkan suara rakan-rakan sekerja. Badan seolah-olah sebuah bateri yang baru dicas semula. Fikiran yang tadinya tumpul menjadi tajam dan gerakan kembali lincah. Kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan lebih pantas. Ajaib! Adakah ini kesan daripada tidur hanya beberapa minit sahaja tadi?

Pusingan Biologi Badan
Bagi mereka yang mempunyai cukup tidur pada waktu malam, mereka biasanya mengakui tetap berasa mengantuk dan lembap pada siang hari. Sebahagian kita mungkin menyangka bahawa ini berpunca daripada makan tengah hari dalam jumlah yang banyak kerana perut yang kenyang lazimnya akan menyebabkan mengantuk. Namun, ia sebenarnya berpunca daripada sebab lain dan rasa mengantuk ini merupakan tanda badan kita memerlukan tidur dalam tempoh yang sekejap.

Badan kita sebenarnya mempunyai biological rhythm atau pusingan biologi. Sistem ini dikawal oleh hormon-hormon yang terdapat dalam tubuh kita. Dalam keadaan normal,  sistem inilah yang menyebabkan kita berasa mengantuk pada waktu tertentu dan berasa bertenaga pada waktu yang lain.

Sebagai contoh pada waktu malam, badan manusia akan mengeluarkan sejenis hormon iaitu melatonin dalam jumlah yang banyak. Melatonin akan menyebabkan badan berasa mengantuk dan memberi isyarat kepada kita untuk tidur. Selepas itu paras melatonin menurun ke tahap yang paling rendah, maka waktu itu kita bangun tidur sekitar jam 5 atau 6 pagi.

Hormon kortisol pula akan meningkat secara mendadak sewaktu kita bangun pada awal pagi dan ia menyebabkan badan kita menjadi lebih bertenaga. Inilh waktu yang paling baik untuk kita bekerja atau belajar dengan efektif dan produktif.

Hormon ini kembali menurun ke tahap yang paling rendah pada waktu tengah hari menyebabkan badan kita menjadi lesu dan lemah. Pergerakan badan menjadi perlahan dan otak menjadi kusut. Fasa ini disebut sebagai “mid afternoon quiescent phase” atau “secondary sleep gate.”

Badan kita akan memberi isyarat untuk berehat dan tidur sekejap pada waktu ini. Jika tidur sekejap dapat dilaksanakan, kita seolah-olah mengecas semula tenaga di dalam badan kita. Badan akan kembali menjadi aktif dan dapat meneruskan kerja seperti biasa. Fokus kita pada sesuatu juga akan menjadi lebih tajam dan banyak idea-idea baru dapat dihasilkan.

Manfaat Day Napping
Dalam sesetengah masyarakat, tidur pada waktu siang dianggap sebagai satu perlakuan orang yang malas dan tabiat yang tidak baik. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, masa dinilai sebagai duit. Mereka mengkritik amalan tidur pada waktu siang hari kerana dianggap sebagai tidak mendatangkan keuntungan, tidak produktif, malas dan membuang masa sahaja.
Namun, sejak kebelakangan ini mereka mula sedar akan kepentingan tidur seketika pada waktu siang. Para saintis sehingga kini sedang giat menjalankan pelbagai kajian mengenai kesan day napping ke atas badan manusia. Mereka termasuklah David F. Dinges dan Robert J. Broughton yang telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioral and Medical Aspect of Napping.

Buku ini menyebut bahawa bagi mereka yang secara rutinnya mengamalkan tidur selama 30 minit pada waktu siang mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat serangan penyakit jantung berbanding orang lain. Bahkan ia juga berkesan untuk mengurangkan tekanan mental kerana tempat kerja merupakan punca utama kepada masalah tersebut.

Pakar tidur dari Cornell University, Dr. James Maas juga membuat kajian mengenai day napping. Beliau mengatakan bahawa tidur pada waktu tengah hari sekadar 15 hingga 20 minit mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan.

Lebih menarik lagi, satu kajian selama 25 tahun telah dilakukan untuk mengkaji kesan-kesan day napping ke atas pekerja-pekerja di negara-negara industri dan pasca industri. Hasil kajian tersebut, 92.5% para pekerja yang berkesempatan tidur sekejap pada waktu siang mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan untuk menyelesaikan masalah juga meningkat dan hasilnya, produktiviti turut meningkat.

Sunah Nabi s.a.w.
Islam sebenarnya telah lama mengajar umatnya tentang day napping. Bahkan ini merupakan salah satu sunah Rasulullah s.a.w. yang disebut sebagai qailulah. Dalam bahasa Arab qailulah bermaksud tidur sebentar pada waktu tengah hari.

Sabda Rasulullah s.a.w. yag bermaksud:

“Lakukanlah qailulah (tidur siang hari), kerana sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan qailulah.”
(Riwayat at-Tabarani)

Dalam kitab Misykat al-Masabih juga menyebut mengenai sunah Rasulullah s.a.w. mengenai qailulah:

“Tidur yang sedikit pada waktu siang hari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah s.a.w. ada melakukannya.”

Sesungguhnya amalan sunah ini rupa-rupanya mempunyai manfaat yang sangat besar untuk kita amalkan. Ia nampak ringkas, sekadar tidur beberapa minit sahaja tetapi manfaatnya amat besar sekali. Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita cara paling baik untuk memulihkan tenaga kita dan juga meningkatkan kecerdasan badan kita untuk bekerja. Jika anda mempunyai kesempatan untuk qailulah, amalkanlah sunah ini. Badan kita akan menjadi lebih bertenaga selepas itu.

Sebaik sahaja bangkit daripada qailulah, badan kita mungkin akan berasa sedikit pening dan kaku, namun ia hanya sementara untuk tempoh 5-20 minit. Selepas tempoh itu tamat, badan kita akan mengalami perubahan mendadak dari segi emosi, kecerdasan dan juga fokus.

Namun Rasulullah s.a.w. mengajar kita untuk tidur sekejap sahaja dan tidak berlebihan. Kajian menunjukkan jika kita tidur berlebihan pada siang hari dan dilakukan selepas pukul 4.00 petang, badan kita akan memasuki fasa tidur yang lena yang susah untuk bangkit semula. Kesannya, badan akan berasa pening dan terhuyung-hayang dalam tempoh masa yang lama dan juga boleh menyebabkan kesukaran untuk tidur pada waktu malam hari.

والله أعلم

No comments:

Post a Comment